1000 Kilometer Penuh Keseronokan Bersama Yamaha T-Max 530
Jika pernah ke Eropah, kita akan dapati mengembara ribuan kilometer dengan sebuah skuter maksi adalah satu perkara biasa. Jentera-jentera ini bukan sahaja dibawa di lebuhraya tetapi juga cukup popular untuk mendaki ke kawasan pergunungan. Kekuatan kuasa hantaran dan tahap praktikaliti sesebuah skuter adalah sebab utama ia dipilih untuk menjelajah ribuan kilometer serta menjadi pilihan utama buat para eksekutif yang juga peminat motor untuk ke tempat kerja.
Dalam pasaran negara, kita dapat melihat persaingan untuk model ini ialah BMW C 650 Sport, BMW C 650 GT, Suzuki Burgman 400 dan Kymco Xciting 400 yang kesemuanya mempunyai ciri-ciri menarik tersendiri. Ok... TMax mula diperkenalkan ke mata dunia pada tahun 2001 dan dengan pantas ia mendapat sambutan yang cukup positif dari para peminat motosikal di seluruh dunia. Pada tahun yang sama juga, pasukan pembangunan skuter ini telah menerima anugerah 'Good Design Award' di Jepun dan Yamaha Design Studio telah memenangi pertandingan Red Dot untuk rekabentuk TMax pada tahun 2012.
Perjalanan untuk menikmati model TMax 530 2016 ini sememangnya dirasakan cukup sesuai. Dari tengah kota, TMax dihalakan sedikit ke selatan, kemudian kembali ke Selangor dan terus ke Perak. Sehari suntuk di Perak dan berpatah balik ke Kuala Lumpur. TMax diuji dengan menggunakan jalan lama dan lebuhraya untuk jarak keseluruhan kira-kira 1,140 kilometer.
Berbanding 'adiknya' XMax, ruang barang bawah pelana TMax agak kecil. Tidak dapatlah 'bermewah-mewah' mengisi barang untuk pengembaraan. Cukuplah untuk mengisi pakaian buat dua orang (tiga hari perjalanan), dua set baju hujan dan beg kecil (mengisi kamera, pengecas, beg duit, telefon pintar). Ruang kecil di bahagian depan penunggang boleh diisi dengan air tin dan sarung tangan.
TMax menggunakan sistem kunci pintar yang memang amat memuaskan hati. Sistem elektronik pada jentera dan kunci akan berinteraksi satu sama lain pada suatu jarak yang telah ditetapkan. Sebaik sahaja sistem ini aktif, barulah kita dapat menghidupkan enjin, mengunci hendal, membuka pelana dan mematikan enjin. Suisnya berbentuk bulat dan ia berada di depan penunggang. Pada kunci pintar ini, terdapat satu anak kunci yang digunakan untuk membuka penutup petrol.
TMax menarik minat setiap mata yang melihatnya. Rupabentuknya yang tegap dan sasa serta kemantapan sistem ekzos adalah faktor paling utama. Lampu utamanya mengingatkan kita dengan model Yamaha FZ1 yang dahulunya antara model jalanan yang cukup popular. Cermin pengadang udara yang tinggi sangat membantu untuk perlindungan kepada penunggang dalam waktu hujan dan ketika memecut. Melihat kepada ruang kakinya yang luas, tidak hairan mengapa TMax begitu disukai oleh para pengembara di Eropah yang kebanyakannya tinggi lampai.
Seperti mana-mana model skuter lain, tuas brek perlu ditarik untuk kita menghidupkan enjin. TMax disempurnakan dengan enjin empat lejang, sistem penyejuk cecair DOHC yang sangat lancar. Walaupun masih dalam keadaan melahu, bunyi TMax ini memang sudah cukup mantap, seolah-olah memberitahu kita kekuatan kuasa hantarannya yang akan hadir pada bila-bila masa. Melompat di atas skuter maksi ini memberi rasa cukup bergaya dan mewah... sesuai dengan harganya di dalam lingkungan RM70,000.
Enjin 530cc TMax ini mampu memberi kuasa maksimum setinggi 45.8hp pada 6,750rpm dan tork 52.3Nm pada 5,250rpm yang dapat kita rasakan sebaik sahaja pendikit dipulas. Dengan begitu pantas, skuter Yamaha ini memecut ke hadapan mencapai 120km/j kurang daripada 10 saat dan tubuh badannya yang tegap serta berkeberatan 220kg, menunggang laju di lebuhraya adalah kemuncaknya. Kelajuan tertinggi yang dapat kita nikmati ketika menunggang solo ialah 180km/j manakala jika menunggang berdua, kami dapati ia berkurang sedikit kepada 168km/j. Apa pun, ia sudah cukup laju sekali untuk kita memilih di lorong paling kanan sekali dan dengan memiliki lampu-lampu LED yang cukup terang, kehadiran TMax ini mudah disedari oleh para pengguna lebuhraya lain.
Sudah agak lama juga kami tidak ke Port Dickson. Walaupun hari masih awal, kami 'bertemu' dengan banyak rakan-rakan motosikal di lebuhraya yang menuju ke destinasi yang sama. Ternyata, ruang rehat R&R Seremban menjadi 'check point' paling mudah bagi kebanyakan penunggang untuk berkumpul. Kumpulan pemilik Yamaha Y15ZR adalah yang paling banyak – memang popular dan memang laju. Berharap semua penunggang motosikal agar sentiasa berwaspada untuk tiba di setiap destinasi dengan selamat.
Memang seronok menunggang dan beristirehat di PD tambahan pula, pelbagai aktiviti dapat dilakukan di sini. Dengan penambahan hotel-hotel penginapan, chalet-chalet dan ruang perkhemahan, PD kini menerima semakin banyak tetamu dari dalam dan luar negara. Diharap para pencinta motosikal yang beriadah ke sana dapatlah menjaga kebersihan dan tingkah laku. Jangan berlumba, mencilok dan meletakkan motosikal sesuka hati. Biar netizen hormat dan memandang tinggi para penunggang motosikal.
Selepas puas bersiar-siar dan menjamu selera, TMax diarah semula ke Kuala Lumpur dan sekali lagi pecutannya di lebuhraya membuatkan perjalanan lebih pantas. Posisi pembonceng yang selesa turut menjadikan TMax sebagai teman untuk bergerak jauh bersama kenalan atau pasangan. Apa yang sedikit mengganggu ialah cermin sisinya yang sedikit kecil dan jaraknya agak jauh untuk diubah. Kita terpaksa membongkok sedikit ke hadapan untuk menyentuh cermin sisi ini – mungkin memberi sedikit kesukaran bagi sesetengah penunggang untuk membetulkannya ketika jentera sedang bergerak.
Kami kemudiannya menunggang di tengah-tengah kotaraya Kuala Lumpur dan pada mulanya mendapati memang kami alami sedikit kesukaran dek kerana tubuh TMax yang besar dan lebar ini. Bila sudah mula serasi dan dapat menyesuaikan diri, barulah TMax ini cekap menangani kekalutan yang dihadapi di tengah-tengah bandar.
Selepas hampir dua jam menunggang di dalam bandar, kami berpendapat model XMax lebih sesuai untuk tunggangan urban. Penggunaan bahan api dirasa agak kuat. Tidak sampai 220 kilometer lagi pun tanda amaran telah terpapar. Untuk mengisi petrol memang sangat mudah. Gunakan kunci untuk membuka penutup tangki yang terletak di depan pelana dan jika bayar guna kad kredit/debit, memang kita tidak perlu turun. Sistem penyejuknya jenis cecair dan dibantu dengan kipas kecil agar tahap suhu enjin sentiasa konsisten dan terkawal.
Dari kota metropolitan, kami memasuki lebuhraya untuk ke Perak. Menunggang di waktu petang memang sangat mengujakan kerana tiada lagi terik sinar matahari yang diganti dengan alam yang semakin redup. Apabila menunggang di dalam cuaca yang sejuk dan selesa, kami ingin benar jika cermin pengadang udara TMax ini boleh dilaraskan secara automatik atau sistem manual yang mudah. Posisi menunggang yang selesa membolehkan kita menyimpan tenaga yang banyak agar dapat melakukan pelbagai aktiviti setibanya di mana-mana destinasi.
Dari Puncak Alam ke Port Dickson, berpatah balik ke Kuala Lumpur dan kemudiannya menuju ke utara Perak. Kami membuat keputusan untuk keluar ke Bidor dan meneruskan perjalanan menggunakan jalan lama yang pastinya lebih dingin dan menarik. Kini hari sudah menjelang malam dan kami membuat keputusan untuk berehat di Simpang Pulai selepas seharian perjalanan dengan jarak tercatat di paparan Trip 1, 431kilometer.
Hanya dengan sekali tekan, enjin TMax ini bergetar penuh semangat untuk meneruskan perjalanan. Secara kebetulan, kami berselisih dengan beberapa pemilik skuter maksi yang menuju ke selatan dan setuju atau tidak jika kami katakan, berkonvoi atau pengembaraan bersama jentera skuter semakin digemari di kalangan para peminat motosikal di Malaysia sekarang ini.
Skuter Yamaha yang dilengkapi dengan tayar-tayar bersaiz 120/70-15 (depan) dan 160/60-15 (belakang) yang memiliki cengkaman cukup mantap ketika kami menuruni kawasan berbukit selepas Terowong Menora di lebuhraya. Kita dapat mengekalkan kedudukan jentera ini di laluan yang selamat tanpa perlu bersusah payah dan dengan luasnya ruang kaki, kita juga dapat 'bergerak' dengan mudah untuk dapatkan posisi terbaik untuk meleper. Sistem saspensi yang dilengkapkan pada TMax ini menambah kemantapan sebuah jentera skuter maksi dari yang baik kepada yang lebih baik. Tidak hairanlah, dengan TMax ini kita mampu menyaingi ketangkasan jentera-jentera pengembaraan dan superbike ketika mendaki.
Menggunakan jalan lama dari Kuala Kangsar – Bukit Gantang – Air Kuning - Taiping memang sesuai dengan TMax. Walaupun jalannya tidak begitu besar, arus trafik yang tenang adalah pilihan terbaik bagi mereka yang ingin melihat keunikan serta ketenangan hidup di luar kota pesat. Masyarakat di sini nampak lebih relaks, tidak kelam kabut dan stress seperti mana yang dialami oleh penduduk kota terutamanya di waktu-waktu puncak.
Jentera TMax ini dikagumi setiap orang yang melihatnya dari dekat. Bukan mudah nak tengok skuter 530cc yang sama harga dengan sebuah kereta di depan mata. Kami kemudiannya diuji dengan hujan yang sangat lebat tetapi mujurlah TMax tegap, memiliki cermin pelindung yang besar dan sistem ABS yang benar-benar cemerlang di dalam hujan. Bak kata peribahasa melayu, 'Alah membeli, menang memakai.” Biarlah kita terpaksa membayar harga yang lebih sedikit, asalkan barangan itu bermutu dan tahan lama.
Siapa sangka hanya dalam masa dua hari, TMax telah dibawa ke pelbagai daerah di tiga buah negeri dengan jarak lebih seribu kilometer dan kami (penunggang dan pembonceng) masih segar dan terus bersemangat untuk menyambung sebarang jenis aktiviti. Ini adalah bukti mengapa TMax terus digilai sejak di awal pengeluarannya dulu hingga kini. TMax praktikal, laju dan sangat selesa. RR
Spesifikasi
Enjin: | 4 lejang, sistem sejukan cecair, DOHC |
Gerek x Lejang: | 68.6 x 73 mm |
Kuasa maksimum: | 45.86 hp pada 6,750 rpm |
Tork maksimum: | 52.3 Nm pada 5,250 rpm |
Saspensi belakang: | fork teleskopik 43mm |
Saspensi belakang: | lengan ayun |
Tayar hadapan: | 120/70-15 |
Tayar belakang: | 160/60-15 |
Brek hadapan & belakang: | cakera 267mm dengan ABS / cakera 282 mm dengan ABS |
Isi tangki: | 15 liter |
Popular