Modenas Elegen 250 Tangkas & Bergaya
Berbicara mengenai skuter keluaran Modenas, semestinya kita sudah tidak asing lagi dengan model Elegan. Skuter ini mula diperkenalkan pada tahun 2004 dengan enjin bersesaran 150cc dan sememangnya ia disasarkan buat para peminat motosikal yang ingin menunggang jauh dan mengembara. Sekelip mata, Elegan terus mendapat perhatian! Ia lancar, jimat, mempunyai ruang bawah pelana yang luas dan tubuh badan yang tegap. Kegagahan jentera ini terbukti apabila ianya dibawa menjelajah dari Kuala Lumpur hingga ke sempadan negara China oleh saudara Mazlan (Roda Roda Mac 2009 Bil:269).
Enam tahun kemudian (2010), Modenas memperkenalkan pula Elegan 200 yang menawarkan rekaan lebih anggun dan menarik. Perubahan rekabentuk drastik telah dilakukan ketika itu agar ia lebih segar, lebih ranggi dan lebih sesuai dengan peredaran semasa. Dengan bentuk serba baru dan ciri-ciri menarik, Elegan 200 sekali lagi menambat hati para penunggang motosikal di Malaysia. Bukan terlalu memuji tetapi apabila kita masih dapat melihat jentera auto ini meluncur deras di jalanan hingga ke hari ini, ia bererti kejayaan!
Tahun 2004 (150cc)... 2010 (200cc)... dan terbaru 2016! Elegan 250 diperkenalkan dengan spesifikasi enjin dan peningkatan kualiti pembuatan yang kini mencapai tahap yang cukup membanggakan. Skuter maksi ini menawarkan enjin bersesaran 249.1cc yang berkuasa setinggi 16.5kW pada 7,000rpm dan tork 22.4Nm pada 6,500rpm – cukup bertenaga untuk membawa sebuah jentera 193kg. Ruang penunggangnya cukup luas dan amat-amat kami sukai. Tidak kiralah anda seorang yang bersaiz kecil atau si tinggi lampai, menunggang Modenas ini memang cukup selesa.
Pelananya empuk, lutut kita bebas bergerak ke mana sahaja – sesuai untuk para pengembara. Untuk memudahkan pemiliknya, corong mengisi petrol Elegan ini diletakkan di bahagian hadapan yang boleh dibuka dengan menggunakan kunci. Berbanding tangki model 200cc yang hanya sebesar 7.6 liter, model baru ini mempunyai tangki lebih besar (12.5 liter) memang sesuai untuk jalan jauh. Jika membuat bayaran menggunakan kad kredit, memang tak perlu turun langsung tetapi kalau bayar guna tunai... kena jalan jugalah ke kaunter. Tapi... ia tetap mudah!
Panel meter LCD Modenas ini memang boleh dapat markah penuhlah! Ia cukup terang, jelas dan lengkap. Dua buah meter analog di kiri dan kanan menunjukkan tahap kelajuan dan putaran rpm. Di tengah-tengah meter ini terpapar skrin berlatar belakang putih lengkap dengan info-info penting seperti suhu enjin, jarak perjalanan, trip, masa, talaan dan tahap bahan api. Memang sangat jelas meter ini tidak kiralah kita menunggang di waktu malam atau siang. Ruang hadapannya juga boleh dibuka untuk kita menyimpan barangan kecil seperti sarung tangan, telefon pintar siap dengan unit penyambung USB untuk kemudahan penunggang.
Untuk disesuaikan dengan trend dan citarasa terkini, Elegan 250 terbaru menggunakan lampu utama jenis LED yang cantik dan terang. Rekabentuk lampu belakang pula sangat unik bagaikan huruf 'X' – sesiapa yang melihatnya pasti kenal ia adalah sebuah Modenas Elegan 250 terbaru.
Pelananya setinggi 780mm, sesuai untuk semua! Buka sahaja pelana, sekali lagi kami tersenyum kerana ruang simpanan barangnya sangat besar. Bukan setakat mudah ke tempat kerja... kalau nak pergi mengembara dalam seminggu pun tiada masalah. Baju, baju hujan, alat solek, sarung tangan, buku, seluar, kamera, komputer riba... semuanya boleh kita simpan dengan selamat! Nak bawa buah hati ke pasar pun boleh... setakat beberapa barangan dapur tu tidak mendatangkan masalah buat Elegan.
Seperti kebanyakan jentera automatik lain, kita perlu menarik tuas brek terlebih dahulu sebelum menghidupkan Modenas Elegan ini. Ah... bunyinya yang segar dan mantap sekali mengajak kita untuk memilih destinasi untuk dilawati. Dengan kuasa enjinnya yang cukup kuat, kita dapat memecut dari kedudukan sifar kepada 70km/j hanya dalam lima saat sahaja. Cermin pengadang angin yang tinggi dan lebar membenarkan udara melalui bahagian hadapan skuter ini dengan lancar - terus melepasi kepala! Penunggang Elegan akan nikmati bahawa mereka tidak akan 'ditampar' teruk oleh angin! Yang ini kami jamin.
Apa yang cukup kami suka ialah ketegapan Elegan ini untuk berada di laluannya dalam semua kelajuan – terima kasih kepada kerangkanya yang tegar sekali. Walaupun ia sebuah mesin automatik, Elegan mampu memecut ke tahap maksimum (130km/j) tanpa goyang dan terhoyong-hayang. Apa yang sedikit 'terganggu' ialah sistem transmisinya (CVT) yang berbunyi agak kuat apabila putaran enjin mencecah 6,500rpm. Kami turunkan semula kelajuan untuk beberapa saat kemudian memerah semula pendikit. Ya... keadaan yang sama berlaku. Enjin masih galak, pendikit masih mampu dipulas cumanya bunyi di bahagian enjin terdengar sedikit kuat. Kami pulas semula sehingga melepas 6,700rpm – barulah gegaran dan bunyi tadi telah hilang. Diharap pihak Modenas dapat meneliti masalah ini.
Modenas ini memang besar tetapi saiznya masih ideal untuk kegunaan di bandar. Kita masih dapat mencelah tanpa sebarang masalah manakala kuasa torknya yang tinggi memudahkan kita membuat pecutan berbanding jentera-jentera yang menggunakan sistem gear. Bak kata orang putih, Just Twist....and Go! Selepas berpuas hati dengan prestasi Modenas ini di bandar, kami menukar haluan masuk lebuhraya seterusnya ke kawasan yang lebih mencabar untuk menguji sama ada, adakah Elegan juga mantap di jalanan berselekoh?
Dengan lampu yang terang, penunggang Elegan 250 ini mampu menarik perhatian kenderaan dari hadapan. Kita boleh berada di lorong laju dengan selesa tetapi harus sentiasa beringat kerana tidak semua kenderaan yang dapat mengagak kelajuan sesebuah motosikal. Terlalu banyak kes kemalangan berlaku disebabkan adanya kenderaan yang menukar laluan sesuka hati dan tanpa memberi sebarang isyarat. Memang cukup bahaya… jadi berhati-hatilah.
Elegan dilengkapi dengan tayar-tayar bersaiz 120/80-14 (depan) dan 150/70-13 (belakang) yang menggigit permukaan jalan dengan baik. Kita sedar ia bukanlah sebuah jentera bertransmisi untuk kita melakukan brek enjin tetapi dengan kawalan posisi badan, penggunaan brek yang tenang, skuter 250cc tetap memberi keterujaan. Oleh kerana tiada bahagian untuk dikepit, penunggang perlulah menggunakan imbangan badan jika ingin mengambil selekoh panjang dalam kelajuan tinggi.
Melayan jalan-jalan berselekoh memang mengasyikkan tambahan pula sistem saspensinya menyerap hentakan dengan baik sekali. Fork teleskopik hadapan boleh dipuji atas dua sebab utama. Pertama sekali, ia membantu kami kekal di dalam laluan walaupun sesekali jentera ini perlu dimiringkan agak dalam dan kedua ialah proses penyerapan yang berjaya dibuat ketika kami membrek dengan keras. Jentera seberat 193 kg ini langsung tidak terasa seperti ingin 'melontarkan' kita ke depan walau selepas membrek dengan keras.
Modenas ini didatangkan dengan brek-brek cakera bersaiz 260mm (depan) dan 240mm (belakang) yang lengkap dengan sistem pengawalan brek empat peringkat cengkaman. Memang terbukti berkesan. Brek-brek yang efisien amat diperlukan oleh sebuah skuter maksi seperti Elegan ini. Mengapa? Ini kerana Elegan cukup pantas... Elegan bakal dibawa mengembara ke destinasi berbagai jenis jalan... dan akan ditunggangi oleh semua jenis penunggang. Mungkin boleh dicadangkan agar Modenas dapat menyempurnakan model ini di masa akan datang dengan sistem ABS?
Dengan isian penuh tangki 12.5 liter, kita dapat bersama-sama Elegan 250 ini untuk suatu perjalanan lebih daripada 220 kilometer dengan mudah. Model ini ditawarkan dalam dua warna iaitu putih dan hitam serta boleh dimiliki pada harga RM13,999.80 (termasuk insurans).
Kerjasama yang terjalin di antara Modenas dan pengeluar utama skuter Taiwan, Kymco jelas telah mula menampakkan perubahan positif pada produk-produk yang diperkenalkan. Elegan 250 baru ini tidak terkecuali dan dapat dilihat menerusi kecekapan sistem brek dan saspensi bertindak dalam beberapa situasi. Tahniah Modenas!
Sememangnya menunggang Modenas ini amat menggembirakan tambahan pula ia membantu menjadikan pengembaraan lalu lebih bermakna dengan penjimatan bahan api yang optimum. RR
Spesifikasi
Enjin | 4 lejang, sistem penyejuk cecair, SOHC |
Isipadu | 249.1cc |
Gerek x Lejang | 73.7 x 60.0mm |
Kuasa maksimum | 16.5kW pada 7,000rpm |
Tork maksimum | 22.4Nm pada 6,750rpm |
Transmisi | CVT |
Isi tangki | 12.5 liter |
Tinggi pelana | 780mm |
P x L x T | 2,235 x 810 x 1,375mm |
Berat basah | 227kg |
Popular