MV Agusta Brutale 800RR: Kembali Dengan Lebih Baik
MV Agusta bagaikan 'menyepi' sejak beberapa tahun yang lalu dan untuk mengembalikan sinar jenama ini, pemiliknya Giovanni Castiglioni berusaha gigih dengan mempertingkatkan pasaran menerusi model-model Brutale 675 Triple, Rivale, Dragster, Turismo Veloce dan lain-lain. Ternyata usaha beliau menemui kejayaan dengan peningkatan kadar pendapatan dari USD36 juta kepada USD122 juta dalam masa dua tahun tetapi ia juga bermakna, syarikat ini terpaksa membuat pinjaman kewangan tambahan. Ini menyebabkan berlakunya krisis aliran wang yang memerlukan penyusunan dan permodalan semula untuk lebih mantap.
Pada tahun 2015, jumlah pengeluaran MV Agusta ialah sebanyak 9,000 unit, kemudian turun kepada separuh dan semakin rendah pada tahun 2017. Masalah kewangan ini kemudiannya diperkukuhkan dengan suntikan dana oleh Black Ocean Investment Group, sebuah syarikat milik usahawan dari Russia yang berusia 35 tahun dan juga pemilik MV Agusta, Timur Sardarov. Black Ocean kini memperolehi 49% daripada ekuiti syarikat MV Agusta dan beliau (Sardarov) sebagai Timbalan Presiden bersama Castiglioni menumpukan seluruh perhatian pada produk dan pemasaran.
Ia berjaya mempertingkatkan jumlah modal kepada yang lebih tinggi dan kilangnya kini mampu mengeluarkan purata sebanyak 30 unit sehari dan keteguhan kewangan yang dicapai turut membolehkan syarikat ini membeli semula saham pemilikan Mercedes-AMG sebanyak 25% di dalam MV Agusta. Castiglioni ingin mengurangkan jumlah pengeluaran model-model super-premium yang mewah tetapi terus mengekalkan kualiti dan eksklusif pada setiap model yang sedia untuk dipasarkan. Jentera yang dikeluarkan lebih cenderung kepada sentuhan kesenian, Motorcycle Art. Untuk membuktikannya, ia dimulakan dengan Brutale 800 Triple.
Rombakan besar dilakukan pada model Brutale 800 dengan tujuan pertamanya untuk mendapat piawaian Euro 4. Dari segi hantaran kuasa, model baru yang berenjin 798cc 12-injap DOHC, tiga silinder ini tidak sehebat model lama yang menggunakan enjin Euro 3. Brutale 2016 Euro 4 yang menawarkan hantaran kuasa 116hp pada 11,500rpm (kehilangan 9hp berbanding model 2015) tetapi kadar torknya meningkat kepada 83Nm pada 7,600rpm berbanding 78Nm pada 8,600rpm. Ketika saya menguji kemantapan model ini dua tahun lalu, perjalanan sejauh 300 kilometer telah membuktikan hamburan kuasa yang luas dan tahap keselesaan menunggang adalah satu sifat yang dikehendaki oleh para peminat jentera naked di seluruh dunia.
Model terbaru, Brutale 800RR 2018 disempurnakan untuk semua jenis tunggangan dan kemantapan ini datangnya daripada 26 ahli dalam pasukan R&D yang bekerja keras di kilang MV Agusta di Varese. “Kami terus berkhidmat dengan penuh semangat ketika syarikat ini diuji dengan pelbagai kesukaran pada tahun 2016/17. Kami cukup bertuah kerana Giovanni adalah seorang yang tabah dan sentiasa percayakan R&D. Beliau selalu memberikan nasihat dan panduan bagaimana untuk menyempurnakan suatu tugas di waktu-waktu penting,” kata Pengarah Pembangunan Teknikal, Brian Gillen.
Brutale 800RR 2018 ini dilengkapi dengan enjin tiga silinder yang menawarkan kuasa maksimum setinggi 140bhp pada 12,300rpm dan tork 87Nm pada 10,100rpm – statistik yang sama dengan model 800RR Euro 3 dulu tetapi model ini sudah pastinya menepati piawaian Euro 4 dengan emisi sistem ekzos dikurangkan kepada 56% dan tahap kekuatan bunyinya kepada 51%. “Model baru ini menggunakan kepala silinder dan ruang pembakaran baru yang menawarkan kualiti hantaran kuasa yang lebih efisien,” kata Gillen.
Tekan suis penghidup, kita perlu bersedia untuk didengarkan dengan kemantapan enjinnya yang kini agak perlahan tetapi tetap mengujakan. Sistem ekzos 3-1-3 yang dimiliki oleh Brutale baru ini masih mengekalkan karaktor sebenar jentera MV Agusta dan segala usaha untuk menepati piawaian tidak mengecualikan Brutale ini dari terus 'mengaum'.
“Kami mempunyai matlamat yang sangat jelas dengan sentiasa akan menawarkan bunyi enjin yang garang dan mantap. MV tetap MV dan mesti berbunyi dan memberi rasa seperti MV. Getaran unik yang terdapat pada setiap jentera MV Agusta juga dikekalkan cuma kami senyapkan apa yang tidak perlu sahaja,” tambah Gillen.
Casis Brutale ini turut diubahsuai tetapi masih mengekalkan format asalnya dengan keluli jenis tiub yang digunakan untuk kerangka bahagian atas yang diperkemaskan pada plat aloi bertempa di setiap sisi. Kerangka bahagian atas jenis spaceframe ini dihasil menggunakan keluli aloi ALS yang memiliki tahap kalis hakisan lebih baik berbanding bahan 4130 chrome-moly yang biasa digunakan selama ini. Lengan ayunnya 20mm lebih panjang dan tapak roda juga kini turut dipanjangkan kepada 1400mm.
Sistem saspensi 800RR turut diperbaharui dengan menggunakan penyerap hentak mono jenis Sachs dan penyerapan segala hentakan di hadapan kini pastinya lebih cemerlang dengan fork aluminium Marzocchi baru bersaiz 43mm. Pakej brek Brembo tidak berubah – masih menggunakan sepasang brek cakera 320mm di depan dan 220mm di belakang. Brutale ini 2kg lebih berat berbanding model lama tetapi ia langsung tidak menukar sifat lincahnya walau sedikit pun.
MV Agusta Brutale 800RR didatangkan dalam dua warna iaitu merah/putih dan merah/hitam yang diserikan dengan rim-rim aluminium jenis bertempa. Prestasi dan respon di bahagian belakang kini lebih jitu apabila cushdrive barunya dibuat lebih ketat. Rupabentuk luarannya yang cukup agresif merupakan hasil sentuhan pereka dari Sepanyol, Carlos Solsona yang telah bekerjasama dengan Pereka Kanan MV Agusta, Adrian Morton.
Lampu utama dan lampu belakang dicipta baru menggunakan LED. Ciptaan ruang dan bentuk pelana juga menyerlahkan lagi bentuk sistem ekzos trio yang berada di sisi jentera ini. Tangki model ini direka dengan bijak agar bahagian hadapannya tampak tegap dan sasa. Apa yang pasti mengujakan setiap penunggang jentera ini ialah pada paparan meternya yang kini daripada jenis TFT berwarna.
Paparan ini cantik, kemas dan agak mudah untuk kita melihat tahap kelajuan, posisi gear, tahap ABS atau TC tetapi kalau nak tengok jam.... memang susah kerana ianya kecil sangat! Pakai kanta pun susah! Terdapat 10 lampu penunjuk 'berbaris' di bawah panel meternya dan ianya memang bagus kerana lampu-lampu kecil ini terang dan mudah untuk dilihat dalam semua keadaan.
Apa pun...mereka telah melakukan satu kesalahan yang kritikal. Meter MV ini tidak dilengkapkan dengan penunjuk posisi gear – hanya terdapat satu lampu penunjuk kecil berwarna kuning yang akan menyala apabila tahap bahan api berkurangan. Ini sangat-sangat mengecewakan kerana hampir seluruh bahagian jentera ini sangat cantik. Patutnya sempurnakanlah paparan TFT jentera ini terlebih dahulu, letak apa yang sepatutnya, termasuklah lampu penukaran gear.
Tahap kecekapan jentera ini di jalanan tidak mungkin tercapai tanpa disempurnakan dengan adanya tayar Pirelli Diablo Rosso III terbaru yang diakui menawarkan cengkaman yang lebih cemerlang di permukaan jalan yang basah. Sesi pelancaran media untuk model ini dijalankan di Lago Maggiore dan cuaca pada hari itu cukup baik – terang sekali. Kami juga dibawa menunggang di jalan raya biasa yang agak sesak. Pemilihan tersebut agak mengecewakan kerana kami tidak dapat merasakan prestasi Brutale ini dengan sebaik-baiknya. Ingin benar kami nikmati dan uji segala apa yang dibanggakan oleh Gillen.
Kami hanya menyusuri perjalanan yang turut dikongsi oleh kereta dan trak. Respon pendikitnya lancar dan tepat manakala proses penukaran gear sungguh lembut, tidak perlu guna tuas klac dan ini disebabkan adanya sistem speedshifter. Posisi menunggangnya yang selesa serta hantaran kuasa yang linear dalam semua gear membuktikan bahawa Brutale 800RR ini juga antara pilihan yang sesuai untuk tunggangan jalan raya biasa. Pulaslah pendikit serakus mana pun, kita tidak akan merasa enjinnya tersentap-sentap sebaliknya ia terus lancar ke hadapan. Jika dibandingkan dengan prestasi hantaran kuasa model-model MV sebelum ini, kita akan dapati 800RR memberikan senyuman dan kepuasan.
Apabila memperlahankan kelajuan, kita akan mendengar bunyi yang cukup mantap sewaktu autoblipper – bunyinya memang menagihkan. Kadar kemantapan brek-brek Brembo cukup sepadan dengan talaan sistem saspensi yang jelas dirasa sewaktu kita membrek dengan keras. Kita tidak terasa seperti akan terhumban ke hadapan! Dengan adanya sistem ABS, setiap pemilik MV Agusta ini akan selesa dan berasa yakin untuk mengendalikan mesin ini di dalam hujan atau dipermukaan yang basah. Sistem ABS ini boleh dimatikan dengan menggunakan suis pada bahagian bar hendal sebelah kiri.
Terdapat tiga mod tunggangan pada Brutale 800RR ini iaitu Sport, Normal/Touring dan Rain. Tambahan satu mod Custom yang dikhaskan untuk penunggang yang lebih berpengalaman. Model ini juga didatangkan dengan sistem traction control lapan tahap.
Mod Normal cukup sesuai untuk tunggangan biasa, harian manakala, mod Rain akan menurunkan kuasa kepada 80bhp dan kuasa tolakan yang lebih tenang. Saya dapati ia juga sesuai untuk tunggangan di dalam bandar yang sesak. Untuk tunggangan lebih mantap, tukarkan mod kepada Sport. Kuasa tolakannya bertambah agresif - sangat terasa sebaik sahaja kita memulas pendikit dari posisi 'menutup', ia berlari dengan pantas dan kita juga wajar memilih talaan traction control yang tepat untuk lebih cengkaman. Dalam mod ini juga tahap brek enjin akan berkurangan dan saya rasakan mod Normal lebih seronok untuk bermain di jalanan berselekoh atau berbukit.
Secara keseluruhannya, perubahan paling ketara dan yang paling besar 800RR ini tentulah menerusi corak hantaran kuasa yang cukup lembut dan lancar walaupun kuasa torknya kini lebih kuat daripada model 675 Brutale yang mempunyai lejang-pendek – ternyata ia lebih sesuai untuk sebuah jentera jalanan middleweight. Dengan luasnya banjaran kuasa sewaktu rpm rendah dan sederhana, Brutale memang pilihan untuk mereka yang tinggal di kota. Walaupun pelananya setinggi 830mm, sudut tangkinya yang direka dengan bijak membolehkan penunggang rendah dapat meletakkan kaki dengan mudah ketika berhenti di lampu isyarat.
Enjin berpiawaian Euro 4 yang pastinya lebih bersih, mesra alam dan memiliki kadar pengeluaran kuasa yang mantap tanpa gangguan walaupun kita memulas pendikit 800RR ini dari kedudukan serendah 2,5000rpm. Kita mampu kekal dalam gear keempat untuk suatu jangka masa yang lama – mendaki bukit atau ketika berada di jalan luar bandar yang kebanyakannya ada banyak selekoh menarik.
Terima kasih kepada autoblipper yang kini dilengkapkan dalam spesifikasi standard. Secara automatik, ia akan 'blip'kan pendikit sewaktu kita menurunkan gear agar pergerakan lebih lancar, pantas dan selamat. Saya dapati semakin banyak teknologi dan kebijaksaan yang terdapat pada mesin MotoGP kini sudah dapat dinikmati pada jentera jalanan biasa.
Walaupun geometri pengemudi motosikal ini lebih konservatif dan tapak rodanya juga lebih panjang, Brutale 800RR terus lincah dan tangkas. Bar hendalnya yang berada pada posisi selesa disempurnakan dengan adanya peredam CRC boleh laras yang membantu kawalan dapat dilakukan lebih tepat. Tidak dinafikan MV Agusta Brutale 2018 adalah sebuah jentera yang tampak hebat dan memiliki prestasi yang juga hebat. Penambaikan yang telah dilakukan membolehkan jenama ini terus mekar dan bangga di pasaran dunia. RR
Laporan: Alan Cathcart
Kredit Foto: Milagro
Spesifikasi
Enjin: | 4 lejang, 3 silinder DOHC, sistem penyejuk cecair |
Gerek x lejang: | 79 x 54.3 mm |
Kuasa maksimum: | 140 bhp pada 12,300rpm |
Tork maksimum: | 87Nm pada 10,100rpm |
Saspensi hadapan: | fork aluminium USD Marzocchi 43 mm |
Saspensi belakang: | lengan ayun dengan penyerap hentak tunggal progresif Sachs |
Tayar hadapan: | 120/70 ZR17 |
Tayar belakang: | 180/55 ZR17 |
Brek hadapan & belakang | cakera 320mm dengan ABS / cakera 240 dengan ABS |
Isi tangki: | 16.5 liter |
Popular