Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 8 Mac 2017

Ducati Multistrada 950 Berbaloi Menunggu

Pierre Terblanche memperkenal-kan model Multistrada untuk Ducati pada tahun 2003 dan diakui ia adalah satu rekaan yang inovatif dengan menggabungkan jentera supermoto, street enduro dan sport tourer yang dikuasakan oleh enjin sejukan udara 1000DS desmodue. Dua tahun kemudian mereka melancarkan pula model junior, 620cc yang telah menerima sambutan hangat oleh para pencinta motosikal kerana ia lebih senang dikendalikan dan tidaklah begitu mahal.

Pada tahun 2010, Ducati telah melakukan perubahan yang sangat besar pada model Multistrada 1200 yang didatangkan dengan enjin Testastretta 11°, lapan injap, 1198cc dan sistem sejukan cecair. Sejak dari saat itu, hampir 50,000 unit pelbagai versi telah berjaya dijual – menjadikan Ducati sebagai pengeluar Itali paling berjaya dengan penjualan satu model dan di tempat kedua selepas 'keluarga' Scrambler pada tahun 2015.

Walaupun begitu, mereka gagal untuk melahirkan model yang lebih kecil hinggalah ke saat ini. Enjin serba baru ini diperkenalkan setahun yang lalu, ia adalah Testastretta yang berkuasa 937cc yang kemudian 'dimasukkan' ke dalam model Hypermotard 939. Kini diperkenalkan pula SuperSport 2017.

Ducati telah melancarkan jentera terbaru Multistrada 950 di pameran antarabangsa EICMA, Milan tahun lalu. Saya berpeluang menunggangnya di Fuerteventura, Canary Island di mana jalannya disemai dengan lava gunung berapi untuk lebih cengkaman. Di sini juga merupakan tempat cukup menarik untuk tujuan menunggang kerana anda boleh memecut di lebuh raya, bermain selekoh sambil mendaki dan bersiar-siar di tepian kawasan gunung berapi – saya berani katakan, inilah habuannya buat kami yang sabar menunggu kemunculan Ducati ini.

Saiznya 260cc lebih kecil, kira-kira tiga suku lebih kecil berbanding model 1200, mempunyai 'paruh' hadapan seiras dengan 'abangnya' tetapi percayalah cakap saya, Ducati 950 ini adalah sebuah jentera yang sangat berbeza. Model ini juga lebih senang kerana ia tidak dilengkapkan dengan bermacam jenis program elektronik atau enjin yang sekuat 160hp.

Ducati 950 hadir dengan menawarkan harga yang lebih rendah iaitu Euro13,690 di Itali (termasuk cukai 22%) untuk versi merah dan Euro 13,890 untuk versi Silk-finish White – lebih kurang Euro4,000 lebih murah berbanding model 1200cc malah ia juga lebih rendah nilai jualannya daripada Honda Africa Twin. Selain harga yang kompetitif, servis berselang untuk model ini juga telah dikurangkan kepada 15,000 kilometer serta pemeriksaan pelepasan injap (valve clearance) pada setiap 30,000 kilometer.

Multistrada baru ini berkongsi dimensi enjin yang sama dengan model Hypermotard iaitu 94 x 67.5mm tetapi sistem aliran minyaknya telah direka semula. Dengan perubahan baru ini, nisbah mampatan telah dikecilkan daripada 13.1:1 kepada 12.6:1, badan pendikit lebih kecil (53mm), ECU Bosch yang lengkap dengan sistem RBW untuk memberikan empat mod tunggangan berbeza. Dalam mod Sport dan Touring, kuasa yang ditawarkan ialah pada tahap tertinggi (113bh pada 9,000rpm) – sama seperti model Hypermotard manakala apabila kita menggunakan mod Urban (aka Rain) dan Enduro, kuasa akan dikurangkan kepada 75bhp sahaja.

Cara untuk menukar mod ini juga mudah, hanya menggunakan suis kawalan yang diletakkan pada bar hendal sebelah kiri yang juga boleh digunakan untuk menala lapan tahap program DTS traction control. Ducati turut melengkapkan model ini dengan Ducati Safety Pack (DSP) sebagai alatan standard. Enjin yang direka semula ini juga menawarkan hamburan kuasa yang cukup luas iaitu 96.2Nm pada 7,750rpm yang didapati di antara 3,500rpm dan 9,500rpm. Kuasa ini sedikit menurun apabila putaran enjin menghampiri 10,500rpm.

Ini bermakna, kita dapat menikmati kuasa hantarannya bermula pada 3,000rpm dan lebih seronok, tanpa sebarang gangguan dan sentapan pada bahagian transmisi. Kita dapat berada di kelajuan 160km/j pada kedudukan 6,800rpm dan jujurnya, ia sangat lancar manakala bunyi enjin v-kembarnya pula cukup sedap sekali.

Benar... menunggang 950 ini memang sangat menggembirakan jika kita berbicara mengenai kuasa maksimum dan kuasa torknya. Pulas sahaja pendikitnya, ia terbang dengan pantas tetapi tidak liar walaupun sedang menggunakan mod Sport. Dengan kuasa sehebat ini, para penunggang tidak perlu terlalu tekun untuk menggunakan setiap gear dengan tepat – semuanya hebat dan mantap!

Bila dah sangat cemerlang... tidak mencabar pula. Saya langsung tidak mengendahkan untuk mengguna sistem klac bagi menambah dan menurunkan gear. Model baru ini 5 kg lebih ringan berbanding 'abangnya' dan diperkemaskan dengan brek cakera di depan jenis Brembo bersaiz 320mm serta brek cakera di belakang bersaiz 245mm yang diasaskan daripada model 1200 Enduro. Memang bagus sekali brek-brek ini – memberi keyakinan tinggi untuk kita mengawalnya dalam semua keadaan. Tangki Multistrada ini sebesar 20 liter yang membekalkan perjalanan sejauh 320 kilometer – memang bagus sekali untuk pengembaraan.

Ketiga-tiga varian model 950cc ini juga bukan sahaja berkongsi casis keluli jenis tiub berwarna gunmetal tetapi juga pada sistem ekzos leper 2-1 yang diletakkan di sebelah kiri, pelana, bar pemegang pembonceng dan rekaan lengan ayunnya. Rim tayar hadapan bersaiz 17 inci manakala di belakang pula 19 inci. Model ini juga menawarkan katalog aftermarket yang cukup menarik seperti rim berjejari dan tayar Pirelli jenis block-tread. Seperti model 1200cc, Ducati Multistrada 950 dihasilkan oleh bekas pekerja KTM yang kini merupakan Pengurus Produk untuk keluarga Multistrada.

Federico Valentini dilahirkan di Kanada (di Ottawa). Beliau berada di Husqvarna selama lapan tahun. Selepas KTM memiliki jenama ini, Federico turut berpindah ke Austria dan bekerja di bahagian offroad Husqvarna selama dua tahun. Tidak terkejutlah Ducati mahu mendapat kepakaran beliau untuk bekerja dengan bekas jurutera perlumbaan Ducati MotoGP dan ketua projek, Davide Previtera.

Multistrada 950 ini mempunyai ketinggian pelana 840mm (boleh memilih pilihan 820/860mm). Pelana ini tebal dan selesa dan cukup sesuai untuk penunggang setinggi 5'10”- dengan mudah kita akan dapat meletakkan kaki di atas permukaan jalan. Mungkin kerana ia lebih ringan, bar handel lebih luas telah menjadikan pengendalian mudah.

Sayangnya, model 950 ini tidak didatangkan dengan panel meter penuh warna TFT seperti mana yang dimiliki model 1200. Tiada IMU bermaksud tiadalah sistem saspensi semi-aktif Skyhook seperti mana yang boleh didapati pada model 1200. Model ini menggunakan fork hadapan jenis terbalik KTB yang bersaiz 488m boleh laras di hadapan manakala proses penyerapan saspensi belakang pula dihasilkan oleh penyerap hentak tunggal Sachs yang juga boleh dilaras sepenuhnya.

Dari segi geometri, model 950 adalah lebih panjang dan ramping berbanding 1200. Tapak rodanya 1,594mm (1,529mm: model 1200) dan ini menyumbang kepada kestabilan yang tinggi sewaktu memecut dengan laju tidak kiralah sama ada membawa muatan atau tidak. Ia tetap stabil. Saiz yang agak panjang ini juga telah memberikan ruang duduk yang lebih luas kepada penunggang dan pembonceng.

Sistem saspensi hadapannya agak lembut – terasa juga bagaikan hendak 'terjun' ke hadapan apabila kita membrek dengan keras. Dengan adanya spring progressive-rate di depan dan belakang, ia membantu kita menaiki bonggol dengan lebih lembut tetapi respon yang lebih keras apabila berada di atas bonggol yang lebih besar.

Jentera ini cukup lincah, cukup cepat dirasakan berbanding model-model lain malah kebolehannya dipertingkatkan dengan penggunaan tayar Pirelli Scorpion bersaiz 170/60 berbanding 190/55 untuk model 1200. Turut menjadikan Multistrada ini lebih istimewa ialah dengan adanya pakej aksesori yang menarik. Untuk Touring Pack (model yang saya tunggangi ini), mempunyai tongkat tengah dan kotak barang kembar (kotak belah kiri sedikit kecil kerana adanya sistem ekzos).

Varian Sport pula menawarkan sistem penyenyap Termignoni manakala Pek Enduro menawarkan pelindung bawah enjin aloi, lampu-lampu LED, tempat pemijak keluli, bar pelindung tangki dan pelindung radiator yang dipasang pada jentera-jentera yang diuji di jalanan bekas lava yang mempunyai banyak batu kecil. Akhirnya ialah pek Urban yang mempunyai kotak barang belakang, beg tangki clip-on yang boleh diguna untuk menyimpan telefon pintar dan port USB. Tidak lupa juga ruang barang di bawah pelana yang agak luas.

Apa yang kurang sesuai sebagai jentera offroad ialah pada ruang kelegaan buminya yang tidak begitu tinggi dan ini mungkin akan menjadi isu kerana sebuah jentera pengembaraan perlu tinggi untuk mudah ke mana sahaja. Dengan rupabentuk bumi yang menarik serta suhu luar sekitar 26°, Multistrada 950 ternyata telah lulus segala ujian ini dengan cemerlang sekali. Ia mempunyai kemampuan tinggi, sangat selesa dan cukup memuaskan hati.

Enjin 937cc ini memberikan kepuasan dalam satu pakej lengkap iaitu kuasa dan torknya. Ia memang sebuah motosikal hebat dan saya sentiasa akan mengingati pada kuasanya yang tidak pernah mengecewakan sepanjang sesi ujian saya. Ducati telah melahirkan sesuatu jentera berprestasi tinggi yang boleh memberikan ketagihan. Multistrada bagaikan 'seorang adik' yang sangat hebat dan boleh diharap! Model ini telah membuktikan kebijaksaan Ducati dalam memperkenalkan model-model baru yang kecil tetapi mempunyai kemampuan sama sahaja seperti model 1200.

Ini berita menarik buat pencinta motosikal di Malaysia. Menurut pihak Ducati Malaysia, model ini akan diperkenalkan ke pasaran negara pada bulan Mei nanti dan akan ditawarkan pada harga yang cukup menarik. Ducati Multistrada ini dilengkapi dengan rim jenis sport sebagai aksesori standard. Walaupun begitu, rim jenis berjejari akan ditawarkan dalam pakej aksesori. RR

Laporan: Alan Cathcart
Kredit Foto: Milagro

Isu Pada

Mac 2017

Spesifikasi

EnjinTestastretta, silinder L-kembar, desmodromic, sistem penyejuk cecair
Isipadu937cc
Gerek x Lejang94 x 67.5mm
Kuasa maksimum113hp pada 9,000rpm
Tork maksimum96.2Nm pada 7,750rpm
EmisiEuro 4
Kotak gear6 kelajuan
Tinggi pelana840mm ( pelana aksesori: 820mm-860mm)
Isi tangki20 liter
Berat basah227kg

Popular

  • Dari Litar

    Voge Formica Rossa 150 Bakal Muncul di Perlumbaan CubPrix & ARRC Musim Depan

  • Warta Roda

    Honda RS150R Tiba Dengan Warna Baru

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Model Baru

Ducati Perkenalkan Panigale V2 & Streetfighter V2 Baru di Milan

Seperti biasa, Ducati memilih pameran motosikal antarabangsa EICMA untuk melancarkan Panigale V2 dan Streetfighter V2 yang memiliki ketangkasan dan kemantapan prestasi untuk tunggangan di jalanan biasa mahupun di litar.

Warta Roda

RXZ Twin Boss V2 Oleh FNG Works Akan Dipamerkan di Yokohama Hot Rod Custom Show 2024 di Jepun!

RXZ Twin Boss V2 yang menang di AOS2024 dalam pertandingan Art Of Speed Invitational Bike Build Off akan dipamerkan di Yokohama Hot Rod Custom Show 2024.

Dari Litar

Podium Berganda Buat Qabil Di Sepanyol & Raih Keempat Keseluruhan di ESBK

Qabil Irfan menutup musim Kejuaraan Superbike Sepanyol (ESBK) Moto4 dengan podium berganda di pusingan akhir yang berlangsung di Circuito de Jerez, Sepanyol.

Model Baru

Scrambler Ducati Edisi 10° Anniversario Rizoma

Bersempena dengan ulang tahun ke-10 jentera Scrambler, Ducati telah berkolaborasi dengan pengeluar aksesori motosikal Rizoma untuk memperkenalkan Scrambler Ducati 10° Anniversario Rizoma Edition.