Mondial HPS 125 Hipster Motor Kecil Tapi Hebat!
Kira-kira enam dekad yang lalu iaitu pada tahun 1957, jenama ini pernah menjadi juara dunia dalam kelas 125 dan 250cc. Pada 13 tahun lalu, model Piega V-Twin Superbike yang menggunakan enjin Honda pula telah dihentikan dan ia merupakan motosikal terakhir yang menggunakan lambang terkenal FB Mondial. Model penuh bersejarah ini telah dihidupkan semula tetapi ia amat berbeza dengan model Peiga 1,000cc!
Model terbaru 2017, HPS125 Mondial satu silinder yang direka di Itali tetapi kesemua siri ini dikeluarkan di China. Kemunculan pertamanya ialah di Pameran Motosikal Antarabangsa EICMA Milan 2015 sebagai jentera prototaip dengan nama Hipster. Setahun kemudian, sekali lagi diperkenalkan di Intermot dengan rekabentuk Itali baru jentera scrambler jalanan neo-retro yang cukup menawan.
Nama HPS125 ini diberikan selepas pengeluar terbesar skuter dari Taiwan, Kymco telah mendaftarkan nama Hipster pada jenteranya terlebih dahulu. “Semua orang masih memanggilnya Hipster walaupun secara rasmi namanya bukan begitu,” kata Cesare Galli, pemilik Pelpi International, pengedar skuter Taiwan di Eropah dan pengeluar minibike Aeon dan Over. Dia juga orang yang bertanggung jawab dalam usaha menghidupkan kembali Mondial ini.
Kumpulan pertama penghantaran model ini tiba ke para pengedar di Itali dengan harga yang cukup kompetitif, Euro3,790 termasuk cukai 22% - sangat berpatutan jika dibandingkan KTM 125 Duke keluaran India yang berharga Euro4,489 atau Yamaha MT-125 (Euro 4,940) yang merupakan pesaing terkuat. Di masa akan datang, penghantaran model ini akan diperluaskan ke Jerman, Perancis, Sepanyol, UK, Norway, Poland, Republik Czech dan Finland. Lebih meyakinkan, kesemua pengedar-pengedar ini telah pun menandatangani perjanjian. Itulah kenyataan daripada Pengarah Jualan Pelpi, Gianluca Zanelotto dan beliau juga memberitahu bahawa beberapa negara lain seperti Afrika Selatan, Brazil, India turut bersetuju untuk mengedarkan jentera ini. Bagus.... satu permulaan yang baik buat Mondial dalam usahanya untuk terkenal di seluruh dunia.
Cesare Galli merupakan bekas Pengarah Teknikal di Fantic Motor, pengeluar jentera offroad dari Itali yang cukup berjaya suatu ketika dulu. Pada era 80an, model trail Caballero merupakan idaman setiap anak muda untuk memilikinya dan Galli berkhidmat di syarikat ini sehinggalah ia tutup pada tahun 1996 (Fantic telah beroperasi semula – cukup berjaya). Antara kejayaan yang pernah dia kongsikan bersama Fantic Motor ialah tiga kali menjuarai World Trials Championship serta mendapat tempat yang membanggakan dalam kejuaraan yang lain.
Galli juga pernah bekerja di Kawasaki untuk mempertingkatkan penjualan jentera lasak dan unit ATV sehinggalah pada tahun 2002 dia mengasaskan Pelpi untuk bekerjasama dengan Aeon Motor dari Taiwan.
Dia juga mempunyai hubungan persahabatan yang cukup lama dengan Count Pierluigi Boselli, pemilik FB Mondial dan mereka bersama-sama berjaya melahirkan model-model menarik untuk mengembalikan nama Mondial. Mereka membuat keputusan membuatnya di China dengan tujuan untuk mengurangkan kos tetapi masih menggunakan teknologi yang dibangunkan oleh Pelpi dengan bantuan kepakaran dari Taiwan.
The Hipster – ya, semua orang memanggilnya dengan nama tu, jadi kami pun ikutlah. Model ini akan berada di pasaran terlebih dahulu dan kemudiannya akan diikuti dengan 125 Supermoto. Model prototaip Supermoto jenama ini telah pun diperkenalkan di EICMA tahun lalu. Unit 125 Enduro dan unit 250cc satu silinder akan berada di pasaran tahun ini. Jentera kapasiti lebih besar, 600cc (enjin satu dan dua silinder) juga akan dibuat di China tetapi dengan tahap kualiti dan prestasi jentera Eropah.
Model digelar Hipster ini dikuasakan oleh enjin menarik 124cc DOHC dengan saiz 58 x 47mm yang bersumberkan daripada Piaggio Group tetapi dibuat di kilangnya di China. Sistem suntikan bahan api dan pengurusan enjin model ini adalah dari Magneti Marelli yang telah pun dipasang pada motosikal di Eropah seperti Aprilia RS4 125 dan beberapa model Derbi seperti GPR Sportbike, Senda DRD Supermoto dan Terra Adventure Bike.
Mondial ini mengeluarkan kuasa setinggi 11kW pada 9,750rpm – had limit untuk lesen A1 Eropah dan tork maksimum 12.3Nm pada 7,500rpm. Ini menjadikan prestasi sebenarnya akan lebih hebat berbanding bentuknya. Ia terbukti selepas saya merasai sendiri ketika menguji model ini di Itali pada musim sejuk lalu. Kami dan jentera Mondial ini bersama-sama memanjat kawasan pergunungan dan lembah di bahagian utara yang tidaklah begitu jauh dari tempat HPS125 ini dilahirkan.
Saya sangat sukakan setiap masa dengannya kerana ia adalah sebuah jentera kecil yang mempunyai kemantapan seperti motor besar! Pertamanya, saya dikejutkan tahap keselesaan dan prestasi sebuah mesin 125cc yang pada saya sudah melebihi jangkaan. Jujurnya, jika saya belum pernah melihat sebuah Mondial sebelum ini dan terus menunggangnya buat pertama kali, saya akan teka HPS ini berkuasa sekurang-kurangnya 200cc. Benar...
Ekzosnya jenis kembar yang diletakkan di sisi kanan nampak gagah dan diperkukuhkan pula dengan fork jenis terbalik bersaiz 41 yang selalunya dipasang pada model berkapasiti lebih tinggi. Model pre-production yang saya tunggangi ini nampaknya dibuat dengan baik dan berkualiti tinggi. Pelananya direka dengan gaya vintaj, lengkap dengan jahitan yang cukup kemas dan sekali lagi saya ulangi... selesa sekali kecuali ruang untuk pembonceng agak kecil. Mungkin agak sesuai untuk menunggang berdua dalam jarak dekat atau hanya untuk seketika di tengah bandar.
Sebaik sahaja melabuhkan punggung, kita akan dapati ia adalah sebuah motosikal sebenar – bukan minibike kerana saya yang setinggi 5'10” mendapati ruangan menunggangnya cukup luas – tidak sempit langsung! Saya dapat menggerakkan lutut sesuka hati tanpa menyentuh tangki aluminiumnya yang bersaiz 14 liter itu.
Radiator air direka tersembunyi di belakang lampu utama dan terima kasih kepada perekanya yang mencipta tempat pemijak yang agak panjang – membolehkan penunggang HPS125 ini menggunakan brek kaki dengan pantas dan mudah. Memandangkan Hipster ini belum dilengkapkan dengan sistem ABS, mungkin pada model 250cc nanti – jentera ini dikawal oleh brek cakera tunggal hadapan bersaiz 280mm yang mampu membrek dengan cemerlang. Dengan adanya pelindung panas, kaki saya langsung tidak terganggu dengan corong ekzos yang panas itu.
HPS yang saya tunggang ini menggunakan tayar CST tetapi saya amat teruja ketika melihat model ini di EICMA tempohari kerana ia dilengkapi dengan tayar-tayar Pirelli. Ini adalah pengiktirafan fakta bahawa syarikat konglomerat ChemChina dari China telah memberi syarikat tayar Itali ini kira-kira 18 bulan yang lalu. Dengan berat kering 130kg, tayar-tayar HPS yang bersaiz 100/90-18 (depan) dan 130-70-17 di belakang membelikan kawalan yang ringan dan tepat. Pengendalian yang mudah turut disumbangkan oleh bar hendal yang lebar – Hipster ini seronok untuk tunggangan di jalanan berselekoh mahu pun di bandar.
Enjin empat injap, empat lejang keluaran Piaggio-Zongshen memang bagus. Walaupun kita kerap menukar posisi gear, kotak gearnya yang lancar membolehkan kita beraksi dengan pantas dan selamat. Ia boleh dikatakan sama hebat dengan KTM 125 Duke dan mungkin kita kata... lebih baik sedikit kerana nisbah gearnya yang rasa tepat dan sempurna.
Bermain kuasa dalam putaran rendah memang 'syok' dan kuasanya melonjak cergas apabila kita memerah pendikit dengan keras. Jika dibandingkan dengan model-model 125cc lain, Mondial ini dirasakan perlu diputar dengan keras atau lebih tepat putarannya diletakkan di atas 8,000rpm. Dari putaran rendah, ia mula 'hidup' apabila jarum sudah mencecah 7,000rpm dan ketika berada di antara 8,000rpm hingga 10,500rpm, kelajuan sudah menghampiri 130km/j.
Dalam kelajuan 100km/j, kita dapat mendengar bunyi yang terhasil daripada ekzos kembarnya cukup garang. Tidak ada gegaran langsung terasa ketika kita memerah pendikit dalam mana-mana kedudukan rpm dan ini disebabkan adanya gear-driven counterbalance. Model ini menepati piawaian Euro 4.
Prestasi enjin yang bertenaga dan mantap ini membolehkan penunggang berada di lebuhraya dengan selamat dan ia juga merupakan pilihan tepat untuk tunggangan di kawasan urban. Cermin sisi yang diletakkan di hujung bar hendal memang cukup praktikal. Ia membolehkan kita melihat keadaan trafik di belakang dengan jelas sekali. Kelancaran jentera ini bergerak dalam kelajuan rendah kerana sistem transmisi, klac dan EFI buatan Marelli. Walaupun sistem saspensinya tidak boleh dilaraskan, ia masih berjaya menyerap hentakan demi hentakan dengan kemas sekali.
Rekabentuk panel meter digital berbentuk bulat cantik dan berinformasi. Ia mudah dilihat, mudah untuk dibaca dan lengkap dengan penunjuk gear. Hanya ada satu meter penunjuk jarak, tahap bahan api dan suhu air. Perjalanan di dalam terowong ketika mendaki kawasan pergunungan Alps cukup lancar dengan suluhan terang daripada lampu utamanya. Seperti yang dikatakan, kuasa hantaran Mondial ini menjadikan pendakian sangat mengujakan.
Hebat bukan! Akan hadir tidak lama lagi ialah versi 250cc yang dijadualkan pada penghujung tahun ini, ia adalah model baru untuk 2018. Enjin 249cc, satu silinder diilhamkan oleh Zongshen dan dikatakan berkuasa 25bhp pada 9,000rpm dan tork mantap 22Nm pada 7,000rpm. Model ini akan dilengkapkan dengan sistem ABS. Selepas itu, kita akan melihat model Supermoto dan Enduro pula diperkenalkan.
“Tahun 2017, kami merancang untuk mengeluarkan sekurang-kurangnya 2,000 model HPS125 untuk tumpuan para pelanggan di Eropah dan pada tahun 2018, 5,000 unit pula akan dipasarkan apabila model Supermoto dan Enduro mula mendapat perhatian. Kami juga akan meluaskan pengedaran di seluruh dunia. Kami ingin menghasilkan sesuatu yang kecil tetapi mempunyai permintaan yang besar. Ia murah kerana dibuat di China tetapi mempunyai kualiti menyamai piawaian di Eropah,” kata Gianluca Zanelotto.
“Model 250 sudah semakin hampir dan kini kami sedang membangunkan motosikal bersesaran 400cc pula, mungkin enjin dua silinder kembar – sedang dinilai sebaiknya. Dengan bantuan Piaggio/Zongshen, strategi ini memang menarik dan akan berjaya,” tambahnya lagi.
Ia tampak mewah tapi sebenarnya tidak. Mondial HPS125 sememangnya sebuah jentera yang mempunyai sasaran penggemar yang cukup luas. Bagi yang muda, inilah suatu jentera yang boleh diletakkan bersebelahan dengan KTM Duke manakala bagi yang 'lama', Mondial ini pastinya mengembalikan kenangan silam dunia motosikal yang dahulunya pernah menggegarkan dunia. RR
Laporan: Alan Cathcart
Kredit Foto: Kel Edge
Spesifikasi
Enjin | silinder tunggal, empat lejang, DOHC, sistem penyuk cecair |
Isipadu | 124cc |
Gerek x Lejang | 58mm x 47mm |
Kuasa maksimum | 11kW pada 9,750rpm |
Tork maksimum | 112.3Nm pada 7,500rpm |
Transmisi | 6 kelajuan |
Kelegaan bumi | 155mm |
Tinggi pelana | 785mm |
Berat kering | 130kg |
P x L x T | 2,016 x 765 x 1,060mm |
Popular