Modenas Karisma 125 Sesuai Untuk Tunggangan Urban
Tahniah buat Modenas yang kembali menyinar ke arena permotoran negara dengan pelancaran model-model serba baru pada penghujung tahun lalu. Antara model yang sememangnya menjadi tumpuan ialah Karisma 125. Modenas Karisma mula diperkenalkan ke pasaran negara pada tahun 2003 dan terbukti ia adalah antara skuter yang menjadi pilihan ketika itu. Mengapa? Jawapannya mudah sahaja. Ia cantik, selesa dan tahan lasak.
Pada tahun 2003, RR sendiri telah menguji model ini dari Kuala Lumpur hingga ke Gurun, perjalanan sejauh kira-kira 500 kilometer memberikan pengalaman menunggang yang cukup menarik sekali. Boleh rujuk pandu uji yang kami lakukan ini dalam RR keluaran Mei 2003. Sudah pasti Karisma terbaru ini menawarkan spesifikasi yang lebih baik. Kami pasti… tambahan pula kini Modenas mempunyai jalinan kerjasama kukuh dengan pengeluar skuter utama di Taiwan iaitu Kymco yang telah mendapat kepercayaan daripada komuniti penunggang motosikal di seluruh dunia.
Karisma baru ini menarik minat kami sejak ia dilancarkan dahulu. Lampu utama dan belakangnya adalah daripada jenis LED yang menawarkan suluhan cukup jelas. Inilah yang sangat-sangat dialu-alukan demi mempertingkatkan kadar keselamatan penunggang setiap masa. Panel meter skuter ini disusun dengan kemas dan cukup jelas untuk kita lihat. Bahagian hadapan juga dikemaskan dengan adanya corong mengisi minyak, penyangkut barang, soket usb dan ruang menyimpan barang kecil. Kunci utama Karisma ini juga boleh kita gunakan untuk membuka penutup petrol dan pelana.
Sebut pasal pelana, ia memang cukup luas. Tak ada masalah untuk ditunggang berdua walaupun bagi mereka yang berbadan besar. Bagi pemilik kasut bersaiz 10 dan ke atas, anda juga akan berpuas hati menunggang Karisma ini kerana papan lantainya juga direka luas. Mudah untuk penunggang tinggi mengubah posisi ketika menunggang jauh. Pelana Karisma ini juga tidak tinggi, hanya 790mm. Sesuai juga untuk penunggang wanita.
Enjin 124.6cc, empat lejang, silinder tunggal mengeluarkan suara yang segar sebaik sahaja kita menekan suis penghidup. Oleh kerana Karisma ini tidak dilengkapi dengan sensor pemati enjin pada bahagian tongkatnya, enjin tetap dapat dihidupkan walaupun ketika tongkatnya diturunkan. Dengan tindak balas pendikit yang tepat, kita mampu membuat pecutan dengan pantas sekali. Bukan terlalu memuji tetapi hakikatnya, Karisma ini berjaya meninggalkan jentera-jentera lain setiap kali di lampu isyarat.
Keluasan ruang bawah pelananya membolehkan pemilik skuter ini menyimpan pelbagai jenis barangan seperti set baju hujan, komputer riba, set penyelenggaraan, beg bersaiz kecil dan macam-macam lagi. Bagi kaum hawa yang inginkan sebuah jentera praktikal untuk ke tempat kerja atau ke tempat pembelajaran, skuter Modenas ini adalah pilihan. Ia ringan, mudah dan boleh menyimpan barangan peribadi.
Kami juga suka pada ketegapan casisnya dan kami yakin ia mampu mendukung sebuah enjin berkapasiti yang lebih besar seperti 150cc. Dengan tubuh badan yang mantap, membuat miringan dan mengubah haluan dapat dibuat dengan pantas dan meyakinkan – tidak terasa ianya terhoyong-hayang. Dengan berat bersih 113kg, skuter tidak payah untuk dikendalikan tidak kira dalam kelajuan tinggi mahu pun rendah dan sekali lagi… ciri-ciri ini amat sesuai buat penunggang baru dan penunggang wanita.
Dengan kelincahan yang dimilikinya ini, penunggang dengan mudah menggunakan kuasa enjin yang setinggi 7.0kW pada 7,500rpm dan tork 9.0 Nm pada 5,000rpm untuk memintas dan mencelah kenderaan yang sedang bersesak-sesak di dalam bandar. Kita juga tidak perlu sibuk menukar gear, hanya tutup dan buka pendikit sahaja – Karisma akan menuju ke destinasi dengan cukup selesa sekali. Walaupun ia bukanlah dicipta untuk kita mencari kelajuan maksimum, Karisma ini masih dapat memecut pada kelajuan tertinggi sekitar 120km/j dengan agak selesa. Laju kan....
Ketika berada di jalan-jalan yang tidak rata, dirasakan bahagian hadapannya agak bergegar tetapi tidaklah sehingga mengganggu tunggangan. Karisma dilengkapi dengan fork hadapan jenis teleskopik yang dirasakan agak keras sedikit. Kami amat menyukai saspensi belakangnya yang menunjukkan kemampuan membawa bebanan yang berat dengan gagah sekali. Karisma ini ditunggangi oleh penunggang dan pembonceng yang berbadan besar untuk jarak 100 kilometer dan ianya tidak mengecewakan. Ruang kaki dan lutut yang luas membantu penunggang dan pembonceng mengubah posisi/kedudukan untuk lebih selesa dengan mudah.
Sistem pacuan akhir CVT (tali sawat) beroperasi dengan baik sekali cuma perlu berhati-hati jika berniat untuk melakukan pintasan. Jika di lebuhraya, pastikan lorong kanan betul-betul kosong sebelum kita memotong. Pulas pendikit dan keluar memintas sedikit demi sedikit. Walaupun berat, enjin Karisma ini masih mampu menarik bebanan dengan lancar sekali dan paling dipuji ialah pada keselesaannya. Rakan kami di belakang dapat menikmati perjalanan dengan selesa sekali walaupun ianya nampak kompak dan kecil. Benar... jangan pandang rendah padanya. Apa yang sedikit mengganggu ialah pada kelegaan buminya yang agak terhad. Bahagian bawah skuter ini amat mudah bergesel dengan jalan terutamanya di kawasan berbonggol.
Menunggang skuter ini di waktu malam ternyata membuktikan betapa banyak jurang bezanya jika nak dibandingkan dengan model sebelum ini. Panel meternya mudah dilihat manakala suluhan lampu utamanya yang terang membolehkan kita menunggang di waktu malam dengan lebih selamat dan meyakinkan.
Walaupun sebuah skuter 125cc, Modenas telah melengkapkan model ini dengan sistem brek hadapan jenis cakera 220mm dan belakang (drum) yang bertindak dengan baik sekali. Karisma dilengkapkan dengan tayar hadapan bersaiz 80/90-14 dan belakang 90/90-14 yang menggigit permukaan jalan dengan cemerlang sekali. Selepas menunggang lebih daripada 100 kilometer, penunjuk bahan api masih lagi berada di tahap yang meyakinkan sehinggalah tangki sebesar 4.5 liter hampir kering apabila perjalanan sudah mencecah 140 kilometer. Ia cukup jimat walaupun pada enjin jenis karburetor.
Sememangnya tujuan Modenas memperkenalkan model ini bukanlah untuk mengembara atau berkonvoi ke destinasi nun jauh di sana. Ia berkuasa dan bersaiz kecil maka gunakan dengan bijak. Skuter ini adalah pilihan yang tepat buat mereka yang berdepan dengan kesesakan lalulintas setiap hari. Karisma ini ringan, ramping, lincah dan jimat. Satu kombinasi penting buat masyarakat urban.
Skuter terbaru Modenas ini ditawarkan pada harga RM5,278.80 (termasuk GST) dan boleh dipilih dalam dua warna iaitu Merah dan Putih. RR
Spesifikasi
Enjin | empat lejang, silinder tunggal, sistem penyejuk cecair |
Isipadu | 124.6cc |
Gerek x Lejang | 52.4 x 57.8mm |
Kuasa maksimum | 7.0kW pada 7,500rpm |
Tork maksimum | 9.0Nm pada 5,000rpm |
Tinggi pelana | 790mm |
P x L x T | 1,930 x 690 x 1,120mm |
Berat bersih | 113kg |
Isi tangki | 4.6 liter |
Popular