Kawasaki Ninja 650 ABS & Z 650 ABS
Jujurnya... kami tidak sabar untuk merasakan prestasi jentera baru iaitu Kawasaki Ninja 650 ABS dan Z 650 ABS. Akhirnya, kami dapat peluang apabila Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn Bhd (KMSB) telah menganjurkan sesi tunggangan uji bersama media yang diadakan pada 29 Mac lalu di Nilai Springs Resort.
Ketika di sesi taklimat, kami cukup teruja apabila mendapati Ninja 650 ABS dan Z 650 ABS ini telah pun diuji dengan keras oleh Pengurus Besar dan Pengarah KMSB sendiri iaitu Dato’ Jeffrey Lim dalam satu perjalanan yang cukup menarik dari Alor Setar ke Buriram, Thailand pada 9 hingga 12 Mac lalu. Perjalanan Dato’ Jeffrey turut disertai oleh 11 orang lagi penunggang yang terdiri daripada Pengerusi Eksekutif KMSB, En. Ahmad Faez Tan Sri Yahaya, wakil KMSB dan para pengedar mereka dengan menunggang enam buah Ninja 650 ABS dan Z 650 ABS.
Pada hari pertama perjalanan, Dato' Jeffrey telah memilih untuk menunggang model Z 650 ABS dan walaupun ia adalah pengalaman pertama beliau menunggang jauh, kelincahan dan pengendalian yang mudah jentera ini melancarkan perjalanan pada hari itu. “Walaupun pada mulanya saya kurang berkeyakinan tetapi selepas beberapa lama dengan Z 650 ABS, saya lebih berani dan serasi dengan jentera ini. Memang seronok kerana pengendalian dan hantaran kuasa Z ini cukup kemas walaupun ketika berada di selekoh tajam. Bila keyakinan semakin tinggi, saya berani untuk memecut sehingga mencecah 185km/j dalam perjalanan ke Ranong.”
Untuk merasakan perbezaan di antara kedua-dua model, Dato' Jeffrey akan bertukar-tukar jentera setiap hari. Ketika menuju ke Bangkok pada hari kedua, konvoi terpaksa mengharung trafik yang cukup sesak. Semua penunggang termasuk Dato' Jeffrey yang ketika itu menunggang Ninja 650 ABS terpaksa mencelah.
“Saya melihat bagaimana rakan-rakan di hadapan menunggang di celah-celah kenderaan itu dan saya ikut. Dalam kepanasan itu kami akhirnya tiba ke tempat yang dituju. Kami cuba bertolak awal, kira-kira jam lima pagi tetapi rupa-rupanya jalan telah sesak sedangkan ia adalah hari Ahad. Kami terpaksa 'mencelah' semula dan bagi saya, jentera yang ringan seperti ini banyak membantu menjadikan perjalanan lebih mudah dan selesa. Posisi menunggangnya yang natural membuatkan saya dan rakan-rakan tidak berasa letih walaupun setelah mengharungi perjalanan yang jauh.”
Sewaktu dalam perjalanan dari Krabi ke Chumpon, satu peristiwa yang agak mengejutkan berlaku. Salah seorang daripada peserta konvoi telah melanggar seekor ular yang agak besar. Dato' Jeffrey yang sedang menunggang dengan tenang di belakang terkejut dengan kejadian itu. “Ular itu terus menggelupur dan mujurlah saya dapat mengelak daripada melanggarnya atau mungkin saya juga boleh terjatuh.”
Dari pengalaman yang dikongsi itu, kita sudah dapat mengagak betapa bijaknya pereka dan jurutera yang menghasilkan jentera ini agar boleh ditunggang dan dikendalikan hampir oleh sesiapa sahaja.
Menerusi penganjuran Kawasaki Media Testride ini, para wartawan diberi peluang untuk menguji kedua-dua mesin. Laluan perjalanan juga telah dipilih dan disediakan oleh pihak KMSB iaitu: Nilai Spring Resort – Sepang – Morib – Jenjarom – Bandar Saujana Putra – Dengkil – Nilai Spring Resort. Selepas dibuat pemilihan, RR bermula dengan menunggang model Z terlebih dahulu. Jom kita dekati kedua-dua mesin ini.
Z 650 ABS
Okay... Model ini mengingatkan kita pada model ER6n tetapi hakikatnya ia adalah sebuah mesin yang lebih mantap hampir dari semua segi. Rekabentuknya segar dan menarik minat kami. Lampu hadapan memberikan suluhan yang cukup terang. Model Z800 dan ZX6R dulu mengenalkan lampu belakang berbentuk huruf 'Z' dan ia memang terus menjadi trend yang cukup menarik. Seperti Z8, lampu belakang Z 650 ini juga jenis LED yang menyala dalam bentuk 'Z' tetapi hurufnya lebih cantik!
Bahagian belakangnya agak ramping dan tajam menyerlahkan lagi sifat nakalnya. Kerangka jenis trellis yang diperbuat daripada keluli bukan sekadar menawarkan ketegapan Z 650 tetapi juga membantu menjadikan jentera ini cantik untuk dipandang dari tepi. Untuk disesuaikan dengan tubuh badan dan kerangkanya, Kawasaki ini didatangkan dengan bentuk sistem ekzos yang cukup ranggi.
Pelana Z yang setinggi 790mm memudahkan kita memanjatnya. Selepas melabuhkan punggung, letakkan tangan kita pada bar hendal yang cukup lebar itu. Walaupun enjin belum dihidupkan, kita sudah merasa selesa dan yakin. Panel meter Z ini ringkas, menarik dan cukup jelas. Terdapat penunjuk tahap rpm, kelajuan, jarak perjalanan, bahan api, masa, posisi gear dan yang paling kami suka sudah tentu tiga jenis paparan digital rpm yang cukup berbeza. Paparan ini boleh ditukar pada bila-bila masa.
Enjin baru ini segar dan senyap sekali. Apabila memutar pendikit dengan lebih galak barulah 'suara' berubah sedikit garau dan mantap. Sebaik sahaja tayar bergolek, kita akan dapat rasakan kekuatan sebenar yang bagaikan tersembunyi di dalam enjin 649cc itu. Dengan kuasa tork 65.7Nm pada 6,500rpm, kita dapat memecut dengan pantas dalam semua gear. Benar.... dalam semua gear! Termasuklah ketika berada di dalam gear keenam. Pulas sahaja pendikit dan ia meluncur dengan pantas sekali.
Proses pecutan yang lancar turut disumbangkan oleh sistem klac assist dan slipper yang diinspirasikan dari trek perlumbaan. Tuas klacnya dirasakan cukup lembut dan sistem ini juga membantu pergerakan roda belakang lebih terkawal ketika menurunkan gear dengan pantas.
Walaupun dengan bantuan dan kawalan daripada anggota polis trafik dan marshal Kawasaki yang terlatih, ada ketikanya kami terpaksa berhadapan dengan keadaan trafik yang sedikit sesak. Walaupun begitu...ia mengingatkan kami dengan apa yang dikongsikan oleh Dato' Jeffrey iaitu Z ini bagaikan sahabat baik apabila ditunggangi di dalam bandar. Ia hanya seberat 187kg yang membolehkan kita mencelah dan melalui ruang sempit dengan pantas. Mungkin agak klise tetapi kami tetap ingin katakan bahawa pengendaliannya mudah seperti menunggang sebuah jentera jalanan berkuasa 250cc. Keseimbangan di antara kekuatan enjinnya dan pengendalian yang mudah menjadikan setiap saat menunggang Z 650 ABS ini amat mengujakan.
Ketika menghampiri pantai Morib, laluan lurusnya memang cukup sesuai untuk memecut tetapi perlu berhati-hati kerana terdapat beberapa kawasan yang beralun. Terima kasih kepada casis ringan tetapi bertegaran tinggi yang memberikan rasa cukup stabil walaupun ketika menyusuri jalan-jalan berombak. Untuk menambah keyakinan kita menyusuri jalan-jalan sebegini, Kawasaki telah menambahbaikkan sistem saspensi model ini dengan menggunakan fork teleskopik 41mm di bahagian hadapan manakala penyerapan cemerlang di belakang datangnya dari penyerap hentak back-link jenis mendatar dengan pra-beban boleh laras.
Seperti jentera perlumbaan pula rasanya apabila melihat lampu penunjuk rpm yang akan berkelip-kelip setiap kali putaran enjin mencecah 7,000rpm untuk memberitahu penunggang Z ini untuk menambah gear. Apa pun, ia adalah satu lagi ciri-ciri menarik dari Kawasaki untuk jentera-jentera baru mereka. Ringan, mudah dikawal, ada penunjuk posisi gear, ada penunjuk tahap rpm... Z 650 ABS ini memang berbaloi untuk dibawa ke jalan-jalan berselekoh. Untuk disesuaikan dengan kelincahannya berada di mana-mana jenis laluan, Z 650 ABS didatangkan dengan tayar-tayar (bersaiz 120/70 ZR17 58W (depan) dan 160/60 ZR17 69W untuk bahagian belakang. Dari segi prestasinya, Z 650 ABS ini memang cukup memberangsangkan cuma saiznya kecil untuk penunggang yang besar dan tinggi lampai. Kalau tengok dalam gambar tu memang sukar nak percaya ia adalah sebuah jentera berenjin 650cc. Untuk memberi lebih keyakinan kepada penunggangnya, brek-brek cakera 300mm jenis berkelopak (depan) dan brek cakera 220mm jenis berkelopak di belakang telah dipadankan pada model baru ini.
Selepas menikmati makan tengahari di Morib, kami diminta untuk menukar jentera dan perkara pertama yang mencuri tumpuan kami tentulah datangnya daripada rekabentuk Ninja 650 ABS. Tarikan utama model ini sudah tentu daripada rekabentuk hadapan yang diasaskan daripada model juara ZX-10R. Dua buah lampu utamanya menawarkan imej yang agresif. Rekabentuk fairing hadapan berlekuk tajam ini menyerlah lagi sifat sportynya. Cermin pengadang udara Ninja ini boleh dilaras (dengan menggunakan allen key) kepada tiga posisi dengan jarak pelarasan setinggi 60mm. Pandangan bahagian sisinya dikemaskan dengan rekabentuk fairing jentera sport dan sistem ekzos pendek.
Asasnya, Ninja dan Z 650 adalah saudara kembar yang mempunyai sedikit perbezaan! Panel meter adalah salah satu daripadanya. Terdapat satu meter analog penunjuk rpm yang diapit oleh meter digital LED sebelah kanan dan lampu-lampu penunjuk di sebelah kiri. Info yang dipadatkan di dalam meter digital LED Ninja juga lengkap termasuklah posisi gear! Seperti model Z, meter rpm model ini juga akan berkelip-kelip apabila putaran enjin mencapai tahap tertinggi.
Ninja 650 ABS ini memang cantik tetapi saiznya agak terlalu kecil untuk sebuah jentera penuh fairing bersesaran 649cc. Bagi mereka yang menunggang Ninja 250, pastinya anda akan merasakan saiz di antara kedua-dua Ninja ini tidak jauh bezanya. Jika dibandingkan dengan Ninja ZX6 tahun 2002, Ninja ZX6R 2003 atau model touring, ZZR600 tahun 2005 sekali pun, model baru ini memang cukup kecil.
Ya.... benar... dengan saiznya yang kecil serta spesifikasinya yang mantap, Ninja 650 ABS memang selesa dan seronok ditunggang. Walaupun bentuknya sporty, posisi menunggangnya menegak dan selesa – lebih cenderung kepada gaya jentera touring dan membuktikan bahawa Ninja baru ini juga sesuai untuk tunggangan harian, menguji kemantapan di selekoh dan untuk pengembaraan. Menunggang sebuah jentera penuh berfairing ini memang satu kelebihan apabila berada di laluan lurus yang luas kerana udara dari hadapan dapat melalui tubuh badan Ninja ini dengan efisien sekali.
Ketika membuat pecutan, kita dapat merasakan enjin kembar selari (parallel twin) dengan kuasa maksimum setinggi 68PS pada 8,000rpm dan tork setinggi 65.7Nm pada 6,500rpm (kuasa maksimum sama dengan model Z) menghamburkan kuasa yang cukup luas. Dalam jarak yang agak dekat, Ninja ini masih mampu memecut dengan mudah sekali – sedar-sedar kelajuan sudah mencecah 190km/j dan dengan berat 193kg, ia langsung tidak bergoyang dalam mana-mana kelajuan.
Sama seperti model Z, sistem klac assist dan slipper yang dilengkapkan pada model ini juga memberikan kenikmatan untuk penunggang. Dengan kejituan brek-breknya yang kini dilengkapkan dengan sistem ABS, kita dapat memperlahankan kelajuan dengan lebih cepat dan lebih selamat. Sistem ABS berfungsi agar tayar tidak terkunci ketika kita membrek dengan keras dan ianya amat berguna apabila menunggang di dalam hujan dan licin.
Ninja 650 ABS dan Z 650 ABS dilengkapi dengan tangki bahan api sebesar 15 liter dan selepas kira-kira 200 kilometer perjalanan, dilihatkan kadar penggunaan minyak masih banyak. Penjimatan bahan api juga adalah satu kemestian yang wajar dijadikan aspek paling utama dalam setiap pembikinan motosikal. Tahniah buat Kawasaki yang berjaya memperkenalkan dua saudara 650cc yang menepati kehendak global iaitu sebuah jentera yang mudah dikendali, jimat dan berkuasa tinggi. RR
Spesifikasi
Enjin | empat lejang, silinder kembar selari, sistem penyejuk cecair, DOHC |
Isipadu | 649cc |
Gerek x Lejang | 83.0 x 60.0mm |
Nisbah mampatan | 10.8:1 |
Sistem bahan api | suntikan bahan api |
P x L x T | 2,115 x 775 x 1,080mm (Z 650 ABS) 2,115 x 740 x 1,135mm (Ninja 650 ABS) |
Kelegaan tanah | 130mm |
Tinggi pelana | 790mm |
Isi tangki | 15 liter |
Berat kering | 187kg (Z 650 ABS) & 193kg (Ninja 650 ABS) |
Popular