Kawasaki Z900 ABS Teruja Dengan Prestasi, Kagum Dengan Rekabentuknya!
Masih teringat di zaman kanak-kanak dulu, kita pastinya akan leka bermain dengan permainan kesayangan sehinggakan masa berlalu tanpa disedari. Makan pun kadang kalanya ter'miss' sebab terlalu seronok dan asyik dengan benda yang kita kagumi. Perkara yang sama juga terjadi pada seorang penunggang motosikal apabila berada di atas sebuah jentera yang disukainya. Perjalanan seharian dirasakan masih tidak cukup... kawasan selekoh-selekoh diratah tanpa jemu dan itulah yang dirasakan setiap kali memanjat sebuah jentera jalanan terbaru, Kawasaki Z900 ABS yang juga digelar Z9...
Peluang menunggang dan menguji jentera ini hadir ketika menyertai konvoi CKD Ride ke utara tanahair yang dianjurkan oleh pihak Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn Bhd pada pertengahan Mei lalu. Z9 ini merupakan pengganti kepada model Z800 yang pernah mencetuskan fenomena dalam pasaran motosikal negara beberapa tahun lalu. Z8 yang diperkenalkan pada tahun 2012 terus diminati hingga kini disebabkan rekabentuknya yang garang, pecutan yang pantas dan dek kelincahannya.
Usaha bersungguh-sungguh Kawasaki untuk mengekalkan populariti mereka dalam segmen ini memang cukup teliti dengan mengambil kira hampir dari semua segi. Z900 dilahirkan atas pelbagai pembaharuan dan penambahbaikan yang dibuat berasaskan model Z800. Jujurnya, ia tepat pada masanya kerana Z8 pun sudah lima tahun 'berbakti' kepada penunggang motosikal dan pastinya sesuatu yang lebih segar diperlukan untuk memastikan jentera jalanan Kawasaki terus mendapat permintaan.
Untuk memberi lebih pilihan kepada para pelanggan, Z9 telah diperkenalkan dalam dua varian iaitu Z900 ABS dan Z900 ABS SE yang mempunyai perbezaan dari segi aksesori, warna dan sudah pasti harganya. Antara kelainan yang terdapat pada model SE ialah cermin pengadang udara, rekacorak grafik, pelana tunggal, pelindung radiator, slider gandar depan, pelindung enjin, pad tangki dan pad lutut. Enjin kompak berwarna hitam, sistem ekzos 4-1 berwarna krom dan rim birunya ternyata sungguh menyerlah sekali. Ia bagaikan menggamit sesiapa sahaja yang melihat untuk datang lebih dekat dan mencuba keupayaannya.
Lampu utama model ini direka serba baru tetapi masih mempunyai persamaan dengan model terdahulu. Apa yang menjadikan Z9 lebih terserlah ialah dengan adanya lampu kecil LED di fairing hadapan ini (ada persamaan dengan model Z1000). Berbanding model terdahulu, posisi lampu isyarat Z9 kini berada di bahagian atas fairing hadapan – ia lebih mudah dilihat dan lebih menarik. Kami juga suka pada rekaan lampu belakang Z9 ini... bentuk huruf 'Z' – cantik!
Z900 ini lebih mudah dipanjat dan lebih sesuai untuk semua jenis penunggang kerana pelananya kini hanya setinggi 795mm (Z800: 834mm). Ini pastinya antara ciri-ciri penting untuk mempromosikan jentera ini. Model ini juga ringan sekali iaitu seberat 210kg untuk model biasa dan 213kg untuk model SE. Kita akan dapat duduk kemas dalam sebuah motosikal, bukannya bertenggek di atasnya dan ini memberikan keyakinan buat sesiapa sahaja untuk memacunya.
Sesuai dengan peredaran zaman, panel meter Z9 juga dihasilkan dengan bijak. Yessss... ia telah dilengkapkan dengan penunjuk gear dan lampu penukaran gear. Terdapat tiga pilihan paparan berbeza untuk penunjuk putaran rpm yang boleh dipilih sendiri mengikut kehendak penunggang. Para penunggang juga boleh menala tahap putaran tertinggi rpm mengikut kesesuaian diri masing-masing sebelum menukar gear.
Contohnya, bagi mereka yang kurang berpengalaman bolehlah menala aras maksimum tahap putaran rpm kepada 7,000rpm atau 8,000rpm sebelum lampu berkelip yang menandakan penambahan gear perlu dilakukan. Bagi yang lebih berpengalaman, anda bolehlah menala sehingga ke garisan merah iaitu 11,000rpm untuk proses penukaran gear. Ini juga langkah bijak dari Kawasaki untuk menjadikan Z9 ini lebih mudah dikendalikan oleh semua jenis penunggang.
Sistem ekzos model ini bukan saja kemas dan moden tetapi memberikan bunyi asli yang cukup sedap sekali. Gemanya cukup kami gemari dan bunyi Z9 ini ketika memecut lebih menarik dengan adanya intake baru yang direka khas oleh Kawasaki. Posisi menunggang Z9 ini lebih selesa, ia tidak radikal seperti Z8! Kita tidak membongkok manakala bar pemegangnya yang lebar membantu kita untuk mengendalikannya dengan lebih yakin.
Aduh... mantap sekali jentera ini memecut ke hadapan. Hamburan kuasa dari enjin 948cc, DOHC, 16 injap sememangnya memberi ketagihan. Apa yang mengujakan ialah kekuatan putaran enjin sentiasa segar dan bertenaga dalam semua posisi gear dan tahap putaran rpm. Kami sememangnya amat teruja apabila dapat menurunkan kelajuan sehingga 25km/j dalam gear keempat tanpa sebarang sentapan pada bahagian enjin mahupun dari sistem transmisi... dan kuasa sekelip mata terus muncul sebaik sahaja pendikit dipulas. Hebat!
Z900 menawarkan kuasa maksimum setinggi 92.2kW pada 9,500rpm dan tork 98.6Nm pada 7,700rpm yang dapat dirasakan dengan sangat jelas sewaktu kita memecut tidak kira dari kelajuan apa sekali pun. Ketika memerah pendikit melepasi kelajuan 140km/j, kita dapat merasakan empat silinder di bawahnya sedang bekerja keras dengan begitu semangat sekali dan ini bagaikan meminta kita untuk segera menambah kelajuan.
Tindak balas pendikit yang tepat memberi senyuman kepada setiap jiwa yang memacunya, itu kami janji! Prestasinya cukup cemerlang sehingga mudah untuk kita tinggalkan kenderaan mewah yang sedang cuba mengekori dari belakang pada kelajuan sekitar 170-180km/j dan Z9 ini mampu meluncur lebih daripada 250km/j dengan stabil sekali!
Sewaktu berada di dalam kelajuan tinggi, sudah pasti kita mengharapkan kerangka yang kukuh agar membolehkan kita untuk terus berada di laluan dengan selamat. Itulah yang kita perolehi dengan Z9 ini – kerangka jenis trellis yang ringan dan bertegaran tinggi memberi nikmat dan keyakinan untuk berada di selekoh panjang dengan bergaya sekali.
Untuk memastikan penggunaan bahan api berada di tahap yang paling jimat, Z900 ini dilengkapkan dengan Economical Riding Indicator yang bertanda ECO di panel meter. Apabila berada di kelajuan dan putaran enjin yang sesuai, tanda ECO ini akan terpapar menandakan penggunaan minyak berada di tahap terbaik. Dalam posisi gear tertinggi, kami melihat tanda ECO ini muncul pada putaran 6,000rpm dengan kelajuan sekitar 145km/j.
Kelincahan jentera naked ini di kawasan bandar tidak perlulah dipertikaikan lagi. Ramping, berprestasi tinggi, mudah dikawal …... semuanya resepi terbaik untuk jadikannya pilihan di dalam bandar. Pokoknya ialah betapa mudah Z9 ini ditunggang walaupun kita sedari enjin 948cc yang dipeluk ini amat berkuasa. Segalanya dalam genggaman dan kawalan si penunggang!
Ketika menunggang dari Alor Setar – Baling – Grik – Tasik Raban, Z900 ini benar-benar memberi ketagihan. Kita tidak perlu menjadi seorang pelumba untuk menikmati setiap selekoh di jalan ini kerana Z9 sudah cukup lengkap. Pertama... penunjuk posisi gear yang jelas dilihat membantu kita memilih gear yang sesuai sebelum masuk ke dalam selekoh. Kedua... casisnya yang mantap membantu kita memiringkan tubuh badan Z9 ini dengan yakin sekali.
Seterusnya... fork hadapan jenis terbalik 41mm dan lengan ayun dengan penyerap hentak belakang jenis mendatar membolehkan kita terus selesa walaupun sewaktu berdepan dengan permukaan yang beralun. Z900 juga didatangkan dengan sistem Assist & Slipper Clutch yang membantu proses penukaran gear lebih mudah dan mengelakkan tayar belakang daripada terkunci atau tergelincir sewaktu berlakunya brek enjin apabila gear diturunkan dengan cepat.
Cukup? Belum...... untuk disepadankan dengan kemantapannya di jalanan berselekoh dan kekuatan pecutannya, Z9 dilengkapi sepasang brek hadapan jenis cakera bersaiz 300mm dan brek cakera 250mm di belakang serta kedua-duanya disempurnakan dengan sistem ABS Nissin yang berkualiti tinggi. Pakej ini membolehkan kita memperlahankan kelajuan bukan sahaja dengan cepat tetapi juga dengan selamat. Keberkesanan sistem ini lebih jelas dirasa ketika berada di pemukaan licin atau apabila menggunakan brek di dalam hujan.
Z9 dan model sebelumnya, Z8 menggunakan tayar bersaiz sama iaitu 120/70ZR 17M/C (58W) di depan dan 180/55ZR 17MC (73W) di belakang yang mencengkam permukaan jalan dengan cemerlang sekali. Dengan kelajuan yang munasabah, gear yang sesuai dan posisi badan yang betul, jentera ini pasti mampu meratah setiap selekoh dengan stabil. Ramai penunggang motosikal yang gagal masuk ke selekoh dengan baik disebabkan memilih gear yang kurang tepat dan terlebih laju.
Selepas mengharungi perjalanan sekitar 1,600 kilometer, kami cukup setuju dengan kata-kata Pengurus Besar dan Pengarah KMSB, Dato' Jeffrey bahawa Z900 ini menjanjikan kuasa pecutan optimum dan keselesaan yang tinggi. Penunggang tidak letih, tidak lenguh-lenguh badan manakala sistem bahan apinya yang efisien cukup menjimatkan. Dengan isian penuh tangki 17 liter, kami dapat bermotor lebih daripada 220 kilometer dengan pelbagai gaya dan cara tunggangan.
Apa yang diharapkan ialah akan ada model Z900 yang dilengkapi dengan sistem elektronik lebih pesat seperti Traction Control dan mod tunggangan seperti mana yang dimiliki oleh pencabarnya. Apa pun, pastinya Z900 ini memberikan rasa tunggangan yang natural dan biasa untuk semua penunggang tidak kira anda baru berjinak-jinak dengan 'motor besar' atau pun sudah 30 tahun meratah selekoh-selekoh di Malaysia.
Dengan Z900 ini... pilih ke mana sahaja nak pergi! RR
Spesifikasi
Enjin | 4 lejang, sistem penyejuk cecair, DOHC, 16 injap |
isipadu | 948cc |
Gerek x Lejang | 73.4 x 56.0mm |
Kuasa maksimum | 92.2kW (125PS) pada 9,500rpm |
Tork maksimum | 98.6Nm (10.1kgf.m) pada 7,700rpm |
P x L x T | 2,115 x 825 x 1,065mm (Z900 ABS), 1,140mm (Z900 SE ABS) |
Tinggi pelana | 795mm |
Berat kering | 190kg (Z900 ABS), 213kg (Z900 SE ABS) |
Isi tangki | 17 liter |
Pengeluar | Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn Bhd |
Popular