Honda CB1000R & CB250R Miliki Keanggunan & Prestasi Hebat
Model naked atau jalanan Honda CB tidak disangkal merupakan antara model yang digemari ramai. Sejak diperkenalkan pada tahun 1950an hinggalah sekarang, model-model CB sentiasa direka dengan teliti agar dapat memenuhi dan menepati kehendak para pengguna motosikal. Tahun demi tahun model prestasi dan bentuk model CB terus dipertingkatkan sejajar dengan peredaran masa dan perkembangan teknologi.
Apa pun, evolusi drastik dari segi rekabentuk dilihat lebih agresif bermula pada pertengahan tahun 1980an menerusi beberapa model seperti CB450S, CB1 atau CB-1 400 yang sudah mula menjadikan enjin sebagai salah satu titik utama untuk menarik minat jutaan pencinta motosikal. Model CB400SF Super Four boleh dikatakan antara mesin jalanan paling cantik pada awal 90an dan jujurnya, ia masih cantik sehingga kini.
Secara ringkasnya, Honda memperkenalkan model CB 1000T2 pada tahun 1994 – sebuah model berfairing kecil, berwarna hitam yang bersesaran 998cc dengan transmisi lima kelajuan. Model ini juga mendapat pujian ramai!
Pada tahun 1999 pula, model CB600S Hornet menembusi pasaran dengan rekabentuk baru (lampu, ekzos bawah pelana, fairing kecil, sistem ekzos krom) dengan enjin berkuasa 97hp. Siri CB1300 diperkenalkan pada tahun 2003-2004 dengan tahap keselesaan dan prestasi enjin cukup memuaskan. Pada tahun 2015, jurutera Honda berjaya melahirkan antara siri CB paling cantik di pasaran iaitu CB1100. Model ini direka berinspirasikan dari 50 tahun sejarah siri CB. Untuk tahun 2018, model ini diklasifikasikan sebagai sebuah mesin 'Neo Sports' dan sememangnya ia menawarkan sesuatu yang berbeza dan cukup istimewa untuk segmen jentera naked atau jalanan. Kali pertama menikmati Honda CB1000R dan CB250R adalah ketika di majlis pelancarannya di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) beberapa bulan yang lalu.
Pengalaman menunggang hampir lima lap dengan CB1000R dan tiga lap bersama CB250R memberikan tanggapan positif buat kedua-dua jentera ini. Dari segi luarannya, kedua-dua siri CB ini nampak seakan-akan sama – menzahirkan ciri-ciri kekeluargaan yang cukup ketara. Kedua-dua model ini menggunakan lampu hadapan jenis LED berbentuk bulat, fairing kecil sisi, panel meter digital, sistem ekzos sebelah kanan, rekabentuk tangki moden dan pelana yang sporty.
Pastinya, ke mana saja kedua-dua CB ini dibawa... ia menarik perhatian ramai tidak kira tua atau muda, lelaki atau wanita.
CB1000R
Ketika di SIC, kami tidak dapat mencuba banyak talaan kerana masa yang agak terhad. Walaupun begitu, posisi menunggang yang selesa, kecemerlangan tahap pengendalian dan tahap prestasi enjin yang cemerlang membolehkan kami meratah setiap selekoh di litar dengan pantas. Jujurnya, CB1000R mudah untuk serasi dengan setiap penunggangnya dan kita tidak perlu membuang banyak masa hanya untuk mengenali Honda ini.
Ok... enjin CB1000R bersesaran 998cc DOHC, empat silinder yang sebenarnya mempunyai rekaan yang sama dengan enjin
CBR1000RR generasi sebelum ini. Ini bermakna, mesin jalanan ini menawarkan karaktor yang cukup garang dan mantap.
Kekuatan enjin ini jelas dapat kita rasa sebaik sahaja enjin dihidupkan dan bunyi yang terhasil daripada sistem ekzosnya memang menggiurkan. Bentuk ekzos ini juga menyumbang kepada bentuk yang mantap untuk CB ini.Pembangunan untuk model ini tertumpu kepada peningkatan pengaliran masuk/keluar gas di kepala silinder. Kotak udara, salur penapisan semuanya direka baru agar laluan udara lebih efisien dan mengurangkan tahap tekanan pada badan pendikit.
Panel meter CB1000R ini jelas dilihat tidak kira siang atau malam. Tidak perlu ambil masa yang lama untuk kami (penunggang) melihat segala informasi seperti kelajuan, posisi gear, sistem elektronik seperti Engine Brake (EB), Engine Power (P), Honda Selectable Torque Control (HSTC) dan tahap bahan api sewaktu berada di atasnya. Paling kami suka ialah lampu penunjuk yang akan bertukar warna mengikut mod tunggangan yang dipilih. Merah untuk mod Sport, Ungu untuk mod Standard, Biru Muda untuk Rain dan Biru Tua untuk User.
Ya... dengan penyempurnaan Throttle By Wire (TBW), terdapat empat mod tunggangan disediakan oleh Honda untuk memudahkan penunggang mengendalikan sebuah mesin sehebat CB ini. Mod Sport adalah untuk hantaran kuasa tertinggi dan dalam mod ini sistem EB berada di tahap talaan paling rendah manakala HSTC pula di tahap terendah yang membekalkan hantaran kuasa 100% dalam semua peringkat gear. Memang terasa benar henjutan kuasa sehebat 107kW pada 7,500rpm dan tork 104Nm pada 8,250rpm ketika kita membuat pecutan dalam mana mana kelajuan.
Pengendalian yang mudah pastinya menambah keyakinan setiap penunggang walaupun buat mereka yang baru pertama kali dengan CB1000R ini.Dalam mod Sport, kita memang ghairah untuk terus menambah kelajuan dan dengan kekuatan sistem pertahanannya seperti ABS dan fork Showa Separate Function Fork-Big Piston (SFF-BP) kita tidak sesekali meragui tahap kestabilan Honda ini walaupun pada kelajuan 233km/j.
Posisi menunggangnya selesa. Bar hendalnya sedap dipegang manakala ketinggian tempat pemijak untuk kita dapatkan kedudukan yang selesa ketika bersantai atau apabila mengerah seluruh tenaganya di litar.
Ketika masuk ke dalam bandar, kami memilih untuk menggunakan mod Standard yang menawarkan talaan di peringkat separa untuk kuasa, HSTC dan EB. Memang sesuailah... hantaran kuasa sedikit lembut tetapi masih mampu memecut dengan pantas sekali. Kami masih kekal dalam mod ini apabila tiba di laluan berselekoh. Memang mengendalikan jentera naked di laluan berliku amatlah menggembirakan. Walaupun sistem HSTC ini bertindak secara automatik, tahapnya tetap boleh kita kawal dengan menekan suis 'T' yang terdapat pada bar hendal sebelah kiri.
Kecemerlangan sistem fork hadapan USD 43mm SFF-BP dan penyerap hentak tunggal dengan Showa Balance Free Rear Cushion di belakang membantu pengendalian menjadi cukup ringan dan tepat. Tidak ada sudut selekoh yang gagal diratah oleh CB1000R ini dan ia adalah testimonial selepas mengujinya di litar SIC dan di laluan berselekoh jalanan biasa. Lengan ayun tunggal ini juga membuatkan CB1000R ini kelihatan cukup bergaya dari pandangan sisi kanan. Mod Rain dipilih apabila kita berada di laluan licin, basah atau berdepan dengan cuaca yang tidak menentu (hujan).
Dalam mod ini talaan untuk Power berada di tahap paling rendah, EB di peringkat pertengahan manakala HSTC paling tinggi. Kawalan tahap kuasa ini tertumpu pada tiga gear pertama. Mod User pula dikhususkan buat mereka yang ingin memilih talaan mengikut parameter yang dikehendaki oleh para pemilik CB ini sendiri. Menerusi mod ini, talaan tidak lagi dipilih secara automatik oleh sistem elektronik jentera Honda baru ini.
Dengan kecekapan tayar-tayar 120/70-17 (hadapan) dan 190/55-17 di belakang, cengkaman CB1000R ini di laluan berliku benar-benar cemerlang. Model ini dilengkapkan dengan brek hadapan bersaiz 310mm dan 256mm yang lengkap dengan sistem ABS. Didatangkan dalam dua warna iaitu Graphite Black dan Candy Chromosphere Red pada harga RM81,899.00.
CB250R
Enjin empat lejang, DOHC, sejukan cecair, berisipadu 250cc, Honda CB250R memberikan pecutan sempurna tidak kira di mana sahaja. Sebaik sahaja enjinnya dihidupkan, bunyi pergerakan enjin dengan sistem pancitan bahan api (PGM-FI) cukup segar dan lancar. Model ini menawarkan saiz gerek dan lejang yang mantap iaitu 76.0 x 55.0 mm mampu menghasilkan kuasa setinggi 20.3kW pada 9,000 rpm dan kuasa tork pada 23.3Nm pada 8,000 rpm.
Kotak gear enam kelajuan jentera ini cukup lancar… boleh kami katakan proses penukaran gear sangat mudah. Hadir pula klac yang lembut dan tepat, menjadikan model ini cukup sesuai untuk kegunaan di lebuhraya ataupun bandaraya.
Dengan mudah CB250R ini mencecah 110km/j. Dalam kelajuan ini motosikal dirasakan amat ringan tetapi tetap stabil. Kami dapat memulas pendikit dengan lebih galak dan purata kelajuan dicapai sekitar 150km/j.
Dengan kelajuan seperti itu sudah memadai buat jentera ini, walaupun ada sesetengah mesin 250cc yang mampu mencapai kelajuan lebih daripada 150km/j. Ternyata CB250R ini bukanlah hanya untuk kelajuan semata-mata, tetapi untuk memberikan keselesaan bagi setiap orang yang menunggangnya.
Kami suka dengan posisi tunggangan yang tidak meletihkan ke mana sahaja kita pergi tidak kira dekat atau jauh.Pelana yang setinggi 800mm sempurna dan menjadikan ianya mudah untuk dikendalikan oleh penunggang lelaki atau wanita. Bar hendal yang luas dan lebar menawarkan pengendalian yang kemas dan pantas terutama di jalanan berselekoh tajam.
Keseronokan menunggang jentera Honda ini bukan sahaja pada waktu siang malah di malam hari juga kerana lampu utama datang dengan teknologi LED yang cukup terang. Kalau diikutkan suluhan lampunya seperti motosikal yang berkuasa tinggi.
Tidak kira menunggang di lebuhraya atau kampung, sinaran yang terpancar menerusi lampunya memberikan kita kemampuan untuk melihat apa jua bahaya yang ada di hadapan. Lampu belakang juga turut menggunakan LED jauh lebih terang berbanding mentol konvensional supaya penunggang lain dan pemandu dapat melihat kita dengan mudah dari belakang.
Paparan meter LCD digital moden memberikan informasi yang diperlukan oleh setiap penunggang. Panel ini terdiri daripada penunjuk rpm, kadar kelajuan, tahap bahan api, masa dan jarak perjalanan. Apa yang menyukarkan kami ialah ketiadaan penunjuk gear, sedikit sebanyak menyukarkan kami untuk mengetahui kedudukan gear sebenar semasa menunggang jentera ini. Walau bagaimanapun, kekurangan tersebut digantikan dengan lampu amaran jika rpm berada di tahap tinggi untuk menukar gear.
Tayar-tayar CB ini terdiri daripada tayar bersaiz 110/70R 17M/C 54W untuk tayar hadapan dan tayar belakang bersaiz 150/60R 17M/C 66W memberikan keyakinan ketika meratah jalan berselekoh. Langsung tiada rasa seperti membuang dan memberikan gigitan sempurna setiap kali jentera ini dimiringkan.
Saspensi hadapan CB250R jenis fork teleskopik USD dan ia bertindak dengan cukup kemas sekali walaupun kita membrek dengan kuat. Penyerap hentak belakang boleh laras memberikan segala hentakan dengan baik. Ia memberikan keselesaan kepada penunggang dan juga pembonceng. Jentera tidak melompat lompat dan bahagia pergelangan tangan dan pinggang tidak terasa sakit walaupun ketika melalui di permukaan jalan yang tidak elok.
Walaupun nampak kecil, Honda CB250R adalah sebuah mesin yang cukup sesuai dengan apa tujuan sekali pun. Mudah dan paling senang untuk bergerak terutama di kawasan bandar. Kuala Lumpur antara bandar yang selalu mengalami kesesakan lalu lintas.Terutama pada waktu pagi dan petang. Mujur jentera ini mampu melalui laulan-laluan sempit. Untuk ke kiri dan ke kanan sangat senang sekali tunggang bersama jentera ini.
Dengan seberat 145kg, CB menawarkan pengendalian cukup stabil dan tidak terhuyung-hayang ketika untuk menukar laluan pada kelajuan yang tinggi. Untuk perkongsian umum, laju tu laju juga…. jangan lupa untuk memberikan lampu isyarat dengan lebih awal untuk menukar lorong mahupun simpang agar kenderaan dari belakang dapat membuat persediaan memperlahankan kenderaan. Ini kerana terlalu banyak kes kemalangan yang mengakibatkan kecuaian sesetengah penunggang ataupun pemandu yang tidak memberikan isyarat terlebih dahulu.
Kita tidak perlu risau jika memanjat ke bahagian jalan yang lebih tinggi dengan jarak kelegaan bumi 150mm pada Honda CB ini. Jentera ini hadir dengan pelindung bawah untuk mengelakkan enjin daripada tersangkut atau terhantuk pada permukaan keras.
Kadar penggunaan bahan api sangat memuaskan. Satu tangki yang boleh diisi sebanyak 10.1 liter, CB250R ini mampu membawa kita bergerak sekitar 200 kilometer dengan mudah. Sangat menjimatkan buat jentera kecil seperti ini.
Sistem keselamatan CB250R dikemaskan dengan penggunaan brek hadapan dan belakang jenis cakera. Tarik sahaja tuas, brek-brek ini cukup untuk memperlahankan mesin ini dengan pantas dan sangat bagus untuk membantu kita kekal di laluan yang betul ketika menunggang di jalan-jalan berselekoh. Menariknya jentera bersesaran 250cc ini turut hadir dengan sistem brek ABS (hadapan & belakang) yang berfungsi dengan cukup baik sekali ketika membrek di jalan licin agar roda tidak tergelincir.
Terdapat tiga warna pilihan ketika ia diperkenalkan iaitu Silver, Graphite Black dan Candy Chromsphere Red. Ia ditawarkan pada harga RM22,999. Mari ke pusat pengedar sah Honda dan tempah sebuah untuk merasai kehebatannya! RR
Spesifikasi
Popular