Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 2 Ogos 2017

Modenas Pulsar NS200 Nampak Lebih Sasa & Agresif!

Buat julung kalinya Pulsar NS200 telah diperkenalkan oleh MODENAS dengan kerjasama yang dijalinkan dengan Bajaj Auto Ltd (BAL). Menurut Ketua Pegawai Operasi, Automotif, Kejuruteraan, Pembuatan dan Pengedaran DRB-Hicom, Dato' Abdul Harith Abdullah, kerjasama yang dijalinkan dengan syarikat tersebut merupakan satu fasa semula yang dapat meningkatkan segmen penguasaan pasaran sebanyak 22% bagi segmen motosikal jalanan.

Pulsar NS200 diperkenalkan pada pertengahan Mei lalu bersama dua buah model lain RS200 dan V15. Harga jualan bagi Pulsar NS200 adalah RM9,222.00 (termasuk GST). Ia sememangnya cukup berpatutan dan mampu milik bagi pengguna yang menginginkannya. Pulsar NS200 merupakan peralihan terbaik daripada moped ke motosikal besar.

“NS” merupakan istilah bagi nama naked street oleh MODENAS sendiri, iaitu sebuah motosikal yang tidak dilengkapi fairing. Ini merupakan perbezaan untuk model Pulsar NS200 dengan RS200. Dari segi rekabentuk jentera ini ia nampak sangat seimbang, menarik dan ringkas serta tampil dengan penuh keyakinan. Tidak kira dari sudut belah mana dilihat NS200 ini nampak lebih matang. Secara ringkas, rekaannya memang cukup lebih mantap.

NS200 ini hanya boleh dihidupkan dengan menggunakan suis penghidup elektrik sahaja dan sebaik sahaja enjin ini dihidupkan, kami dapat rasakan gerakan enjin silinder tunggal, empat lejang, 199.5cc ini bergerak dengan sangat lancar sekali. Panel meter model ini terdiri daripada penunjuk digital (kelajuan, jarak perjalanan, tahap bahan api dan jam) manakala bacaan pada rpm pula ditunjukkan pada meter analog.

Dari segi tunggangan, klac yang ada pada model ini juga agak lembut, sekaligus boleh memudahkan penunggang untuk menukar kedudukan gear pada bila-bila masa sahaja. Bercakap tentang gear, ada satu perkara yang perlu dipertimbangkan untuk ditambah baik. Pada paparan meter hanya terdapat petunjuk untuk gear 'N sahaja. Jika ini boleh ditambah dengan paparan kedudukan gear yang lain, sudah tentu ia boleh memberi manfaat kepada penunggang.

Posisi menunggangnya agak tegak disebabkan oleh tempat duduk yang lebih tinggi serta bahagian bar hendal dinaikkan sedikit. Ini membuatkan setiap penunggang yang memacu Pulsar ini berada dalam keadaan rehat dan selesa sepanjang masa. Walau bagaimana pun, ada seperkara yang ingin dikatakan; tangan kiri ada waktunya merasa agak letih semasa menunggang model ini. Ia mungkin disebabkan gegaran daripada enjin yang terhasil pada bar hendal. Tetapi, ia bukanlah satu masalah yang besar.

Tangkinya bersaiz 12 liter berbentuk ringkas, mudah untuk kita mengepit yang memberikan posisi menunggang yang natural. Sistem ekzos jentera ini berkedudukan di bawah enjin dengan rekabentuk yang ringkas. Walaupun begitu, ekzos ini menawarkan bunyi yang segar dan sedap untuk didengar. Gabungan antara warna merah dan kelabu serta rekabentuk yang gagah dan besar menyerlahkan lagi keanggunan jentera ini. Tidak kira ke mana sahaja kita pergi pasti ada orang yang memandang.

Dengan adanya kuasa maksimum 24.5PS pada 9,750 rpm dan tork 18.6Nm, ternyata jentera ini lebih sedap dan seronok ditunggang di lebuhraya. Respons antara pendikit dan kuasa enjin amat lancar membuatkan kita sentiasa ingin memulas lebih lagi pendikitnya. Kuasa di peringkat pertengahan amat mengujakan buat kami yang menunggangnya. Enjin Pulsar ini boleh ditarik sehingga 10,000 rpm dalam gear ketiga, keempat dan kelima sebelum lampu penukaran gear akan berkelip-kelip meminta kita menambah gear. Ini amat penting agar kita menggunakan gear dengan tepat sekali!

Menunggang dengan motosikal jalanan yang telah dilengkapi cermin sisi yang besar cukup memudahkan buat penunggang tidak perlu mengambil masa yang lama untuk melihat keadaan trafik di belakang. Selain itu, apabila dalam keadaan trafik yang sesak, jentera ini juga mudah untuk kita mencelah-celah di antara kenderaan kerana ketinggian bar hendalnya dan keringanan tubuh badannya. Dengan kerangka yang bertegaran tinggi, penunggang akan merasakan jentera ini amat stabil untuk ditarik dari kiri dan ke kanan ketika mengubah laluan dan merupakan ciri-ciri terpenting bagi sesebuah motosikal untuk berada di lebuhraya dalam kelajuan tinggi dengan stabil.

Di bahagian belakang tayar terdapat satu lagi madgad tambahan. Kami amat suka dengan idea itu kerana pembonceng belakang tidak perlu risau dengan percikan air semasa menunggang pada waktu hujan ataupun dalam keadaan jalan yang basah. Madgad tersebut dapat melindungi bahagian belakang baju daripada kotor atau terkena percikan air.

Mari kita uji kelajuan Pulsar NS200 ini pula! Sangat lincah dan pantas. Semasa dalam kedudukan gear kelima, enjin NS200 bersesaran 199.5cc ini mampu ditarik sehingga (10,000rpm) dengan kelajuan sekitar 125km/j manakala apabila memasuki gear kelima dapat ditarik ke tahap maksimum (11,000rpm) dan kelajuan tertinggi yang dapat dicapai ialah 145km/j pada kedudukan gear yang tinggi dan posisi badan yang tidaklah terlalu membongkok.

Sungguh tidak percaya dalam keadaan badan yang menegak dapat mencapai kelajuan seperti itu. Secara jujurnya jika seseorang itu dapat mencapai kelajuan sehingga 150 km/j jentera tersebut boleh pergi lebih laju lagi. Semasa dalam keadaan gear rendah bunyi sistem ekzos ini cukup senyap dan tidak bising tetapi bunyinya semakin garang apabila dalam kelajuan yang meningkat.

Saiz tayar jentera ini tanpa tiub adalah 100/70-17 52P (hadapan) dan 130/70-17 52P (belakang). Ternyata jentera ini juga tidak mengecewakan dan tidak terhuyung hayang seperti dibuai angin semasa membelok di selekoh-selekoh tajam. Yang penting posisi badan perlu dalam keadaan yang sesuai, menggunakan tayar yang sesuai dan berkualiti serta juga tahu menggunakan teknik menunggang dengan betul.

NS200 ini dilengkapi dengan sistem saspensi hadapan jenis teleskopik dengan sesendal anti geseran dan penyerap hentak belakang yang sentiasa memberi keselesaan kepada penunggang jentera ini. Secara jujur, jalan-jalan yang terdapat di negara kita ini tidak semuanya berada dalam keadaan baik. Ada yang beralun-alun dan berlopak. Tetapi mujurlah NS200 mampu menangani situasi sebegitu dengan lebih sempurna tanpa merasa gegaran yang kuat pada bahagian lengan dan juga pinggang.

Jentera ini dipasang dengan brek-brek cakera bersaiz 280mm (hadapan) dan 230mm (belakang) lengkap dengan sistem hidraulik yang mencengkam. Kedua-dua brek tersebut berfungsi dengan sungguh baik dan cemerlang sekali. Memang terbukti ia amat berkesan. Sebaik kita tarik tuas brek sedikit sahaja, sudah tentu dapat merasakan kelajuan jentera ini telah diturunkan dengan pantas sekali. Mungkin MODENAS dapat menyempurnakan lagi model jenis ini dengan menambah sistem ABS seperti yang ada pada model RS200 pada masa akan datang.

Kepada mereka yang gemar menunggang pada waktu malam, lampu-lampu yang terdapat pada NS200 ini cukup terang terutama sekali di bahagian depan jenis H4 Blue Tinge. Kedua-dua panel suis pada bar hendal bahagian kanan (start button) dan bahagian kiri (signal, high beam, horn) setiap butang yang ada tersebut bercahaya biru. Cantik dan menarik perhatian penunggang lagi-lagi apabila tiba waktu malam. Nampak jelas cahaya kebiru-biruan. Tidak lupa juga lampu belakang jenis LED yang tersusun kemas memudahkan kita dilihat dengan jelas dari belakang.

Kami telah membuat perjalanan dari Puncak Alam – Puchong – Cyberjaya - Putrajaya dan KLIA. Pada hari berikutnya, kami menyurusi perjalanan berselekoh di kawasan Bukit Melawati, Kuala Selangor yang sangat menyeronokkan. Suasana di sana tenang di waktu pagi, masyarakatnya juga peramah. Di Bukit Melawati terdapat tempat-tempat menarik

seperti Baitulhilal, makam Sultan dan kerabat diRaja Selangor, muzium sejarah dan pelbagai lagi kawasan-kawasan menarik. Bagi penunggang motosikal, kita boleh menunggang ke kawasan ini pada bila-bila sahaja kecuali pada hari Sabtu, Ahad atau ketika cuti umum kerana memberi keutamaan pada kereta api yang mengelilingi bukit tersebut untuk membawa pengunjung.

Bagaimana dengan kegunaan bahan api? Mari kita bercerita pula sedikit tentang petrol. Mungkin sesetengah pandangan orang menganggap jentera yang besar seperti ini kuat 'makan minyak'? Tetapi tidak, percayalah NS200 ini amat menjimatkan. Ini terbukti selepas kami dapat menggunakan satu tangki Pulsar sebesar 12 liter untuk perjalanan kira-kira 220 kilometer dengan gaya tunggangan dan keadaan tempat yang berbeza-beza. Ada kalanya menunggang dengan santai, ada masanya terpaksa mendaki, memecut dan ada juga terpaksa mencelah.

NS200 ini juga terdapat ciri-ciri keselamatan pada tongkat sisi. Contohnya sekiranya terlupa untuk menaikkan tongkat sisi, secara automatik jentera akan mati sebaik melepaskan klac untuk menggerakkannya. Secara keseluruhannya, MODENAS Pulsar NS200 ini mendatangkan rasa yang sangat positif sepanjang tempoh menggunakannya. Cubalah sendiri! RR

Isu Pada

Ogos 2017

Spesifikasi

Enjinsilinder tunggal, 4 lejang, SOHC, 3 palam pencucuh
Isi padu199.5cc
Sistem bahan apisuntikan bahan api
Kuasa maksimum24.5PS pada 9,750rpm
Trok maksimum18.6Nm pada 8,000rpm
Transmisi6 kelajuan
P x L x T1,993 x 804 x 1,075mm
Berat155kg
Isi tangki12 liter
PengedarMODENAS (Motosikal Dan Enjin Nasional Sdn Bhd

Popular

  • Warta Roda

    Honda RS150R Tiba Dengan Warna Baru

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Warga Emas Meninggal Dunia Motosikal Dilanggar Dari Belakang

Seorang peniaga maut selepas motosikal ditunggang terlibat kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Tengku Mizan, di sini pada Selasa.

Model Baru

HLYM Perkenalkan Yamaha Y16ZR 6MRO Edisi Terhad – RM13,668

Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) turut meraikan pencapaian bersejarah itu dengan menampilkan model edisi terhad iaitu Yamaha Y16ZR 6MRO.

Dari Litar

Podium Berganda Buat Qabil Di Sepanyol & Raih Keempat Keseluruhan di ESBK

Qabil Irfan menutup musim Kejuaraan Superbike Sepanyol (ESBK) Moto4 dengan podium berganda di pusingan akhir yang berlangsung di Circuito de Jerez, Sepanyol.

Model Baru

Yamaha Europe Perkenalkan Tracer 9, Tracer 9 GT & Tracer 9 GT+ 2025

Yamaha Motor Europe telah memperkenalkan rangkaian Sport Touring mereka bagi tahun 2025 iaitu Yamaha Tracer 9, Tracer 9 GT dan Tracer 9 GT+ Y-AMT.