Honda CRF1000L Africa Twin Puaskan Penunggang Walau Ke Mana Saja
Melihat dunia adalah impian setiap para pengembara sejak ribuan tahun yang lalu. Pelbagai kaedah dan cara dilakukan untuk tujuan itu… ada yang berkelana dengan khudrat sepasang kaki, ada yang kental membelah lautan, ada juga yang menggunakan kenderaan darat dan apabila pencapaian teknologi berkembang dengan lebih pesat, laluan udara mula menjadi pilihan.
Pengembaraan motosikal juga bukanlah perkara baru, melihat kepada sejarahnya, ia telah dilakukan oleh penunggang terdahulu sejak pada tahun 1915 lagi. Pengembaraan motosikal melibatkan jenis jentera itu sendiri, kesesuaiannya untuk meredah pelbagai jenis permukaan, kemahiran dan kecekalan si penunggang dan antara yang paling penting ialah kemampuannya untuk ‘blend in’ dengan setiap golongan masyarakat tempat yang dikunjungi.
Seperti yang sedia maklum, Honda telah berjaya melahirkan jentera pengembaraan mereka sejak dari dulu lagi dan antara model paling popular ialah Honda Africa Twin yang diperkenalkan pada tahun 1988 dengan enjin bersesaran 650cc. Dua tahun kemudian, model 750cc diperkenalkan dan beberapa lagi versi 750cc dilancarkan lagi hinggalah pada tahun 2003 sebelum tiada lagi model baru Africa Twin ditampilkan.
Para pencinta motosikal khususnya peminat tegar Africa Twin di seluruh dunia terpaksa menunggu hingga tahun 2016 untuk melihat kembali kemunculan semula model ini dan ia adalah satu penantian yang cukup berbaloi. Model terbaru Africa Twin dilengkapi dengan enjin sejukan cecair, 998cc yang menawarkan kuasa tertinggi 70kW pada 7,500rpm dan tork 99Nm pada 6,000rpm.
Rupabentuk hadapan dimantapkan dengan penggunaan lampu LED yang cerah dan bergaya manakala penggunaan crash bar dan corong kemasukan udara menampakkan lagi sifat garangnya. Untuk melindungi enjinnya daripada terkena atau terlanggar batu, Honda ini dilengkapkan dengan pelindung enjin yang kukuh manakala sistem ekzosnya yang mantap menyerlah lagi rupabentuk jentera ini jika dilihat dari sisi kanan.
Apa yang cukup mengujakan iaitu, ia telah dipadatkan dengan sistem elektronik yang cukup mantap seperti Dual Clutch Transmission (DCT), Traction Control (TC), Ride by Wire dengan tiga mod tunggangan, sistem ABS, sistem saspensi boleh laras dan Selectable Torque Control. Terdapat tiga mod tunggangan iaitu Drive (D), Sport (S) dan Manual (M). Dalam mod D dan S, sistem DCT diaktifkan dan inilah satu sistem baru yang ditunggu-tunggu oleh para peminat motosikal khususnya jentera pengembaraan. Sistem yang sama dikongsi oleh model X-ADV750 yang telah kami uji beberapa bulan lalu dalam RR November 2018.
Sistem DCT membolehkan operasi penukaran gear dilakukan secara automatik dengan mengekalkan corak daya pecutan seperti mana yang kita lakukan dengan sistem transmisi manual. Menerusi sistem ini, gear akan dimasukkan pada kadar putaran enjin yang tepat secara automatik (mengikut pemilihan mod tunggangan) dan ini menjadikan kadar penggunaan bahan api cukup jimat. Dengan adanya sistem DCT ini, maka tiadalah tuas gear dan tuas klac. Namun begitu, terdapat tuas kecil yang diletakkan pada bar hendal sebelah kiri (nampak sama seperti tuas klac) tetapi ia adalah tuas brek parkir. Jangan silap ya!
Dengan menggunakan mod D, sistem transmisi akan menambah dan menurunkan gear secara automatik mengikut kelajuan/tahap rpm yang digunakan. Memang sangat menyeronokkan! Dalam mod ini juga, tahap penggunaan minyak lebih menjimatkan. Ketika mula-mula menguji kelincahan jentera ini, kami cuba membawa jentera seberat 239kg ini masuk ke bandar untuk melihat adakah ia sebuah jentera praktikal untuk pemilik urban?
Pertamanya, Africa Twin ini memang besar dan tinggi. Pelananya yang setinggi 900mm tidaklah begitu sukar untuk dipanjat dan apabila sudah bergerak, jentera ini terbukti mempunyai pengendalian yang benar-benar mesra penunggang. Selain sistem DCT yang sangat membantu jadikan setiap saat lebih lancar (tidak perlu lagi bersusah payah untuk bermain gear), ketinggian dan rekabentuknya yang ramping membolehkan Africa Twin ini ‘mengatasi’ kesesakan lalu lintas dengan pantas – kami benar-benar teruja kerana jentera 998cc ini dengan ‘selambernya’ dapat menyaingi kemampuan jentera moped.
Dengan posisi menunggang yang tinggi, kita juga dapat melihat keadaan trafik di hadapan dengan jelas – melepasi bumbung-bumbung kereta. Apa yang agak pelik ialah cermin pengadang udaranya tidak boleh dilaras, sayang sekali! Tak perlu gunakan sistem elektronik, manual macam Honda X-ADV pun dah cukup. Jika menceritakan tentang keselesaan, ia memang amat berguna sekali. Kalau berada di dalam bandar, cermin boleh diturunkan agar kita dapat tiupan udara dari depan tetapi apabila bersedia untuk memecut di lebuhraya, cermin ini dinaikkan semula.
Dengan menukar kepada mod ‘S’ iaitu Sport, karaktor enjin dan sistem DCT terus bertukar serta merta. Kita boleh menarik kekuatan enjin Honda ini pada kedudukan rpm lebih tinggi berbanding mod D. Dalam mod ini, terdapat tiga jenis tahap pilihan dengan tahap putaran rpm yang berbeza. Dalam tahap tertinggi, Africa Twin ini dapat dipecut pada kelajuan sekitar 218km/j dengan cukup cepat. Sekali pulas sahaja, Honda ini 'berlari' begitu gagah sekali. Oleh kerana kerangkanya yang tegar, Africa Twin ini dirasakan cukup tegap sekali membelah angin.
Panel meter Honda Africa Twin memberi paparan yang kemas dan senang dilihat. Ia disempurnakan dengan penunjuk tahap kelajuan, rpm, posisi gear, tahap bahan api, mod tunggangan (S,D,G), jarak perjalanan, trip, purata perjalanan, purata bahan api, traction control (T) dan suhu enjin. Semuanya mudah untuk kita baca.
Untuk laluan-laluan berselekoh, jentera ini bolehlah kami katakan di antara model dual-purpose yang paling seronok ditunggang. Sistem DCT membolehkan kita memberi tumpuan penuh pada posisi miringan dengan baik dan apa yang paling kami suka ialah kebijaksaan sistem ini yang cukup mementingkan keselamatan penunggangnya. Walaupun dalam mod D atau S (transmisi auto), kita masih dapat menurunkan gear dengan menggunakan suis (-) yang terdapat pada bar hendal sebelah kiri. Dengan itu, jika kelajuan masih tinggi ketika di selekoh manakala sistem DCT belum berinteraksi lagi, penunggang tetap dapat memilih gear yang sesuai dengan menekan suis tersebut. Inilah yang membuatkan perjalanan dengan Honda ini lebih terjamin.
Selepas mengharungi lebih daripada 180 kilometer di jalanan berselekoh dan lebuhraya, kami menukar laluan ke beberapa laluan offroad untuk merasakan beberapa lagi kecekapan sistem elektronik yang dipadatkan pada jentera ini. Untuk lebih pantas di laluan ini, kita boleh mematikan sistem ABS pada tayar belakang agar ia tidak mengganggu pergerakan. Kita hanya perlu menekan suis ABS sehingga penunjuk ABS OFF berkelip dan lepaskan suis tersebut. Apa pun, setiap kali jentera ini dimatikan, fungsi sistem ABS ini akan kembali hidup seperti biasa. Kita juga boleh menukar karaktor jentera ini untuk lebih ‘sedap’ ditunggang di laluan sukar dengan menekan suis G (Gravel) yang terletak di bahagian hadapan sebelah kanan jentera ini.
Konfigurasi casis Honda ini direka dengan sebaiknya untuk mengharungi laluan sukar dan dengan ketinggian tempat pemijak yang boleh dikatakan sempurna, kami dapat berdiri dengan sangat selesa untuk mendapatkan kestabilan yang lebih baik sewaktu menangani laluan berbatu, berlopak dan berlumpur. Di sinilah sistem saspensi hadapannya (fork teleskopik 45mm jenis Showa) dan lengan ayun aluminium dengan peredam bergas membuktikan kecekapannya menyerap segala hentakan dengan cemerlang sekali. Tidak kiralah anda menunggang solo atau berdua, Honda ini sentiasa memastikan perjalanan terus selesa sepanjang masa.
Honda Africa Twin dikemaskan dengan tayar-tayar bersaiz 90/90-21 dan 150/70-R18 (jenis tiub) yang mencengkam segala jenis permukaan jalan dengan baik. Ia juga mempunyai jarak kelegaan bumi yang tinggi (210mm) yang menjadikan bahagian bawah jentera ini tidak mudah tersangkut pada akar kayu atau batu-batu… ternyata tiada laluan sukar untuk Africa Twin.
Jentera ini turut dilengkapkan dengan Selectable Torque Control yang akan mengawal tahap kuasa pecutan dengan mengenal pasti kadar kegelinciran di antara tayar hadapan dan belakang. Contohnya, jika tayar belakang kehilangan daya geserannya (di permukaan licin/berpasir), sistem ini akan mengawal jentera agar terus stabil. Terdapat tujuh tahap yang boleh kita gunakan dengan menekan suis di bahagian depan bar hendal sebelah kiri. Tahap-tahap ini boleh dipilih mengikut kemahiran tunggangan masing-masing dan kesukaran laluan yang dihadapi.
Biasalah… ada kalanya kita perlu mendaki sedikit - mahu mencabar diri dan jentera ini dan jika ingin berehat serta meletakkan jentera ini di permukaan bersudut, gunakan brek parkir yang telah dilengkapkan pada jentera ini. Tuas brek ini terletak di posisi klac cuma ia jauh untuk ditarik kecuali ketika ingin parkir. Honda sengaja menjauhkan jarak tuas brek parkir ini kerana ingin elakkannya daripada ianya ditarik - kerana bagi mereka yang baru mengenali jentera ini, mungkin sudah biasa dengan sistem klac untuk menukar gear. Kalau ditariknya brek ini ketika jentera sedang bergerak – buruk padahnya.
Selepas puas dengan mod S, D dan G… kami akhirnya bertukar kepada mod M (Manual) untuk merasakan kuasa hantarannya dengan memulas pendikit ke tahap maksimum. Ahhh… Memang jelas amat berbeza. Dengan penggunaan suis (+/-) yang dilengkapkan pada jentera ini, kita dapat mengekalkan kedudukan gear dan tahap rpm mengikut keselesaan diri. Kita juga dapat merasakan kuasa enjin yang mampu dijana ke tahap maksimum tanpa ‘campur tangan’ daripada sistem DCT. Selepas hampir seharian menunggang jentera ‘automatik’… seronok juga kita bermain gear apabila masuk semula ke laluan berselekoh.
Penggunaan bahan api memang ‘wow!’ Dengan isian penuh tangki sebesar 24 liter boleh membawa kita mengembara lebih daripada 300 kilometer tanpa masalah. Posisi menunggangnya yang selesa membuat setiap kilometer dirasakan tidak pernah puas. Ternyata penantian untuk melihat kemunculan semula model Africa Twin ini cukup berbaloi dan memuaskan hati.
Terdapat dua versi boleh dipilih iaitu Africa Twin Adventure Sport Manual yang dipasarkan pada harga RM76,699 manakala model Africa Twin Adventure Sport DCT pula berharga RM86,299. Kunjungi Honda Big Wing berdekatan anda untuk melihat dengan lebih dekat jentera yang cukup mantap ini. RR
Popular