Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 12 Julai 2018

Norton 350cc 40M Lowboy Racer

Suatu ketika dulu, Manx Norton ternyata tidak mempunyai pesaing yang mampu menggugat kehebatannya dan ia adalah jentera yang terunggul di setiap perlumbaan dalam 350/500cc. Jentera perlumbaan British ini akhirnya mendapat saingan yang cukup hebat daripada Yamaha TZ250/350 yang kemudiannya turut menjadi antara jentera yang meraih banyak kemenangan.

Populariti Manx dan kekerapannya memenangi pelbagai kejuaraan telah menaikkan nama Norton sebagai pengeluar motosikal yang berkualiti dan sememangnya muncul juara di beberapa pusingan adalah 'kunci' penting untuk mempromosikan jenama ini. Ini juga strategi yang masih digunapakai dan dikekalkan oleh pemilik Norton, Stuart Garner.

Vic Willoughby menunggang uji dalam Junior TT pada 1960.
Vic Willoughby menunggang uji dalam Junior TT pada 1960.

Pada tahun 1950, Manx dengan enjin double-knocker yang disempurnakan pada kerangka featherbed yang direka oleh McCandless bersaudara dari Ulster, Ireland. Kejayaan model ini membolehkan kilang Norton di Bracebridge Street beroperasi dengan baik selepas tamatnya Perang Dunia Kedua. Norton kemudiannya mendapatkan kemenangan berganda pada tahun 1951 menerusi pelumba lagenda, Geoff Duke yang ketika itu menggunguli persaingan 350cc dan 500cc. Geoff mengulangi kejayaannya setahun kemudian dan kali ini dalam kategori 350cc.

Kejayaan ini juga membuktikan keupayaan pasukan dan pelumba Norton mampu menewaskan para pencabar lain yang hadir dengan enjin berbeza, lebih daripada satu silinder. Pada tahun 1954, pasukan berpengalaman ini membuat keputusan untuk tidak lagi berlumba. Namun begitu, populariti dan keyakinan tinggi pada kemampuan jentera Norton terus mekar dan ini dibuktikan dengan peningkatan jumlah peserta persendirian yang berlumba bersama Norton.

Perlumbaan Junior TT 1960. Dari kiri: Willoughby, Chris Leon,Doug Hele (atas motor) & Bill Smith.

Ketiadaan Duke turut memberi impak buat Norton yang tidak lagi semegah dulu. Kilang mereka berusaha kuat untuk menjadikan jentera satu silinder mereka terus kompetitif dengan pelbagai cara untuk menyaingi jentera-jentera empat silinder yang kemudiannya lebih ke hadapan. Hasil kerja keras tersebut maka lahirnya sebuah jentera dengan kerangka kneeler baru yang diberi nama 'Silver Fish' pada tahun 1953 dan setahun kemudian, enjin F-Type (F untuk flat) yang pula diperkenalkan. Konsep penciptaan enjin dengan silinder mendatar ini datangnya dari jentera Moto Guzzi yang telah berjaya menewaskan Gilera dan MV Agusta yang mendominasi perlumbaan tersebut untuk sekian lama.

Ketua bahagian perlumbaan, Joe Craig ingin mencontohi prestasi jentera Moto Guzzi melalui enjin F-Type. Sesi ujian itu sepatutnya dijalankan oleh Ray Amm di MIRA tetapi sebelum segalanya dapat dilakukan, lembaga pengarah AMC (telah membeli Norton) mengumumkan bahawa mereka akan menarik diri daripada perlumbaan Grand Prix.

Seterusnya, Norton hanya dibenarkan berlumba dengan model yang dipasarkan sahaja. Bererti bengkel perlumbaan mereka di Birmingham hanya boleh membangunkan jentera Manx 350/500 milik para pelanggan. Apa yang pasti, jurutera dan ketua bahagian perlumbaan baru ketika itu, Doug Hele perlu melakukan perubahan besar terutamanya pada kelajuan maksimum yang sukar menandingi para pencabarnya yang lain.

Ujikajinya yang ekstrim pernah beliau adakan ialah pada sesi latihan perlumbaan Junior TT di Isle of Man pada tahun 1960 dengan menggunakan jentera prototaip 350 Lowboy. Model ini dilengkapi dengan enjin berspesifikasi 40M tahun 1959 dan selepas mereka semula bentuk Manx Norton, ia 75mm lebih rendah berbanding biasa – sangat sesuai untuk memecut.

Model prototaip radikal ini akhirnya telah berjaya diuji secara rasminya di MIRA pada April 1960 oleh Norton bersama pelumba baru mereka, Dave Chadwick yang sepatutnya berlumba dalam Junior TT. Sayangnya Dave meninggal dunia seminggu kemudian dan menyebabkan tempatnya untuk menunggang jentera Lowboy diganti oleh Eddie Crooks yang juga pernah menang perlumbaan Manx GP bersama jentera Norton sebelum itu.

Namun begitu, Crooks hanya mampu menyelesaikan satu lap sahaja dengan kelajuan di bawah 144km/j dengan mengatakan jentera tersebut tidak sesuai untuk berlumba kerana memberi tekanan pada bahagian lengan dan bahu ketika melakukan pecutan. Crooks kemudiannya kembali menggunakan jentera 350 Manx berkerangka standard dan menamatkan perlumbaan di tempat ke-13. Pelumba MV Agusta, John Hartle menjuarai perlumbaan tersebut dengan menewaskan rakan sepasukannya, John Surtees.

Ray Amm menunggang Norton 350cc 40M Kneeler pada tahun 1953.
Ray Amm menunggang Norton 350cc 40M Kneeler pada tahun 1953.

Selepas menerima komen daripada Crooks, Lowboy terus dimajukan dan pada perlumbaan musim terakhir di Oulton Park, model ini diperkenalkan semula. Kali ini ia ditunggang oleh pelumba tempatan, Keith Terretta yang bersetuju untuk memberi saingan pada tahun 1961. Model yang diperbaiki itu telah dipasang dengan bar hendal dan tempat pemijak baru yang lebih selesa. Model ini juga memiliki pad pada bahagian tangki untuk pelumba meletakkan dagu. Nasib tidak menyebelahi Terretta apabila dia 'ditolak' keluar ketika dalam perlumbaan bersama-sama dua lagi pelumba.

Itulah kali terakhir Lowboy muncul di hadapan khalayak ramai kira-kira 40 tahun yang lalu. Walaupun tersimpan lama dan terbiar, nasib jentera ini berubah apabila ia 'diselamatkan' oleh pencinta dunia ubahsuai motosikal, Bob Collier. Dia juga warga Norton, dalam bidang Eksperimen sejak tahun 1949 dan pernah bekerjasama dengan Cyril Smith untuk mencipta sidecar yang memenangi perlumbaan 1952 Sidecar GP World Championship. Memang bukan calang-calang orangnya. Collier juga memahami kelebihan menunggang jentera rendah kerana dia juga pernah melakukannya dengan model RGC 350cc GP. Apa yang mengecewakan ialah Collier tidak mempunyai masa untuk melakukan ubahsuai pada jentera Norton tersebut. Lowboy terus 'ditelan' masa.

Pada tahun 1997, Collier akhirnya mengeluarkan semula Lowboy selepas diminta untuk dimiliki oleh pencinta motosikal dan pemilik muzium, Sammy Miller. Mereka berdua mula menjadi sahabat ketika Cullier bekerja di kilang Ariel dulu. “Memang letih untuk menyiapkan jentera ini tetapi ia sebenarnya sudah hampir siap kecuali bahagian pelana, pelindung enjin dan fairing asal,” kata Sammy yang juga memiliki empat lagi jentera dari Collier di muziumnya. Layari: www.sammymiller.co.uk!

Sammy Miller.
Sammy Miller.

“Saya dan Bob Stanley (Pakar mekanikal di muzium) telah melakukan pemulihan lebih kurang sudah empat bulan. Daripada membuat fairing replika, kami membuat keputusan untuk membiarkannya begitu sahaja – tanpa sebarang 'badan'. Beberapa tahun kemudian, saya mendapat panggilan daripada Dave Latheron dari B&J Motorcycles di Lancashire yang mengatakan dia ada menyimpan fairing asal model ini dan sudah pasti saya mahukannya. Selepas mendapat kata putus, saya memasangnya dan kini ia sama seperti yang digunakan oleh Eddie Crooks suatu ketika dulu.”

Doug Hele mereka Lowboy ini dengan mengeluarkan tangki original (24 liter) daripada tempat asal yang berada di atas kerangka kembar dan memanjangkan casis Manx Featherbed ini untuk meletakkan tangki aloi baru yang sebesar 14.7 liter yang kemudiannya dipasang terus pada bahagian kerangka – di atas kotak gear. Untuk memberi ruang bagi meletakkan karburetor, pivot lengan ayun dipanjangkan ke belakang dengan mengimpal plat pelekapnya ke bahagian bingkai.

Ini menyebabkan tapak roda juga menjadi lebih panjang daripada 1,420mm (Manx asal) kepada 1,485 (Lowboy). Ini juga membolehkan tangki minyak yang direka semula dapat dimasukkan di belakang kotak gear. Lowboy ini menggunakan fork hadapan Roadholder yang lebih pendek, ringan tetapi agak lebar dan dilindungi dengan getah. Ini juga di antara ciri-ciri jentera Moto Guzzi yang dipadankan oleh Hele pada Lowboy.

Sammy Miller (kiri) bersama Sir Alan Cathcart.

Saya dijemput untuk melakukan demo dengan 40M Lowboy ini pesta tahunan Goodwood Festival of Speed tetapi sebelum itu, perlulah kita mengenali jentera tersebut dan membuat latihan untuk menyesuaikan diri. Kami ke sebuah lapangan terbang lama berdekatan muzium dan saya perlu bersedia untuk berhadapan dengan a) meletakkan badan terus ke atas enjin untuk dapatkan posisi yang aerodinamik b) ketiadaan tangki konvensyenal membuatkan kita agak sukar untuk membelok kerana tiada apa yang boleh dikepit dengan lutut.

Ini bermakna, ia adalah corak tunggangan yang benar-benar ekstrim yang pada dasarnya penunggang perlu sentiasa membongkok dan meletakkan keseluruhan berat badan pada bahagian lengan, pergelangan tangan dan bahu. Saya juga biasa dengan posisi sebegini terutamanya ketika berlumba dahulu bersama Ducati Supermono dan amat bertuah kerana berjaya meraih banyak kejuaraan pada tahun 1990an. Tapi posisi menunggang itu amat berbeza kerana ia adalah rekaan oleh Pierre Terblanche yang cukup bijak. Penunggang setinggi 6'3” pun selesa... tak seperti Lowboy ini.

Memang rasa cukup janggal berada di atas Lowboy ini terutamanya kerana ketiadaan tangki yang amat membantu untuk menunggang dengan selesa. Saya rasa seperti motor ini belum siap untuk ditunggang dan memang cukup lenguh sekali bahagian lengan kita. Posisi menunggang ini juga menyukar kita untuk melihat ke mana arah yang hendak dituju tambahan pula topi keledar sekarang ini jauh berbeza dengan apa yang dipakai pada tahun 1960an dulu. Saya rasa pakai goggles lebih baik.

Tidak lama kemudian, saya dapati semakin selesa dengan posisi bahagian kaki – tiada tangki pun boleh kerana kerangka Featherbed masih mempunyai ruang untuk mengepit. Dulu... saya memiliki dan berlumba dengan menunggang 350 Manx dan pernah juga membeli Aermacchi (sebuah motosikal dengan silinder mendatar). Seperti menunggang Manx, enjin Lowboy cukup mantap walaupun pada putaran yang rendah.

Terdapat tanda berwarna merah pada putaran 8,800rpm tetapi saya tidak mengerahkan kuasa Manx ini ke tahap itu walaupun sewaktu berada di laluan lurus Goodwood. Saya membiarkan enjin berputar di bawah tahap itu. Sistem transmisi empat kelajuannya tepat dan lancar. Walaupun forknya pendek, tapak roda Lowboy yang panjang ini membantu kita melalui jalanan berbonggol dengan baik sekali tanpa rasa beban atau hentakan kuat pada bahagian tangan.

Lowboy ini memang cukup rendah dan saya tertanya-tanya, bagaimana perasaan Eddie Crooks ketika menaiki jentera ini terutamanya apabila berada di selekoh Ginger Hall atau di Windy Corner? Eddie meninggal dunia pada tahun 2010, tak dapatlah saya bertanya – tetapi Sammy Miller pernah berbual dengannya.

“Eddie katakan ia terlalu letih untuk ditunggang terutama sekali untuk kelajuan tinggi. Mungkin tidak begitu terasa jika berada di litar pendek tetapi untuk menghabiskan Litar TT yang sepanjang kira-kira 60 kilometer, kita perlu rehatkan diri atas tangki untuk ringankan tekanan pada bahagian pergelangan tangan. Selepas mencubanya untuk satu lap, Eddie tidak mahu menunggang jentera ini lagi.”

Dave Chadwick pula mempunyai pandangan yang berbeza selepas menguji Lowboy di litar MIRA dan mungkin kerana permukaan yang baik di litar tersebut memberi lebih keselesaan buat Dave berbanding Crooks yang terpaksa menunggang di beberapa jalan yang berbonggol. Segala usaha Doug Hele juga wajar dipuji. Dia bersungguh-sungguh untuk memperbaiki kelemahan Lowboy dan dibuktikan dengan berapa banyak masa dan modal diperuntukkan untuk tujuan itu.

Terima kasih untuk Sammy Miller yang adakan ruang khas Norton Corner di muziumnya. Para pengunjung dapat melihat ketika-tiga model Norton yang telah diubahsuai menjadi lebih aerodinamik demi mengejar impian untuk menyaingi kepantasan jentera-jentera empat silinder dari Itali dan enjin silinder kembar BMW. Bagi saya... kesanggupan dan keupayaan Eddie Crooks meratah selekoh-selekoh Litar TT dengan jentera yang meletihkan ini memang suatu yang amat mengagumkan. Ia benar-benar hero! RR

Laporan: Alan Cathcart
Kredit Foto: Kel Edge

Isu Pada

Julai 2018

Spesifikasi

Enjin:4 lejang, sistem penyejuk udara, DOHC
Gerek x Lejang:76 x 76.7 mm
Kuasa maksimum:42 bhp pada 7,800 rpm
Nisbah mampatan:10.1:1
Saspensi hadapan:fork teleskopik Norton Roadholder yang diubahsuai
Saspensi belakang:lengan ayun keluli
Tayar hadapan:2.75/300 x 19 Avon Speedmaster Mk.II
Tayar belakang:3.50 x 18 Dunlop KR124
Brek hadapan & belakang:gelendong / gelendong
Tahun pembuatan:1960

Popular

  • Dari Litar

    Voge Formica Rossa 150 Bakal Muncul di Perlumbaan CubPrix & ARRC Musim Depan

  • Warta Roda

    Honda RS150R Tiba Dengan Warna Baru

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Dari Litar

Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

Tahun 2024 juga menyaksikan rekod baru jumlah kehadiran penonton sepanjang musim ini mencecah 3,033,255 orang. Ia adalah pencapaian terbaik setakat ini sejak 75 tahun penganjuran MotoGP.

Warta Roda

Pos Malaysia Terima 1,092 Jentera Elektrik, MEV-1 Pro dari MODENAS

Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) sehingga kini telah pun menyerahkan sejumlah 1,092 unit motosikal elektrik iaitu MEV-1 Pro khusus kegunaan pihak Pos Malaysia Berhad.

Warta Roda

Operasi Khas Motosikal Besar-Besaran Bermula....

Operasi Khas Motosikal akan dijalankan secara besar-besaran bermula 1 November hingga 31 Disember di seluruh negara susulan peningkatan kadar kemalangan yang direkodkan pada tahun ini.

Dari Litar

GP Valencia 2024 Dibatalkan...Litar Untuk Pusingan Akhir Belum Dipastikan Lagi

Berikutan bencana banjir yang melanda beberapa buah bandar di Utara Sepanyol yang turut melibatkan komuniti di Valancia, pihak Dorna telah mengumumkan bahawa GP Valencia yang dijadualkan berlangsung pada 15-17 November nanti telah dibatalkan.