Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 4 Julai 2017

Benelli TRK502 Sesuai Untuk Semua Tunggangan

Empat tahun yang lalu, siri Benelli BN600 telah diperkenalkan di 'pentas' dunia dan berjaya mendapat maklum balas yang cukup positif. Model ini dikeluarkan di China oleh jenama terkenal Itali yang dimiliki oleh Qianjiang yang lebih popular di kalangan para pekerja mereka dengan panggilan QJ. Mereka yang bertanggung jawab menaikkan semula jenama motosikal tertua di Itali iaitu Benelli selepas membeli syarikat ini pada tahun 2005.

QJ sememangnya mempunyai perancang dan cita-cita tinggi untuk mengembalikan era kegemilangan Benelli selepas kurang berdaya saing berikutan kemerosotan ekonomi global. Benelli QJ (nama terbaru syarikat ini) ternyata melakukan tindakan yang cukup bijak dengan melancarkan model-model BN600 yang merupakan hasil kerjasama juruteknik dan para pereka dari Benelli dan QJ. Model-model ini dikeluarkan di China untuk mengurangkan kos. Ini juga adalah keutamaan terpenting buat para jurutera QJ untuk menghasilkan sesuatu yang belum pernah mereka lakukan.

Strategi ini telah menampakkan hasil yang sangat hebat, BN600 bukan sahaja mendapat permintaan yang tinggi di pasaran tempatan (China) tetapi juga di seluruh dunia. Ini telah membuatkan pihak pengurusan QJ untuk mula mengeluarkan pelbagai model lain di kilang mereka yang sebesar 670,000m² di Wenling, kira-kira 500km selatan Shanghai. Dengan jumlah pekerja seramai 14,000 orang yang berdedikasi, mereka berupaya menghasilkan sebanyak 1.2 juta motosikal dalam setahun.

Model BN302 kemudian dilancarkan yang juga mendapat sambutan yang hangat dan terbarunya ialah sebuah model pengembaraan TRK502 yang telah dipamerkan dengan penuh bergaya di pameran antarabangsa EICMA pada November lalu. Model baru ini menepati piawaian Euro 4 dan lengkap dengan ABS. Model baru ini ditawarkan dalam tiga warna menarik iaitu merah, hitam dan putih pada harga cukup menarik Euro5,999 (termasuk cukai: 22%) dan di antara RM28,888 hingga RM30,588 untuk pasaran Malaysia yang diedarkan oleh Mforce Bike Holdings Sdn Bhd.

Benelli akhirnya memberi peluang menunggang jentera ini bermula di ibu pejabat Benelli Pesaro di pantai Adriatic hingga ke kawasan Pergunungan Appennine yang sejauh 120 kilometer di Itali. TRK502 menggunakan enjin yang sama dengan model BN502 dengan ukiran 69mm x 66.8mm untuk kapasiti 499.77cc. Menurut Pengurus Bahagian R&D Benelli, Stefano Michelotti, enjin model ini tidak ada kaitan dengan enjin paraller-kembar prototaip model 756 Leo yang dibangunkan oleh sahabatnya di Benelli kira-kira sedekad lalu.

Varian model BN302 mula berada di dalam barisan produksi pada tahun 2015 manakala versi 750cc yang bakal mencabar Yamaha MT-07 akan diperkenalkan kelak. Menurut CEO Benelli, Ms. Yan Haimei, model tersebut akan berada di pameran motosikal EICMA pada tahun ini sebagai model baru 2018.

Benelli pada mulanya mempunyai dua pilihan iaitu untuk melengkapkan TRK502 ini dengan enjin v-kembar atau parallel-kembar. “Kami akhirnya memilih untuk menggunakan enjin parallel-kembar untuk berkongsi teknologi dengan model empat silinder sebaris BN600R yang sudah pun dibangunkan. Kami juga perlu memilih format apakah yang sesuai untuk aci engkol sama ada 180º, 270º atau 360º. Akhirnya kami memilih format 360º untuk kestabilan tinggi dan bunyi yang lebih mantap.

Model ini menggunakan kabel pendikit dan bukan Ride by Wire maka tiadalah mod tunggangan. Ringkas sahaja tetapi cukup seronok dan efisien. Sebaik sahaja enjin dihidupkan, dengan pantas ia 'hidup' lancar dan bersemangat sekali. Dalam keadaan melahu, enjin ini ditala pada tahap 1,400rpm dan bunyinya... cukup sedap sekali!

Kuasa pecutan di peringkat awal cukup hebat dan terus terang ia di luar jangkaan saya. Nisbah gear yang rapat menepati citarasa saya dan dengan mudah kelajuan mencecah 100kmj dalam gear tertinggi ketika putaran rpm hanya berada pada 5,500rpm. Kelajuan paling ideal untuk model ini ialah sekitar 120km/j pada 6,500rpm. Walaupun ia adalah sebuah jentera yang agak berat (210kg), TRK ini masih mampu memecut dengan kemas sekali.

Model baru ini dikatakan mampu bergerak sekitar 500 kilometer melalui tangkinya yang sebesar 20 liter. Dengan badan yang agak berat, kita perlu menurunkan satu atau dua gear dan pulas pendikit dengan garang jika ingin membuat pintasan. Apa pun, TRK502 ini disasarkan untuk mereka yang ingin mengembara ke suatu tempat dengan tenang dan bukan hanya mementingkan tahap kelajuan tinggi.

Dengan pelana hanya setinggi 800mm, ia boleh ditunggang hampir oleh sesiapa sahaja dan anda akan dapati betapa mudahnya meletakkan keseluruhan tapak kaki di atas jalan dengan bergaya sekali. Ini juga menjadikannya pilihan sesuai untuk penunggang wanita. TRK502 cukup selesa dipacu dalam putaran enjin sekitar 4,000 hingga 6,500rpm di mana tork tertinggi dicapai di tahap 6,000rpm dengan 46Nm/4.6kgm/34ft-lb. Sistem transmisinya cukup lancar memudahkan kita menukar gear dengan tepat seterusnya mengerahkan tenaga jentera ini lebih daripada 7,000 rpm dengan kuasa maksimum 47bhp pada 8,500rpm. Untuk lebih seronok dan lebih berkuasa, gear perlu dimainkan dengan lebih kerap.

Benelli ini juga cukup fleksible tidak kiralah sewaktu berada dalam gear mana sekali pun. Dalam gear tertinggi pun, TRK502 putaran enjin dapat diturunkan sehingga 2,000rpm dengan selesa dan tidak berlakunya sebarang sentapan cuma agak lambat untuk mencapai tahap tertinggi. Klacnya cukup lembut dan inilah satu lagi ciri-ciri menarik yang dimilikinya untuk memudahkan tunggangan di dalam bandar. Tapak tangan kiri kemas memegang tanpa rasa lenguh atau cramp.

Benelli TRK502 dilengkapi dengan fairing lebih besar, cermin pengadang udara yang tinggi (tidak boleh laras), kerangka tiub keluli gaya Trellis atau Arch Bar Truck, fork hadapan jenis terbalik 50mm yang menawarkan kestabilan yang tinggi ketika berada di jalanan berselekoh. Kemampuan TRK502 ini juga datangnya daripada lengan ayun tiub-kembar double-sided. Sistem saspensi hadapan, belakang dan angkup brek, brek-brek cakera, kerangka, rim dan lampu utama kesemuanya dibuat oleh QJ.

“Tidak seperti pengeluar Barat yang boleh terus mendapatkan komponen-komponen yang dikehendaki daripada pakar-pakar, kami terpaksa membuatnya kerana di sini tiada pakar membuat komponen. Jadi sebelum memasang fork jenis terbalik ini, kami perlu belajar bagaimana untuk membuatnya. Kini kami telah berjaya menghasilkannya untuk keluaran sendiri,” kata Yan Haimei.

Brek hadapan TRK502 bersaiz 320mm beraksi dengan cemerlang sekali tetapi brek belakang (260mm) tidak sebaik brek hadapannya. Kedua-dua brek cakera ini juga dihasilkan oleh QJ sendiri. Sistem ABS (diperlukan untuk memenuhi piawaian Euro 4) yang dipasangkan pada jentera ini adalah hasil kerjasama di antara QJ dan Bosch China, sama seperti ECU.

Satu-satunya produk bukan hasil buatan orang tempatan yang terdapat pada jentera ini ialah tayar-tayarnya. TRK502 dilengkapi dengan tayar Pirelli Angel ST yang bukan sahaja kelihatan cantik dengan rim tetapi juga mencengkam setiap permukaan jalan dengan cemerlang sekali. Tayar hadapan TRK502 ini bersaiz 120/70ZR 17 manakala belakangnya bersaiz 160/60ZR 17.

Kini Pirelli telah pun dibeli oleh syarikat dari China dan mengharapkan produk ini akan dilengkapkan pada jentera-jentera keluaran China. Tayar bersaiz 17 inci yang dipasang pada TRK502 ini ditumpukan untuk kegunaan jalanan tar sahaja tetapi Michelotti menerangkan bahawa Benelli akan memperkenalkan versi sebenar dual purpose yang dilengkapi dengan rim berjejari saiz 19 inci di bahagian hadapan.

Tapak roda yang panjang memberikan posisi tunggangan yang luas untuk penunggang dan pembonceng. Untuk penunggang setinggi saya dikira masih ok tetapi bagi mereka yang lebih tinggi akan merasai ruang menunggang agak sempit. Benelli perlu menyediakan satu pelana pilihan lebih tinggi agar lebih mesra untuk pemilik berkaki panjang. Terdapat soket USB yang dipasang pada model ini (terletak di bawah bar hendal sebelah kiri) tetapi saya agak kecewa sedikit kerana TRK502 ini tidak dilengkapkan dengan ruang simpanan kecil yang boleh menyimpan tiket lebuhraya, kad bayaran ataupun telefon pintar untuk dicaskan pada soket tersebut.

Walaupun begitu, kualiti penghasilan model ini sangat tinggi dan amat baik sekali terutamanya untuk sebuah jentera mampu milik. Kualitinya mampu menyaingi jentera-jentera yang dihasilkan di Eropah mahupun Thailand. Kotak-kotak barang yang didatangkan sekali dengan jentera ini juga kemas, cantik dan tahan lasak. Ini membuktikan TRK502 ini dihasilkan dengan teliti dan bukan sebuah jentera yang dibuat sekadar mendapat keuntungan. Amat membanggakan.

Bar hendalnya yang dicipta tepat memudahkan kita mengendalikan jentera ini dalam apa jua kelajuan dan tempat pemegangnya juga dilengkapi dengan pelindung. Tuas brek hadapan boleh dilaras dalam empat tahap dan seperti yang dikatakan tadi, klacnya yang lembut pasti disukai oleh mereka yang kurang berpengalaman untuk melompat naik ke atas TRK ini. Posisi kita agak tinggi! Dapat melihat keadaan trafik di hadapan melepasi bumbung kereta. Namun begitu, ruang pelana dan tangkinya yang luas memberi keselesaan dan keyakinan. Inilah kunci penting untuk mempromosikan model ini kepada para pencinta dunia pengembaraan motosikal lebih-lebih lagi bagi mereka yang kurang pengalaman atau dalam kategori novis.

Saya juga sukakan cermin sisinya yang direka cukup baik – mudah untuk kita melihat keadaan trafik di belakang. Dalam harga yang berpatutan, Benelli masih mampu melengkapkan model ini dengan panel meter yang kemas, mudah dilihat dan berkualiti. Meter ini dilengkapi dengan paparan analog untuk tahap rpm, meter digital yang lengkap dengan tahap kelajuan, jarak perjalanan, trip, masa, suhu enjin, tahap bahan api dan paling disukai ialah ia juga dilengkapi dengan penunjuk gear.

Pesaing paling rapatnya ialah Royal Enfield 400 tetapi Benelli ini lebih baik kerana ia sebuah jentera besar yang tidak tinggi harganya tetapi lebih luas, lebih tegap, solid, mudah dikendali dan rekabentuknya lebih moden. Faktor terpenting menjadikan TRK ini seronok ditunggang ialah kawalan yang meyakinkan.

Saya ada sedikit masalah dengan sistem penyerap hentak belakangnya. Talaannya dirasakan terlalu lembut manakala jarak perjalanannya juga terhad – menjadikan kualiti menunggang menurun dan menyebabkan saya melambung-lambung ketika berada di atas permukaan jalan yang teruk. Seorang lagi wakil media dari Itali turut mempunyai masalah ini. Sewaktu berada di kawasan berbonggol yang agak tinggi, kami dapat merasakan bahagian belakang bagaikan terhempap tanpa sebarang serapan.

Saya sudah menguji BN600GT Sport Touring berenjin empat silinder yang juga menggunakan penyerap hentak yang sama. Saya tahu penyerap hentak TRK ini boleh ditala semua dengan baik, cuma kami tidak cukup masa untuk membuat kesemuanya pada hari tersebut. BN600GT yang saya uji itu berjaya menyerap segala hentakan dengan lebih baik.

Jadi... masalah yang perlu diatasi dengan segera ialah pada bahagian saspensi belakang dan brek belakangnya yang tidak berada di tahap yang baik. Jujurnya, saya sudah merasakan masalah ini seawal 500 meter perjalanan dan apabila tiba di jalanan berpasir strada bianca, saya mematikan sistem ABS dan cuba menggunakan brek belakang untuk memperlahankan kelajuan di selekoh – tiada apa berlaku! Mujur saya tidak panik dan dengan cepat mengawal pergerakan dan keadaan dengan menggunakan brek hadapan. Seharusnya pihak QJ memeriksa setiap bahagian jentera mereka sebelum menyediakan untuk pihak media.

Secara keseluruhannya, TRK502 ini adalah sebuah jentera yang cukup lengkap untuk semua penunggang tidak kira lelaki mahu pun perempuan, tua atau muda, berpengalaman atau pun tidak. Sesiapa yang sukakan pengembaraan... inilah pilihannya. Tahniah buat QJ yang berjaya mengeluarkan sebuah jentera yang bijak, cantik dan mudah ditunggang manakala kualitinya pula sudah sama hebat dengan mesin-mesin dari Jepun. Sebanyak 3,000 unit sedang menghala ke Eropah dan sudah pasti TRK502 ini layak untuk berada di rumah-rumah si pengembara perjalanan.

Benelli telah kembali! RR

Laporan: Alan Cathcart
Kredit Foto: Benelli QJ

Isu Pada

Julai 2017

Spesifikasi

Enjin2 silinder parallet-kembar,sistem penyejuk cecair
Isipadu500cc
Gerek x Lejang69mm x 66.8mm
Kuasa maksimum48hp pada 8,500rpm
Trok maksimum45Nm pada 5,000rpm
Transmisi6 kelajuan
Berat kering210kg
Isi tangki20 liter
Kelegaan tanah220mm
Pengedar di MalaysiaMForce Bike Holdings Sdn Bhd

Popular

  • Warta Roda

    Honda RS150R Tiba Dengan Warna Baru

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Model Baru

EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

Moto Morini telah melancarkan Alltrhike 450 baru di pameran motosikal antarabangsa EICMA 2024

Warta Roda

Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

Bermodalkan RM700, seorang pesara guru mengubah suai motosikalnya sebagai pe­ngangkut sampah dan me­lakukan kerja-kerja mengutip sampah secara sukarela di Kampung Lanai, di sini.

Dari Litar

Pelumba Negara Tampilkan Aksi Memberangsangkan

Tahniah buat para pelumba muda negara telah mempamerkan aksi yang cukup hebat dalam saingan FIM MiniGP World Finals.

Model Baru

Ducati Perkenalkan Panigale V2 & Streetfighter V2 Baru di Milan

Seperti biasa, Ducati memilih pameran motosikal antarabangsa EICMA untuk melancarkan Panigale V2 dan Streetfighter V2 yang memiliki ketangkasan dan kemantapan prestasi untuk tunggangan di jalanan biasa mahupun di litar.