Royal Enfield Classic 500 Jentera Penuh Gaya Di Setiap Masa
Tidak dinafikan, setiap detik bersama Royal Enfield Classic membuatkan kita bagaikan kembali ke zaman silam. Rekabentuk, posisi menunggang dan karaktor enjinnya adalah ciri-ciri utama yang membolehkan jentera ini disukai sejak dari dulu hingga ke hari ini. Dengan pengalaman dalam industri ini lebih daripada 100 tahun, Royal Enfield cukup arif dalam memenuhi kehendak para peminat motosikal di seluruh dunia dengan berlandaskan arah tuju dan falsafah syarikat itu sendiri iaitu sebuah jentera dua roda yang mempunyai ketahanan enjin, selesa dan penuh bergaya. Ternyata mereka berjaya dan dibuktikan dengan pengiktirafan sebagai pengeluar motosikal paling lama di dunia terutamanya menerusi model Bullet.
Menunggang uji sebuah model Classic 500 yang sememangnya satu pengalaman cukup unik dan cukup menyeronokkan. Untuk model Classic, terdapat dua varian yang boleh dipilih iaitu yang bersesaran 350cc dan 500cc. Kedua-dua model ini dilancarkan ke pasaran dunia kira-kira 10 tahun yang lalu dan walaupun nampak seiras, kedua-duanya dibezakan dengan spesifikasi enjin, berat dan sudah pasti prestasi keseluruhannya.
Dua tahun yang lalu, kedua-dua model ini diperkemaskan pula dengan sistem ABS (depan dan belakang) dan sistem kawalan emisi yang lebih baik untuk menepati piawaian Euro4. Untuk pasaran Malaysia, hanya model Himalayan 400 yang didatangkan dengan sistem ABS dan berharap teknologi ini akan diserapkan pada model-model lain secara berperingkat-peringkat.
Classic 500 memiliki rekabentuk yang cukup menawan lebih-lebih lagi apabila melihatnya dari dekat. Walaupun rekabentuk ini agak statik, tidak banyak bezanya dari model-model terdahulu tetapi bila ditatap di depan mata, ia tetap merupakan satu hasil tangan yang mengagumkan. Tangki 13.5 liter kemas dengan tulisan besar ‘Royal Enfield’ dan bahagian depan disepadankan dengan panel meter analog dan lampu utama jenis halogen berbentuk bulat.
Ia sesuai untuk semua penunggang! Mengapa kami menekankan hal ini? Jawapannya mudah… pelana hanya setinggi 800mm, ketinggian tempat pemijak yang tepat dan jarak bar hendal yang sempurna memberikan posisi menunggang cukup natural. Tiada rasa kekok atau janggal apabila melabuhkan punggung di atasnya. Dengan ini, sesiapa pun akan mendapati pengendalian R.E ini cukup mudah.
Classic 500 disempurnakan dengan enjin 499cc, sistem penyejuk udara yang menawarkan kuasa maksima 27.2bhp pada 5,250rpm dan tork 41.3Nm pada 4,000rpm – sudah mencukupi untuk mesin santai seperti ini. “Classic 500 direka bukanlah untuk mereka yang ingin mencari kelajuan dan pecutan hebat tetapi ia adalah teman buat para pencinta dunia motosikal yang inginkan sebuah jentera santai dan bergaya. Dengan rekabentuk menawan dan bunyi yang mantap, ke mana sahaja R.E Classic 500 dibawa, ia pasti mendapat perhatian ramai dan pada masa yang sama, pemiliknya akan sentiasa menghargai jentera unik ini,” kata Pengurus Besar R.E Motorcycles, Dato M.Syahrul.
Langit membiru bagaikan ‘meraikan’ jentera ini ketika kami keluarkannya dari ibu pejabat R.E Motorcycles di Shah Alam. Sistem ekzosnya telah diganti dengan sistem ekzos (after market) yang bukan sahaja bentuknya garang tetapi bunyinya, aduhai… cukup mantap sekali. Sistem ekzos ini boleh didapatkan di R.E Motorcycles ya! Model yang kami tunggangi ini juga dipasangkan dengan bar pelindung enjin berwarna krom yang menaikkan lagi keanggunan jentera ini. Adalah satu kemestian buat jentera klasik seperti ini untuk diperkemaskan dengan aksesori yang menarik bagi menampakkan keghairahan dan kecintaan yang mendalam.
Sistem transmisi lima kelajuan R.E ini cukup lembut sehinggakan kemasukan gear pertama dapat dilakukan dengan cukup senyap. Kebanyakan jentera berkuasa 250cc ke atas, ada kalanya mengeluarkan bunyi ‘klak’ agak kuat ketika mula-mula kita masukkan gear pertama tetapi ia tidak berlaku pada Classic 500 ini. Gear-gear berikutnya juga cukup lancar tanpa sebarang sentapan pada sistem transmisi dalam semua kelajuan.
Walaupun ia bukan mesin un tuk memecut laju, kami tetap ingin menguji keupayaan enjinnya… hasilnya memang menarik. R.E Classic 500 ini mampu memecut dari kelajuan sifar hingga 100km/j kurang daripada 10 saat. Very impressive bak kata ‘omputeh’. Kuasa hantaran dirasakan agak kuat ketika kita menggunakan gear-gear awal (3-4) dan begitu juga brek enjinnya. Ini amat membantu untuk kita mengenal pasti posisi gear yang sedang digunakan terutamanya sebelum memasuki selekoh.
Dengan tahap kekuatan brek enjin ini, sememangnya penunjuk posisi gear tidak diperlukan sama sekali. Sebaik sahaja sudah serasi dan mengenalinya, pemilik R.E pasti dapat mengagak posisi gear yang sedang digunakan. Ini kami janji! Dalam gear kelima, R.E ini boleh kita ‘larikan’ selaju 120km/j tetapi gegaran pada bar hendal sudah terasa agak kuat. Namun begitu, ia tidaklah sehingga mengganggu tunggangan cuma situasi ini memberi kita tahu sekali lagi bahawa sememangnya R.E Classic 500 ini dicipta untuk tunggangan santai. Kelajuan paling ideal ialah sekitar 90-100km/j.
R.E Classic 500 dibawa ke Banting dan sewaktu dalam perjalanan, kami terpaksa berdepan dengan kesesakan lalu lintas yang agak luar biasa. Kelangsingan R.E ini membolehkan kami mencelah dan di sinilah Classic 500 mengagumkan kami. Pengendaliannya cukup mudah walaupun ia seberat 194kg dan dengan tuas klac yang lembut, proses menambah/menurun gear dapat dilakukan dengan tepat dan lancar. Kami juga sukakan cermin sisinya yang besar – mudah untuk kita melihat keadaan trafik di belakang sebelum membuat pintasan.
Berbicara mengenai keselesaan, pergerakan jentera ini dikawal oleh sistem saspensi hadapan jenis teleskopik 35mm dan penyerap hentak bergas boleh laras di belakang yang menyerap segala hentakan dengan baik sekali. Kami dapat menikmati perjalanan di laluan yang tidaklah begitu sempurna dengan selesa dan suatu yang cukup mengagumkan apabila Classic 500 ini juga memiliki keseimbangan yang amat cemerlang sewaktu dibawa di laluan berselekoh.
Setiap kali menguji sesebuah motosikal, selalunya kami akan ke lokasi atau jalan yang sama (ada laluan lurus dan berselekoh) kerana sudah memahami dan yakin dengan tahap keselamatannya. Selekoh-selekoh di laluan tersebut sudah dihafal dan ini memudahkan kami membuat perbandingan dan penilaian tahap kestabilan sesebuah jentera terutamanya sewaktu membuat miringan. Untuk R.E Classic 500, prestasinya benar-benar di luar jangkaan – cukup ‘sedap’ rupanya jentera ini ditunggang di laluan berliku. Aduhai… bila berhenti, kami tersenyum dan teringat pada ramai kenalan yang pernah menggunakan jentera ini untuk mengembara di seluruh dunia termasuk ke Himalaya.
Kecekapan tayar-tayar bersaiz 90/90-19 52P (depan) dan 120/8018 62P di belakang turut membantu menjadikan tunggangan di laluan berselekoh lebih meyakinkan. Tidak rasa membuang dan setiap sudut dapat diratah dengan sempurna. Sistem brek hadapannya (cakera 280mm) dan belakang jenis gelendong juga tidak mengecewakan tetapi berharap prestasi brek hadapan dapat dipertingkatkan di masa hadapan. Dirasakan agak lambat untuk kita memperlahankan jentera ini dari kelajuan tinggi.
Apabila tiba di bandar, R.E ini pastinya menarik perhatian ramai yang hampir semuanya meminati rekabentuk jentera klasik moden ini. Bagi mereka yang sudah berumur, ia mengembalikan nostalgia silam dan bagi ‘orang muda’, ia adalah pilihan utama buat mereka yang sukakan keunikan dan tunggangan penuh gaya. R.E Classic ini sesuai dikenakan dengan jaket kulit, topi keledar retro, goggle ‘pilot’ kapal terbang lama atau set lengkap tuxedo seperti yang sering kita lihat di acara The Distinguished Gentleman’s Ride.
Dengan isi tangki sebesar 13.5 liter, R.E Classic 500 boleh membawa kita menikmati suatu perjalanan lebih dari 300 kilometer. Memang betul-betul jimat! Panel meter R.E ini amat ringkas. Hanya dilengkapkan dengan meter analog untuk kelajuan, tanda amaran bahan api, lampu sistem suntikan bahan api dan penunjuk jarak perjalanan. Lampu amaran akan menyala apabila bahan api mula berkurangan. Jika ia menyala, ini bermakna kita masih mempunyai baki petrol untuk 50 kilometer perjalanan lagi tetapi apabila ia mula berkelipkelip, kita perlu cepat-cepat mencari stesen minyak kerana isi tangki hanya cukup untuk jarak sekitar 10 kilometer sahaja.
Sememangnya menunggang jentera Royal Enfield tidak pernah mengecewakan kerana ia direka dengan cukup bijak seperti mana Classic 500 ini. Dengan rekabentuk retro, enjinnya memiliki kuasa hantaran sederhana yang sesuai untuk tunggangan santai manakala posisi menunggang natural, ketahanan enjin, kecemerlangan sistem saspensi dan penjimatan bahan api pula membuatkan ia juga sesuai untuk mereka yang ingin mengembara. Classic 500 benar-benar sebuah jentera serba boleh.
Model penuh bergaya ini ditawarkan pada harga RM39,888 untuk model standard dan RM42,688 untuk model istimewa dengan warna Stealth Black Chrome Edition. Berminat? Sila berkunjung ke ibu pejabat R.E Motorcycles yang terletak di No. 33, Jalan Perindustiran Tiong Nam, Seksyen 15, 40200 Shah Alam. RR
Spesifikasi
Enjin | : satu silinder, sistem penyejuk udara |
Ispadu | : 499cc |
Kuasa maksimum | : 27.2bhp pada 5,250rpm |
Tork maksimum | : 41.3Nm pada 4,000rpm |
Penghidup | : elektrik & tendang |
P x L x T | : 2,140 x 790 x 1,090mm |
Tapak roda | : 1,360mm |
Kelegaan tanah | : 135mm |
Tinggi pelana | : 800mm |
Popular