Ducati 959 Panigale: Roket Jalanan
Berat basahnya hanya 200kg, kuasa maksimum 150hp pada 10,500rpm dengan kekuatan tork 102Nm pada 9,000rpm dan mampu memecut lebih daripada 250km/j dengan mudah sekali. Ia juga dilengkapi dengan teknologi terkini seperti sistem Ducati Quick Shift, ABS, Ride By Wire, Engine Brake Control, Ducati Traction Control dan ditawarkan pada harga RM100,899 (termasuk GST). Menarik ya? Memang menarik sekali kerana itulah dia Ducati 959 Panigale.
Bagi pencinta motosikal, sudah pasti Ducati itu merah dan merah itu Ducati. Walaupun terdapat juga beberapa model istimewa yang diperkenalkan dengan warna berlainan, hakikatnya ialah Ducati dan warna merah memang tidak boleh dipisahkan lagi. Mengapa kami berkata sedemikian? Jawapannya mudah... ini kerana pandangan mata kami secara automatik terus tertumpu pada rekabentuk jentera ini yang seksi, garang dan sangat anggun. Terasa benar akan kepantasan, keagungan legasi yang dibawanya sejak dari dulu hingga kini.
Dari dulu lagi Ducati memiliki keistimewaan yang menjadikannya unik dan tersendiri. Bagi setiap pemilik jentera sport, prestasi enjin dan kemantapan jentera-jentera Ducati meratah selekoh-selekoh tajam adalah satu nikmat yang sukar untuk diterjemahkan dengan kata-kata. Hanya mereka yang pernah bersama dengannya sahaja mampu memahami mengapa Ducati merupakan antara jentera dua roda yang mempunyai aura mengujakan setiap jiwa.
Siri Panigale bermula pada tahun 2011 dengan memperkenalkan model 1199 Panigale di Pameran Motosikal Antarabangsa EICMA, Itali. Kemunculannya telah mengujakan jutaan pencinta motosikal di seluruh dunia dengan beberapa pengubahsuaian yang sangat ketara berbanding model-model yang terdahulu. “Panigale” merupakan nama bagi sebuah bandar perusahaan, Borgo Panigale yang juga menempatkan kilang dan muzium jentera-jentera Ducati.
Kilang ini sememangnya salah satu tempat cukup penting buat Ducati. Antara acara kemuncak paling baru yang telah diadakan di kilang tersebut ialah pengenalan pasukan Ducati untuk perlumbaan MotoGP musim ini. Ia disempurnakan dengan kehadiran keduadua pelumba utama mereka iaitu Andrea Dovizioso dan Jorge Lorenzo.
Selepas model tersebut (1199 Panigale), permintaan yang sangat memberangsangkan menyebabkan para jurutera Ducati terus mengerahkan seluruh tenaga, jiwa dan kebolehan mereka untuk melahirkan pula 899 Panigale pada tahun 2013 diikuti dengan 959 Panigale, 1199 Panigale, 1299 Panigale dan ahli keluarga terkini ialah Panigale V4. Berbanding model-model lama Ducati yang menggunakan kerangka jenis trellis, kesemua siri Panigale menggunakan kerangka monocoque yang terbukti lebih tangkas, ringan, lincah dan mudah dikendalikan.
Panigale 959 yang diuji ini adalah model 2017 dan seperti saudara-saudaranya yang lain, ia memiliki rupabentuk yang unik dan cukup menawan. Lampu utamanya jenis LED bagaikan lambang pengenalan buat Panigale yang sudah mula dikenali oleh kebanyakan peminat motosikal. Lihat sahaja pada lampu ini, kita sudah tahu bahawa Panigale sedang menghampiri.
Kekuatan enjin Superquadro L-Kembar, desmodromic dengan sistem penyejuk cecair yang berada di bawah kita (penunggang) memang jelas terasa dan diperakui walaupun masih dalam kelajuan sifar. Gegar-gegaran 'nakal' jentera ini sewaktu kita menikmati putaran enjinnya memang memuaskan hati. Pulas sedikit pendikitnya, suara yang terhambur sangat menggiurkan! Hati sudah tidak sabar lagi untuk melihat angka-angka kelajuan pada meter digitalnya bergerak. Capai topi keledar, jaket, sarung tangan, masuk gear dan pulas.
Terdapat tiga mod tunggangan iaitu Race, Sport dan Wet yang menawarkan tahap hantaran kuasa berbeza mengikut pada penggunaan. Apa yang sangat mengagumkan, perbezaannya cukup ketara dan tepat. Setiap mod tunggangan telah pun diprogram dengan sistem ABS, Ducati Tranction Control (DTC), Engine Braking Control (EBC) secara automatik. Mod tunggangan yang ditawarkan oleh Ducati adalah untuk memberi kita pilihan dalam penggunaan kuasa dan karaktor enjin yang bersesuaian dengan tempat yang dikunjungi atau keadaan.
Kami mulakan perjalanan dengan memilih mod Sport – lebih sesuai ketika berada di jalanan biasa. Dalam mod ini, hantaran kuasa adalah di tahap maksimum 150hp tetapi tidaklah begitu responsif (sederhana). Kadar DTC juga di tahap sederhana manakala sistem ABS ketika ini berfungsi untuk kedua-dua tayar hadapan dan belakang.
Walaupun begitu, proses memecut langsung tidak mengecewakan. Sistem Ducati Quick Shift nyata menambah keseronokan! Kita dapat menggunakan sistem transmisi tanpa perlu menarik tuas klac. Untuk dapatkan pecutan yang sempurna, tambahkan posisi gear setiap kali lampu penukaran gear berkelip-kelip pada putaran enjin 11,000 rpm. Dalam kelajuan tinggi, keghairahan bersama Panigale ini memang sukar digambar dengan kata-kata apatah lagi dalam penulisan sebegini. Tiada rasa risau di hati tatkala kelajuan melebihi daripada 220kmj. Memang kelebihan Ducati ini dikemaskan dengan kerangka monocoque yang cukup tegap dan ringan. Cermin pengadang udara telah direka pada saiz yang cukup baik, memudahkan kita menyorokkan kepala untuk lebih selesa ketika memecut.
Ok... Untuk tunggangan di dalam bandar, Ducati ini mungkin bukan model pilihan. Ini kerana posisi menunggangnya yang cukup sporty dan haba yang cukup panas (dari enjin dan sistem ekzos bawah pelana) yang terkena pada bahagian peha. Memang terasa sangat panasnya apabila kita tersangkut di dalam kesesakan jalan raya.
Sebaik sahaja masuk ke lebuhraya, mod ditukar dari Sport kepada Race dan karaktor serta merta berubah. Hantaran kuasa serta respon enjin terhadap pendikit kini lebih pantas dan lebih tepat. Pulas sahaja pendikit, tubuh badan Panigale ini melonjak ke hadapan dengan lebih galak. Kadar perlaksanaan sistem traction control juga lebih rendah dan kadar brek enjin juga lebih sempurna. Kelajuan maksima yang berjaya dicapai dalam mod ini ialah sekitar 255km/j dan ketika itu pendikit belum lagi 'dikoyak' sehabis-habisnya. Memang laju!
Pecutan di dalam selekoh dapat dilakukan dengan lebih yakin dengan tayar-tayar Pirelli Diablo Rosso Corsa bersaiz 120/70 ZR7 (depan) dan 180/60 ZR17 (belakang). Tidak kiralah selekoh tajam atau selekoh panjang, cengkaman cukup cemerlang yang dimiliki oleh tayar ini membolehkan kita mengawal jentera ini dengan cukup mantap – perasan jugalah seketika gaya bagaikan Chaz Davies. Kadar cengkaman Pirelli ini juga terus cemerlang walaupun ketika berada di permukaan yang tidak 100% kering dan inilah salah satu keistimewaan produk-produk dari Pirelli.
Dari Kuala Lumpur, kami berhenti seketika di Gopeng untuk berehat dan mendapati tangkinya yang bersaiz 17 liter telah pun hampir kosong. Jaraknya baru 180 kilometer. “Kuat juga Ducati ini guna petrol,” tegur salah seorang daripada kami. Apa yang dapat disimpulkan ialah, kadar penggunaan bahan api adalah sesuatu yang subjektif. Mungkin penunggang A dapat menggunakan satu tangki penuh sejauh 230 kilometer tetapi penunggang B pula hanya 190 kilometer.
Kadar penggunaan bahan api bergantung kepada banyak faktor seperti berat penunggang, lokasi perjalanan, kadar kelajuan, penggunaan gear dan lain-lain. Bagi kami, perjalanan sejauh 180 kilometer dengan isian penuh tangki boleh dikatakan 'biasa' sahaja. Tidak jimat tetapi tidak juga terlalu cepat kering.
Sedang cuba mencari lokasi terbaik untuk makan dan sesi fotografi, langit bertukar menjadi kebiruan. Makin lama makin gelap…. disulami pula dengan 'pekikan' guruh. Kami terus cari tempat selamat untuk mengenakan pakaian hujan GIVI yang telah pun sedia dibawa. Baju hujan GIVI model PRS01.AX (RM281) dan kasut hujan GIVI SC02-N (RM79.50) bukan sahaja selesa dipakai tetapi telah terbukti dan dijamin kalis air. Untuk melihat dengan lebih dekat, kunjungilah GIVI Point serta pengedar rasmi GIVI di seluruh negara. Dapatkan yang ori tau!
Untuk cengkaman dan kawalan lebih efektif di kala ini, kami tukar kepada mod Wet yang merupakan talaan enjin paling selamat dan paling rendah. Benar... ia sememangnya direka untuk menunggang di dalam hujan dengan kuasa enjin diturunkan kepada hanya 100hp.
Respon dirasakan lebih lembut dan lebih terkawal. Sistem DTC dan EBC dikala ini berada di tahap tertinggi untuk tujuan keselamatan para penunggang. Kami juga tidak teragak-agak untuk menggunakan brek hadapan 320mm dan 245mm (depan dan belakang) jenis Brembo dengan keras walaupun di atas permukaan yang licin kerana sistem ABS yang dimiliki oleh Ducati ini memang efisien. Jadi, keseronokan menunggang Ducati ini sememangnya tidak terbatas – tidak kira di waktu kering atau basah. Secara peribadi, kami lebih selesa ketika menggunakan mod Sport.
Kita dapat nikmati kadar pecutan yang mantap, kelincahannya ketika menukar laluan serta kestabilannya di laluan berliku kerana kelengkapan pakej sistem saspensi yang berprestasi tinggi pada Ducati ini. Penyerapan bahagian hadapan diperhebatkan dengan fork hadapan jenis BPF Showa 43mm yang boleh dilaraskan manakala kualiti tunggangan terus dikawal oleh lengan ayun aluminium yang dilengkapi dengan unit Sachs boleh laras. Seperti yang dikatakan tadi, keupayaan Ducati 959 Panigale ini sudah boleh terus kita tunggang di litar dengan penuh keyakinan.
Ducati sentiasa meraih kepercayaan dengan memperkenalkan model-model yang dicipta untuk kepuasan para pemiliknya dan 959 Panigale pasti adalah sebahagian daripada projek yang pasukan Ducati menempa kejayaan. Ia sangat pantas, mesra penunggang, selamat dan mewarisi keanggunan jentera Ducati. RR
Spesifikasi
Enjin: | Superquadro, L kembar, empat silinder, desmodromic, sistem penyejuk cecair |
Gerek x lejang: | 100 x 60.8 mm |
Kuasa maksimum: | 110kW (150hp) pada 10,500rpm |
Tork maksimum: | 102Nm pada 9,000rpm |
Saspensi hadapan: | fork BPF Showa 43 mm |
Saspensi belakang: | lengan ayun aluminium |
Tayar hadapan: | 120/70 ZR17 Pirelli Diablo Rosso Corsa |
Tayar belakang: | 180/60 ZR17 Pirelli Diablo Rosso Corsa |
Brek hadapan & belakang: | cakera 320 mm & cakera 245mm |
Isi tangki: | 17 liter |
Popular