Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 1 Januari 2021

Magni MV Agusta 750S Tributo Penghormatan Terbaik Untuk Model Tulen

Adalah sesuatu yang menggembirakan apabila kita mengenang kembali tentang usaha murni seorang pelabur dari Russia bernama Timur Sardarov yang telah menyuntik dana berbentuk tunai agar jenama sang juara, MV Agusta dapat dielak daripada jatuh muflis. Misi menyelamat ini membolehkan MV Agusta terus menawarkan pelbagai model terbaru yang menggabungkan kejuruteraan yang bijak dan hasil seni yang benar-benar anggun. Kemunculannya bagai mengembalikan zaman kegemilangan jentera ciptaan keluarga Castiglioni menerusi model F4 kira-kira 20 tahun yang lalu.

Kira-kira 30 kilometer ke selatan kilang MV di Varese, sesuatu yang baru sedang dibangunkan oleh Giovanni Magni di kilang Moto Magno. Kilang yang terletak di Samarate sedang mengeluarkAan jentera yang cukup istimewa – berupa seperti motosikal tradisional yang dikuasakan oleh enjin cukup berkuasa dari MV Agusta.

Moto Magni meraikan ulang tahun mereka yang ke-40 pada tahun 2017 dan hanya sejak enam tahun yang lalu Giovanni Magni, 59 tahun mula menggunakan produk-produk moden dari firma MV Agusta untuk melahirkan sebuah mesin yang menggabungkan rekabentuk lama dengan prestasi enjin serba moden. Syarikat ini juga memberi tumpuan untuk mencipta motosikal baru tetapi mirip dengan jentera perlumbaan atau ikonik yang pernah digunakan dulu. Ia dipanggil mesin penghormatan atau dalam bahasa lain...Tribute atau Tributo. Memang sukar difikirkan sebuah syarikat yang besar dan berpengalaman seperti Moto Magni untuk menggunakan perisian terkini MV Agusta pada jentera retronya tetapi itulah keunikan yang menjadikannya lain daripada yang lain.

Pengasas syarikat ini ialah mendiang ayahnya, Arturo yang meninggal dunia pada Disember 2015 pada umur 90 tahun. Beliau mempunyai kebijaksaan untuk membawa pengeluar motosikal bukan Jepun yang mampu meraih banyak kemenangan dalam perlumbaan dunia. Keupayaan untuk menyertai persaingan hebat ini datangnya dari keuntungan yang diperolehi daripada kilang pembuatan helikopter, Count Agusta yang cukup terkenal.

Apa pun, model tribute Magni MV pertama yang dikeluarkan pada tahun 1999 lalu tidaklah begitu memberangsangkan kerana ia hanya fokus pada gaya sahaja. Ketika itu ia tidak mampu untuk ‘berlawan’ dengan kemantapan jentera MV Agusta 750S tulen yang merupakan sebuah jentera perlumbaan sah/boleh digunakan di jalanan biasa. Hanya sebanyak 402 unit sahaja dikeluarkan dan salah satu daripadanya telah menemui pemilik terbarunya ketika di Stafford Classic Show yang dibida pada harga GBP 96,700.

Model mirip Magni yang diperkenal dulu itu juga sebenarnya menggunakan enjin Suzuki 1200 Bandit. Walaupun begitu, model ini masih ‘meminjam’ rekaan asal MV 750S seperti pelana kulit hump-backed berwarna merah, tangki berbentuk piring terbang bergelar disco volante yang dikemaskan dengan skima warna tricolor tetapi menggunakan warna merah, putih dan biru. Bukankah sepatutnya ia menggunakan warna bendera Itali – memang saya masih mencari jawapan hingga ke hari ini. Jentera ini juga tidak begitu selesa dan agak letih untuk ditunggang.

Namun begitu, sebanyak 92 buah unit telah berjaya dijual pada dekad seterusnya dan ia dibeli untuk tujuan koleksi. “Masalah yang menguji kami ialah kesukaran untuk mendapatkan enjin MV Agusta 750 F4 dan ketika itu memang mustahil untuk dapatkan enjin empat lejang keluaran Itali dan satu-satu jalan penyelesaian ialah dengan menggunakan enjin Suzuki. Memang bentuk enjinnya tidaklah begitu cantik tetapi prestasi yang ditawarkan cukup cemerlang dan ia sesuai dengan apa yang kami inginkan,” kata Giovanni Magni.

Pada tahun 2013, Giovanni membuat keputusan untuk memperkenalkan model Magni dengan enjin Storia empat lejang dari MV. Model ini juga disempurnakan dengan kerangka Brutale 1090 yang cukup cantik. Model terbaru ini telah diperkenalkan di pameran motosikal antarabangsa EICMA tahun lepas dan masih terus dikeluarkan hingga ke hari ini. Usahanya itu masih menerima kritikan oleh pencinta tegar Magni yang kurang berpuas hati dengan penggunaan Storia.

Ia adalah perangsang buat Giovanni dan abangnya Carlo untuk menghasilkan sebuah jentera retro tiga silinder menggunakan enjin Brutale F3 yang dipasang pada kerangka Magni yang direka khas. Hasil daripada pemikiran unik ini dapat dilihat secara rasminya pada tahun 2014, dikenali sebagai Magni FiloRosso yang bererti 'Garisan Merah' – ia merupakan satu rekaan yang mencapai ke tahap maksimum. Nama yang diberikan itu memang tepat kerana ia benar- benar hebat!

Model ini merupakan sebuah jentera perlumbaan tetapi yang sah digunakan di jalan raya – sentuhan kedua-dua adik beradik itu menjadikan FiloRosso bagaikan pantulan cermin daripada model 500 Triple GP Racer milik Giacomo Agostini yang menjuarai Perlumbaan Dunia 500GP sebanyak tujuh kali berturut-turut iaitu dari tahun 1966 hingga 1972. Sebanyak 21 unit FiloRosso telah berjaya disiapkan hingga kini dan semuanya direka mengikut pesanan pada harga Euro30,000.

Kini Giovanni Magni kembali untuk menyempurnakan apa yang beliau tinggalkan dulu iaitu mencipta sebuah jentera tribute untuk model ikonik MV Agusta 750S dan kali ini.... ia akan dilengkapkan dengan enjin MV Agusta, bukan lagi enjin lain seperti yang telah dibuat sebelum ini. Hasilnya? Apa lagi kalau bukan MAGNI MV TRIBUTO 750S yang diperkenalkan di EICMA tahun lalu. Kemunculannya memang ditunggutunggu dan harga yang ditetapkan bermula daripada Euro36,000 (termasuk cukai dan spesifikasi).

Walaupun proses pembinaan masih dilakukan di kilang Magni tetapi untuk bahagian casis, ia harus menggunakan unit yang perlu dibawa oleh pelanggannya. “Sekiranya seseorang pelanggan itu dapat membekalkan sebuah unit motosikal yang kami gelarkan 'Donor Bike', kami akan memberikan potongan harga untuk beberapa aksesori yang berada dalam senarai. Walaupun begitu, kami tetap perlu menyesuaikan sistem ECU dan bahagian pendawaian mengikut aplikasi terkini. Memang ia tugas yang cukup sukar dan bukanlah suatu perkara yang boleh dilakukan di rumah,” kata Giovanni.

Sejak di Milan tahun lepas, Giovanni telah menerima sebanyak lima buah tempahan tetapi sebelum ianya diperkenal kepada dunia, saya mendapat penghormatan untuk menunggang uji model Tributo prototip bersama-sama Giovanni sendiri. Kami berdua menguji model ini sejauh dua kilometer untuk memastikan kotak gear dan brek berfungsi dengan sempurna sebelum membawanya masuk ke litar Pirelli Vizzola. Model tribute baru ini dicipta dengan bijak menggunakan enjin sejukan cecair Brutale 800, tiga silinder yang dikimpal dan disepadukan pada kerangka chrome-moly dengan cantik dan kemas – memang jauh berbeza jika dibandingkan dengan rekaan berenjin Suzuki sebelum ini.

Model ini juga menggunakan lengan ayun dengan dua penyerap dan tayar bersaiz 18 inci yang dibuat oleh JoNick di Milan. Bahagian hadapan dikemaskan dengan rim berjejari aluminium yang berkelebaran 2.50 inci di depan dan 4.50 inci di belakang. Kedua-dua rim ini direka khas untuk disesuaikan dengan tayar-tayar tanpa tiub dan model ini dilengkapkan dengan tayar Metzeler Racetech RR terbaru yang memiliki sebatian perlumbaan K1 bersaiz 110/80 (depan) dan 160/60 (belakang).

Tributo menggunakan fork konvesyenal 43mm dengan penyerap hentak kembar di belakang yang berbentuk klasik tetapi boleh dilaras sepenuhnya. Itulah kehebatan produk dari ORAM, sebuah syarikat pengeluar sistem saspensi yang kecil tetapi berkualiti tinggi. Seiring dengan kemantapan sistem saspensinya, Giovanni turut melengkapkan ciptaannya ini dengan brek Brembo bersaiz 320mm di depan dan 220mm di belakang - pastinya dapat mengawal segala pergerakan jentera seberat 170kg ini.

Memang hasilnya mengagumkan – satu penghormatan yang cukup indah dan itulah ungkapan paling tepat yang boleh saya katakan. Dengan tapak roda 1,420mm – lebih panjang dan lebih luas berbanding rekaan sebelum ini. Posisi radiator diletak pada bahagian bawah memang bijak kerana ia bagaikan tidak kelihatan. Kecil juga ruangnya untuk penunggang setinggi 5'10” dan dirasa perlukan masa untuk mencari keselesaan.  Posisi menunggangnya sporty tetapi masih selesa dan paling saya suka ialah kita rasa seperti sebahagian daripada motosikal itu sendiri. Tempat pemijaknya lebih selesa berbanding tempat pemijak model FiloRosso yang lebih tinggi.

Pemegang pendikit getah Ariete berwarna merah mengingatkan kembali pada zaman 70'an tetapi ia lebih lembut dan memiliki tindakbalas yang sangat baik. Saya bandingkannya dengan jentera Ducati V-Twin yang dibeli serba baru pada tahun 1974 lalu. Model prototip ini hanya dilengkapkan dengan meter rpm sahaja dan didatangkan dengan lampu utama berbentuk bulat dengan saiz diameter 190mm seperti yang banyak digunakan oleh model-model Moto Morini dan Moto Guzzi.

Unit yang dijual kepada pelanggan lengkap dengan sistem ride by wire yang memberikan empat mod tunggangan seperti Sport, Normal, Touring dan Rain. Turut ditawarkan ialah sistem traction control lapan tahap yang semuanya boleh diakses menerusi suis yang berada pada bar hendal sebelah kanan. Jika terasa gementar, percaya semua akan hilang sebaik sahaja jentera ini bergerak. Magni MV ini dirasakan cukup ringan, mampu bertukar arah dengan tepat dan memiliki kebolehan untuk memecut dengan cukup lancar. Saya rasakan seolaholah motosikal ini sudah menjangka arahan si penunggangnya.

Dengan geometri yang tepat dan penyerapan fork ORAM yang cemerlang, Magni MV membantu saya mendapatkan laluan di litar ini dengan tepat. Kekuatan torknya memang dipuji, ia mencecah di tahap maksimum 84Nm pada 8,600rpm dan ini membolehkan kita terus membuat pecutan dari kelajuan rendah walaupun menggunakan posisi gear tertinggi. Saya puji sistem transmisinya yang lancar tanpa sebarang sentapan walaupun enjin dipulas dengan garang.

Secara peribadi, saya rasakan bunyi enjin tiga silinder paling sedap didengar berbanding enjin lain untuk jentera beroda dua walaupun telah 'disenyapkan' untuk memenuhi piawaian Euro 4. Bagi model ini, ia agak berbeza kerana Giovanni dengan jujurnya katakan, “Kami menjual semua motosikal ciptaan kami dengan persetujuan dan pemahaman bahawa bunyi Giovanni Magni yang terhasil tidak mengikut homologasi untuk jalan raya biasa. Jadi keputusan di tangan mereka (pembeli) sama ada untuk mendaftarkannya di pihak berkuasa negara masing-masing atau hanya gunakan di sesi track day.” tambah Giovanni.

Bagai yang dikatakan tadi, walaupun ia nampak seperti model retro lama, enjin F3 800 yang berada di bawah penunggang menawarkan kuasa maksimum setinggi 125bhp pada 11,600rpm dan ia 'membawa' jentera MV 750S Magni Tributo yang hanya seberat 170kg.... memang cukup laju! Kerangka yang tegar, sistem elektronik yang moden dan pakej keselamatan yang sempurna menjadikan setiap pecutan dinikmati penuh keyakinan dan paling utama.... amat menyeronokkan.

Prestasi brek-brek Brembo tidak perlu dipertikaikan lagi dan kami nikmatinya sewaktu membrek dengan keras tanpa rasa tubuh badan ingin terhumban ke depan – memang efisien sekali. Cara menunggang laju di selekoh juga berbeza dengan motosikal yang lain, kita tidak perlu mengarahkan tubuh badan untuk mencecah lutut sebaliknya kena lebih relaks, kawal sudut miringan dengan tepat dan kekalkan posisi di pelana sebaik mungkin.

Sudah berapa kali saya ulangi, ia adalah sebuah jentera ala perlumbaan era dulu yang sangat mudah dikendalikan. Itulah kebijaksanaan namanya. Saya telah menunggang beberapa model MV Agusta 750S pada tahun 1970an dulu dan jujurnya beberapa kali agak kecewa dengan prestasi keseluruhan model ini. Bahagian mekanikal bising, pengendalian ada kalanya baik dan ada kalanya juga tidak baik. Ini termasuklah jentera perlumbaan yang direka untuk Ago dan rakan sepasukannya Alberto Pagani pada tahun 1972 yang digunakan dalam saingan Imola 200.

Ia adalah sejarah yang berlaku 50 tahun yang lalu dan Giovanni Magni telah pun 'membetulkan' segalanya menerusi model Tributo ini. Ia cantik, penuh nostalgia dan berprestasi tinggi. Jentera retro ini antara yang terbaik pernah dihasilkan dan sebagai pencinta motosikal era baru, anda perlu bersyukur masih ada pengeluar yang bersungguh-sungguh mengekalkan kemahsyuran mesin lumba lama. RR

Laporan: Alan Cathcart
Kredit Foto: Kel Edge

Isu Pada

Februari 2019

Spesifikasi

Enjin: sistem penyejuk cecair, tiga silinder
Dimensi: 76 x 54.3mm
Isipadu: 798cc
Kuasa maksimum: 125bhp pada 11,600rpm
Tork maksimum: 84Nm pada 8,600rpm
Klac: basah, plat berganda
Sistem bahan api: suntikan bahan api elektronik Eldor
Berat: 170kg
Tinggi pelana: 820mm
Tapak roda: 1,420mm

Popular

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

  • Warta Roda

    Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda

EICMA 2024: Skuter Adventure Maksi Pertama Dari KYMCO!

Kymco memperkenalkan skuter pengembaraan maxi pertamanya di EICMA.

Warta Roda

Ops Khas Motosikal Hari-4, Lebih 11,000 Saman Sudah Dikeluarkan

Baru empat hari Ops Khas Motosikal diadakan di seluruh negara, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan 11,435 saman atas pelbagai kesalahan kepada pengguna motosikal.

Model Baru

MODENAS Eliminator dilancarkan di MotoGP Sepang 2024. Harga asas dari RM30,100

Motosikal dan Enjin Nasional (MODENAS) memilih hari cukup sempurna bersempena 'pesta' MotoGP di Litar Antarabangsa Sepang untuk melancarkan model terbaru, MODENAS Eliminator.

Warta Roda

Lebih 100 Buah Motosikal Terbakar Di Depoh Simpanan DBKL

Sebanyak 130 buah motosikal yang diletakkan di depoh penyimpanan kenderaan tersadai milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Taman Connaught telah terbakar.