Vee Two Ducati Imola Evo Motosikal Idaman!
Barber Vintage Festival yang diadakan di Alabama pada 12 Oktober lalu telah dihadiri seramai 70,000 orang pengunjung. Antara tarikan utama di sini ialah model jalanan paling ikonik, ringkas dan paling berharga yang pernah dikeluarkan oleh Ducati sejak tahun 1974 lalu. Hanya 401 buah model 750SS kerangka-hijau telah dihasilkan di kilang lumba motor, Bologna pada tahun 1973-74. Model ini merupakan replika (lengkap berlampu dan hon) kepada jentera lumba Paul Smart yang menjuarai Imola 200 pada tahun 1972.
Harga untuk model 750SS telah meningkat dengan drastiknya kebelakangan ini. Terbaru, ianya dijual pada harga USD120,00/GBP100,00/Euro100,000 dan harga ini makin naik saban waktu. Terdapat dua unit dipamerkan di karnival ini dan satu lagi diletakkan di dalam muzium berdekatan dengan tapak karnival ini. Salah satu daripada unit yang dipamerkan telah dilengkapkan dengan saspensi moden Ohlins, brek Brembo serta tapak roda yang dipendekkan berbanding jentera asal 1974 yang diletakkan di sebelahnya.
Terdapat juga sebuah motosikal yang cukup baru, catnya pun masih belum kering sepenuhnya kerana ia baru sahaja disiapkan. Motosikal ini telah dibuat dengan sempurna di Selatan Australia dan kemudian diterbangkan ke Alabama untuk diperkenalkan kepada dunia di Barber Vintage.
Ia adalah Vee Two Ducati Imola Evo. Sebuah rekaan pakar enjin bevel-drive Ducati di dunia. Ibu pejabat Vee Two Australia lebih tepatnya terletak di Nannup (www.veetwo.com) dan kini berupaya untuk menghasilkan sebuah jentera idaman pengasasnya, Brook Henry yang ingin membuat enjin dari awal hingga siap.
Dua dekad lalu, Vee Two Australia merupakan penaja aktiviti perlumbaan di seluruh dunia selama empat tahun. Ketika itu saya menunggang jentera yang menggunakan enjin desmo V-Kembar yang dibuat dan ditala oleh Brook Henry menggunakan jentera saya, Ducati Supermono. Kami menang beberapa kali, bermula di perlumbaan Australia TT, Daytona Formula 750 dan meraih kemenangan di Siri Perlumbaan Sedunia BEARS pada tahun 1996 dengan menggunakan Bimota DB2R. Kemudiannya meraih naib juara
sebanyak dua kali dalam perlumbaan European Supermono Champion-ship, perlumbaan sokongan untuk WSBK dengan menggunakan enjin Rotax. Semasa kerjasama ini berlangsung, anak sulung saya Andrew turut berpeluang untuk mengenali Brook dan hari ini dia merupakan CEO Vee Two Australia dan juga rakan kongsi perniagaan ini.
Kembali kepada model jalanan Imola Evo, yang menjadi bukti objektif jangka masa panjang Brook Henry, “Saya memulakan Vee Two Australia ini pada tahun 1980 dengan melahirkan keinginan sangat mendalam untuk mencipta enjin Desmo milik saya sendiri,” kata Brook.
“Selepas perniagaan berkembang dan memiliki lebih ramai pekerja, saya semakin sibuk dan langsung tiada masa untuk meneruskan projek ini. Selepas itu, saya menjual syarikat tersebut dan berpindah ke Nannup. Di sinilah saya mula berbincang dengan seseorang yang mampu melakarkan rekabentuk enjin dengan baik sekali seperti apa yang digunakan oleh Mike Hailwood dalam perlumbaan TT pada 1978 lalu,” tambahnya.
Andrew hadir bersama syarikat ini pada tahun 2014 dan bersamanya kami telah berjumpa dan melayan para pelanggan di seluruh dunia dari Jepun hingga ke USA, dari Australia hingga ke Eropah. Kami memiliki alat ganti untuk model Ducati bevel-drive yang direka dan dibuat sendiri.
Imola Evo merupakan motosikal pertama yang dibuat sepenuhnya oleh Vee Two Australia. Ya... semuanya buatan Vee Two, tiada satu pun dari Ducati kecuali rangkanya. Untuk berada di pameran US Customs, model ini menggunakan casis 900SS model tahun 1978 – itu peraturannya. Apa pun, Vee Two telah membuat kerangka mereka sendiri sejak 1981 dan sudah pun terbukti cukup mantap.
Jadi, model replika Imola Evo dengan kerangka buatan Australia ditawarkan pada harga AUD$79,000 atau Vee Two juga boleh membekalkan enjin Ritorno lengkap dengan sistem penghidup hanya pada harga AUD$38,000 ke atas – bergantung pada spesifikasi enjin tersebut. “Kami boleh membuat enjin 750cc hingga 1,100cc dan mungkin lebih tinggi. Setiap satu daripadanya mempunyai tahap talaan yang berbeza dan ia bergantung kepada permintaan setiap pelanggan itu,” kata Brook Henry.
Saya sendiri secara peribadinya mempunyai dan berlumba dalam tiga jentera Ducati 750SS berkerangka-hijau. Jentera pertama saya beli pada tahun 1974 dan satu daripadanya masih disimpan dengan baik hingga ke hari ini – mungkin satu-satunya jentera yang boleh dibawa berlumba lagi.
Walaupun tanpa sebarang hubungan keluarga di dalam syarikat itu, saya sememangnya cukup ingin menunggang Vee Two Imola Evo. Ucapan terima kasih buat pihak pengurusan Barber Museum yang telah memberi peluang untuk menunggang uji jentera ini buat seketika semasa di festival tempohari.
Selepas itu, saya berpeluang untuk menunggang Imola Evo ini sekali lagi dengan jarak sejauh 130 kilometer di kawasan berbukit sekitar Alabama – cukup untuk saya rasai keunikan memacu sebuah mesin gabungan baru dan lama yang dicipta khas untuk kesesuaian hari ini. Model ini dilengkapkan dengan enjin 992cc, sistem penyejuk udara, SOHC 94 x 71.5mm, v-kembar desmo yang direka agak mirip dengan apa yang dimasukkan ke dalam jentera TT Hailwood pada tahun 1978.
Imola Evo mempunyai kepala palam berkembar yang dinyalakan oleh sistem nyalaan digital Elektronic-Sachse yang dihasilkan khas dari Jerman untuk Vee Two. Pergerakan dengan palam pencucuh kembar lebih mantap dan berprestasi lebih baik kerana pembakaran berlaku dengan cepat dan tepat. Ekzos Vee Two ini bersistem 2-1 yang mengeluarkan bunyi cukup mantap tetapi langsung tidak bising.
“Vee Two telah pun menghantar beratus-ratus motosikal mereka kepada para pelanggan yang lengkap dengan sistem ekzos street legal agar mereka tidak menghadapi masalah dengan pihak berkuasa di setiap negara,” kata Andrew Cathcart.
Kotak gear lima kelajuan yang dipasang pada Imola Evo ini mempunyai nisbah yang sama dengan jentera Ducati lain – kesemuanya jenis dry clutch termasuklah yang dicipta sepenuhnya oleh Vee Two. Menurut Brook Henry, jentera ini mampu menghasilkan kuasa setinggi 122bhp pada 8,500rpm dan 129Nm pada 5,000rpm – berbanding 87bhp pada 9,000rpm yang dihasilkan oleh jentera Mike Hailwood yang lebih kecil (883 TT).
Ketika menunggang di kawasan muzium dan di lebuhraya Alabama, saya dapat rasanya kuasa tork Imola Evo cukup lancar, lembut dan selesa sekali. Sungguh tidak sangka, generasi Ducati pertama rasa sehebat ini! Dengan nisbah mampatan yang tinggi dan pecutan dari karburetor jenis flatslide yang mantap, pergerakan dari kelajuan sifar memang amat mengagumkan. Nisbah gear yang besar memudahkan kita berada dalam satu-satu gear dengan lebih lama dan stabil.
Tuas klacnya agak keras tetapi ia adalah sebuah mesin berprestasi, tidaklah begitu sesuai untuk kita bawa berdepan dengan kesesakan lalu lintas setiap hari. Sekali lagi, nisbah gearnya yang luas banyak membantu – kita boleh mengekalkan kedudukan gear kedua untuk jangka masa yang lama jika menyusuri perjalanan di dalam bandar. Sistem karburetornya berfungsi cukup lancar sekali, tidak banyak bezanya dengan sistem suntikan bahan api dan ini amat saya kagumi.
Apabila berada di jalan yang terbentang luas, barulah enjinnya dikerahkan untuk bekerja lebih kuat dan hasil paling awal yang kita dapat rasakan ialah pada bunyi ekzosnya yang seperti guruh bergema dapat didengar dengan jelas sekali. Apabila mencecah 3,000rpm, kekuatan kuasanya menjadikan bahagian tayar hadapan dirasakan semakin ringan tetapi tidaklah sehingga terangkat. Memang terasa bagaikan sedang memacu jentera lumba – saya rasa ia tetap sebuah Ducati v-kembar lama tetapi mempunyai nilai jentera baru.
Dalam beberapa aspek, motosikal ini telah direka oleh Andrew menggunakan pengalamannya membantu saya menyiapkan 750SS ketika di era perlumbaan lagi. Motor ini dibuat menggunakan komponen dan teknologi terkini tanpa perlu mengorbankan semangat yang asli. Saya tahu ramai pelanggan yang ingin memiliki 750SS tetapi masalahnya ada dua iaitu tidak menjumpai dijual atau harganya pula terlalu tinggi.
Dengan adanya Imola Evo, pihak Vee Two mampu memberi peluang kepada mereka memiliki suatu yang mirip dengan model 750SS pada harga separuh lebih murah. Walaupun harganya lebih murah, Imola Evo didatangkan dengan pengendalian yang lebih baik (saspensi Ohlins) dan sistem brek jenis Brembo yang pastinya lebih efisien. Sukar untuk menyembunyikan rasa bangga seorang ayah atas kejayaan anaknya menghasilkan sebuah motosikal seperti ini. Good boy!
Untuk mencipta model Imola Evo prototaip, Andrew mengambil sebahagian casis 900SS walaupun Vee Two sendiri mempunyai stok kerangka yang banyak untuk simpanan di masa hadapan jika ingin melakukan perubahan untuk tujuan homologasi. Jika tidak, ia boleh didatangkan dengan kerangka serba baru (sama ada jenis penyerap hentak kembar atau penyerap hentak tunggal). Andrew kemudiannya mengubahsuai geometri casis ini dengan agak ketara untuk mengubah rekabentuk agar enjin dapat diletakkan di dalam kerangka dengan kemas.
Pelananya diletakkan ke hadapan manakala tangkinya juga dipendekkan. Ini bukan sahaja membantu jentera ini nampak lebih cantik tetapi juga memberikan posisi tunggangan yang lebih selesa. Saya dapat rasakan bila mengenang kembali model yang saya uji di festival dulu.
Pakar rekabentuk luaran, Brett Hilton pula memilih untuk berkongsikan kecantikan dan keunikan motosikal lama dan baru. Dia bermula dengan menggunakan lampu utama jenis LED berkembar bersaiz tujuh inci yang dikeluarkan oleh JW Speaker Model 8700. Terdapat juga belang lengkap dengan labah-labah kecil di sisi tangki seperti yang dibuat pada jentera Ducati 750SS milik Cook Neilson yang menjuarai Daytona Superbike dulu.
Walaupun nampak seiras, Imola Evo memang sangat berbeza berbanding model-model 70an dulu. Dari jauh kita akan menganggap jentera ini memang sama dengan model 750SS yang dibezakan dengan sistem brek dan saspensi baru tetapi hakikatnya ia tidak sama sekali. Model ini lebih kecil, lebih kompak tetapi kita dapat menunggangnya tanpa rasa sempit. Model ini sebenarnya lebih selesa berbanding model asal – tidak memenatkan!
Tapak rodanya (1,460mm) adalah kurang 40mm berbanding model asal manakala geometri kemudi lebih tajam membolehkan Imola Evo ini bergerak dengan lincah dan cepat bertindak. Terdapat jenaka lama yang mengatakan, jika menunggang motosikal yang kurang baik, kita bagai perlu menghantar telegram kepada motosikal itu terlebih dahulu sebelum ianya menukar arah. Jenaka ini untuk gambarkan betapa lambat tindak balas jentera zaman dahulu dalam perlaksanaan suatu pergerakan. Walaupun ia lincah, Imola Evo ini tetap tegap untuk berada di jalanan dengan stabil sekali.
Untuk memberhentikan jentera ini dengan pantas dan selamat, Imola Evo dilengkapi dengan brek cakera 320mm jenis Brembo dan bagi saya ianya mungkin agak terlalu besar untuk jentera seperti ini, walaupun kuasa 122bhpnya memang dikira cukup mantap. Tiada yang lebih bermakna apabila jentera kita dilengkapkan dengan tayar Pirelli Phantom Sportscomp lengkap dengan rim 17 inci. Bahan yang digunakan untuk membuat tayar ini ternyata bagus sekali. Saya tak sangka akan menyukainya seperti ini.
Ternyata Vee Two adalah sebuah motor lama dan baru yang dibangunkan dengan bijak sekali. Mungkin akan ada orang yang meragui tetapi secara jujurnya... jika ada seorang penunggang berpengalaman duduk di sebelah saya, dia juga akan setuju dengan apa yang saya katakan ini. RR
Laporan: Alan Cathcart
Kredit Foto: Phil Hawkins
Spesifikasi
Enjin | sistem sejukan udara, empat lejang, v-kembar |
Isipadu | 992cc |
Gerek x Lejang | 94 x 71.5mm |
Kuasa maksimum | 122bhp pada 8,500rpm |
Trok maksimum | 129Nm pada 5,000rpm |
Kotak gear | 5 kelajuan |
Berat | 168kg |
Tapak roda | 1,460mm |
Popular