Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 11 Oktober 2020

Kawasaki Versys-X 250 Mesin Touring Yang Ditunggu-tunggu!

Bagi pencinta dunia pengembaraan khususnya di Malaysia, model Kawasaki Versys tidak perlulah diperkenalkan lagi. Ia merupakan antara model paling popular dan paling laris sejak diperkenalkan ke pasaran negara kira-kira 10 tahun yang lalu. Model ini disenangi ramai kerana cukup tahan lasak, mudah diselenggara, selesa dan mampu milik. Saban hari kita dengari dan lihat menerusi media sosial para penunggang Versys mengembara di dalam dan luar negara.

Untuk memberi lebih banyak pilihan khususnya buat pencinta Kawasaki yang masih memegang lesen B2, Versys X 250 telah dilancarkan beberapa bulan lepas dan sambutannya sememang amat luar biasa. Walaupun ia berkuasa 250cc, Versys X bukan jentera bersaiz kecil! Ia tampak bergaya, gagah dan lasak.

Rekabentuk luarannya mengingatkan kita pada model abangnya, KLE 500. Bahagian hadapan Versys-X 250 ini dikemaskan dengan lampu hadapan model ini yang ringkas dan cermin pengadang udaranya yang cukup besar. Fairing sisi yang melindungi kerangka keluli bertegaran tinggi bukan sahaja cantik tetapi membantu menjadikannya tegap. Sisi kanan turut tampak gagah dengan sistem ekzosnya yang besar dan berbentuk moden.

Pelananya setinggi 815mm, tidaklah terlalu tinggi meski pun buat penunggang yang rendah. Kita dapat meletakkan kedua-dua tapak kaki ke atas tanah dengan sempurna. Posisi menunggang? Ahh... selesa sekali. Bar hendal yang lebar sudah tentu memudahkan kita mengawal segala pergerakan jentera ini dan jujurnya, pelana pembonceng yang luas adalah satu kemestian untuk sesebuah jentera pengembaraan. Satu... ia memberikan keselesaan buat pembonceng dan dua... kita boleh letak lebih banyak barang jika menunggang solo.

Kedudukan tempat pemijaknya dibuat dengan baik menjadikan kita berada dalam posisi menunggang yang selesa. Walaupun bagi seorang yang berketinggian lebih daripada 5'6”, anda akan dapati bahagian lutut tidak terganggu sama sekali. Panel meter model ini terdiri daripada satu meter analog bulat (penunjuk rpm) manakala paparan digital menunjukkan kedudukan gear, jam, jarak keseluruhan perjalanan, trip A&B, suhu dan semestinya tahap kelajuan.

Sebaik sahaja enjinnya dihidupkan, bunyinya cukup segar tetapi tiada persamaan dengan model Ninja 250. Agak berbeza sedikit. Dengan rekabentuk bar hendal yang lebar, saspensi hadapannya yang lebih panjang dan pusat gravitinya yang tepat menjadikan pengendalian lebih ringan. Seronok! Bagi memudahkan pemilik jentera ini menunggang ke mana sahaja, Kawasaki telah 'bermurah hati’ untuk melengkapkan jentera ini dengan klac Assist & Slipper.

Walaupun di peringkat awal terasa sedikit ragu-ragu dengan prestasinya tetapi ianya terus hilang sebaik sahaja ia digerakkan. Kita dapat merasakan sifat-sifat sebuah jentera pengembaraan tulen turut dimiliki oleh Versys X 250 ini. Ini membuktikan Kawasaki bukan hanya menghasilkan sebuah motosikal murahan tetapi benar-benar ingin memberikan produk terbaik untuk pengembara motosikal kelas baru. Sistem suntikan bahan api dan sistem pencucuh jenis digital menawarkan tindak balas dan hantaran kuasa yang lancar sekali.

Di jalan biasa kita akan benar-benar menikmati keselesaan yang dimiliki oleh Versys ini. Enjin 249cc, DOHC, empat lejang, silinder kembar mempunyai kuasa maksimum sekitar 34PS pada 11,500rpm dan tork 21.7Nm pada 10,000rpm – cukup sesuai untuk menarik jentera ini yang seberat 173kg (berat kering). Usahlah kita bayangkan kekuatan enjinnya bagaikan jentera 650cc yang berlari dengan kencang...Versys X 250 berada di dalam kelasnya tersendiri. Ia adalah sebuah mesin santai dan cukup seronok untuk tunggangan harian mahu pun di hujung-hujung minggu.

Walaupun begitu, kami cuba juga nak rasakan kelajuan maksimum yang mampu dicapai olehnya – 160km/j tetapi... kelajuan paling ideal yang kami rasa ialah sekitar 120-130km/j. Tidak mengecewakan! Cermin pengadang udaranya banyak membantu mengelakkan penunggang daripada menerima tamparan angin kuat sewaktu memecut. Itu bukanlah perkara pokok, paling penting ialah kestabilan jentera ini dalam kelajuan tersebut.

Lepas selesa di jalan biasa, kami mencuba pula kelasakan dan kelincahan Versys X 250 ini di laluan yang lebih sukar. Ketika menyertai konvoi 'Media Testride' tempohari, pihak KMSB telah memilih jalan offroad yang sejauh kira-kira lapan kilometer. Memang satu rancangan yang baik agar dapatlah kita melihat kelasakan yang dimiliki oleh jentera Versatile System atau Versys ini.

Tubuh badannya yang ramping dan ringan memudahkan kita mengepit untuk mengemaskan tunggangan. Kawasaki ini juga mempunyai kuasa tork yang mencukupi untuk kita memanjat kawasan berbukit sederhana tinggi dengan pantas. Tayar-tayarnya yang bersaiz 100/90-19MC 57S dan 130/80-17MC 65S yang cukup sesuai untuk motosikal ini dalam semua jenis perjalanan manakala kelegaan tanahnya yang setinggi 180mm, penunggang tidak perlu risau bahagian bawah jentera ini akan mudah tersangkut dengan akar kayu, batu dan sebagainya. Selain ketegapan kerangkanya, sistem saspensi hadapan jenis teleskopik dan saspensi belakang jenis Bottom-Link Uni-Trak dengan penyerap hentak bergas yang dilengkapkan pada model ini benar-benar berfungsi dengan baik sekali.

Biarpun jentera yang diuji ini menggunakan tayar jalanan biasa, ia tetap stabil... tetap lincah dan tetap mudah dikawal. Keyakinan menunggang jentera ini juga disumbangkan oleh brek-breknya yang 'bekerja' dengan cemerlang sekali. Model touring baru ini didatangkan dengan brek hadapan jenis cakera berkelopak 290mm manakala di belakang juga menggunakan brek cakera berkelopak dengan saiz 220mm.

Perlu sentiasa diingati, Versys X ini bukan sebuah motocross tetapi apabila berjaya masuk/keluar hutan dan jalanan berlumpur dengan baik, ia wajar diberi tepukan dan pujian. Dengan adanya Assist & Slipper Clutch, bahagian tayar belakang tidak akan terkunci apabila kita menurunkan gear dengan cepat dan lebih 'syok' apabila tuas klacnya juga lebih lembut.

Sememangnya Versys ini adalah pilihan terbaik bagi mereka yang ingin memulakan langkah dalam dunia pengembaraan motosikal. Jujur kami katakan!

Lebuhraya sudah.... hutan sudah... kini Versys X 250 dibawa pula ke tengah-tengah bandar. Tujuannya adalah untuk melihat kemampuannya mencelah dan sistem penyejuknya. Penutup kipas radiator model ini telah direka dengan baik untuk pengaliran udara panas ke bawah agar jauh daripada penunggang. Fairing hadapan yang mempunyai bukaan besar membantu pengaliran udara dengan lebih lancar untuk menghilangkan haba enjin. Memang penunggang tidak akan terasa sebarang haba panas yang mengganggu tunggangan. Ketinggian posisi menunggangnya membolehkan kita melihat keadaan trafik di hadapan dengan lebih jelas.

Untuk mendapatkan kadar penjimatan bahan api terbaik, model ini turut dilengkapkan dengan Economical Riding Indicator yang akan memberi panduan tahap penggunaan bahan api yang paling jimat. Terdapat satu tanda yang akan terpapar apabila kelajuan yang dicapai sedang berada di tahap paling jimat. Dengan isian penuh tangki 17 liter, kita dapat mengembara lebih daripada 250 kilometer dengan sekali isi. Memang best! Penggunaan petrol juga bergantung kepada saiz penunggang, gaya tunggangan dan keadaan muka bumi.

Perancangan rapi pihak Kawasaki untuk melancarkan dan memperkenalkan model dual-purpose ini memang tepat sekali. Versys X 250 ini memberikan senyuman buat para penunggang motosikal yang inginkan keselesaan, mudah dan paling penting tentulah pada enjinnya yang bersesaran 250..... tak perlu tukar lesen, pemegang lesen B2 pun boleh memilikinya. Harganya juga cukup berpatutan iaitu RM23,789.00 (termasuk GST. Dengan penjimatan dan kualiti enjin buatan Kawasaki, memang berbaloi miliki jentera ini. RR

Isu Pada

Jun 2017

Spesifikasi

Enjinempat lejang, sistem penyejuk cecair, DOHC, silinder kembar
Isi padu249cc
Gerek x Lejang62.0 x 41.2mm
Kuasa maksimum34PS pada 11,500rpm
Trok maksimum21.7Nm pada 10,000rpm
Transmisi6 kelajuan
P x L x T2,170 x 860 x 1,390mm
Tinggi pelana815mm
Berat kering173kg
Isi tangki17 liter

Popular

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

  • Warta Roda

    Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Model Baru

Ducati Perkenalkan Panigale V2 & Streetfighter V2 Baru di Milan

Seperti biasa, Ducati memilih pameran motosikal antarabangsa EICMA untuk melancarkan Panigale V2 dan Streetfighter V2 yang memiliki ketangkasan dan kemantapan prestasi untuk tunggangan di jalanan biasa mahupun di litar.

Model Baru

EICMA 2024: Aprilia Tuono 457 - Jentera Jalanan Ada Aura

Aprilia kini memperkenalkan pula model jalanan paling baru iaitu Tuono 457.

Model Baru

Triumph Trident 660 Baru Diperkenalkan. Harga asas RM46,900

Didi Group selaku pengimport dan pengedar rasmi Triumph Motorcycles di Malaysia telah melancarkan model terbaru Trident 660 yang akan tersedia dalam pasaran negara tidak lama lagi.

Warta Roda

KEDAH OFF ROAD TRAIL & CAMPING 2024

Penganjuran KEDAH OFF ROAD TRAIL & CAMPING 2024 yang dianjurkan semperna Hari Malaysia pada (15/9 - 16/9) lalu telah terlaksana dengan jayanya.