KTNS Rhino 125 Lagak, Lincah... Lawa!
Dari jauh memang nampak macam motosikal naked berkuasa 796cc tetapi bila semakin dekat baru kita dapat pastikan bahawa ia adalah sebuah jentera fun bike terbaru keluaran KTNS Holdings Sdn Bhd yang diberi nama Rhino125. Menurut Pengurus Besar Jualan dan Pemasaran KTNS Holdings Sdn Bhd, En. Alan Lee, model ini akan berada di pasaran negara bermula April ini dan ditawar pada harga disyorkan RM6,800 (tidak termasuk GST). Boleh tahan juga!
Sememangnya motosikal fun bike sudah mula mendapat sambutan di negara kita terutamanya di tengah-tengah metropolitan seperti di Kuala Lumpur. Fun Bike merupakan jentera pilihan buat mereka yang ingin menunggang dalam kadar jarak yang sederhana, dalam bandar, kenderaan untuk bersantai dan buat mereka yang sedang belajar di pusat pengajian tinggi. Selain seronok ditunggang, jentera sebegini memang cukup mudah untuk dikendalikan - tidak kira siapa. Rhino 125 hanya seberat 102kg, mudah untuk kita tolak, ubah atau angkat sekalipun jika perlu.
Pelana empuknya mudah untuk dipanjat dan seperti jentera jalanan lain (yang lebih besar), posisi menunggangnya yang natural adalah satu lagi kelebihan jentera seperti ini. Berbanding dengan kebanyakan model fun bike lain yang menggunakan klac, Rhino menggunakan sistem gear sama seperti motosikal moped biasa. Memang tak ada pun tuas klac. Lampu utama model ini kemas dan memberi suluhan yang cukup terang manakala panel meternya ringkas tetapi memberikan info yang sudah mencukupi. Ada penunjuk posisi gear, tahap bahan api, penunjuk rpm, jarak perjalanan, masa dan kelajuan.
Benar namanya Rhino, namun begitu model ini tidak besar, comel sahaja! Pandangan dari sisinya kemas dan bergaya. Rekabentuk tangki, kerangka trellis, fork hadapan yang tegap serta sistem ekzos yang bersaiz besar. Kualiti buatannya memang boleh dipuji! Rhino boleh dihidupkan dengan sistem elektrik. Dengan saiz tapak roda 1,211mm, ia memang cukup sesuai untuk tunggangan bandar dan kelajuan sederhana. Hidupkan enjin dan ayuh!
Apa yang agak mengejutkan ialah pada permulaan gear pertama. Ia agak tersentak seperti kita terlepas klac secara tidak sengaja cuma bezanya enjin tetap bergerak dengan lancar. Rhino didatangkan dengan sistem transmisi empat gear dengan tuas gearnya seperti motosikal jalanan biasa. Ini bermakna, kita perlu mencungkil tuas ini ketika menurunkan kedudukan gear. Memang pada mulanya agak kekok tambahan pula dengan ketiadaan tuas klac. Selepas beberapa kali mencuba, barulah kami dapat membiasakan diri dengannya.
Enjin 125cc, satu silinder, 4 lejang dengan sistem penyejuk udara ini tidak mengecewakan. Walaupun hanya berkuasa 8.3hp pada 7,500rpm, enjin Rhino tidaklah dirasa terlalu malas tetapi penunggang sendiri perlu bangkitkan sifat nakal KTNS ini dengan bermain gear dan pendikit dengan lebih agresif. Pulas pendikit lebih galak, rancakkan 'permainan' gear dan kita akan rasakan jentera 'kecil' ini beraksi dengan begitu lincah sekali.
Secara amnya, Rhino bukan motosikal pecut. Namun begitu, kami cuba untuk melihat sepantas mana jentera 125cc ini boleh 'lari'. Jawapannya... boleh tahan! Ia mampu memecut sepantas 98km/j tanpa sebarang gegaran yang menakutkan. Walaupun kecil, ketegaran casis KTNS ini banyak membantu untuk berada di atas lebuhraya dengan yakin sekali.
Hampir setiap motosikal yang memintas kami akan memperlahankan kelajuan untuk melihat dengan lebih dekat, motor apa yang kami tunggangi itu. Ada yang tersenyum sambil tunjuk tanda bagus, ada pula yang bagi isyarat 'angkat bahu' dengan gerakan mulut, “Motor apa tu?” Apa yang boleh dipertingkatkan ialah cermin sisinya yang agak kecil dan sukar untuk penunggang melihat keadaan trafik di belakang.
Urban adalah tempat terbaik untuk kita 'layar'kan jentera ini. Kuasa tork untuk model ini ialah 9.3Nm pada 6,500rpm dan sudah cukup mantap untuk kita memecut dan bergerak dengan lancar di dalam kesesakan lalulintas. Dengan bar hendal yang lebar, jentera ini amat mudah dikawal ketika mencelah di tengah kota walaupun ada masanya kita akan menurunkan kelajuan dengan rendah sekali. Enjinnya tidak dilindungi dengan belly pan, agak merisaukan jika perlu memanjat ke bahagian jalan yang lebih tinggi. Kami berharap saiz kelegaan buminya (150mm) membantu elakkan enjin daripada terhantuk atau tersangkut.
Walaupun ia kecil molek, KTNS telah melengkapkan jentera ini dengan sistem brek jenis cakera di depan dan belakang – kami rasakan brek belakang berfungsi lebih efisien berbanding brek hadapan. Hanya perlu tekan sedikit sahaja untuk rasakan cengkaman yang kuat. Sifat semulajadi fun bike mestilah lincah dan pantas. Kita dapat rasanya dengan Rhino ini. Baringkan sahaja jentera ini ke kiri atau ke kanan atau beratkan bar hendalnya ke bahagian mana sekalipun, motosikal genit ini mengikut kehendak kita tanpa sebarang keraguan sama sekali.
Mungkin kerana Rhino ini agak ramping, cermin sisinya tidak memberikan gambaran jelas apa yang berlaku di belakang. Kami perlu membelek agak lama cermin sisi untuk memastikan keadaan jalan benar-benar selamat sebelum membelok atau memintas.
KTNS ini memiliki tayar hadapan dan belakang sama saiz iaitu 120/70-12 dan ia amatlah sesuai dengan saiz Rhino ini. Prestasi Rhino ini di jalanan berselekoh agak di luar jangkaan. Disebabkan pusat gravitinya agak rendah, Rhino ini sangat stabil, mantap dan cukup 'sedap' untuk dimiringkan. Kadar brek enjinnya juga tidak terlalu keras dan dengan adanya penunjuk gear, kita dapat membuat pengiraan yang bertepatan untuk masuk/keluar selekoh dengan selamat.
Sekadar perkongsian, kadar keterujaan menunggang sesebuah motosikal perlu diselarikan dengan kebijaksaan seseorang penunggang itu terhadap jenis motosikal dan persekitarannya. Benar... bermain di selekoh memang seronok dan Rhino ini juga tidak terkecuali cuma usah terlalu terbawa-bawanya. Tidak kira motor apa yang kita 'bawa', 1000cc atau 125cc sekali pun, hati-hatilah dan kenali jalan itu terlebih dahulu.
Tangki 12 liter milik Rhino ini mampu membawa kita bergerak sekitar 140 kilometer. Memang jimat cuma saiznya yang kecil agak meletihkan untuk suatu perjalanan jauh. Oh ya... ia bukan dicipta untuk mengembara. KTNS Rhino ini adalah sebuah motosikal pilihan buat mereka yang inginkan sebuah jentera tunggangan santai tetapi dapat dilakukan dengan seronok dan bergaya.
Dengan harga yang ditawarkan, KTNS Holdings Sdn Bhd memberi waranti kilang selama setahun atau 10,000 kilometer (yang mana terdahulu) buat mereka yang membeli model ini. Rhino didatangkan dalam dua warna iaitu Merah dan Hitam. RR
Spesifikasi
Enjin | silinder tunggal, empat lejang, sistem penyejuk udara |
isipadu | 125cc |
Gerek x Lejang | 77mm x 53.6mm |
Kuasa maksimum | 6.2kW pada 7,500rpm |
Tork maksimum | 9.3Nm pada 6,500rpm |
Penghidup | elektrik |
Kelegaan bumi | 150mm |
Berat kering | 102kg |
P x L x T | 1,770 x 757 x 885mm |
Tapak roda | 1,211mm |
Popular