Royal Enfield RE350 Brass Rajah Bobber Dari India
Keunikan Royal Enfield (RE) adalah kerana ia merupakan pengeluar motosikal yang menghasilkan semula jentera silam dalam konteks dunia moden. Ini bermakna, jentera-jentera ini sentiasa diubahsuai dan diberi sentuhan istimewa secara natural. Bagi pencinta dunia custom, mereka tidak perlu bersusah payah ke seluruh pelusuk tempat bagi mencari jentera klasik sebaliknya hanya perlu ke bilik pameran RE, pilih dan bawanya pulang. Royal Enfield baru pun akan sentiasa kekal klasik.
Trend terkini yang digemari hampir di seluruh dunia ialah dengan membuat pengubahsuaian pada jentera sejukkan udara ohv, silinder tunggal yang menjadikan lebih mantap dan lebih hebat. Terdapat sebuah RE yang direka oleh Mid Life Cycles berpengkalan di Melbourne, Australia dengan tujuan adalah untuk dipertandingkan. Ia menggunakan model RE350 Brass Rajah – satu daripada lapan peserta yang terdiri daripada pengedar sah RE. Para pereka ini mesti menyiapkan jentera masing-masing dalam jangka masa 31 hari dengan menggunakan model 350 Classic sebagai asasnya. Semua motosikal yang bertanding boleh dilihat menerusi laman Facebook Royal Enfield Australia dan New Zealand atau di Instagram #royalenfieldausnz.
Model yang direka oleh Mid Life Cycles ini menang di tempat kedua selepas dikalahkan dengan mata yang sangat rapat oleh Royal Enfield Sydney dengan nama samaran mereka, Rough Cut. Menurut CEO Mid Life Cycles, En. Michael Catchpole, pihaknya menerima permintaan yang tinggi untuk mengubahsuai siri model Rajah, ini bermakna setiap satunya akan direka mengikut citarasa dan kehendak para pelanggannya.
“Royal Enfield Sydney telah memenangi acara ini dan ia adalah cara pemasaran terbaik buat syarikat mereka. Walaupun di tempat kedua, kami tetap gembira dan berbangga kerana syarikat ini asalnya bermula dengan membaik pulih motosikal lama dan membuat motosikal custom. Oleh itu, kami telah mencapai tujuan utamanya iaitu mempamerkan apa yang mampu kami lakukan pada jentera Royal Enfield Classic. Ini telah membawa terus kepada pelanggan kami yang inginkan replika Brass Rajah,” kata Michael Catchpole, 61 tahun.
“Kami kini sedang membuat pengubahsuaian untuk dua buah RE dan sedang di dalam perbincangan terakhir bersama pelanggan yang ketiga.
Kesemuanya di dalam harga $15K-20K harga di Australia untuk sebuah Brass Rajah Bobber baru sama ada 350cc atau pun 500cc. Pelanggan pertama kami tidaklah mempunyai kehendak yang terlalu hebat kerana dia ingin menunggang di laluan luar bandar tanpa mempunyai masalah dengan mana-mana pihak. Modelnya kami gelarkan Rajah Lite.”
“Pelanggan kedua memang inginkan pengubahsuaian penuh dengan segala aksesori dipasang. Kedua-dua permintaan ini mempunyai cabarannya yang tersendiri termasuklah untuk mengubahsuai sebuah jentera sambil meletakkan had agar ianya tidak melanggar regulasi dan undang-undang. Apapun, motosikal yang direka itu perlu estetik dan boleh ditunggang.”
Itulah kebenarannya apabila saya sendiri merasainya ketika menunggang jentera yang pernah memenangi hadiah itu. Michael Catchpole memberi peluang kepada saya untuk merasai sendiri ciptaannya di Melbourne. Motosikal ini merupakan sebuah jentera Neo-Vintage yang mempunyai bentuk sangat cantik. Bagi mereka yang kurang familiar dengan jentera ikonik America, Bobber ini sebenarnya bagaikan jentera custom di zaman sekarang ini. Ia adalah campuran rekaan motosikal di penghujung tahun 40an dan awal 50an oleh askar-askar yang membawa pulang hasil upah peperangan dan bersedia untuk bermotosikal.
Untuk tujuan itu, para perekacipta akan menggunakan jentera terpakai seperti Harley-Davidson, Indian sebagai asas. Antaranya seperti model Triumph yang digunakan oleh selebriti Marlon Brando. Apabila semakin banyak motosikal yang dimiliki oleh askar veteran rosak dan musnah, harga untuk jentera simpanan milik orang awam pula melambung tinggi. Ada di antara mereka kini yang mencari motosikal askar lama yang tidak diminati kemudiannya dipotong beberapa bahagian seperti madgad depan dan belakang atau di beberapa bahagian lain yang tidak diperlukan.
Memecut dari kedudukan sifar ke kelajuan tertinggi dengan pantas merupakan mantra jentera Bobber dan pernah dahulunya digunakan dalam perlumbaan drag haram di USA. Dahulunya terdapat banyak lebuhraya terbengkalai yang boleh digunakan sebagai tempat berlumba dengan selamat. Pertaruhan juga sangat tinggi kerana ketika itu perlumbaan ini belum lagi dikomersialkan. Jadi, Bobber mewakili dunia pengubahsuian yang minima, tidak terlalu menonjol, bahagian yang tidak diperlukan dibuang. Seperti Brass Rajah!
Jentera Bobber yang ringkas tetapi sangat menarik telah mendapat permintaan yang sangat tinggi. Buktinya... lihat mesin gaya Bobber dari Harley Davidson, Forty Eight yang menerima tempahan cukup mengagumkan atau model paling pantas dijual dalam sejarah Triumph iaitu Bonneville Bobber. Dengan penciptaan RE Brass Rajah, Mid Life Cycles menunjukkan arah dan sasaran yang sepatutnya difikirkan oleh syarikat induknya, Royal Enfield.
“Kami menggunakan model baru Royal Enfield Classic 350, letakkan di perkarangan pejabat, melihatnya berulang kali dan barulah segalanya bermula. Selepas itu kami membuang bahagian-bahagian yang tidak diperlukan dan meletakkan enjin agak tinggi sedikit serta memanjangkan sedikit profail jentera ini, ” Michael menceritakan semula.
Lengan ayunnya dipanjangkan kepada 75mm dengan rekaan keluli jenis tiub yang dihasilkan oleh Andrew dari Hallam Racing's, pembantu pereka jentera superbike dari Australia iaitu Hunwick Hallam X1RR V-Twin. Kemudiannya diubahsuai tangki petrol. “Tangki asal RE memang cantik tetapi masih kurang sesuai kerana kami mahukan tangki yang lebih panjang dan rendah. Pelbagai cara kami lakukan untuk dapatkan bentuk yang sesuai hinggalah kami melihat katalog jentera Norton pada tahun 1930an,” kata Michael.
Dengan jangka masa yang cukup terhad (31 hari), pasukan Michael terpaksa menunggu sehinggalah tangki itu tiba, pasangkannya dan barulah mendapat solusi untuk proses pengubahsuaian selanjutnya. Projek RE350 bermula! Michael meminta tukang cat tempatan, Glen Steven untuk memadam logo Norton pada tangki tersebut dan mengecatnya semula dengan warna hitam/emas yang cukup-cukup sepadan.
Selepas itu barulah mereka menumpukan perhatian dalam penciptaan bahagian lain dengan lebih terperinci. “Mencipta sebuah motosikal custom memerlukan dua perkara iaitu tema yang dipersetujui semua dan banyak keputusan untuk bahagian-bahagian kecil. Dari awal lagi kami ingin menyempurnakan sebaik mungkin model ini dengan rekacorak yang sangat menarik. Logo tangkinya dibuat daripada tembaga, lampu isyarat bentuk torpedo, panel meter dan rod brek tembaga. Dengan kesempurnaan ini, kami menggelarkannya Brass Rajah!
Kini Catchpole & Co. mempunyai banyak komponen lain yang menarik seperti penyerap hentak belakang jenis shrouded yang digunakan pada model BSA. Tayar belakang jentera 350 Classic ini juga ditukar daripada 18 kepada 19 inci. Bar hendal dan pelana yang dibalut sempurna dengan kulit telah pun dimuat dengan banyak – dipasarkan oleh para pengedar mereka. Pelana asal juga tidak digunakan lagi sebaliknya rangka serba baru direka semula oleh pereka tempatan Paul Moneta yang berjaya menghasilkan sesuatu yang cukup menarik.
Di bawah pelana ini telah diletakkan lampu LED yang bagaikan terapung jika dilihat dari pandangan sisi. Satu lagi lampu LED telah dilengkapkan lebih bawah. Memang cantik sekali.
Menghidupkan Rajah ini memang mudah dan ternyata pelananya cukup selesa, ianya merupakan sebuah jentera custom yang berfungsi dengan baik. Bar hendalnya yang lebar dirasakan kurang sesuai untuk penunggang yang rendah tambahan pula tangki Rajah ini agak panjang. Apa pun, posisi menunggangnya selesa dan ya... agak sporty. Ia sedikit berbeza dengan apa yang saya bayangkan - saya ingat posisi menunggangnya memenatkan. Ia satu jangkaan yang meleset.
Ia benar-benar sebuah jentera Classic-era yang seronok dan sesuai untuk tunggangan di kawasan bandar. Rajah merupakan sebuah jentera yang ringan dan lincah. Saya memang suka menunggang jentera ini di dalam bandar kerana sistem klac dan gearnya (5 kelajuan) sangat lembut. Walaupun kapasiti jentera ini kecil, saiz lejang yang sesuai (90mm) telah mempertingkatkan kuasa torknya – kita perlu pandai bermain gear ketika berada di kawasan bandar seperti di Melbourne ini.
Sistem ekzos yang dipadankan pada jentera ini oleh Mid Life Cycle langsung tidak kuat dan membingitkan. Ini menambahkan keunikan kerana kehadirannya disukai tidak kira ke mana sahaja Bobber dibawa. Jentera ini dilengkapkan dengan brek hadapan jenis cakera dan brek belakang jenis drum yang tetap mampu memperlahankan kelajuan dengan efisien. Betul... anda boleh membrek dengan kemas dalam mana-mana kelajuan.
Faktor seterusnya yang membuatkan Rajah ini terus ingin dibawa ialah kerana enjin silinder tunggalnya yang lancar dan tidak bergegar. Jujurnya saya pernah merasakan gegaran yang agak kuat pada model 350 dan 500cc yang ditunggang dahulu. Oklah kerana ketika itu RE menggunakan enjin bersilinder Iron Sleeves dan kotak gear berasingan dengan rantai dan pacuan akhir. Firma India ini maju dengan pesatnya pada tahun 2009 dengan pelancaran motor ECU (Unit Construction Engine) aluminium sepenuhnya yang telah mengubah kualiti menunggang dan tahap kecanggihan enjin sistem sejukkan udara.
Dengan kadar nilai bahan api di India yang semakin stabil, jumlah penjualan model RE 350cc kini telah berjaya mengatasi model 500cc. Kilang mereka di Chennai telah berjaya menjual sebanyak 400,000 buah motosikal dalam setahun. Memang suatu pengalaman yang sangat hebat menunggang RE ini di jalan-jalan berselekoh tepian sungai di Yarra Bend Park dan kemudiannya memecut kembali ke Mid Cycle Life. Jujurnya Brass Rajah ini bagaikan sebuah jentera Roland Sands di Los Angeles. Tahniah buat para perekanya.
Model ini juga hanya berharga di antara $15,000 hingga $20,000 di Australia berbanding sebuah jentera yang perlu anda bayar lima kali ganda lebih mahal untuk satu produksi mesin v-twin seperti Confederate Hellcat atau Vanguard Roadster. Mid Life Cycles kini sedang mencari lebih banyak pelanggan yang inginkan sebuah jentera seperti replika Brass Rajah ini kerana ia benar-benar satu keunikan melihat kejuruteraan India yang digabungkan dengan ketekunan dari Australia.
“Kami ingin menghasilkan model-model Brass Rajah yang mempunyai keunikan dan rekaan berbeza dalam setiap satu penciptaan,” kata Catchpole. RR
Oleh: Alan Cathcart
Kredit Foto:Stephen Piper
Popular