Confederate FA-13 Combat Bomber: Ciptaan Terakhir
Para pencinta motosikal custom di seluruh dunia pastinya akan terpesona dan kagum dengan keanggunan dan keunikan jentera yang digelar The Art of Rebellion. Benar... ia adalah hasil pengeluaran sebuah syarikat hebat bernama Confederate Motors Inc. yang diasaskan oleh Matt Chambers, seorang bekas peguam di Amerika. Kehebatan jentera ini bukan terletak menerusi rekabentuknya semata-mata tetapi juga pada kekuatan enjin v-kembar maksi cruiser yang telah terbukti pantas dan berkuasa.
Model pertama mereka yang 'mengejutkan' dunia adalah Confederate Hellcat yang dilancarkan di kilang Lousiana pada 11 November 1994 dan selepas suku abad di pasaran, jangka hayat syarikat ini akhirnya telah sampai ke penghujungnya. Pada awal Januari tahun ini, nama syarikat telah pun ditukar dan mereka juga tidak lagi menggunakan enjin biasa sebaliknya akan memberi tumpuan dalam penghasilan jentera berenjin lebih senyap.
Syarikat baru tersebut bernama Curtiss Motorcycle Co., beroperasi di Birmingham, Alabama dan ia masih diketuai oleh Matt Chambers selaku Presiden/CEO. Nama Curtiss Motorcycle diambil bersempena penunggang motosikal dan juruterbang lagenda, Glen H. Curtiss yang telah menerima penghormatan tinggi selepas mencipta sejarah Land Speed Record pada kelajuan 219.45km/j di Pantai Ormond pada 1907 dengan menunggang sebuah jentera 410xx, V8 berkuasa 48hp. Apa yang mengagumkan ialah jentera tersebut direka dan dibina sendiri oleh Curtiss.
Keunikan jentera Confederate yang sinonim dengan enjin yang tegap serta bunyi kuat kini terpaksa 'direhatkan' kerana jentera baru yang bakal dilancarkan oleh Curtiss pada Mei nanti jauh lebih senyap. Model baru itu ialah Hercules yang dikuasakan oleh enjin ciptaan Zero Motorcycle dari California yang telah bersetuju untuk bekerjasama. Menerusi hubungan baik ini, Curtiss Motorcycle hanya tertumpu dalam mengeluarkan jentera berkuasa elektrik yang mampu milik. Menurut Matt Chambers, “Sesuai dan boleh dibeli oleh semua.
”Sememangnya benar. Harga untuk sebuah jentera keluaran Curtiss Motorcycle dianggarkan sekitar $30 ribu, sangat berbeza jika dibandingkan jentera berstatus butik, Confederate yang hanya mampu dimiliki oleh golongan atasan dan kaya sahaja. Antara selebriti A-List Hollywood yang memilikinya ialah Tom Cruise, Brat Pitt dan Nicholas Cage. Tidak ketinggalan juga idola muzik rock seperti Bruce Springsteen dan Steven Tyler serta bintang lagu-lagu Country, Tim McGraw turut berada di dalam senarai pelanggan Confederate Motors Inc.
Sebelum berubah dan berpindah sepenuhnya daripada Confederate, Matt Chambers telah berjaya menghasilkan sebuah model terakhir Confederate yang diberi nama FA-13 Combat Bomber. “Kami sedari jenama Confederate tidak lagi mampu berdaya maju di dalam suasana politik semasa dan mungkin akan kehilangan lebih banyak peluang perniagaan. Oleh itu sudah tiba masanya untuk bersara dan memberi tumpuan pada arah yang lebih dinamik bersama produk baru,” komen Matt Chambers.
Matt Chambers turut berpandangan bahawa era jentera American Muscle telah tiba di penghujung dan sewajarkan, Matt Chambers dan kumpulannya beralih ke arah yang lebih baik. “Its goodbye to Confederate and hello to Curtiss. Apa pun, gelaran terkenal Art of Rebellion tidak akan lenyap selamanya.
Sejak mula-mula lagi Confederate sentiasa menamakan jentera mereka sempena nama kapal terbang perang US dan siri edisi terhad yang terakhir ini juga tidak terkecuali. Sebanyak 14 unit FA-13 Combat Bomber ini ditawarkan pada harga $155,000 setiap satu dan ia adalah model yang paling mahal pernah dihasilkan. Tawaran ini turut didatangkan dengan jaket kulit bespoke yang amat cantik dan berkualiti tinggi.
Sepuluh daripada 14 buah jentera ini telah pun dijual termasuk tiga antaranya dijual ke luar US iaitu Malaysia, Jerman dan China – kini hanya tiga unit sahaja lagi yang masih belum berpunya. Cepat... cepat... sebelum diambil orang. Model ini dikemaskan dengan kerangka jenis monocoque, sistem saspensi dan kotak engkolnya dibuat daripada aluminium billet berspesifikasi untuk kapal terbang yang disempurnakan dengan warna matte seperti mana yang digunakan pada Stealth Bomber. Rekaan ini pastinya jadikan pengunduran jenama ini daripada dunia motosikal tampak lebih bermaruah dan berprestij.
Bomber diasaskan daripada model edisi terhad, P51 Combat Fighter yang djual kepada 61 orang pemiliknya pada harga $130,000. Ini bermakna, model baru ini terus menggunakan tiub aluminium untuk kerangka tunjangnya. Lambang dan nombor identitinya diukir dengan kemas manakala bahagian badan utamanya dibuat menggunakan mesin CNC yang menjanjikan ketepatan sangat tinggi.
Seperti model P51 Fighter, Bomber ini bersesaran 2163cc dan inilah Art of Rebellion yang sebenarnya kerana semua pekerja di Confederate bersamasama menyempurnakannya. Kami duduk bersama-sama, berbincang dan mencipta jentera ini. Hasil yang dipersetujui semua ialah dengan menjadikan Bomber ini kelihatan bagaikan sebuah jentera peperangan yang tegap dan agresif. Lihat juga kemasan bahagian luarannya yang benar-benar dramatik.
Melihat dengan lebih dekat jelas menunjukkan kehebatan Bomber ini bukan hanya menerusi rekabentuknya tetapi juga merangkumi segalanya. Berbanding Fighter, model baru ini lebih ringan. Kira-kira 13 kilogram. “Enjin model ini juga ditala agar lebih mantap dan lebih berkuasa. Ia menghampiri jentera yang kami pernah bawa ke Salt Flats. Ketika itu, kami telah melakukan perubahan pada enjin Fighter dan perubahan itulah yang kini dimasukkan ke dalam enjin Bomber. Hebat kan!
Rekod yang dicipta pada Ogos 2014 di Bonneville Salt Flats ialah sepantas 172.211bsj (277.146km/j) yang diiktiraf sebagai rekod terbaru Land Speed dalam kategori APF-3000, enjin v-kembar pushrod di atas 2000cc. Jadi, kuasa 150hp pada 5,100rpm yang dimiliki oleh enjin Bomber X-Wedge ini dihasilkan daripada kejayaan pada jentera yang telah memecahkan rekod itu. Ia juga 5hp lebih tinggi daripada talaan model Fighter.
Torknya? Memang sangat hebat iaitu 224Nm. Dengan kekuatan ini, kita akan terus mengingati bagaimana mantapnya menunggang sebuah jentera American Muscle dan tidak ramai yang bertuah dapat merasainya. Peluang untuk menguji model ini sangat hebat tambah-tambah lagi ketika berada di kilangnya di Birmingham yang seluas 25,000 kaki persegi. Ia asalnya adalah sebuah gudang yang dibina pada tahun 1940an dan telah pun dibina dan diubahsuai pada tahun 2013 lalu.
Model yang diuji ini merupakan jentera serba baru yang telah diperkemaskan dengan tayar-tayar baru. Memang seronok menunggang dengan motosikal begini terutamanya apabila berada di laluan berbukit yang cantik di Alabama. Melihat akan jalannya, ia memang sesuai untuk model-model cruiser dan untuk Bomber…. kita akan lihat bagaimana ia beraksi.
Sebaik sahaja melabuhkan punggung ke atas pelananya yang lembut (736mm), serta merta kita akan rasakan sesuatu yang sangat berbeza pada model ini jika dibandingkan dengan model Fighter. Posisi menunggangnya lebih rendah yang dibuat untuk tujuan aerodinamik. Badan kita akan terasa sedikit ke hadapan. Walaupun begitu, ia tidaklah seperti model Hellcat Speedster yang dihasilkan oleh Pierblance pada tahun 2014 lalu. Dia juga telah meninggalkan Alabama untuk berkhidmat di Royal Enfield, India. Model tersebut sukar untuk ditunggang berbanding Bomber ini.
Bar hendalnya yang direka seperti motosikal drag cukup selesa dan mudah dicapai. Kemantapan Bomber juga adalah kerana gaya dan bentuknya seperti jentera Bobber yang popular sekarang ini. Ia cukup ramping, tayar belakang lebih lebar daripada jentera ini. Hakikatnya, rekaan tersebut menjadikan Bomber lebih tangkas. Ditambah pula dengan penggunaan rim gentian karbon yang sangat membantu kita untuk mengendalikan jentera ini dengan lebih baik di semua kelajuan.
Walaupun kita tidak dapat mengepit kerangka utamanya, kami masih berasa jentera Confederate ini sangat stabil ketika membrek – terima kasih untuk fork hadapan jenis girder-style yang dikemaskan dengan penyerap hentak RaceTech benar-benar berfungsi dengan baik. Sistem saspensinya memberikan penyerapan optimum dan mengekalkan kualiti tunggangan saya. Seronok dan hebat.
Bomber ini didatangkan dengan tayar belakang Pirelli 240/45 ZR17 yang cukup besar, apapun ia langsung tidak mengganggu pengendalian dan kawalan. Tidak terasa bahagian hendal berat atau mengganggu. Tayar Pirelli Night Dragon di hadapan lebih kurus dengan saiz 19 inci dan saiz ini dipilih untuk memberikan kita lebih cepat berinteraksi dengan segala pergerakan jentera ini. Ketika menunggangnya, kita bukan sahaja ‘dihiburkan’ dengan prestasi jentera ini tetapi juga dengan garangnya bunyi dan bentuk sistem ekzosnya yang unik dan istimewa.
Untuk menghidupkan jentera ini, kita hanya perlu menggunakan kunci utama yang dipasangkan di bahagian lutut sebelah kanan dan selepas itu barulah menekan suis start. Enjin terus berderum hanya dengan sekali tekan dan serta merta bumi terasa hidup dengan adanya gegaran dari sistem ekzosnya. Dalam keadaan melahu, enjin model ini berputar sekitar 900rpm. Dalam keadaan ini, enjinnya tidaklah bergegar kuat seperti mana jentera v-twin Amerika yang lain. Jelas benar terasa betapa hebatnya kualiti jentera ini dijaga.
Enjin model ini juga telah dilengkapkan dengan sistem suntikan bahan api Delphi yang jimat, bersih dan pantas. Ketika berada di atasnya, kita hanya perlu memulas pendikit dan rasakan kepuasan jenteranya berlari. Kuasa tolakannya benar-benar mantap dan mengagumkan tetapi yang penting ialah segalanya masih di dalam kawalan. Pemetaan enjin dan respon pendikit yang tepat amat kami sukakan dan tiada isu sama sekali tentang berwheelie kerana tapak roda yang panjang membantu jentera ini kekal di tanah dengan selamat.
Putaran enjin paling ideal untuk model ini ialah sekitar 2,000 – 3,500rpm, dan penukaran gear terbaik ialah 2,000rpm. Kedudukan gear dan rpm dapat dilihat dengan mudah sekali menerusi panel meternya yang terang.
Panel meter ini menggabungkan penunjuk analog dan meter digital untuk paparan tahap kelajuan dan paras bahan api. Turut dilengkapkan ialah lampu nyalaan (ignition) dan lampu hijau untuk gear Neutral. Walaupun kita mudah mengawal segala pergerakannya, banjaran kuasa jentera ini cukup luas sehingga ia sudah mampu memecut sehingga 160km/j hanya pada kedudukan 3,000rpm di gear kelima (tertinggi) dalam masa yang sangat singkat. Tuas klac lembut dan kami berpandangan penukaran gear dapat dilakukan dengan lancar pada 2,000rpm. Kalau nak seronok berada di laluan berselekoh tanpa sebarang sentapan pada bahagian enjin dan transmisi, itulah putaran enjin yang sebaiknya.
Dalam kedudukan gear mana sekalipun, prestasinya di dalam kelajuan tinggi mahu pun rendah sangat tidak pernah mengecewakan. Ketika merentap dengan galak untuk mendapatkan pecutan, gegaran yang dirasakan hanya sedikit sahaja. Seperti model Fighter, Bomber juga didatangkan dengan brek cakera aluminium-ceramic bersaiz 230mm yang mencengkam dan memperlahankan kelajuan.
Untuk tunggangan lebih meyakinkan, sistem ABS memang amat diperlukan dan persoalannya, mengapa tidak dilengkapkan pada model ini? Menurut Chambers, sistem tersebut (ABS) tidak perlu dibangunkan untuk model ini kerana ia adalah yang terakhir. Dia juga menjanjikan model-model keluaran Curtiss nanti pastinya akan didatangkan dengan sistem ABS yang kini adalah satu kemestian untuk semua jenis motosikal.
“Model-model Bomber dari Confederate ini adalah satu hasil tangan kami yang terakhir dan sudah semestinya kami akan menjadikannya sebuah jentera yang mengagumkan semua pihak dengan rekabentuk anggun serta prestasi enjin yang hebat. Sejak berpuluh tahun yang lalu, kami berusaha gigih untuk mengeluarkan jentera yang unik dan tiada tandingannya - memang sesuatu yang sukar dan memberi cabaran buat kami. Kami satu-satu yang mampu melakukan jentera sehebat ini tetapi kini ianya telah berakhir dan adalah penting buat syarikat ini untuk terus dinamik bersama produk dan nama-nama baru,” jelas Matt Chamber.
Tidak dinafikan, Confederate adalah sebuah jentera dua roda yang tiada seumpamanya di dunia ini. Ia classy dan sangat mahal. Menunggang FA-13 Bomber adalah buktinya – kita bagaikan tidak pernah puas bersamanya dan sentiasa ingin memutarkan kuncinya untuk terus menyambung perjalanan. RR
Laporan: Alan Cathcart Kredit Foto: Phil Hawkins
Spesifikasi
Enjin: | 4 lejang, v-kembar, sistem penyejuk udara/minyak |
Gerek x lejang: | 111.76 x 111.76 mm |
Kuasa maksimum: | 150hp pada 5,100 rpm |
Tork maksimum: | 224Nm pada 2,000 rpm |
Saspensi hadapan: | fork jenis Double-Wishbone Parallelogram |
Saspensi belakang: | lengan ayun aluminium dengan penyerap hentak tunggal |
Tayar hadapan: | 120/70 ZR17 |
Tayar belakang: | 240/45 ZR17 |
Brek hadapan & belakang | cakera 230 mm & 240 mm |
Isi tangki: | 16.25 liter |
Popular