Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 14 Ogos 2018

BMW C400X Anggun & Mewah

Walaupun berjaya 'mencuri' perhatian ramai dengan memperkenalkan model C1 pada tahun 2000 lalu, BMW menunggu agak lama sebelum kembali menyinari segmen skuter atau kenderaan bandar dengan pelancaran dua model skuter maksi iaitu C650GT dan C600 Sport pada tahun 2012. Model C600 kemudiannya dinaiktaraf kepada C650 Sport yang kini merupakan antara jentera automatik paling digemari di kalangan para pencinta motosikal.

Kedua-dua model skuter maksi tersebut disempurnakan dengan enjin kembar-parallel yang dibuat oleh sebuah syarikat dari China iaitu Loncin yang merupakan rakan niaga BMW di Asia. Pada tahun 2009, kerjasama di antara kedua-dua syarikat ini telah menghasilkan model G650GS silinder tunggal dengan enjin bersesaran 652cc. Apa pun, sebanyak 70,000 model twist-n-go mereka telah berjaya menemui para pelanggannya dan lebih mengagumkan apabila model elektrik C Evolution yang harga lebih mahal turut mendapat perhatian dengan penjualan sebanyak 1,200 unit setiap tahun.

Kini, BMW menjejakkan kaki mereka ke pasaran lebih besar menerusi segmen skuter yang bersesaran di antara 300cc-450cc. Model C400X telah dilancarkan di pameran motosikal antarabangsa EICMA 2017 dan BMW menyasarkan Itali sebagai pasaran terbesar mereka dengan 65% daripada jumlah produksi seperti mana yang dinyatakan oleh Pengurus Projek Skuter BMW, Peter Maier (ketua penciptaan model C650) bahawa syarikat dari Jerman itu sedang mencari 'tapak' di Eropah untuk pemasaran jentera baru itu. Buat masa ini, keseluruhan jentera (kecuali enjin) dibuat sepenuhnya di China dan BMW berjanji akan bekerja keras untuk mengawal tahap kualiti pembuatan jentera ini seperti yang mereka berjaya lakukan pada model G310 yang dibuat oleh syarikat TVS di India.

“Skuter saiz sederhana ini 100% produk BMW! Setiap bahagian dan komponen adalah dari BMW, tidak kiralah ianya enjin, casis atau skru paling kecil sekalipun. Kami bertanggungjawab dalam setiap elemen bermula dari saat ia direka hingga dibuat sepenuhnya. Setiap proses dipantau dengan teliti oleh jurutera-jurutera BMW agar produk yang dihasilkan menepati piawaian dan tahap kualiti BMW,” kata Maier.

“Ini amat penting demi kepuasan para pelanggan kami selepas apa yang terjadi dengan model G650GS yang dibuat di kilang Loncin pada tahun 2009 lalu. Kami menghadapi masalah kualiti dan terpaksa memperbaiki masalah tersebut di kilang BMW Spandau, Berlin pada tahun 2011. Selepas itu Loncin hanya mengeluarkan enjin untuk model tersebut.”

Untuk menilai kualiti pembikinan jentera C400X yang dibuat di China, kami diberi peluang untuk menunggang model ini di Milan pada bulan Jun yang lalu. Selepas melihat dengan lebih dekat kemasan pada suis-suis, ruang barang di depan lutut yang dilengkapkan dengan soket 12V dan di setiap sudutnya, kami dapati kualiti C400X sangat tinggi – mungkin lebih tinggi daripada model siri C650!

Menurut Peter Maier, model C400X direka pada tahun 2014 dan mula memasuki proses produksi pada 1hb Julai 2017. Penghantaran ke para pengedar di Eropah dijangkakan bermula pada awal Oktober ini diikuti USA dan Australia sebelum penghujung tahun. Oleh kerana ia adalah model global, tidak dapat dielakkan bahawa negara-negara seperti Itali, Perancis, Jerman dan Sepanyol semestinya akan menjadi pasaran utama untuk model C400X seperti yang dikatakan oleh Maier.

Harganya juga cukup kompetitif, Euro 6,800 (termasuk cukai 19%) untuk pasaran di Jerman – murah sedikit berbanding saingannya iaitu Yamaha XMax 400 yang dijual pada harga Euro 6,999 dan Euro 1,000 lebih mahal daripada Kymco X-Citing 400. BMW ternyata mempunyai beberapa keistimewaan seperti paparan meter TFT berwarna 6.5 inci, lampu-lampu LED yang lengkap dengan fairing berparuh seperti model GS, suis kawalan pada bar hendal terkini dan warna-warna yang cukup cantik seperti Zenith Blue, Arctic White dan Hitam (akan datang). Nota: Lampu DRL gentian optic (fibre-optic) dijual berasingan pada harga Euro 100.

Walaupun dinamakan C400X, model ini menggunakan enjin bersesaran 350cc, suntikan bahan api, sistem penyejuk cecair dengan ukuran gerek x lejang (80 x 69.9mm) yang menyumbang kepada kuasa setinggi 34bhp pada 7,500rpm dan tork 35Nm pada 6,000rpm. Seperti skuter lain, model ini juga menggunakan sistem transmisi jenis CVT dan untuk memberi keyakinan buat para pemiliknya, enjin C400X diperhalusi dengan gear-driven counterbalancer termasuk juga penggunaan pelekap getah unik pada bahagian lengan ayun/enjin untuk menyahkan sebarang gegaran yang tidak diingini.

Memang betullah... hampir tiada gegaran dan cermin sisi juga 'berdiri' dengan kemas walaupun ketika memecut sepantas 139km/j (laju maksima yang dinyatakan) – walaupun saya lihat di panel meter kelajuan mencecah 143km/j. Tak apa lah, yang sebenarnya BMW ini cukup stabil dalam semua kelajuan. Cuma apa yang boleh dikatakan ialah kami cukup kagum dengan cermin pengadang udaranya yang berjaya melindungi penunggang setinggi 1.80m dengan baik sekali cuma cermin ini tidak boleh dilaraskan. Kecewa betul! Info: terdapat cermin yang lebih tinggi dan pelana rendah (760mm) sebagai aksesori pilihan.

Kerangka C400X dibuat dari tiub keluli yang cukup padat dan tebal. Kestabilan bahagian hadapan pula datangnya dari fork teleskopik 35mm yang bertindak cemerlang sekali untuk mengendali sebuah jentera mempunyai tapak roda sepanjang 1,565mm. Oh ya... rim aluminiumnya yang agak kecil menjadikan C400X ini nampak panjang. Sistem ABS dua saluran, sistem traction control dan Automatic Stability Control (ASC) adalah ciri-ciri penting yang dimiliki oleh BMW ini untuk menjamin keselamatan penunggangnya.

Pakej breknya dari jenis ByBre dengan saiz 265mm untuk memberi cengkaman optimum di depan dan belakang dengan baik. Sebagai jentera automatik urban, sering digunakan untuk menyelit di dalam bandar, brek-brek ini sudah mampu untuk memberi keselesaan menunggang. Tangki skuter ini sebesar 12.8 liter, ia terletak di antara kedua belah kaki penunggang dan jujurnya, kita mudah untuk menggerakkan skuter ini walaupun ia seberat 204 kg. Ini disebabkan pengagihan berat dilakukan dengan cukup bijak, 50/50 untuk depan dan belakang.

Pelananya lebar, direka selesa untuk penunggang dan pembonceng yang kini dilengkapkan dengan bar pemegang dua posisi. Kami sukakan posisi menunggangnya yang natural manakala ruang lantai pemijak yang luas memudahkan pergerakan. Ruang kaki ini juga telah direka dengan bijak untuk memberi perlindungan pada bahagian kaki sewaktu jalan basah. Kawan saya, Gerhard Lindner yang setinggi 6'2”, bekas juara 600 Supersport di Jerman turut setuju dan berpuas hati dengan keselesaan C400X ini.

Ruang di bawah pelana yang luas membolehkan kita menyimpan pelbagai jenis barangan termasuk topi keledar biasa. Bagi penunggang wanita, ia sesuai sebagai tempat menyimpan barangan berharga ketika C400X ini dibawa bersiar-siar. Bagi mereka yang ingin 'jalan' jauh sikit, skuter ini tawarkan pelbagai keistimewaan yang benar-benar sukar untuk kita tolak.

Sebaik sahaja menghidupkan enjin empat lejang 350cc ini, bunyi yang terhasil cukup lembut dan BMW ini amat mudah untuk dipacu dalam kelajuan rendah ditambah pula respon yang tepat di antara enjin dan pendikit menambah keinginan kami untuk memecut lebih pantas. Paparan panel meter jenis TFT yang besar itu amat mudah untuk dibaca dan ini adalah satu kelebihan yang wajar dibanggakan oleh BMW. Tidak cukup dengan itu, segala info, talaan dan kawalan dapat dilakukan dengan mudah, betul!

Seperti jentera pengembaraan BMW berkuasa tinggi, C400X turut didatangkan dengan sistem BMW Motorrad Communication yang boleh diaktifkan menerusi sistem Bluetooth. Menerusi hubungan ini, kita dapat membuat panggilan telefon, mendengar lagu dan menggunakan sistem navigasi asas untuk memudahkan perjalanan. Walaupun navigasi ini tidaklah begitu terperinci seperti sistem GPS, ia sudah boleh membantu seseorang penunggang motosikal itu untuk merancang perjalanan dari titik A ke titik B.

Menerusi aplikasi yang dimuat turun ke dalam telefon pintar, pemilik C400X akan dapat memastikan lokasi motosikal kita, membuat pemeriksaan cuaca, mencari stesen petrol dan beberapa data lain mengenai C400X. Menarik kan! BMW menyatakan penggunaan minyak sekitar 3.5 liter untuk 100 kilometer dan ini pengiraan berdasarkan pelbagai jenis tunggangan. Memang cukup jimat dan praktikal. Dengan menawarkan nilai pasaran yang menarik, kualiti pembikinan cukup tinggi, cukup selesa serta tahap praktikaliti yang agak mengagumkan, C400X adalah sebuah lagi tanda kejayaaan dan kebijaksaan BMW dalam menghasilkan jentera pilihan ramai. RR

Oleh: Alan Cathcart
Kredit Foto: Daniel Kraus & Arnold Debus

Isu Pada

Ogos 2018

Spesifikasi

Enjin:4 lejang, silinder tunggal, sistem penyejuk cecair
Gerek x Lejang:80 x 69.6
Kuasa maksimum:34hp pada 7,500rpm
Tork maksimum:35Nm pada 6,000rpm
Saspensi hadapan:fork teleskopik 35mm
Saspensi belakang:lengan ayun aluminium
Tayar hadapan:120/70 ZR15
Tayar belakang:160/70 ZR14
Brek hadapan & belakang:cakera 265 mm / cakera 265 mm
Isi tangki:12.8 liter

Popular

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

  • Warta Roda

    Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Dari Litar

Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

Kejuaraan MotoGP 2024 telah berakhir selepas 20 pusingan dan 40 perlumbaan di beberapa buah negara seluruh dunia. Pada masa yang sama, hubungan perniagaan di antara dua syarikat ikonik dalam dunia MotoGP juga sudah sampai di penghujungnya.

Warta Roda

Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Boon Siew Honda (BSH) telah merasmikan pembukaan Honda Bigwing yang pertama di Melaka.

Warta Roda

Lebih 100 Buah Motosikal Terbakar Di Depoh Simpanan DBKL

Sebanyak 130 buah motosikal yang diletakkan di depoh penyimpanan kenderaan tersadai milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Taman Connaught telah terbakar.

Warta Roda

Kemalangan Maut Motosikal Akibat Langgar Kerbau

Perjalanan seorang pengawal keselamatan ke tempat kerja bertukar tragedi apabila motosikal ditungganginya terlanggar seekor kerbau.