BMW S 1000 XR: Mesin Gabungan Dua Dunia
Secara amnya dunia pengembaraan motosikal ini cukup luas dan terbahagi kepada beberapa kelompok yang cukup berbeza walaupun di kalangan pemilik model yang sama. Jika kita membaca al-kisah seseorang pengembara atau berbual terus dengan mereka, kita sudah boleh bahagikan 'kategori' mana dia berada. Ada yang mengembara dengan tujuan mencapai impian dan sasaran untuk menjejaki suatu destinasi dalam jangka masa tertentu, ada juga yang ingin melihat dunia tanpa metnghadkan bilangan hari untuk pulang ke tanahair, ada juga yang cuba membuat rekod pergi-balik dengan pantas... macam-macam tujuan!
Bagi tujuan-tujuan itu, pemilihan jentera adalah yang utama dan antara perkara pokok yang dilihat oleh setiap pengembara ialah keselesaan, tahap pratikaliti, penjimatan bahan api, daya ketahanan dan kemudahan untuk mendapatkan alat ganti. Ini amat penting agar pemilihan jentera yang tepat akan memastikan perjalanan lebih senang dan menyeronokkan. BMW merupakan pengeluar motosikal yang benar-benar arif dalam menawarkan jentera-jentera pengembaraan dan lasak buat para pencinta motosikal di seluruh dunia. Tidak kiralah di utara atau di timur laut dunia, jentera BMW seringkali dijadikan pilihan untuk menyempurnakan suatu perjalanan khususnya untuk jarak jauh.
Ketika mula-mula diperkenalkan beberapa tahun lalu, BMW S 1000 XR dikelaskan dalam segmen Sport Adventure yang menawarkan sebuah jentera pengembaraan memiliki ciri-ciri dan sifat-sifat garang jentera sport seperti model S 1000 RR atau S 1000 R. Kemunculannya diterima dengan cukup hebat, “Bagaikan Bulan Jatuh Ke Riba” terutamanya buat mereka yang ingin 'berlayar' dengan pantas tanpa perlu membongkok atau menahan teruk tamparan angin.
Sifat-sifat terpuji BMW S 1000 XR dinikmati walaupun belum melompat naik ke atasnya. Apa yang kami maksudkan ialah menerusi keanggunan rekabentuknya. Rekaan bahagian hadapan adalah daripada siri R – nampak jelas menerusi dua buah lampu utamanya dan hujung 'bibir'nya. Lampu DRL (Day Running Light) terletak di ruang tengah lampu-lampu itu dan secara peribadi, kami lebih suka jika lampu DRL bercahaya putih itu direka berdekatan dengan lampu-lampu utama mengikut rekabentuk lekukan ruang lampu tersebut.
Apa pun, DRL untuk XR ini memang cantik dan cukup jelas. Ia diaktifkan dengan menekan suis yang terletak pada bar hendal sebelah kiri. Apabila sudah diaktifkan, lampu DRL ini akan menyala secara automatik dikala alam sekeliling cerah tetapi apabila hari semakin gelap atau ketika berada di dalam terowong, suluhan daripada BMW ini akan diganti dengan lampu-lampu utamanya.
Panel meter S 1000 XR ini terdiri daripada satu meter analog (penunjuk rpm) dan paparan digital yang cukup canggih. Pelbagai talaan dapat diakses menerusi paparan ini dan cara untuk membuat pilihan juga senang. Asasnya, panel meter ini memaparkan info penting seperti tahap kelajuan, posisi gear, mode tunggangan, tahap bahan api, talaan saspensi, jalan perjalanan, trip dan masa. Panel meter yang sama ini juga akan memberi paparan yang lain jika kita ingin membuat talaan contohnya menukar tahap rpm untuk penukaran gear, membuat catatan masa (lap time), tahap kecerahan panel meter dan beberapa talaan lain.
Model untuk diuji ini juga telah dilengkapi dengan pakej touring yang bermakna, kami dapat menikmati Dynamic Electronic Suspension Adjustment (ESA), pemanas grip, kotak barang sisi, penyediaan peranti navigasi berserta multi-controller, tongkat tengah dan tapak pembawa bagasi. Dengan adanya Dynamic ESA, kita dapat menala kadar penyerapan sistem saspensi untuk: Seorang Penunggang, Penunggang dan Bagasi atau Penunggang dan Pembonceng. Dengan adanya teknologi ini, pengembaraan bukan sahaja selesa malah cukup selamat dan meyakinkan.
BMW S 1000 XR ini juga didatangkan dengan tiga mod tunggangan iaitu Dynamic, Rain dan Road yang mempunyai ciri-ciri pecutan dan hantaran kuasa berbeza. Lebih mengujakan, proses penukaran mod ini dapat dilakukan sewaktu kita bergerak di atas jalan. Sememangnya kami cukup seronok kerana sebaik sahaja membawa jentera ini pulang ke ibu pejabat RR di Sungai Buloh, kami diminta untuk ke utara tanahair atas urusan kerja. Terus balik dan bersiap! Kotak barang di sisi XR ini cukup luas dan memang sesuai untuk tujuan pengembaraan. Baju hujan, pakaian dan kelengkapan diri untuk tiga hari buat dua orang semuanya dapat dimuatkan. Model XR sebelum ini hanya membenarkan bebanan maksimum seberat 434kg manakala untuk model baru ini, ia dipertingkatkan kepada 444kg.
Apa yang sangat kami sukakan ialah betapa mudahnya kita untuk mengendalikan jentera setinggi 840mm berserta bebanan walaupun dalam kelajuan rendah dan di ruang yang terhad. Membuat pusingan 'U' atau mencari ruang parkir memang tiada masalah cuma perlu berhati-hati di lorong-lorong sempit atau di tengah dua kenderaan kerana takut kotak barang sisi tersangkut.
Mod 'Road' dipilih dan aduhai... dengan adanya Gear Shift Assist Pro, proses kemasukan gear dapat dilakukan dengan sangat-sangat mudah. Ini memang teknologi yang dikongsi bersama dua model S 1000 RR dan S 1000 R. Ketika membuat pecutan dari gear pertama hingga yang tertinggi, hantaran kuasa enjin 165hp pada 11,000rpm dan tork 112Nm pada 9,250rpm memang padu dan mantap. Sukar untuk dijelaskan betapa nikmatnya dapat memecut jentera adventure berposisi tegak yang mempunyai karaktor sebuah motosikal sport.
Bagi keselesaan penunggang S 1000 XR ini, cermin pengadang udaranya boleh kita ubah secara manual kepada dua posisi (tinggi dan rendah). Sebelum masuk ke lebuhraya, tarik sahaja cermin ini ke atas agar perjalanan lebih selesa dan boleh tolak sahaja ke bawah jika ingin rasa angin dari depan ketika berada di dalam kawasan bandar yang selalunya agak panas.
Kami membuat talaan lampu penukaran gear pada 9,000rpm dan setiap kali jarum meter mencecah pada tahap tersebut, lampu penunjuk berwarna putih akan berkelip-kelip dengan rancak – meminta kita menambah gear. Dengan penggunaan gear yang tepat, hantaran kuasa enjin bukan sahaja mantap malah dengan mudah kelajuan mencecah lebih daripada 200km/j. Kami amat mengagumi kestabilannya yang benar-benar membuatkan rasa selamat dan selesa. Tahap penukaran gear ini boleh ditala mengikut tahap kemahiran seseorang penunggang itu. Jika 9,000rpm terlalu tinggi, ia boleh diturunkan pada mana-mana rpm yang dirasakan selesa. No Problem!
Ketika menguji model yang sama dua tahun lalu, kami agak kurang selesa dengan getaran yang dirasai cukup jelas pada bar hendal terutamanya ketika putaran enjin berada di antara 4,000rpm hingga 6,000rpm tetapi masalah itu telah berjaya diatasi oleh para jurutera BMW menerusi Vibration-Free Handlebar yang datangnya dari rekaan semula bahagian atas fork hadapan. Ini adalah satu penambahbaikan yang amat menguntungkan setiap pemilik XR ini. Untuk terus selesa di atas lebuhraya, bolehlah guna sistem Auto Cruise yang hanya memerlukan penggunaan satu jari sahaja. Apabila mencecah kelajuan yang dirasakan sesuai, tolak suis Auto Cruise pada ON/OFF dan bolehlah lepaskan pendikit. Paling baik ialah tetapkan pada kelajuan 110km/j... confirm tak kena saman!
Kualiti tunggangan di jalan-jalan berselekoh amat mengagumkan dan ia adalah disumbangkan oleh gabungan dua pakej hebat iaitu Automatic Stability Control (ASC) dan Dynamic Traction Control (DTC) yang mengekalkan posisi kita dengan tepat tanpa membuang atau menggelongsor ketika memulas pendikit dengan keras untuk memecut sebaik sahaja keluar dari selekoh. ASC juga melindungi penunggang BMW ini daripada terbabas sewaktu kita tersalah percaturan membrek di tempat yang salah ketika menunggang. BMW ini bersifat amat 'pemaaf' seterusnya mengembalikan kegembiraan sejurus kita memerah tenaga enjin 999cc ini.
Selepas 370 kilometer (lebuhraya dan jalan lama), kami akhirnya tiba ke destinasi tetapi diuji dengan kesesakan yang luar biasa. Pulau Pinang memang sibuk betul pada hujung minggu! Disebabkan mustahil untuk mencelah, maka terpaksalah XR ini bergerak dengan perlahan sedikit demi sedikit. Seperti yang dikongsi tadi, pengendalian jentera ini mudah dan ketiadaan haba panas dari mana-mana arah memang menggembirakan. Apabila keadaan trafik lancar, pendikit dipulas dan hendal direntap... XR meninggalkan puluhan kenderaan empat roda sekelip mata. Kotak barang dicabut, check-in dan berehat seketika.
Menunggang XR tanpa kotak barang sisi di tengah-tengah bandar memang bagaikan burung yang terbang bebas. XR yang sudah 'kurus' bergerak lincah tanpa masalah dan hantaran kuasanya yang mantap membolehkan kita memecut ke hadapan dengan pantas. Turunkan cermin pengadang udara untuk badan ditiup angin dan mana sahaja ia dibawa, dua ciri-ciri utama yang menarik perhatian ramai iaitu bunyi ekzos yang mantap dan bentuknya yang garang itu.
Bumi Pulau Mutiara disimbahi hujan pada hari kepulangan kami ke Kuala Lumpur. Baju hujan GIVI yang dibawa cepat-cepat kami pakai manakala BMW berwarna Ocean Blue Metallic Matt juga bersedia dengan mod tunggangan Rain – mestilah! Kekuatan enjin terus direndahkan. Pulaslah pendikit segalak mana sekalipun, pergerakan tetap sederhana dan terkawal.
XR dilengkapi dengan tayar Pirelli Diablo Rosso II bersaiz 120/70 ZR17 (depan) dan 190/55 ZR17 di belakang sangat cekap menangani permukaan basah. Cengkaman kuat pada mana-mana sudut dan keadaan jalan membolehkan kita berada di pelbagai tempat dengan meyakinkan. Seiring dengan kemampuan jentera ini memecut laju dan kelincahannya, jentera kembara BeeEmm ini dilengkapkan dengan sistem brek hadapan jenis Brembo bersaiz 320mm (hadapan) dan 265mm di belakang yang disempurnakan dengan adanya sistem ABS.
Walaupun bahagian badan tidak sejuk kerana lengkap berbaju hujan, tapak tangan mula kecut apabila perjalanan melebihi 30 minit. Pemanas grip yang dilengkapkan pada model S 1000 XR ini sangat kami sukakan. Tekan sahaja suis dan tidak sampai 10 saat, bahagian tapak tangan sudah mula panas. Memang selesa sungguh! Respon jentera di dalam laluan berliku yang licin juga antara yang terbaik pernah dirasai. Walaupun menunggang berdua, lengkap dengan bebanan, sistem Dynamic Traction Control (DTC) menjadikan BMW ini kekal di setiap laluan dengan cemerlang. Inilah mengapa XR ini mendapat maklum balas yang cukup positif di kalangan para pengembara di seluruh dunia yang akan berdepan dengan pelbagai situasi dan cuaca, termasuklah yang ekstrim.
Dengan isi tangki sebesar 20 liter, kami dapat melihat keindahan negara kita untuk jarak sejauh 230 kilometer – memang jimat! Apa yang boleh dipertingkatkan ialah pada rekabentuk dan posisi pembonceng yang agak meletihkan selepas 150 kilometer perjalanan. Kami menggunakan dua orang pembonceng dalam perjalanan sejauh kira-kira 900 kilometer dan kedua-dua mengadukan hal yang sama. Ini mungkin disebabkan karaktor sebuah jentera empat silinder sebaris yang direka dengan casis yang lebih panjang.
Pada harga RM105,900….S 1000 XR boleh dikatakan sebuah jentera lasak atau adventure yang versatil dan hampir sempurna. Ia sangat cantik, pantas, selamat, seronok dan mudah dikawal. Jelajahlah ke mana sahaja dengan BMW S 1000 XR dan rasai kenikmatan setiap masa bersamanya. RR
Spesifikasi
Enjin: | empat lejang, empat silinder sebaris, sistem penyejuk air/minyak |
Gerek x Lejang: | 80 x 49.7 mm |
Kuasa maksimum: | 165hp pada 11,300 rpm |
Tork maksimum: | 112Nm pada 9,250 rpm |
Saspensi hadapan: | fork teleskopik jenis terbalik 46 mm |
Saspensi belakang: | lengan ayun aluminium |
Tayar hadapan: | 120/70 ZR17 |
Tayar belakang: | 190/55 ZR17 |
Brek hadapan & brek belakang: | cakera 320 mm x cakera 265 mm |
Isi tangki: | 20 liter |
Popular