Motoinno TS3 Berfungsi Dengan Lebih Baik Sekali!
Format rekabentuk Motoinno TS3 yang radikal mengguna lengan ayun parallelogram disempurnakan dengan mekanisma pengemudi berbentuk segitiga. Ia mengekalkan parameter rake & trail secara malar sepanjang pergerakan saspensi depan, di samping mengekalkan kedudukan jentera dan penunggang dengan lebih sempurna. Secara ringkasnya…ia adalah satu inovasi terbaru motosikal terutamanya penumpuan dalam pemantapan kadar penyerapan hentakan di depan dan belakang yang lebih selamat.
Rekaan, idea dan kejuruteraan yang telah diletakkan pada jentera ini mempunyai beberapa tujuan utama seperti untuk mengelakkan penunggang terjunam ke hadapan sewaktu membrek dengan keras dan memberi kestabilan yang sangat tinggi sewaktu berada di jalanan berselekoh. Enjin Ducati desmodue telah membuktikan kejayaan rekaan konsep prototaip TS3 ini dan saya dapat rasakannya ketika menunggang jentera ini di dua sesi berbeza dengan jarak sekitar sembilan bulan – ketika ia masih dalam proses pembangunan.
Motoinno TS3 dibangunkan selama sembilan tahun dengan penggunaan rekaan CAD dan simulasi komponen FEA. Van Steenwyk menggunakan bakatnya dalam dunia perfileman untuk belajar sendiri cara-cara menggunakan mesin CNC. Pada tahun 2011, jentera ini mula diuji oleh mereka yang benar-benar pakar dalam dunia motosikal dan perlumbaan termasuk mendiang Warren Willing. Beliau juga antara mereka yang ketika itu berusaha gigih untuk memberikan pengendalian hebat buat jentera Ducati Valentino Rossi.
Jentera ini dilengkapkan dengan sepasang penyerap hentak AFCO T2 yang boleh dilaraskan sepenuhnya. Penyerap di bahagian belakang digerakkan oleh lengan ayun billet-aluminium yang berada di kotak engkol enjinnya manakala penyerap hentak bahagian hadapan juga disepadukan dengan bahagian enjin dan ini bermakna, enjin jentera ini juga boleh dikira merupakan sebahagian daripada casisnya. Pengemudi motosikal ini dicipta berasingan dengan sistem saspensi serta tidak juga terikat dengan tekanan sewaktu membrek dan ini membolehkan casisnya direka lebih ringan dan lebih kecil sepertimana yang digunakan oleh motosikal biasa.
Ini juga menyumbang kepada pengurangan berat dan model prototaip ini seberat 161kg dan jika dibandingkan dengan model asal Ducati 900SS yang seberat 198kg, TS3 memang pencabar terbaru dunia motosikal. Model ini juga dilengkapkan dengan rim karbon BST buatan Afrika Selatan yang membantu pecutan menjadi lebih pantas di samping kuasa membrek menjadi lebih cemerlang. Pengendalian yang mudah turut disumbangkan oleh geometri kemudinya yang radikal iaitu sudut stereng 19º dan jarak 'trail' 98mm manakala sudut kepalanya juga boleh ditala di antara 54º dan 24º. Menurut Ray Van Steenwyk (perekanya), selepas sesi ujian dan eksperimen yang dijalankan, sudut stereng telah ditingkatkan ke tahap maksimum iaitu 24º untuk menjadikan pengendalian lebih mudah dan pantas.
Sebaik sahaja saya melabuhkan diri ke atas jentera ini, saya agak terkejut apabila mendapati model ini cukup ramping tetapi sangat mudah untuk dikendalikan tanpa rasa risau walaupun sedikit. Sudut putaran bar hendal dirasakan lebih luas berbanding motosikal biasa dan ini memudahkan kita membuat pusingan dan belokan di kawasan yang terhad. Dari segi ini, ia adalah sebuah jentera sesuai untuk tunggangan di dalam bandar atau di lorong-lorong kecil.
Dapat dibandingkannya dengan jentera Bimota Tesi 1 yang saya gunakan dalam perlumbaan (sudut kemudinya sangat terhad). Dengan jentera ini, saya langsung tidak berasa risau dan takut untuk bergerak termasuklah ketika berada di selekoh dan benar-benar dapat menikmati cengkaman Pirelli Diablo Rosso yang cukup cemerlang.
Motoinno ini menawarkan keyakinan tinggi dan tindak balas yang cukup tenang, penunggang mudah mengagak segala pergerakannya. Sistem saspensi jentera ini yang lembut menyerap hentakan dari permukaan yang tidak rata dengan baik sekali. Ini membenarkan saya meningkatkan kelajuan apabila benar-benar kenal dengan jenteranya. Saya dapat menggunakan brek dengan lebih kerap dan lebih selamat dengan miringan yang lebih dalam. Ini memang tidak dapat dilakukannya dengan sistem fork teleskopik biasa cuma ianya agak lembut. Ada juga beberapa kali saya melebar ke atas apex ketika menuruni kawasan berselekoh dengan agak laju.
Saat paling hebat saya dapati ketika membuat brek dengan keras daripada kelajuan tertinggi. Langsung tiada bergoyang...ia cukup stabil sekali! Berbanding jentera lain, saya dapati tindak balas pengemudi model ini adalah yang terpantas. Ketika berlumba bersama model Bimota Tesi, pengendalian mesin itu memang hebat dan penukaran kedudukan arah model ini juga agak mudah cuma dari segi tindak balasnya, ia agak berbeza dengan Motoinno.
Saya menunggang jentera ini agak lama demi memberikan pandangan dan maklum balas untuk Oddy dan Van Steenwyk. Paling utama ialah konsep yang dicetuskan pada Motoinno sememangnya cukup bijak cuma perlu terus dibangunkan tetapi rupabentuknya yang radikal menarik dan boleh dipuji.
Geometri bahagian hadapan yang berterusan dan sempurna menawarkan kestabilan yang optimum termasuk ketika membrek dengan keras di dalam selekoh. Ini memberikan kita keyakinan dan antara sebab utama mengapa saya berlumba dengan Tesi ialah kerana tindak balas tayar hadapannya yang sangat cemerlang. Terus terang saya katakan, Motoinno ini mempunyai rasa dan sifat hebat itu.
Van Steenwyk berumur 55 tahun, merupakan orang lama dalam dunia pengiklanan, filem, produsi TV, animasi 3D, pengarah kesenian dan rekaan media. Dia juga mempunyai kepakaran dalam aplikasi CAD melalui pembelajaran sendiri dan mempunyai minat mendalam dalam dunia motosikal khususnya dalam bahagian pengemudian dan sistem saspensi. Rakan niaganya ialah Colin Oddy, 65 tahun yang juga merupakan petugas senior dalam dunia penyiaran. Gabungan dua orang yang kreatif dan bijak ini telah menghasilkan sebuah motosikal konsep yang sangat berbeza dan radikal. Itulah Motoinno.
“Saya mula menunggang di usia 16 tahun dan amat menyukainya. Selepas selesai penggambaran sebuah filem yang cukup sukar, saya mengalami masalah sindrom keletihan kronik (chronic fatigue) yang menyebabkan saya banyak berehat...lapan bulan. Ketika itu, tiada apa yang dapat dilakukan selain berfikir dan salah satu daripada kesukaan saya ialah untuk mengubahsuai motosikal lama. Ketika inilah saya dapati bahagian hadapan motosikal ada pelbagai jenis dan geometri. Saya mulakan kajian untuk mencipta satu lagi cara untuk menggantikan fork teleskopik itu,” kata Van Steenwyk.
Oleh kerana terlalu sibuk dengan urusan kerjanya, Van mengambil masa kira-kira 10 tahun untuk menyiapkan rekaan itu. Colin 'memaksa' saya menggunakan CAD untuk membina motosikal itu. Saya yang ketika itu berada di Kanada untuk filem Incredible Hulk membuat keputusan untuk pulang ke Australia semata-mata untuk menghasilkan motosikal ini.”
Jika diuji di antara sistem saspensi Motoinno ini dengan fork biasa, kita dapat merasakan ciptaan baru ini lebih pantas, lincah dan membolehkan kita memusingkan sebuah motosikal di ruang yang sangat sempit. Saya fikirkan, sistem yang diperkenalkan oleh Ray Van Steenwyk ini layak untuk diuji di platform yang lebih sempurna, lebih laju dan kuat agar dia dan Colin Oddy mampu mendapat sokongan kewangan daripada pihak ketiga yang boleh 'memujuk' pihak Kerajaan Queensland untuk menggunakan wang cukai rakyat bagi menghasilkan jentera Testastretta TS3 Shockwave.
“Kami kini dalam proses menghasilkan sebuah jentera revolusi demi keselamatan dan prestasi iaitu Motoinno TS3 Shockwave terbaru yang akan menawarkan kuasa lebih hebat dan lancar berbanding model prototaip 900SS. Model ini menggunakan enjin Ducati 1198cc Testastretta berkuasa 150bhp yang mempunyai kuasa tork hebat, bertepatan dengan apa yang kami inginkan iaitu sebuah motosikal yang seimbang. Ia seronok dan selamat ditunggang,” kata Colin.
Australia adalah sebuah negara 'can do only', sebuah negara di mana masalah adalah satu peluang, cawan separuh penuh, bukannya separuh kosong....orangnya sentiasa positif. Melihat kepada kebaikan dan kecemerlangan atau pemikiran mereka, tidak hairanlah mengapa Motoinno berjaya diciptakan. Tahniah dan semoga berjaya! RR
Laporan: Alan Cathcart
Kredit Foto: Stephen Piper
Spesifikasi
Enjin | SOHC, desmodromic,empat lejang, v-kembar |
Isipadu | 904cc |
Kuasa maksimum | 80bhp pada 7,500rpm |
Nisbah mampatan | 9.2:1 |
Kotak gear | 6 kelajuan |
Dimensi | 92 x 68mm |
Pembuat | Motorcycle Innovation Pty Ltd, Brisbane Queensland, Australia |
Popular