BMW R nineT Scrambler Praktikal & Mengasyikkan
Ringkas itu bagus! Itulah pendekatan dan sememangnya hakikat yang kini sedang giat dibangunkan oleh hampir semua pengeluar motosikal di seluruh dunia. Tidak semua peminat motosikal yang terlalu mementingkan kepesatan teknologi. Sememangnya sudah ada kemampuan untuk menghasilkan sebuah jentera yang berteknologi tinggi tetapi adakah kita benar-benar memerlukannya setiap masa?
“Ramai di kalangan pengguna motosikal yang merasakan teknologi tidaklah begitu diperlukan dan ada juga yang hanya inginkan sebuah motosikal yang berprestasi sederhana tetapi mempunyai gaya cukup mantap,” kata Ketua Bahagian Rekabentuk BMW Motorrad, Edgar Heinrich.
Dengan kata-kata itu, lahirlah sebuah model menarik seperti BMW R nineT Scrambler yang diperkenal di pameran motosikal antarabangsa EICMA pada November 2015. Model ini menawarkan rupabentuk retro, gaya yang cukup cool tetapi moden. Model ini juga mengingatkan kita pada model Boxer custom yang diasaskan daripada R nineT yang diberi nama Concept Path 22.
Asalnya, model ini telah diperkenalkan di pameran khas sempena sambutan ulangtahun BMW ke-90 pada tahun 2013 dan kemudiannya dibangunkan untuk model produksi. R nineT telah membuktikan kejayaan BMW dalam memahami kehendak peminat dengan jumlah penjualan yang cukup memberangsangkan. Sebelum mereka mempertingkatkan jumlah pengeluaran, para pelanggan ada kalanya terpaksa menunggu sehingga empat bulan sebelum dapat menunggang jentera ini.
Populariti model ini membantu dalam kejayaan yang dicapai oleh BMW dengan jumlah penjualan keseluruhan untuk tahun 2015 mencecah kepada 136,963 unit atau peningkatan sebanyak 10.9% berbanding tahun sebelumnya. Jumlah penjualan untuk tahun 2016 juga menunjukkan tanda yang sangat mengagumkan. BMW Motorrad berjaya menjual sebanyak 145,032 buah motosikal dan skuter maksi mereka ke seluruh dunia. Angka-angka ini sudah cukup membuktikan kepercayaan yang mereka miliki daripada para pencinta dunia dua roda saban hari. Memang hebat!
Saya dijemput untuk menguji model ini di kawasan pergunungan dan lembah berdekatan dengan ibu pejabat 'BeeEm' untuk membuktikan betapa praktikal dan seronoknya menunggang Scrambler ini. Berbanding model R nineT Roadster yang diberi tumpuan kepada kemampuan prestasinya memecut dengan mantap, Scrambler ini merupakan sebuah jentera yang kita boleh 'lompat' ke atasnya untuk semua jenis tunggangan tidak kiralah untuk satu jam, seminggu atau sebulan.
Ia juga amat sesuai untuk dipacu ke mana sahaja sama ada untuk ke tempat kerja, ke kedai berdekatan atau pun sebagai 'teman' pengembaraan. Kita juga boleh mengubahnya menjadi lebih serius dan garang untuk bergerak pantas di lebuhraya.
Sesuai dengan namanya, Scrambler juga merupakan pilihan cukup ideal bagi mereka yang inginkan tunggangan lebih lasak tambahan pula model ini turut dilengkapi dengan aksesori lepasan jualan yang menarik. Antaranya ialah rim berjejari yang boleh dipadankan dengan Metzeler Tourance Next atau tukarkan dengan tayar knobby dari jenama Karoo 3.
BMW juga ada menawarkan model lengkap beraksesori iaitu R nineT Scrambler X. Model ini juga menggunakan rim berjejari, pemanas grip, lampu penunjuk LED dan tayar Karoo pada harga Euro 200 lebih murah berbanding mereka yang membeli aksesori ini secara berasingan. Paling best ialah... model Scrambler asas dijual lebih murah berbanding R nineT biasa iaitu pada Euro13,000 (termasuk cukai 13%) berbanding Euro14,900. Harga di Malaysia RM92,900 (termasuk 6% GST tanpa insurans). Hanya ada satu skima warna iaitu Monolith Metallic Matt atau warna besi senapang.
Enjin jenis kembar milik BMW ini tidak begitu bergetar dan memiliki ciri-ciri personaliti yang tulen. Model yang saya tunggang ini dilengkapi dengan rim aluminium lima jejari, brek Brembo 320mm (depan) dan 265mm di belakang. Ia juga memiliki sistem ABS dan segala hentakan diserap oleh fork hadapan konvensional Showa 43mm. Keselesaan bahagian belakang pula diperoleh daripada lengan ayun paralever tunggal dengan penyerap hentak Sachs.
Hanya didatangkan dengan pelana tunggal tanpa tempat pemijak untuk pembonceng dan ia adalah unit pilihan yang boleh dipesan. Tangki BMW ini sebesar 17 liter (satu liter lebih kecil daripada model Roadster. Walaupun begitu, ia masih mampu untuk satu perjalanan sejauh 260 kilometer. Scrambler ini seberat 220kg (dua kilogram lebih ringan daripada model biasa R nineT).
Scrambler ini dikuasakan oleh enjin neo-retro sejukan udara/minyak, 1170cc, enjin kembar jenis Boxer, DOHC yang menawarkan hantaran kuasa lebih lancar dan hebat sekali. Ia juga menepati piawaian Euro 4 selepas rekaan semula pemetaan enjin menerusi ECU Bosch BMS-MP, pemangkin model ini juga lebih besar manakala sistem bahan apinya kini termasuk carbon canister yang mampu menjanakan kuasa setinggi 110bhp pada 7,750rpm – sama seperti model Roadster (hanya berada di tahap Euro 3) dan tork 116Nm pada 6,000rpm.
Memang hebat pasukan R&D BMW yang dapat mempertingkat tahap perlepasan dari Euro 3 kepada Euro 4 walaupun asasnya ia adalah enjin yang sama. Untuk lebih mantap, model ini didatangkan dengan sistem ekzos penuh Akrapovic yang terbukti mampu mengeluarkan suara yang cukup menggegarkan.
Idea utama ketika menghasilkan ialah ia perlu cantik, anggun, seronok ditunggang dan itulah sifat sebenar R nineT Scrambler ini. Apa yang agak mengecewakan ialah rekaan panel meternya yang tidak dilengkapi dengan penunjuk gear. Ia adalah suatu yang sangat penting terutamanya buat jentera yang berkuasa tinggi seperti ini.
Saya sendiri beberapa kali cuba menambah gear yang pada hakikatnya tidak wujud (mana ada gear tujuh). Harus dibuat meter penunjuk sebagai alatan pilihan. Mungkin juga perlu ada lagi penambahan aksesori seperti gril lampu utama, beg tangki 17 liter, pek trail 40 liter, cermin pengadang udara lebih besar dan lain-lain lagi.
Pemetaan enjin yang cukup baik dan nisbah gear enam kelajuan yang bersesuaian menawarkan pecutan hebat bermula dari gear pertama dan kedua. Keluasan tork Scrambler ini membuatkan saya beberapa kali kekal di gear keempat hampir sejauh dua kilometer. Saya mengerahkan Scrambler ini meratah setiap selekoh di Bavarian Alps dan nikmat dapat dikecapi bermula dari kedudukan 3,000rpm. Apabila mencecah 4,500rpm enjin mulai galak sehinggalah ke kemuncak iaitu pada 7,500rpm. Kuasa di peringkat pertengahannya lancar, tiada sentapan dan mengagumkan. Saya sukakannya dan bersetuju jika katakan Scrambler ini juga berpotensi untuk dibawa ke destinasi lebih jauh.
Elemen paling penting yang dimiliki oleh Scrambler ini ialah pada posisi tunggangannya yang selesa. Pelananya setinggi 820mm (Roadster: 785mm) dan bar hendal juga ditinggikan 20mm yang menjadikan penunggang dapat memegang bar hendal dengan lebih kemas. Kedudukan inilah yang saya maksudkan.... Scrambler sesuai untuk tunggangan di pergunungan atau pun hanya ke lokasi berhampiran dengan rumah kita.
Anda mungkin tidak menyangka, sebuah jentera Scrambler mampu bergerak di tengah-tengah jalan sesak dengan mudah tetapi itulah hakikatnya apabila memacu BMW ini. Dengan ketinggian 5'10” (177.8cm), saya dapati jentera ini cukup relaks dan antara posisi menunggang terbaik.
BMW telah melengkapkan jentera ini dengan kerangka keluli jenis tiub dengan geometri yang lebih konservatif. Kerangka ini didatangkan dalam tiga komponen berbeza yang diikatkan bersama pada enjin Boxernya. Ini membantu kita dapat mengawal dan mengagak segala pergerakan Scrambler ini dengan pantas. Proses mengubah kedudukan juga saya dapat lakukan dengan mudah sekali walaupun tayar Metzeler Tourance Next di hadapannya itu agak lebar 120/70-ZR19.
Tayar belakang Metzeler Tourance Next 170/60-17 adalah saiz pilihan terbaik yang memberikan cengkaman cukup sempurna tanpa perlu rasa risau. Hati bertambah puas apabila menikmati kualiti tinggi sistem brek yang dilengkapkan pada model ini dan saya amat gembira kerana model yang diuji ini turut dilengkapkan dengan alatan pilihan iaitu ASC Traction Control. Amat berguna di kawasan pergunungan yang mempunyai beberapa tempat yang agak licin.
R nineT Scrambler adalah sebuah jentera yang amat meyakinkan untuk menjadi teman tunggangan. Kita akan rasakan tindak balasnya yang cukup efisien dan memuaskan hati. Setiap perjalanan dapat dinikmati dengan puas dan berkesempatan mengagumi keindahan alam sekitar tanpa rasa resah.
Edgar Heinrich turut ingin memberi pilihan kepada para pemilik Scrambler ini untuk bebas melakukan pengubah-suaian. Seperti model R nineT Roadster, kerangka untuk Scrambler boleh ditanggalkan – membenarkan pemiliknya mengubah rupa mengikut citarasa dan karaktor yang diminati. Sistem pendawaian elektriknya juga dibuat berasingan – mudah untuk kita menukar lampu.
“Saya sendiri telah menukar lampu asal Scrambler ini dengan lampu HP2. Memang cantik tetapi saya tidak lakukan dengan betul. Ia tidak lagi berfungsi. Jadi... untuk model ini (yang diuji) kami akan membuat segalanya lebih mudah untuk para pelanggan menukar lampu utama, lampu belakang, lampu isyarat dan seumpamanya. Kami berjaya,” kata Edgar Heinrich.
BMW Motorrad sememangnya pengeluar motosikal yang hebat dengan pengenalan model-model yang terkini, mantap dan mencapai tahap tertinggi. Lihat sahaja S 1000 RR atau pun K 1200 RR dan model-model lain.
Dalam pada itu, tiba-tiba mereka umpama terpandang cermin sisi untuk melihat model apa yang ketinggalan dan perlu terus dibangunkan untuk kepuasan para peminat BMW... R nineT adalah jawapannya dan yang terkini tentunya model Scrambler.
Ia adalah satu polisi yang bijak dan menggamit kejayaan. Ia seumpama Back To The Future dengan gaya Boxer. RR
Laporan: Alan Cathcart
Kredit Foto: Markus Jahn, Peter Musch, Arnold Debus & Jorg Kunstle
Spesifikasi
Enjin | dua silinder Boxer, sistem penyejuk udara/minyak |
Isipadu | 1,170cc |
Gerek x Lejang | 101 x 73mm |
Kuasa maksimum | 110hp pada 7,750rpm |
Tork maksimum | 116Nm pada 6,000rpm |
Transmisi | 6 kelajuan |
Kerangka | keluli jenis tiub |
Sistem ABS | BMW Motorrad ABS |
P x L | 2,157 x 880mm (dengan cermin sisi) |
Isi tangki | 17 liter |
Popular