Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 10 Jun 2018

Honda CB650F: Memberi Keceriaan Pada Semua Penunggang

Pastinya keceriaan apabila kita amat berpuas hati dengan sesuatu perkara dan ia tidak terhad pada hal kebendaan sahaja. Keputusan peperiksaan yang cemerlang pastinya memberi keceriaan buat pelajar tersebut, seorang ibu sudah tentu ceria apabila anaknya berjaya dalam hidup dan bagi penunggang motosikal pula, kepuasan menunggang sesebuah jentera sudah tentu akan memberikan keceriaan.

Begitulah yang kami nikmati selepas menunggang Honda CB650F. Ia merupakan sebuah jentera jalanan bersesaran 649cc yang memiliki kuasa hantaran cukup bertenaga. Kuasa maksimum untuk model ini ialah 67kW pada 11,000rpm dan tork 64Nm pada 8,000 – sudah cukup hebat untuk jentera seberat 208kg ini. Barisan empat corong ekzos melintang di bawah Honda ini memang cantik dan kemas. Lampu-lampu LED yang terpancar di hadapan tampak moden dan sesuai dengan konsep rekabentuk jentera ini.

Siri CB diperkenalkan pada tahun 60an lagi dan sememangnya ianya dicipta untuk kegunaan harian dan tunggangan santai. Untuk itu, ia mesti mudah ditunggang dan mesti selesa. CB650F juga menyambung legasi sirisiri CB sebelum ini dengan menawarkan posisi menunggang yang natural dan dengan ketinggian pelananya yang hanya 810mm, jentera ini sesuai ditunggang oleh sesiapa sahaja.

Enjin empat silinder, DOHC yang dimiliki oleh Honda ini sungguh lembut dan lancar. Inilah kekuatan dan keistimewaan jenterajentera Honda dan kita pastinya akan teruja dengan enjin ini sebaik sahaja menekan suis penghidup. Bar hendalnya yang lebar membantu kita untuk mengawal mesin ini dengan mudah dan apabila melihat terus ke panel meternya, kami sudah dapati satu kekurangan pada paparan digitalnya. Semua info cantik dan tersusun rapi cuma sayangnya model ini tidak mempunyai penunjuk gear.

Bagi kami, ia cukup penting tambahan pula model CB ini memang sangat sesuai untuk mereka yang ingin mendekati dunia motosikal berkuasa tinggi. Posisi gear penting khususnya buat penunggang baru agar mereka dapat memilih kedudukan gear yang sesuai sewaktu menunggang di jalan-jalan berselekoh. Penunggang berpengalaman mungkin memiliki deria rasa istimewa bagi mengetahui posisi gear yang sesuai hanya melalui kadar brek enjin yang didapati sewaktu menunggang.

Dalam gear-gear awal, hamburan kuasa enjin CB ini memang cukup mantap. Dengan nisbah gearnya yang rapat, kita dengan pantas mencapai kelajuan 140kmj dalam gear keempat dan mampu memecut ke 210kmj dalam gear tertinggi. Apa yang mengujakan, kerangka jenis steel diamond direka cukup tegar. Kita tidak bergoyang, terus tegap dan pengendaliannya juga sangat tepat. Segala kemahuan penunggang akan sentiasa diikuti oleh jentera ini dengan cemerlang. Pendek kata... CB650F ini sangat responsif.

Dalam kelajuan tinggi, ketiadaan cermin pengadang udara agak mengganggu tunggangan kerana kita 'ditampar' kuat. Untuk lebih selesa, rapatkan dada kita ke hadapan agar laluan udara lebih efisien dan bolehlah kita memecut dengan lebih selesa. Apa pun, ketegaran dan ketegapan casis CB ini sekali lagi membantu kami kekal di laluan dengan tepat. Tidak kiralah anda menunggang solo atau menunggang berdua, kadar pengendalian dan kawalan tidak akan terjejas. Liukkan badan serta kelincahan CB ini ketika mengharungi kesesakan bandar mempercepatkan perjalanan. Kita juga tidak perlu risau jika terpulas lebih sikit pendikitnya kerana walaupun ia 650cc, kuasa CB ini cukup tenang dan linear.

Ia bukan satu kata-kata pujian tidak berasas. Kami alami perkara ini sewaktu dalam perjalanan dari pusat bandar Kuala Lumpur menuju ke Bukit Ampang. Sudahlah sesak... cuaca panas pula tu. Mujurlah CB ini mudah ditunggang manakala sistem penyejuknya juga berfungsi dengan baik (tak terasa panas langsung pada manamana bahagian). Kami dapat melalui kawasan 'macet' ini dengan tenang dan selesa.

Seronok juga mendaki bersama pembonceng dan ini bergantung kepada prestasi dan keupayaan sistem saspensi yang dilengkapi pada model ini. Pengendalian yang 'tip top' ini disumbangkan oleh fork hadapannya jenis Showa Dual Bending Valve (SDBV) yang aduhai...sedap, menyerap segala hentakan dengan baik. Tarik sahaja bar hendalnya ke kiri atau ke kanan dan serta merta ia miring dengan kemas dan stabil. Apabila menunggang solo (di tempat yang sama), prestasinya lebih mantap dan lebih laju.

Kami berhenti di lokasi popular untuk sesi fotografi. Tempat ini cantik tetapi sayangnya Menara Tinjau atau Look Out Point Bukit Ampang yang telah terbiar sejak beberapa tahun lalu masih belum diperbaiki. Menurut laporan yang dibuat oleh BHOnline pada 9 Februari 2016 lalu, lokasi yang pernah menjadi tumpuan pelancong ini ditutup atas alasan keselamatan berikutan pengubahsuaian yang dilakukan di kawasan ini agak berbahaya.

Kadar penyerapan bahagian belakang model ini datangnya dari penyerap hentak mono yang berfungsi dengan baik untuk tunggangan solo tetapi dirasakan sedikit lembut jika menunggang bersama pembonceng. Kami terpaksa memperlahankan kelajuan dengan drastik apabila tiba di kawasan berbonggol tinggi untuk elakkan bahagian bawah enjin daripada bergesel. Walaupun begitu, prestasi CB650F ini di jalanan berselekoh tidak pernah mengecewakan tidak kiralah solo atau berdua.

Selepas 160 kilometer perjalanan, bar penunjuk bahan api masih banyak dan inilah kelebihan Honda ini. Ia mudah dikendalikan, mesra penunggang, pantas, lincah dan jimat petrol. Kami meninggalkan jentera ini untuk menikmati makan tengahari dan dengan adanya Honda Ignition Security System (H.I.S.S), hati lebih tenang untuk tinggalkan jentera ini. H.I.S.S ini adalah satu sistem anti-kecurian yang menggunakan chip pengenalan khas yang memiliki kod rahsia. ECU akan berinteraksi dengan chip ini setiap kali kunci utama dimasukkan. Jika ianya tepat, baru enjin dapat dihidupkan.

Untuk memberikan keserasian menunggang di pelbagai jenis jalan, Honda telah melengkapkan model ini dengan tayar hadapan bersaiz 120/70ZR 17MC dan 180/55ZR 17MC untuk tayar belakang. Tayar-tayar ini menawarkan cengkaman yang cukup cemerlang sewaktu kami melayari jalanjalan berbukit. Untuk menyaingi kebolehan jentera ini membuat miringan, tayar-tayar ini dikawal oleh sistem brek hadapan dan belakang yang cukup baik. Tidak perlu menggunakan tenaga yang banyak, hanya sebatang jari sudah cukup untuk memperlahankan kelajuannya.

Cuaca yang tidak menentu ada ketikanya 'diperlukan' ketika menguji prestasi sesebuah motosikal. Walaupun Honda ini tidak dilengkapi dengan pelbagai mod tunggangan, kecekapannya menukar laluan dengan selamat sangat menguntungkan para penunggang. Dengan bantuan sistem ABS, kita boleh menggunakan brek dengan keras di permukaan yang basah tanpa risau motosikal ini akan terbalik. Kami benar-benar sukakannya.

Dengan pengalaman lebih daripada 60 tahun, syarikat ini sentiasa berusaha untuk terus menghasilkan jentera yang sesuai dengan permintaan dan kesukaan seseorang penunggang itu. CB650F adalah di antara model yang paling sesuai untuk pelbagai jenis tunggangan kerana menawarkan pakej yang lengkap. Ia mudah ditunggang, selesa, lincah ke mana sahaja, jimat dan mampu milik. Model ini didatangkan dalam empat warna iaitu Candy Chromospheres Red, Mat Gun Powder Black, Pearl Spancer Blue dan Sword Silver Metallic dengan harga jualan asas RM44,955.94 (dengan GST) tanpa insurans, cukai jalan dan pendaftaran. RR

Isu Pada

Jun 2018

Spesifikasi

Enjin:4 lejang, sistem penyejuk cecair, 4 silinder sebaris, DOHC
Gerek x lejang:67.0 x 46.0 mm
Kuasa maksimum:67kW pada 11,000 rpm
Tork maksimum:64Nm pada 8,000rpm
Saspensi hadapan: fork teleskopik SDBV
Saspensi belakang:lengan ayun, penyerap hentak mono
Tayar hadapan:120/70ZR 17M/C
Tayar belakang: 180/55ZR 17 M/C
Brek hadapan & belakangcakera hidraulik 320mm / cakera hidraulik 240mm
Isi tangki:17.3 liter

Popular

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

  • Warta Roda

    Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Dari Litar

Akid Pertahankan Kejuaraan CP150

Tahniah buat Akid Aziz pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha - CKJ Racing meraikan gelaran juara keseluruhan CP150 dengan lebih awal.

Model Baru

Ducati Panigale V4 2025 Kini Di Malaysia - Harga Asas RM182,900

Ducati Malaysia telah melancarkan Panigale V4 generasi terbaru sempena dengan perasmian pembukaan Ducati Sungai Buloh.

Warta Roda

Kemeriahan Konvoi PETRONAS Sprinta ke MotoGP Sepang 2024

PETRONAS Lubricant Marketing Malaysia Sdn Bhd (PLMM)bekerjasama dengan Dania Garage dala menganjurkan konvoi 'PETRONAS Sprinta ke MotoGP Sepang 2024'.

Warta Roda

Operasi Khas Motosikal Besar-Besaran Bermula....

Operasi Khas Motosikal akan dijalankan secara besar-besaran bermula 1 November hingga 31 Disember di seluruh negara susulan peningkatan kadar kemalangan yang direkodkan pada tahun ini.