Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 2 Ogos 2017

Scrambler Ducati Urban Enduro Tangkas Di Mana Sahaja

Ducati seringkali menarik minat ramai dengan hasil rekaan yang hebat, seksi dan bergaya. Magis yang disampaikan oleh para pereka dan juruteranya membuatkan para pencinta motosikal terlena dengan keanggunan rekabentuknya. Antara model ikonik yang cukup cantik dan cukup menarik ialah Scrambler Ducati. Ia adalah satu sejarah kegemilangan Ducati kerana telah pun berada di pasaran hampir 50 tahun yang lalu. Di antara tahun 1968 hingga 1974, Scrambler 250cc dan 350cc menerima sambutan yang cukup hangat disebabkan kemantapan kerangkanya (ia terbukti kerana turut digunakan dalam perlumbaan) dan enjinnya yang lancar dan sesuai dengan fungsi jentera ini dihasilkan.

Ia bukanlah yang terpantas ketika itu tetapi merupakan salah sebuah jentera yang mempunyai gaya, semangat yang diimpikan oleh setiap jiwa penunggang pada eranya. Pada tahun 2014, Ducati memperkenalkan semula Scrambler ke pasaran negara bermula dengan model Icon dan setahun kemudiannya disempurnakan dengan tiga lagi varian yang cukup mantap iaitu Urban Enduro, Full Throttle dan Classic. Masing-masing mempunyai gaya, identiti dan peminatnya yang tersendiri.

Kita tidak perlu menunggu lama untuk jatuh cinta pada model Scrambler Ducati Urban Enduro kerana ia direka dengan kemas dan penuh jiwa. Berbanding tiga lagi varian lain yang menggunakan kombinasi warna hitam dan kuning, model Urban Enduro satu-satunya model Scrambler Ducati yang berwarna hijau – sesuai dengan nama dan rekabentuknya.

Model ini dihasil untuk pelbagai kegunaan. Ia sesuai untuk pacuan kota dan juga boleh menjadi teman untuk berhibur di kawasan luar bandar yang lebih lasak. Untuk itu, pelananya berwarna coklat dibuat cukup selesa dan empuk sekali. Tidak kiralah kita menunggang solo mahu pun bersama yang tersayang, ia cukup selesa. Ducati terus mengekalkan lampu utamanya dengan bentuk bulat (barulah nampak retro!) tetapi dengan penggunaan lampu LED di lingkaran rim lampu utama ini memberikan imej mewah dan terkini. Jentera ini juga dilengkapi dengan lampu kecemasan yang dapat diaktifkan dengan menekan ke bawah suis di sebelah kiri kira-kira untuk tiga saat.

Madgad hadapan jelas sebuah Scrambler manakala madgad belakang tambahan yang turut merupakan tempat meletak nombor pendaftaran bukan sahaja cantik tetapi juga melindungi pembonceng daripada terkena kotoran terutamanya percikan air dari jalan.

Meternya juga direka bulat untuk tampak retro tetapi mempunyai paparan LCD digital yang cukup moden dan kemas sekali. Ia memaparkan tahap kelajuan, putaran rpm, jarak perjalanan, trip A & B, penanda amaran untuk servis minyak enjin, ABS dan side stand (akan terpapar apabila tongkat sisi digunakan. Sayang sekali panel meter ini tidak disempurnakan dengan penunjuk tahap bahan api dan posisi gear yang kini menjadi kemestian untuk tunggangan lebih selamat.

“Model ini sememangnya digemari kerana bentuknya yang menarik, unik dan gaya tunggangan yang mudah. Ia bukan sahaja sesuai untuk tunggangan di bandar tetapi juga boleh digunakan di luar bandar yang mempunyai jalan yang lebih lasak. Populariti model ini dibuktikan dengan jumlah penjualan yang hampir habis sejak ianya diperkenalkan tahun lalu,” komen Timbalan Presiden 2 Naza Bike Sdn Bhd, En. Fazli Hisham Shukor.

Dengan ketinggian pelana yang cuma 790mm, Urban Enduro mudah dipanjat oleh sesiapa sahaja. Bar hendal yang lebar memudahkan pengendalian. Satu lagi keseronokan berada di atas jentera ini ialah kerana ianya cukup ringan! Cuma 186kg... pasti menjadi pilihan dan kesukaan buat mereka yang ingin berhibur di dalam bandar mahupun mencuba kelasakan di jalan yang lebih mencabar.

Enjin Ducati ini bersesaran 803cc yang berasal dari model Monster 796 dan ya... agak kuat untuk sebuah mesin kecil molek seperti ini. Walaupun begitu, pakej yang dilengkapi pada jentera ini membantu para penunggang (baru atau yang lama) mampu mendapat keserasian dengan cepat sekali. Dengan adanya sistem suntikan bahan api elektronik, respons di antara pendikit dan enjin dirasakan cukup tepat sekali. Kami jamin!

Dengan saiz gerek x lejang (88mm x 66mm), kuasa tolakan cukup lancar dan mantap sekali...pulas sahaja dalam gear berapa pun, Scrambler ini akan meluru ke hadapan dengan pantas. Biasalah... apabila bersama jentera semantap ini, kita akan ghairah menikmati pecutan terutamanya dalam gear-gear pertengahan dan untuk membantu proses penukaran gear dapat dilakukan dengan tepat, Scrambler Ducati ini dilengkapi dengan lampu penukaran gear berwarna merah yang akan berkelip-kelip apabila kita menarik putaran enjin mencapai 8,000rpm. Bagi mereka yang belum mengenali Scrambler ini pastinya akan terkejut apabila mendapati ianya berlari sepantas kilat. Mantap!

Bunyi enjin jenis kembar-L ini sangat sedap sekali tidak kiralah sama ada ketika menunggang perlahan atau pun laju. Setiap mata pasti akan menoleh kepadanya dek kerana kemerduan enjin dan sistem ekzos yang cukup garang. Bunyi model Full Throttle lebih mantap kerana ia didatangkan dengan sistem ekzos penuh Termignoni. Oh ya! Sistem ekzos 2-1 milik Scrambler ini memenuhi piawaian Euro 3.

Scrambler Ducati mempunyai kerangka jenis trellis bertegaran tinggi yang membantu mendapatkan kawalan sepenuhnya di pelbagai situasi seperti dalam kelajuan tinggi, menukar posisi dengan pantas serta mengekalkan kedudukan apabila membrek dengan keras. Kita dapat merasakan ketegaran kerangka ini yang menyokong keseluruhan berat penunggang yang berpaut ketika berada di selekoh tajam dengan stabil sekali. Begitu juga ketika berada di kawasan lapang dalam kelajuan tinggi, pukulan angin dari tepi langsung tidak mengganggu pergerakan walaupun sesekali ia datang dengan kuat.

Dengan kuasa maksimum setinggi 75hp pada 8,250rpm dan tork 68Nm pada 5,750rpm, Scrambler ini cukup mudah untuk kita membuat pintasan walaupun di dalam kedudukan gear tertinggi. Bagi mereka yang berulang alik dari rumah ke tempat kerja dalam jarak yang agak jauh, pastinya anda menggunakan lebuhraya dan di sinilah pentingnya untuk memiliki sebuah jentera yang efisien. Dengan kerangka yang tegar dan sistem saspensi yang mantap, kami dapat memecut Urban Enduro ini pada kelajuan maksimum sekitar 195km/j.

Sifat nakal Scrambler ini menyeronokkan kita lebih-lebih lagi ketika mencelah di dalam bandar. Enjinnya yang bertenaga memudahkan kita meluncur ke hadapan dari kedudukan melahu manakala kelancaran kotak gear enam kelajuannya menambah keceriaan. Tubuh badan yang langsing membolehkan kita dapat mencelah dengan mudah cuma apa yang agak mengganggu ialah haba panas yang terasa di bahagian peha kanan. Memang mengganggu konsentrasi terutamanya ketika bersesak-sesak di dalam bandar. Tetapi, sebaik sahaja kelajuan ditingkatkan, bahang panas ini terus hilang!

Ducati ini dilengkapkan dengan tayar-tayar jenis enduro Pirelli MT60 RS 110/80 ZR18 (depan) dan 180/55 ZR17 di belakang yang mencengkam dengan baik sekali. Mungkin siapa pun tidak akan dapat menduga sebuah mesin retro ini dapat meratah selekoh-selekoh tajam dengan yakin sekali. Boleh setanding superbike. Terima kasih juga diucapkan buat para jurutera Ducati yang menyempurnakannya dengan sistem saspensi hadapan dana belakang yang efisien. Fork hadapan jenis terbaik bersaiz 41mm jenis Kayaba manakala penyerapan di belakang dilakukan oleh penyerap hentak mono jenis Kayaba yang juga tidak mengecewakan.

Untuk mendapatkan kuasa membrek dan kemampuan memperlahankan kelajuan dengan cepat, Scrambler ini dipadankan dengan brek cakera hadapan bersaiz 330mm dan brek belakang 245mm lengkap dengan sistem ABS. Kami dapat menikmati kemantapannya ketika perjalanan dari Negeri Sembilan ke Kuala Lumpur dalam keadaan hujan yang agak basah. Perihal kereta menukar lorong sesuka hati menyebabkan beberapa kali kami terpaksa membrek dengan keras tetapi mujurnya sistem ABS membantu tayar belakang tidak terkunci – memang sangat bagus!

Walaupun pelbagai gaya kami lakukan dan pelbagai destinasi kami terokai, Ducati ini masih mampu menawarkan penggunaan bahan api yang menjimatkan. Dengan isian penuh tangki 13.5 liter, kami dapat bergerak lebih daripada 200 kilometer. Jimat kan? Urban Enduro ditawarkan pada harga RM63,899 (termasuk GST, tanpa pendaftaran dan insurans. Untuk tahun 2017, terdapat dua lagi model baru Scrambler Ducati yang boleh dimiliki iaitu Scrambler Ducati Desert Sled dan Scrambler Ducati Cafe Racer yang ditawarkan pada harga asas sekitar RM68,000.

Ducati Malaysia kini mempunyai tiga cawangan utama iaitu Next Bike (PJ), Welly World Cycle (Sungai Buloh) dan Ducati Penang. Ayuh ke sana untuk melihat dan mendapatkan sebuah Scrambler Ducati. RR

Isu Pada

Ogos 2017

Spesifikasi

EnjinL-kembar, Desmodromic Distribution, sistem penyejuk udara
Isi padu803cc
Gerek x Lejang88 x 66mm
Kuasa maksimum75hp pada 8,250rpm
Trok maksimum68Nm pada 5,750rpm
Transmisi6 kelajuan
P x L x T2,165 x 845 x 1,150mm
Tinggi pelana790mm
Isi tangki13.5 liter
Pengedar rasmiDucati Malaysia, Next Bike Sdn Bhd

Popular

  • Warta Roda

    Honda RS150R Tiba Dengan Warna Baru

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Pos Malaysia Terima 1,092 Jentera Elektrik, MEV-1 Pro dari MODENAS

Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) sehingga kini telah pun menyerahkan sejumlah 1,092 unit motosikal elektrik iaitu MEV-1 Pro khusus kegunaan pihak Pos Malaysia Berhad.

Model Baru

EICMA 2024: Honda Perkenalkan CL500, Jentera Retro Moden

Model baru ini menyasarkan para peminat dua roda muda yang mementingkan gaya retro dengan spesifikasi moden.

Warta Roda

Lebih 100 Buah Motosikal Terbakar Di Depoh Simpanan DBKL

Sebanyak 130 buah motosikal yang diletakkan di depoh penyimpanan kenderaan tersadai milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Taman Connaught telah terbakar.

Dari Litar

Qabil Irfan Raih Podium Di Sepanyol

Qabil Irfan menunjukkan prestasi cemerlang di Spanish Superbike Championship Moto4 Round 6 yang berlangsung di Litar Navara, Sepanyol.