Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 16 September 2018

Benelli TRK502X: Lebih Lasak, Mantap & Mengagumkan

Model TRK502 telah dilancarkan kira-kira setahun lalu oleh sebuah jenama motosikal yang tertua di pasaran dunia iaitu Benelli QJ. Syarikat yang berasal dari Itali ini telah dimiliki oleh Qianjiang/QJ yang merupakan pengeluar motosikal kedua terbesar di China. Model TRK502 sememangnya diminati ramai kerana ia dilengkapkan dengan enjin tahan lasak, sistem ABS, berpiawaian Euro 4 dan kualiti pembikinan yang mantap.

TRK502 telah memasuki pasaran dunia dengan jayanya. Kira-kira 15,000 unit di seluruh dunia dan melihat kepada maklum balas yang tertera di majalah, laman sesawang dan media sosial, ia adalah antara model pengembaraan yang mengagumkan. Antara jentera yang memberi saingan ialah Honda CB500X berenjin kembar yang dikeluarkan di Thailand. Benelli TRK502 pula adalah hasil kerjasama bijak di antara dua pencinta motosikal dari Itali dan China. Model ini dihasilkan dengan kebijaksaan kumpulan R&D yang bertungkus lumus untuk menawarkan sebuah jentera yang secara teknikal dan gayanya memberikan kepuasan buat semua jenis penunggang.

Demi memberikan sesuatu yang segar untuk para pelanggannya, Benelli memperkenalkan pula TRK502X yang hadir dengan ciri-ciri lebih lasak dan mantap. Model ini lebih serius dan benarbenar merupakan sebuah jentera dual purpose yang diingini ramai orang. Ia diperkenalkan di Pameran Motosikal Antarabangsa EICMA di Milan dan penghantaran pertama ke Eropah telah pun disempurnakan dengan jayanya. Terdapat tiga warna pilihan iaitu putih, hitam, merah dan dijangka kumpulan pertama TRK502X telah pun habis ditempah.

Kami mendapat peluang menunggang dan menikmati kemantapan jentera ini di ibu pejabat Benelli di Pesaro dengan pengembaraan sejauh 120 kilometer di laluan tepian pantai Adriatic hingga ke kaki Gunung Appennine. Walaupun jaraknya tidak begitu jauh, laluan yang dipilih sememangnya lasak dan mencabar. Ia terdiri daripada laluan tanah berwarna putih yang berpasir. Ia amat sesuai dan sememangnya sangat diperlukan untuk melihat perbezaan karaktor dan kawalannya berbanding model sebelum ini.

Benelli TRK502X disempurnakan dengan enjin bersaiz 66 x 66.9, sistem penyejuk cecair, lapan injap yang menjadikan isipadunya sebesar 499.77cc. Menurut Pengurus Bahagian R&D Stefano Michelott, versi X memiliki mekanikal yang sama dengan model biasa dan antara perubahan kecil yang dilakukan ialah pada bahagian kepala sistem ekzos 2-1 yang kini lebih panjang serta penyenyap yang direka semula. Kelegaan tanahnya juga ditinggikan sedikit.

Rekaan baru sistem ekzos ini juga menyebabkan kuasa tork lebih luas dan bertenaga. Hantaran kuasa yang lebih segar ini juga datangnya dari pemetaan semula ECU Bosch yang bijak. Walaupun kuasa maksimumnya masih sama iaitu 47.6bhp pada 8,500rpm tetapi corak hantarannya memang berbeza dan lebih linear. Walaupun secara teknikal kuasa tork untuk model X Nm45 pada 5,000rpm, agak rendah berbanding yang lama iaitu 46Nm pada 6,000 rpm , tetapi dengan bantuan sistem ekzos, ia kini lebih power.

Enjin TRK ini juga sama seperti apa yang digunakan oleh BN502. “Ketika mula-mula ingin mencipta enjin untuk ‘keluarga’ silinder kembar Benelli, kami perlu membuat keputusan sama ada untuk menggunakan kembar-v atau pun kembarparallel. Selepas melakukan perbincangan dan penelitian, akhir kembar-parallel dipilih kerana ini berkongsi teknologi dengan model BN600R empat silinder sebaris yang ketika itu sedang di dalam fasa pembangunan. Layout 360° dipilih kerana ia lebih fleksibel dan memiliki bunyi yang tersendiri.

TRK menggunakan sistem kabel pendikit dan bukan Ride by Wire, ini bermakna tiadalah mod tunggangan atau apa-apa ‘bantuan’ sistem elektronik melainkan ABS yang diperlukan untuk menepati piawaian Euro 4. Bak kata orang, “Simple is Best!” dan itulah mantra yang dipakai di QJ kerana ia boleh menurunkan harga kos dalam penghasilan model ini. Jentera ini juga didatangkan dengan pengimbang syaf tanpa gegaran yang dapat dirasakan dalam semua kelajuan sama ada di pelana, bar hendal atau pada tempat pemijaknya. Benar… tiada rasa sedikit pun ketika membuka pendikitnya pada putaran 7,000rpm.

Dari kedudukan melahu, TRK502X memecut dengan pantas dan cekap sekali – bukan hanya kerana sistem nyalaan yang telah diperbaiki tetapi juga kerana penambahan gigi pada sproket iaitu pada nisbah 14/44 berbanding 14/42 pada model sebelum ini. Berat model baru ini masih sama iaitu 235kg dengan tangki sebesar 20 liter (menurut Benelli – boleh bergerak sekitar 500 kilometer) untuk kedua-dua model TRK502 dan X. Model TRK502 didatangkan bersama kotak GIVI tetapi tidak untuk model ini.

Benelli X ini dikemaskan dengan tayar hadapan lebih besar 1 9 inci (17 inci untuk model biasa) dan mengekalkan saiz yang sama untuk tayar belakang iaitu 17 inci. Sesuai dengan namanya, kedua-dua tayar Benelli hadir dengan rim jenis berjejari dan menggunakan tayar jenis tiub yang dipasang dengan tayar Metzeler Tourance yang terbukti cukup mantap. Tayar yang lebih besar di depan menyebabkan perubahan pada geometri pengemudi dan fork hadapan 50mm bersudut 26 darjah dengan jarak 125mm menjadikan TRK502X lebih stabil dan lebih mudah dikendalikan ketika memecut di lebuhraya.

Penukaran gear jentera pengembaraan ini sangat lancar seperti kualiti yang terdapat pada motosikal dari Jepun dan pemilihan nisbah gear yang dekat memang cukup sesuai dengannya. Hanya memerlukan 5,000rpm untuk kita mencapai kelajuan 100km/j dan paling ideal ialah pada putaran enjin 6,500rpm dengan kelajuan 120km/j. Kelajuan tertingginya ialah pada 160km/j dengan putaran 9,000rpm. Kuasa mula hadir pada 3,000rpm dan bermain di dalam putaran antara 4,000 hingga 6,000rpm memang amat kami sukai ketika berada di laluan berliku.

Kami juga amat menyukai betapa lancarnya klac yang dimiliki olehnya dan ini menjadikan TRK502X juga turut sesuai untuk tunggangan santai di laluan perkampungan, offroad dan bandar. Enjin silinder kembar yang dimilikinya memang cukup fleksibel dan memang seronok menunggang sebuah jentera yang memerlukan kita menukar gear setiap masa.

Untuk kestabilan tunggangan terutamanya ketika memecut laju di lebuhraya, TRK ditegapkan dengan kerangka tiub gaya trellis tetapi tidaklah sama dengan apa yang dimiliki oleh jentera-jentera Ducati. Keselesaan menunggang turut disumbangkan oleh cermin pengadang udara yang besar dan cukup tinggi seperti model biasa, ia tidak boleh dilaras. Apa pun, bagi penunggang setinggi 180cm, cermin ini memang sudah cukup ideal. Pelananya 50mm lebih tinggi daripada model jalanan biasa (TRK502:800mm) dan bagi penunggang yang tinggi lampai, anda akan dapati model pengembaraan Benelli baru ini lebih selesa untuk mana-mana destinasi yang dipilih.

Sistem saspensi hadapan dan belakang yang efisien menjadikan model X ini menyerap hentakan dengan cemerlang – lebih baik berbanding model TRK502. Kami amat yakin sewaktu mendaki di jalanan biasa kerana jentera amat stabil tetapi apa yang lebih mengagumkan ialah prestasi dan feeling yang puas apabila tayar Metzeler Tourance menjadikan laluan lasak dapat diredah dengan mudah. Tahniah Benelli, anda berjaya melakukannya, TRK baru ini memang best!

Brek hadapan TRK ini bersaiz 320mm yang dibuat sepenuhnya di QJ dan ia mempunyai kemampuan memperlahankan kelajuan dengan cemerlang. Masalah brek belakang yang dahulunya agak mengecewakan telah pun diatasi dan kali ini ia benar-benar cemerlang. Puas hati! Sistem ABS Bosch dari China juga baik dan boleh dimatikan untuk tunggangan offroad. Tuas breknya boleh dilaras kepada empat tahap tetapi sekali lagi kami memuji pada tuas klacnya yang lembut – amat membantu bagi penunggang yang baru berjinak-jinak dengan dunia pengembaraan motosikal.

Tangki TRK ini direka dengan baik agar penunggang dapat mengepit untuk mendapatkan posisi lebih meyakinkan sewaktu di atas jalan. Bagi penunggang tinggi, anda akan dapat meletakkan kedua-dua tapak kaki di atas permukaan jalan dengan selesa. Cermin sisi Benelli ini menawarkan pemandangan yang cukup jelas buat kita (penunggang) dan susun atur panel meter yang kemas serta jelas memang wajar diberi pujian. Antara info-info yang dipaparkan ialah penunjuk rpm (analog), tahap kelajuan, suhu air, tahap bahan api, masa, jarak perjalanan, trip dan kedudukan gear.

Lampu utama, lampu belakang dan lampu isyarat semuanya jenis LED – sekali tengok seperti mempunyai persamaan dengan lampu aksesori jenama Rizoma. Model ini juga dilengkapi dengan tongkat tengah (tiada tongkat ini pada model TRK502). Kualiti pembikinannya dan cat juga tinggi, setaraf dengan mana-mana model keluaran Eropah atau Thailand. Benelli ternyata membuktikan kesungguhan mereka dalam menyaingi para pengeluar lain dan paling nyata tentulah menerusi Leoncino 502 dan TRK502X. Dari segi harganya pula, model-model Benelli mampu milik dan sangat sesuai untuk para pencinta dunia pengembaraan motosikal tidak kira tua, muda, lelaki mahu pun wanita.

Menerusi model TRK502 dan TRK502X, syarikat gabungan China dan Itali ini telah membuktikan bahawa produk dari China tidak lagi boleh dipandang sebelah mata. Ia bukan sebuah motosikal yang boleh dicampak buang selepas dua tiga tahun, ia teman sepanjang masa. Menurut Benelli Malaysia, model TRK502X ini akan memasuki pasaran negara pada tahun ini. Pastinya ia adalah satu berita baik untuk semua pencinta motosikal di Malaysia.

Tahniah Benelli dan apa pula rancangan mereka selepas ini? Ok… jentera berenjin 750 kembar parallel telah pun diperkenalkan tahun lepas dan ia memiliki hantaran kuasa setinggi 81bhp dan tork 67Nm. Dijangkakan produksi untuk model ini akan bermula pada tahun ini dan ia adalah satu langkah cukup besar dari Benelli. Sama-sama kita tunggu kerana ia pasti sebuah hasil kerja yang cukup menarik. RR

Laporan: Alan Cathcar
Kredit Foto: Benelli QJ/Mattia Tonucci dan Giovanni Giardina

Isu Pada

September 2018

Popular

  • Dari Litar

    Voge Formica Rossa 150 Bakal Muncul di Perlumbaan CubPrix & ARRC Musim Depan

  • Warta Roda

    Honda RS150R Tiba Dengan Warna Baru

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Model Baru

EICMA 2024: Honda Perkenalkan CL500, Jentera Retro Moden

Model baru ini menyasarkan para peminat dua roda muda yang mementingkan gaya retro dengan spesifikasi moden.

Model Baru

Ducati Panigale V4 2025 Kini Di Malaysia - Harga Asas RM182,900

Ducati Malaysia telah melancarkan Panigale V4 generasi terbaru sempena dengan perasmian pembukaan Ducati Sungai Buloh.

Dari Litar

Qabil Irfan Raih Podium Di Sepanyol

Qabil Irfan menunjukkan prestasi cemerlang di Spanish Superbike Championship Moto4 Round 6 yang berlangsung di Litar Navara, Sepanyol.

Dari Litar

Francesco Bagnaia Tawan GP Thailand Dalam Hujan

Francesco Bagnaia (pecco) membuktikan keupayaannya apabila menjuarai GP Thailand dalam keadaan cuaca dan litar yang sangat sukar.