Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 28 Oktober 2020

Suzuki V-Strom 650: Mantap & Mengasyikkan

Kali pertama kami menunggangnya ialah ketika ia diperkenalkan di Litar GoKart Antarabangsa Sepang tahun lalu. Walaupun tidaklah begitu lama, sesi tunggang uji singkat tersebut sudah memberikan kami pulang dengan penuh senyuman. Sememangnya tidak mudah untuk kita lupakan pengalaman bersama sebuah jentera yang mantap dan mengasyikkan. Itulah dia Suzuki V-Strom 650.

V-Storm dilancarkan pada tahun 2004 dan ia dikelaskan sebagai jentera pengembaraan jenis middleweight. Selain terkenal dengan posisi menunggang yang selesa, model ini telah mendapat pujian ramai kerana bentuknya yang garang, praktikal dan hantaran kuasa yang cukup lancar. Model yang diuji ini adalah V-Strom generasi ketiga yang menepati piawaian Euro 4. Jentera pengembaraan ini disempurnakan dengan enjin V-kembar, DOHC, bersesaran 645cc yang menawarkan kuasa maksimum sekitar 69hp pada 8,800rpm dan tork 49ft-lbs pada 6,500rpm.

Sekali imbas, kita akan dapati V-Strom ini direka berasaskan model DR Big 800 yang cukup popular pada era 90an lalu. Dengan pelana setinggi 835mm, ia mungkin agak tinggi untuk dipanjat dan sedikit sukar untuk penunggang baru tetapi bagi para pencinta motosikal mengembara, ia adalah ketinggian yang normal dan cukup sesuai. Rupa paras V-Strom yang tampak seksi dan mantap ini datangnya dari rekabentuk hadapan. Lampu utama yang dikemaskan dengan fairing berparuh (peak) menyerlahkan lagi ciri-ciri sebuah jentera kembara. Pendek kata, melihatnya sahaja sudah membuatkan kita teruja untuk memulakan perjalanan.

Model ini didatangkan dengan sistem traction control tiga tahap ialah TC1, TC2 dan TC Off. Untuk tunggangan biasa, TC1 adalah pilihan terbaik manakala TC2 lebih sesuai jika menunggang di dalam hujan dan permukaan yang licin. TC Off pula untuk mereka yang lebih berpengalaman yang inginkan adrenalin di laluan-laluan lasak.

Panjat sahaja di atas V-Strom ini, mata tertumpu pada panel meternya yang kemas, ringkas tetapi sempurna. Meter analog menunjukkan tahap putaran rpm manakala paparan digital dikemaskan dengan info-info penting seperti tahap kelajuan, pemilihan TC, trip, odometer, masa, suhu enjin dan paling kami suka… penunjuk posisi gear.

Sistem terbaru iaitu Suzuki Easy Start System adalah satu ciptaan yang cukup menarik. Kebanyakan motosikal biasa, kita perlu menekan suis penghidup sehingga enjinnya berderum tetapi dengan V-Strom ini, kita hanya perlu menekan sekali sahaja dan dalam jangka masa milisaat, enjin akan hidup dengan cukup senyap dan lancar.

Unit yang diuji ini diambil daripada pengedar rasmi Suzuki Malaysia, Excel Cycle Sdn Bhd yang terletak No.15,16 & 17, Ground Floor, Jalan Puchong Permai 2, Taman Puchong Permai, Batu 13, 47100 Puchong, Selangor. Excel Cycle telah beroperasi sejak 15 tahun yang lalu dan sememangnya pakar dalam selok belok enjin motosikal khususnya Suzuki. Excel Cycle diuruskan oleh En. Wong Kek Soon - menyediakan ruang pameran yang luas dan menawarkan perkhidmatan yang berkualiti dan pantas. Ia dibuka pada setiap Isnin hingga Sabtu dari 9.00 hingga 7.00 malam.

En. Wong Kek Soon, Pengarah Excel Cycle Sdn Bhd.
En. Wong Kek Soon, Pengarah Excel Cycle Sdn Bhd.

Untuk keselesaan dan memudahkan kami menunggang jauh, model yang diuji ini turut dilengkapkan dengan kotak barang GIVI E43 Mulebox Advance Series yang bersaiz 43 liter – cukup besar untuk diisi dengan set baju hujan untuk dua orang, beberapa pasang baju, kasut dan beg kamera. Turut dilengkapkan pada kotak barang ini ialah jaring pengikat elastik, tempat sandar spesifik, pad lapik dalaman dan dijual pada harga RM435.00 (boleh didapati di GIVI Point).

Kami cukup senang dengan hantaran kuasa model ini yang cukup lancar dalam semua gear. Gabungan sistem suntikan bahan api Suzuki Throttle Valve (SDTV) dan teknologi Dual Spark memang terbukti cemerlang! Apabila pembakaran dapat dilakukan dengan sempurna, kita tidak akan terasa langsung sebarang kuasa hadir secara mendadak ketika kita membuka pendikit dengan garang. Disamping menawarkan prestasi enjin yang mantap, Suzuki ini menawarkan penggunaan bahan api yang menjimatkan.

Ketinggian cermin pengadang udaranya cukup ideal untuk penunggang tinggi mahu pun rendah – membolehkan kita memecut dengan selesa tanpa ditampar oleh angin dari depan walaupun di kelajuan lebih 160km/j. Walaupun V-Strom ini mampu dipecut mencecah 180km/j, kami rasakan bahawa kelajuan paling sesuai dan paling selesa ialah sekitar 140-150km/j. Dalam kelajuan ini, kita akan dapati meter paparan untuk penggunaan petrol ialah dalam purata 130 kilometer per liter. Memang jimat!

Kerangka spar-kembar aluminium yang digunakan pada model ini memiliki ketegaran tinggi dan cukup ringan. Ini membolehkan kita berada di selekoh dalam kelajuan tinggi dengan stabil dan meyakinkan. Lebuhraya di Malaysia memiliki selekohselekoh luas dan lebar yang sememangnya memberi kelebihan kepada jenterajentera tinggi dan mantap seperti V-Strom ini.

Kami menghalakan Suzuki ini ke arah Cameron Highlands menggunakan jalan lama di Tapah. Apa yang cukup menyenangkan ialah jalan lama tersebut kini telah diperbaiki dengan elok sekali. Walaupun tidaklah sepenuhnya, kerjakerja pembinaan cukup giat dijalankan. Ini adalah satu usaha yang sangat baik terutamanya untuk memberi peluang kepada masyarakat setempat menambah pendapatan menerusi penjualan hasil tananam, kraftangan dan pelbagai jenis juadah makanan.

Kami mendaki dengan menggunakan gear kedua, ketiga dan keempat – sangat mengujakan kerana pengendaliannya mudah tidak kiralah kita menunggang solo atau berdua. Posisi gear mudah dilihat dan dengan memiliki sifat-sifat sporty dan cukup lincah, setiap selekoh dapat diratah dengan cukup meyakinkan dan kami benar-benar berterima kasih kepada sistem saspensi Suzuki ini. Fork hadapannya jenis teleskopik 43mm boleh laras yang menyerap bebanan dengan cemerlang. Tiada terasa bagaikan akan terhumban ke hadapan ketika membrek dengan keras untuk mendapatkan kelajuan yang tepat sebelum masuk ke selekoh. Saspensi belakang juga membolehkan penunggang dapat mengawal segala pergerakan jentera dengan kemas walaupun ketika membawa penumpang.

Seperti yang dikatakan tadi, kualiti jalan yang baik telah mengundang ramai pelancong untuk menggunakan kembali jalan lama tersebut. Dalam masa yang singkat, kami tiba di Air Terjun Lata Iskandar yang segar dan cantik. Selain menikmati kesegaran air terjunnya, tempat ini juga menawarkan pelbagai jenis cenderahati dan kraftangan yang menarik.

Semakin tinggi semakin sejuk… sudah dekat dengan Cameron Highlands. Belum sampai di Tanah Rata, kami disambut dengan hujan yang agak lebat. Mujurlah suis untuk menukar sistem TC mudah untuk kendalikan. Tutup pendikit dan terus pilih TC2 yang lebih sesuai dan selamat di permukaan yang licin. Oleh kerana sudah bersedia dari awal, kami cepat-cepat mengenakan baju hujan GIVI dan menyambung perjalanan dengan selesa. Untuk kekal cergas dan sihat sepanjang perjalanan, suhu badan yang stabil haruslah dijaga. Menunggang dengan pakaian yang basah dan dalam kesejukan mudah menyebabkan kita demam.

Sistem brek Suzuki diperkemaskan menerusi penggunaan brek-brek cakera bersaiz 310mm (depan jenis Tokico) dan 260mm (belakang jenis Nissin) yang lengkap dengan sistem ABS yang berkualiti tinggi. Kami menikmati kehebatan pakej ini sewaktu mendaki laluan kecil di Ladang Teh Sungai Palas. Tayar-tayar tidak akan terkunci walau sekuat mana tuas-tuas brek digunakan – prestasi hebat membrek seperti ini sangat penting untuk kita kekal di jalanan dengan selamat sewaktu menunggang di dalam hujan. Sistem ABS ini tidak boleh di‘off’kan, jadi…. bagi mereka yang ingin melakukan ‘slide’ di jalan lasak, lupakan saja!

Bagi sesiapa yang pernah ke ladang teh ini, pastinya memahami betapa kecilnya ruang jalannya. Mustahil untuk berselisih di antara dua buah kereta dan kita juga dinasihatkan untuk membunyikan hon apabila tiba di selekoh agar tidak bertembung dengan kenderaan dari depan. Untuk memberhentikan atau membuat pusingan ‘U’ di kawasan lereng bukit dan bersudut terhad memang memerlukan sistem brek yang baik, putaran enjin sekata dan pengendalian yang sempurna. Di sinilah sekali lagi V-Strom membolehkan kami menuruni kawasan berbukit ini dengan mudah dan senyuman.

Selepas seharian menunggang, apa yang dapat kami cadangkan buat rakan-rakan agar kunjungi destinasi nyaman ini pada hari-hari bekerja, elakkan pada cuti hujung minggu atau cuti umum. Ini kerana jumlah pengunjung pada hari cuti terlalu ramai menyebabkan kesesakan lalu lintas hampir di mana saja. Tempattempat kunjungan penuh, terpaksa beratur dan berebut-rebut yang ada kalannya menyebabkan pertelingkahan. Itu yang kita tak mahu dan cuba elakkan!

Kami bermalam di Hotel Rainbow, satu daripada berbelas hotel yang terdapat di Brinchang. Harganya RM100 (harga mungkin berubah ikut musim perayaan atau cuti sekolah) dan ia amat berdekatan dengan pasaraya, tempat makan, klinik, stesen minyak, kedai-kedai cenderahati, farmasi, dobi 24 jam dan lain-lain. Paling best ada parking khas untuk motosikal yang turut dilengkapkan dengan rantai. Kalau kita ada mangga, kunci sahaja rim pada rantai ini… selesai!

Keesokan harinya ketangkasan V-Strom ini sekali lagi diuji apabila kami meninggalkan Cameron Highlands dengan menggunakan jalan berselekoh yang cukup ‘sedap’ menuju ke Simpang Pulai. Melihat langit yang cukup cerah, kami kembali menggunakan TC1 dan tiada yang lebih menyeronokkan apabila tayar hadapan bersaiz 110/80R-19MC dan 150/70R-17MC di belakang menggigit permukaan jalan dengan baik tanpa sedikit terasa membuang. Setiap selekohselekoh pastinya dapat dinikmati dengan syarat, fahami karaktor jentera yang anda tunggangi dan lakukan pemeriksaan pada beberapa titik penting sebelum memulakan perjalanan. Apabila semua dalam keadaan baik, kita akan berasa nikmatnya bermotosikal.

Dengan isian tangki sebesar 20 liter, Suzuki ini telah membawa kami mengembara sejauh 275 kilometer dengan sekali isi. Memang cukup jimat. Dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur, kami sempat singgah di dua kali lokasi percutian menarik iaitu Gua Tempurung di Gopeng dan Lata Kinjang di Tapah untuk menyejukkan badan. Berharap agar tempat ini terus dijaga agar mendapat lebih ramai pengunjung dari dalam dan luar negara.

Setibanya di Sungai Buloh, hujan berserta kilat menanti kepulangan kami. Beberapa tempat telah dinaiki air menyebabkan ramai yang menangguhkan perjalanan. Mujurlah V-Strom ini tinggi lampai, banjir dapat kami redahi dengan tenang dan mudah. Kestabilan jentera ini meredah air yang menghampiri paras peha amat mengagumkan. V-Strom sekali lagi membuktikan kemampuannya.

Dengan harga asas RM44,900 untuk model DL650A dan RM46,900 DL650XA, kita pastinya amat berpuas hati dengan apa yang ditawarkan oleh Suzuki melalui model VStrom 650 ini. Ia cantik, bergaya dan paling utama tentulah memiliki praktikaliti yang amat penting untuk semua jenis tunggangan. V-Strom adalah antara pilihan terbaik untuk kota, untuk mengembara dan untuk bersantai.

Info: Bermula dari April hingga Oktober 2018, Dengan pembelian jentera berkuasa tinggi Suzuki akan melayakkan anda menerima sepasang jersi Suzuki Cup 2018 dan dua keping tiket perlawanan bolasepak pusingan kelayakan AFF Suzuki Cup yang bakal berlangsung di Malaysia pada 12 November dan 24 November nanti. RR

Isu Pada

Julai 2018

Spesifikasi

Enjin:4 lejang, sistem penyejuk cecair, v-kembar, DOHC
Gerek x lejang:82 x 62.6 mm
Kuasa maksimum:69hp pada 8,800 rpm
Tork maksimum:49lt-lbs pada 6,500 rpm
Saspensi hadapan: fork teleskopik 43 mm
Saspensi belakang:lengan ayun
Tayar hadapan:110/80R 19M/C
Tayar belakang: 150/70R 17M/C
Brek hadapan & belakang:cakera 310 mm & cakera 260mm
Isi tangki:20 liter

Popular

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

  • Warta Roda

    Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Boon Siew Honda (BSH) telah merasmikan pembukaan Honda Bigwing yang pertama di Melaka.

Model Baru

EICMA 2024: Honda Perkenalkan CL500, Jentera Retro Moden

Model baru ini menyasarkan para peminat dua roda muda yang mementingkan gaya retro dengan spesifikasi moden.

Dari Litar

GP Valencia 2024 Dibatalkan...Litar Untuk Pusingan Akhir Belum Dipastikan Lagi

Berikutan bencana banjir yang melanda beberapa buah bandar di Utara Sepanyol yang turut melibatkan komuniti di Valancia, pihak Dorna telah mengumumkan bahawa GP Valencia yang dijadualkan berlangsung pada 15-17 November nanti telah dibatalkan.

Warta Roda

SUZUKI GSX-S1000GX Tiba Di Pengedar Sah Suzuki. Harga asas, RM89,900

Akhirnya model kembara, GSX-S1000GX sudah pun tiba di pengedar rasmi Suzuki dengan harga jualan rasmi RM89,900.