Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 5 Februari 2017

Honda BeAT 110 Gaya Muda-Mudi Masa Kini!

Kini jentera skuter sudah tidak asing lagi di negara kita. Ia popular bukan sahaja di kawasan bandar malah turut menjadi pilihan di kawasan kampung dan digilai dari semua peringkat umur. Skuter diminati kerana ia tidak memerlukan penukaran gear dan klac kerana ia hanya perlu mengawal pendikit untuk meningkatkan kelajuan. Namun, jentera skuter mahupun motosikal yang menggunakan pacuan gear biasa mempunyai kelebihan masing-masing.

Dengan tema ‘Active Lifestyle Device’ Boon Siew Honda melancarkan skuter mereka yang terbaru pada bulan November 2016 lalu, BeAT 110 dengan rekaan yang lebih segar dan lebih canggih. Selain rupa bentuk yang menarik minat penunggang muda, ia turut menawarkan penjimatan bahan api yang optimum dan ciri-ciri keselamatan yang tinggi dalam kelasnya. Tahniah Honda!

Rupabentuk BeAT 110 kini lebih anggun dan menambat hati siapa sahaja yang melihatnya dengan rekaan garis-garis aerodinamik yang canggih dan sporty berserta lampu utamanya yang besar yang disatukan dengan lampu isyarat. Lampu brek belakang juga besar dan terang untuk dilihat dari jarak yang jauh.

Boleh dikatakan, rekaan skuter bersaiz comel ini kelihatan sesuai untuk penunggang lelaki mahupun wanita. Ia tidaklah terlalu kecil untuk penunggang yang berketinggian sehingga 5.5 kaki. Ketinggian bar hendal dan kedudukan pelana boleh dikatakan agak ideal dan selesa. Ruang meletak kaki yang boleh memuatkan kasut bersaiz lapan mahupun sembilan memberikan penunggangnya ‘bersatu’untuk bergerak pantas dan mengubah haluan dengan tepat.

Model BeAT ini turut dilengkapi ruang bawah pelana yang agak besar boleh memuatkan telefon bimbit, satu set baju hujan atau beg tangan wanita yang bersaiz sederhana. Tiada masalah, pastinya kaum wanita berasa selamat dan yakin dengan menyimpan ‘harta’ mereka di bawah pelana. Bagi pakcik dan makcik yang suka ke pasar untuk membeli barangan dapur, model ini turut dilengkapi penyangkut barang yang terletak di belakang fairing hadapan untuk meletak barang.

Pandu Uji:

Semua motosikal moden kini tidak lagi mempunyai tuas choke. Termasuklah Honda BeAT ini yang dilengkapi dengan sistem pancitan bahan api PGM-Fi yang terkini dengan Peningkatan Kuasa Pintar (eSP) untuk memastikan kuasa yang lebih sempurna dan menjimatkan penggunaan bahan api jangka panjang.

Putarkan sahaja kunci utama yang terletak di bawah bar hendal dan tekan punat penghidup elektrik dengan hanya sekali tekan. Enjin menderum dengan lembut dan tidak mengganggu jiran tetangga dengan bunyi ekzos yang senyap.

Skuter ini dilengkapi dengan enjin silinder tunggal, penyejuk udara, OHC empat lejang dan berisipadu 108.20cc menawarkan tunggangan yang mengasyikkan dengan kuasa maksimum 6.46kW (8.77PS) pada putaran enjin 7,500rpm. Jangan terperanjat pula apabila kita antara yang berupaya memecut laju meninggalkan kenderaan lain apabila pendikit dipulas dari keadaan melahu. Memang benar…ia meluru ke hadapan dengan tangkas!

Saiz meter analog dan digitalnya besar dengan paparan yang mudah dibaca memberikan kelebihan kepada kita untuk terus fokus ketika menunggang. Hanya sekali imbas, kita sudah dapat mengetahui kelajuan, tahap bahan api dan isyarat belok dan jarak perjalanan. Lampu latar belakang meter ini terang dan jelas ketika menunggang di waktu malam. Begitu juga dengan pancaran lampu utamanya yang memberikan suluhan yang jelas.

Sistem ekzos dilengkapi dengan pelindung panas dan aksesori ini cukup penting terutamanya bagi mereka yang tinggal di kawasan kejiranan yang terdapat ramai kanak-kanak. Tubuh mereka sangat mudah terdedah dengan bahagian-bahagian panas seperti brek cakera, enjin dan semestinya sistem ekzos.

Dengan berat keseluruhan 94 kilogram, BeAT menawarkan pengendalian yang cukup mudah dan inilah yang kita inginkan terutamanya ketika memacunya di dalam bandar yang seringkali memerlukan kita untuk mencelah kenderaan lain.

Oleh kerana berat keseluruhan Honda BeAT ini agak ringan, meluncur dalam kelajuan maksimum iaitu sekitar 110-115 km/j memerlukan kita lebih fokus terhadap tunggangan. Tangan kita perlu menggenggam bar hendal dengan kuat kerana agak bergoyang sedikit ketika di atas lebuhraya, lebih-lebih lagi apabila dipintas oleh kenderaan besar jika dalam kelajuan tinggi. Namun jika menunggang sekitar 60-90km/j di dalam bandar, ia stabil dan menyeronokkan. Tambah meyakinkan, sistem brek Honda ini didatangkan dengan teknologi terkini iaitu jenis Combi Brake (CBS) yang direka oleh Honda sendiri (brek hadapan dan belakang bertindak serentak).

Combi Brake berfungsi dengan cukup efisien dan jika mahukan cengkaman yang menakjubkan, tarik sahaja kedua-dua tuas breknya. BeAT 110 ini dilengkapi sistem pengunci brek belakang yang terletak di hadapan tuas brek sebelah kiri.

Di jalan-jalan yang berselekoh, sistem saspensi skuter ini juga langsung tidak mengecewakan. Saspensi hadapannya adalah jenis fork teleskopik dan ia bertindak dengan kemas walaupun ketika kita membrek dengan keras. Kita tidak akan terasa mengelungsur ke hadapan walaupun di atas pelana yang rata. Penyerap hentak belakangnya memberikan keselesaan kepada penunggang dan juga pembonceng ditambah pula dengan saiz tayar (tanpa tiub) yang agak lebar, 80/90-14 M/C 40P di hadapan dan 90/90-14 M/C 40P jenis tubeless. Sportrim lima jejari yang ideal untuk model ini menambahkan keanggunan penampilan keseluruhannya.

Skuter ini merupakan model pertama yang mendapat pengiktirafan Standard Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) yang mampu mengurangkan pengeluaran asap karbon yang mencemarkan alam sekitar malah, turut mampu meningkatkan kadar penjimatan bahan api. Kami dapat memacu model ini melebihi 130 kilometer dengan sekali isian penuh tangki bersaiz 4.0 liter dalam pelbagai jenis gaya tunggangan dan permukaan jalan. Sememangnya ia adalah mesin yang menjimatkan. Honda BeAT 110 adalah jentera pilihan yang sesuai digunakan di mana sahaja kerana ia menawarkan gaya, tunggangan yang lincah dan penjimatan bahan api yang terbaik.

Satu perkara yang sedikit mengecewakan iaitu menunggangnya ketika hujan. Okay…rekaan fairing hadapan yang kecil itu tidak banyak membantu melindungi kasut dan sebahagian seluar kita daripada terkena percikan air hujan dari hadapan mahupun di permukaan jalan. Diharap, pihak Boon Siew Honda melakukan sesuatu untuk mengatasi hal ini.

Honda BeAT 110 didatangkan dengan empat warna pilihan yang menarik minat semua golongan penunggang iaitu Viva City Red, Vital Metalic Blue, Angel Pink dan Pearl Magellanic Black. Harga asas yang ditawarkan adalah RM5,565.00 termasuk GST 6% dan kalaulah model ini didatangkan dengan model khas edisi Repsol, lagi umph! RR

Isu Pada

Februari 2017

Spesifikasi

Enjinsilinder tunggal, empat lejang OHC
Isipadu108.20cc
Gerek x Lejang50.0 x 55.1mm
Kuasa maksimum6.46kW pada7,500rpm
Tork maksimum9.14Nm pada 6,000rpm
Sistem bahan apiPGM-Fi
Transmisitali sawat V-Automatik
P x L x T1,864 x 666 x 1,068mm
Isi tangki4 liter
Berat keseluruhan94kg

Popular

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

  • Warta Roda

    Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Model Baru

Moto Morini Calibro 700 Masuki Pasaran Negara. Harga bermula RM35,888

Mforce Bike Holding selaku pengedar rasmi jenama Moto Morini di Malaysia dengan bangganya melancarkan model ketiga hari ini iaitu Calibro 700.

Warta Roda

Hong Leong Yamaha Motor Rasmikan Space Y, Muzium Motosikal Pertama di Malaysia

Sekalung tahniah buat Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd (HLYM) di atas pencapaian pengeluaran motosikal mereka yang ke- 6,000,000 unit. Bersempena dengan hari bersejarah itu, pihak HLYM telah merasmikan muzium motosikal pertama di Malaysia yang dikenali sebagai Space Y.

Dari Litar

Podium Berganda Buat Qabil Di Sepanyol & Raih Keempat Keseluruhan di ESBK

Qabil Irfan menutup musim Kejuaraan Superbike Sepanyol (ESBK) Moto4 dengan podium berganda di pusingan akhir yang berlangsung di Circuito de Jerez, Sepanyol.

Warta Roda

Ops Khas Motosikal Hari-4, Lebih 11,000 Saman Sudah Dikeluarkan

Baru empat hari Ops Khas Motosikal diadakan di seluruh negara, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan 11,435 saman atas pelbagai kesalahan kepada pengguna motosikal.