Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 15 Mei 2017

Yamaha Ego Solariz 125 Seronok Ditunggang!

Dengan kadar ekonomi negara yang tidak begitu memberangsangkan serta kejatuhan nilai ringgit, semakin ramai netizen yang mula berjimat dan mencari jalan alternatif untuk mengurangkan perbelanjaan harian. Bagi mereka yang bekerja, selain penggunaan kenderaan awam, motosikal merupakan pilihan yang cukup bijak kerana ia jimat, pantas dan mudah.

Yamaha Solariz diperkenalkan pada pertengahan Januari lalu dengan nilai jualan RM5,548 (termasuk GST) dan benar.... ia sememangnya cukup berpatutan dan mampu milik. Okay... Ego Solariz memang kecil tetapi mempunyai kemampuan yang cukup besar sekali. Tarikan utamanya datang terus daripada keseluruhan rekabentuknya yang cantik, kemas dan sporty.

Ruang bahagian hadapan diperkemaskan dengan lampu utama berbentuk agresif yang menawarkan suluhan cukup cerah. Kita dapat melihat kehadiran Solariz ini dari jauh, tidak kira siang mahupun malam. Lampu utama ini direka bersepadu dengan lampu isyarat yang juga mempunyai suluhan yang cukup terang. Lampu belakang berbentuk ringkas tetapi tetap terang sekali. Untuk disesuaikan dengan bentuknya yang 'cute', Solariz dilengkapkan dengan tayar-tayar bersaiz 70/90 14MC 34P (depan) dan 80/90 14MC 46P di belakang.

Dari kiri: En. Shinsuke Yamaura, Dato’ Jim Khor, Datuk Kwek Leng San, En. Wee Hong dan En. Voon ketika melancarkan Yamaha Ego Solariz 125 Januari lalu.
Dari kiri: En. Shinsuke Yamaura, Dato’ Jim Khor, Datuk Kwek Leng San, En. Wee Hong dan En. Voon ketika melancarkan Yamaha Ego Solariz 125 Januari lalu.

Paling best ialah keselesaan yang ditawarkan oleh Solariz. Walaupun ia bersaiz kecil molek, kebijaksaan jurutera dan pereka jentera ini mencipta ruang yang luas di antara pelana dan bar hendal memudahkan penunggang tinggi untuk menukar posisi – kalau penunggang biasa, lebih-lebih mudahlah! Pelana yang setinggi 750mm ini bukan sahaja empuk tetapi juga memberi senyuman buat semua jenis penunggang termasuk wanita. Dengan hanya menggunakan satu kunci sahaja, kita dapat menghidupkan enjin, membuka pelana, mengunci dan membuka penutup corong minyak.

Demi memudahkan pergerakan dan melindungi setiap pemiliknya, ruang barang bawah pelana Solariz ini cukup besar (10L) untuk kita muatkan set baju hujan, air mineral, kamera bersaiz kecil, sarung tangan dan beg tangan untuk penunggang wanita. Nak pergi ke mana pun 'takde' masalah, simpan beg dan pulas pendikit. Selamat!

Tarik tuas brek, naikkan tongkat dan tekan suis penghidup. Bunyi pergerakan enjin 125cc dengan sistem suntikan bahan api ini cukup senyap dan lancar sekali. Yamaha ini juga boleh dihidupkan dengan menggunakan kaedah tendang. Jujurnya, kami lebih suka jika sebuah mesin auto seperti ini didatangkan dengan dua jenis sistem penghidup iaitu elektrik dan tendang. Setidak-tidaknya, kalau bateri semakin lemah, kita masih mampu menghidupkannya dengan kaedah menendang. Setuju?

Enjin model baru ini juga disempurnakan dengan sistem BLUE CORE, satu teknologi eksklusif baru yang ditawarkan oleh Yamaha untuk membantu pecutan kuasa menjadi lebih efisien, pembakaran lebih cekap, pengurangan kehilangan kuasa, meningkatkan daya penyejukkan dan membantu penggunaan bahan api yang menjimatkan.

Lincah betul Solariz ini! Enjin suntikan bahan api melancarkan pergerakan skuter ini dalam setiap saat. Kita boleh buka dan tutup pendikit sesuka hati tanpa merasakan sebarang gangguan dalam proses penghantaran kuasa. Kerangkanya jenis underbone yang dihasilkan dengan bahan keluli bukan sekadar bertegaran tinggi tetapi juga menawarkan pengendalian yang amat mudah. Dengan berat basah hanya 34kg, skuter Yamaha ini dapat dilayangkan ke kanan dan ke kiri dengan mudah sekali tanpa rasa gegaran pada mana-mana bahagian casis mahupun bar hendal. Ini membolehkan kita mengawal pergerakan dengan lebih tepat sewaktu berada di dalam kesesakan lalu lintas.

Menerusi panel meternya yang comel tetapi penuh berinformasi, lampu penunjuk 'ECO' berwarna hijau yang menyala apabila keseimbangan di antara kuasa dan bahan api sedang dicapai. Kami perolehi keseimbangan ini pada kelajuan sekitar 55-60km/j dan lampu ini akan terus terpadam apabila kelajuan ditingkatkan. Solariz ini mempunyai kuasa maksimum sekitar 7.0kW pada 8,000rpm dan tork 9.6Nm pada 5,500rpm yang sudah tentu membolehkan kita 'berlari' ke hadapan dengan cepat. Tidak perlu gear.... pulas sahaja!

Bagi penghuni kota-kota besar seperti di Kuala Lumpur, Ipoh, Johor Bahru dan lain-lain, kita akan menggunakan lebuhraya untuk ke suatu tempat dan sudah tentulah akan berkongsi dengan pelbagai jenis ragam pemandu kenderaan yang lebih besar. Oleh itu, kelancaran, kekuatan pecutan amat diperlukan untuk kita 'melarikan' diri daripada dihimpit atau didekati oleh mereka (kenderaan yang lebih besar). Di sinilah kami rasakan Solariz ini memang boleh diharap!

Kami sedar ia bukan sebuah mesin yang dikeluarkan oleh Yamaha untuk kelajuan tetapi ia tetap perlu diuji. Kelajuan tertinggi yang mampu dicapai oleh skuter ini ialah sekitar 105-108km/j dan sekali lagi, ketegaran casisnya membuatkan pecutan di lebuhraya cukup meyakinkan.

Skuter seperti ini memang bagaikan 'raja' apabila berada di dalam bandar. Lorong-lorong kecil dapat dimasuki dengan senang sekali dan paling seronok tentulah apabila hendak diparkir. Kawasan yang agak terhad sudah mencukupi tetapi perlu juga diingat, meletakkan motosikal di dalam bandar perlu berhati-hati. Jangan di kawasan lengang – motor mudah dicuri! Jangan diletakkan juga di tempat larangan atau menghalang laluan, pihak berkuasa seperti Majlis Perbandaran tidak akan teragak-agak untuk menyaman atau mengangkat motosikal kita untuk disita sementara. Kalau ini berlaku, bukankah rugi duit kita?

Solariz didatangkan dengan sistem saspensi hadapan teleskopik dan penyerap hentak tunggal di belakang yang banyak menyumbang kepada keselesaan menunggang jentera ini. Jujurnya, tidak semua lorong motosikal yang terdapat di negara kita ini berada di dalam keadaan yang baik. Ada yang berlopak-lopak, ada yang beralun dan ada juga yang berlubang agak dalam. Keadaan lebih buruk apabila sewaktu musim hujan atau di waktu malam tanpa lampu laluan motosikal yang sempurna. Mujurlah Solariz ini mampu menangani situasi ini dengan baik tanpa terasa gegaran yang melampau pada bahagian lengan atau pun pinggang.

Bagi penunggang lebih daripada 5'8”, menunggang berdua mungkin agak memenatkan kerana penunggang perlu mengubah posisi ke belakang sedikit untuk lebih selesa dan ini bermakna ruang pembonceng juga semakin kecil lebih-lebih lagi jika orang di belakang juga tinggi lampai. Namun begitu, bagi penunggang bersaiz biasa, masalah ini tidak berlaku.

Sistem keselamatan Solariz diperkemaskan dengan peng-gunaan brek hadapan jenis cakera dan jenis gelendong untuk brek belakang. Gabungan brek-brek ini sudah cukup untuk memperlahankan mesin ini dengan pantas dan amat bagus untuk membantu kita kekal di laluan yang betul jika menunggang di jalan-jalan berselekoh. Cermin sisinya agak kecil, menyukarkan sedikit untuk kita melihat keadaan trafik di belakang. Walaupun begitu, saiz cermin sisi ini sememangnya sesuai dengan rekabentuk keseluruhannya.

Memang seronok menunggang Solariz ini. Walaupun kecil, ia menawarkan tunggangan yang selesa dan amat menyenangkan. Kita juga dapat menyusuri perjalanan lebih daripada 110 kilometer dengan sekali isian tangki sebesar 4.2L dan seperti biasa, kadar penggunaan bahan api adalah berbeza. Ia bergantung kepada saiz penunggang, gaya tunggangan dan keadaan mukabumi.

Dengan berbelanja RM5,548, Solariz dapat dimiliki dalam empat pilihan warna iaitu Iconic Blue, Popular Red, Classic-Sport Brown dan Trendy Magenta. Apa tunggu lagi... jom ke kedai motosikal Yamaha yang terdekat dan tempah sebuah untuk dinikmati! RR

Isu Pada

Mei 2017

Spesifikasi

Enjinempat lejang, SOHC, sistem penyejuk udara
Isipadu125cc
Gerek x Lejang52.4 x 57.9mm
Kuasa maksimum7.0kW pada 8,000rpm
Tork maksimum9.6Nm pada 5,500rpm
TransmisiTali Sawat-V
Tinggi pelana750mm
P x L x T1,870 x 685 x 1,035mm
Berat basah94 kg
Isi tangki4.2 liter

Popular

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

  • Warta Roda

    Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Dari Litar

Pelumba Negara Tampilkan Aksi Memberangsangkan

Tahniah buat para pelumba muda negara telah mempamerkan aksi yang cukup hebat dalam saingan FIM MiniGP World Finals.

Model Baru

Moto Morini Calibro 700 Masuki Pasaran Negara. Harga bermula RM35,888

Mforce Bike Holding selaku pengedar rasmi jenama Moto Morini di Malaysia dengan bangganya melancarkan model ketiga hari ini iaitu Calibro 700.

Model Baru

Yamaha Europe Perkenalkan Tracer 9, Tracer 9 GT & Tracer 9 GT+ 2025

Yamaha Motor Europe telah memperkenalkan rangkaian Sport Touring mereka bagi tahun 2025 iaitu Yamaha Tracer 9, Tracer 9 GT dan Tracer 9 GT+ Y-AMT.

Dari Litar

Francesco Bagnaia Tawan GP Thailand Dalam Hujan

Francesco Bagnaia (pecco) membuktikan keupayaannya apabila menjuarai GP Thailand dalam keadaan cuaca dan litar yang sangat sukar.