Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 3 Mei 2018

Kawasaki Z900RS: Tawar Tunggangan Penuh Gaya

Bagi sesebuah jenama motosikal, apabila melahirkan satu produk ikon yang dikenali, digemari dan dicintai adalah kejayaan paling tinggi. Siapa tidak suka jika nama produknya disebut-sebut dari dulu hingga kini disandarkan pula dengan kalimah-kalimah pujian.

Model Z1 adalah salah satu daripadanya! Ia merupakan jentera Kawasaki yang diperkenalkan kepada dunia pada tahun 1972 berkuasa 903cc berserta spesifikasi yang cukup mantap. Ia model pertama jentera bersesaran tinggi dari Jepun menggunakan sistem DOHC yang berkuasa 81hp dan tork 73.5Nm. Kemampuannya memecut melebihi 200km/j pada 46 tahun yang lalu adalah satu pencapaian yang cukup hebat.

Masih ingat dengan model Zephyr? Pastinya kan... model jalanan tahuntahun 90an antara paling popular dari Kawasaki. Zephyr turut dihasil berasaskan model Z1 yang dapat dilihat menerusi posisi menunggangnya, sistem saspensi, enjin DOHC dan rupabentuk retronya. Terdapat beberapa versi model ini iaitu 400cc, 550cc, 750cc dan paling besar ialah Zephyr 1100. Pada tahun 2017, Kawasaki perkenal pula model jalanan cukup istimewa iaitu Z900. Model Supernaked ini mempunyai pakej yang sungguh menarik dengan kuasa enjin cukup luas, rupabentuk menawan, pecutan yang mengagumkan dan posisi menunggang yang selesa.

Apabila digabungkan ketiga-tiganya (Z1 + Zephyr + Z900) maka lahirnya model Z900RS. Sebuah jentera retro yang diperkenalkan untuk semua golongan pencinta motosikal di Malaysia. Walaupun ia adalah sebuah jentera gabungan baru dan lama, rupabentuknya cukup menawan hati dengan mempertontonkan sentuhan semula Z1 dan Zephyr untuk generasi kini.

Model Z900RS didatangkan dalam dua versi iaitu model Standard (RM67,900) dan model Edisi Istimewa (SE) yang RM2,000 lebih mahal. Perbezaan di antara keduanya dapat dilihat menerusi kemasan bahagian luaran – model SE lebih banyak bahagian berkrom, antaranya pada bahagian rim tayar, bar hendal, bahagian sisi madgad depan, pelindung radiator dan ekzos yang lebih berkilat. Skima warna model SE pula diambil terus daripada model Z1 dahulu – memang menggamit kembali memori silam!

Lampu utama jenis LED yang berbentuk bulat sudah pasti merupakan ciri utama yang menjadikannya tampak retro. Dari segi pencahayaan dan tahan lasak, lampu jenis LED adalah yang terbaik cuma jika mentolnya terbakar, kita perlu menukar satu set lampu sekaligus. Rupabentuk retro ini diperkuatkan lagi dengan dua panel meter analog juga berbentuk bulat. Apa yang paling kami kagumi ialah angka, huruf dan susun atur meter-meter dibuat sama seperti model Z1 dulu.

Berbanding dengan Z900, bar hendal model ini 30mm lebih lebar, 65mm lebih tinggi manakala tempat pemijaknya juga diletak sedikit ke hadapan dan ini menawarkan kedudukan yang selesa buat para penunggang. Untuk disesuaikan dengan teknologi era siber, dikemaskan juga pada meter ini paparan digital yang menunjukkan tahap bahan api, kedudukan gear, sistem KTRC (Kawasaki Traction Control), suhu enjin, trip dan jarak perjalanan.

Tangki jenis eye drop milik RS ini juga dicipta berasaskan model Z1 yang cantik dan kemas. Pelana RS didatangkan dengan dua tona warna, menggunakan material yang berbeza untuk kelihatan mewah dan berkualiti tinggi. Untuk memberikan keselesaan kepada para penunggang, Kawasaki menawarkan pelana aksesori ERGO-FIT yang 35mm lebih rendah (pelana standard: 835mm). Kami juga tertarik dengan bentuk enjinnya yang masih mempunyai iras-iras bentuk enjin Z1.

Seperti jentera retro lain, ekzos krom dengan suara garau yang sedap melahirkan gaya mantap Z900RS ini. Kawasaki dengan bangganya memperkenalkan rekaan terbaru mereka iaitu Tuned Exhaust Note dicipta cukup bijak untuk memberikan bunyi ekzos yang ideal dapat dinikmati di semua peringkat kuasa dan putaran enjin. Untuk tujuan ini, semua aspek sistem ekzosnya seperti panjang paip, rekabentuk, posisi lengkungan termasuklah kepadatan gentian di bahagian penyenyap telah diteliti. Memang terbuktilah.... Sedap betul ekzos ini tambah-tambah bila berada di dalam terowong – bergema habis!

Bagi pemilik motosikal, bahagian krom yang sentiasa berkilat adalah sesuatu yang diimpikan. Sistem ekzos krom seringkali akan berubah warna disebabkan haba yang terhasil. Untuk mengurangkan kadar perubahan warna, ekzos jentera ini dicipta dua lapisan. Bahagian dalam berdiameter 28.6mm manakala dinding luar pula berdiameter 38.1mm dengan kemasan yang berkualiti untuk penampilan yang anggun. Benar ia akan menambah berat sedikit tetapi apa yang penting, motosikal kita sentiasa berkilat!

Enjin Z900RS diasaskan daripada model Z900 yang telah ditala semula agar kuasa hantarannya lebih rendah dan sesuai dengan konsepnya. Tidak terlalu pantas dan galak. Walaupun begitu, enjin 948cc ini tetap menawarkan kuasa maksimum 82.0kW pada 8,500rpm dan tork 98.5Nm pada 6,500rpm yang secara jujurnya sudah cukup mantap untuk sebarang jenis tunggangan. Nisbah geargearnya yang sempurna membolehkan kita menikmati tolakan enjin dalam gear-gear pertengahan yang hadir pada bila-bila masa. Model ini ternyata mempunyai keseimbangan di antara tunggangan selesa dan sporty. Menarik!

Gear tiga, empat, lima dan enam….. pulas sahaja dalam mana-mana gear ini, pasti kita 'ditarik' ke hadapan dengan pantas – memang sangat menggiurkan! Benar, ia adalah sebuah jentera retro tetapi prestasi enjin jentera ini menyedarkan kita semula bahawa Z900RS adalah jentera baru, segar dan cukup berkuasa. Dari kedudukan sifar... kita hanya perlu masa yang singkat untuk memecut ke hadapan mencecah 180km/j dan disebabkan tubuh badannya yang tegap dan berat (214kg), tiada sebarang keraguan dan gangguan dalam kelajuan ini.

Bukanlah terlalu memuji tetapi kami benar-benar sukakan keluasan banjaran kuasanya. Dalam gear keempat atau kelima, kami dapat menurunkan kelajuan sehingga 5-10km/j tanpa sentapan pada sistem transmisi. Pulas sahaja pendikitnya, telinga kita akan segera menangkap bunyi mantap ekzosnya dan rasai RS ini meluncur ke hadapan dengan pantas. Agak mustahil untuk tidak menyukai RS ini apabila sentiasa diberi kejutan hebat yang membolehkan kita mengangguk sambil tersenyum lebar.

Bagi mereka yang ingin menikmati laluan-laluan berliku di kawasan tanah tinggi, Z900RS ini dilengkapi dengan Kawasaki Traction Control (KTRC) dua tahap untuk kegunaan di pelbagai kondisi tunggangan. Pastinya kualiti pengendalian akan lebih baik tidak kiralah untuk tunggangan agresif atau sporty mahupun secara santai. Tidak cukup itu, sistem Assist & Slipper Clutch juga dikemaskan pada model baru ini.

Dalam kelajuan 130-140km/j, kita akan merasa aman dan tenteram kerana posisi menunggangnya yang selesa . Walaupun perjalanan sudah 160 kilometer, kami masih segar dan tiada rasa lenguh pada bahagian lengan, kaki dan pinggang. Kerangkanya jenis trellis yang bertegaran tinggi dan ringan membantu kita menukar posisi di jalanraya dengan pantas dan lincah. Ini adalah satu kelebihan jentera retro ini yang dapat kami rasa di dua lokasi berbeza.

Lokasi pertama: Ketika RS ini dibawa ke dalam bandar, kelincahannya setanding dengan jentera jalanan yang berkuasa di bawah 250cc. Kami dapati amat mudah berdepan dengan kesesakan bersama Z900RS ini manakala pelananya yang rendah membolehkan kita mengawal dengan lebih selesa kerana kaki mudah menyentuh permukaan tanah.

Kedua: Z900RS juga adalah jentera yang sesuai untuk mereka yang sukakan jalan-jalan berselekoh. Kita mudah membaringkannya ke kiri dan ke kanan tanpa perlu tenaga yang banyak. Ketangkasannya untuk kekal di laluan memberi ketagihan dan ini adalah satu pakej mantap yang ditawarkan oleh Kawasaki pada mesin retro barunya. Tahniah Kawasaki! Memang sedap sungguh RS ini.

Jentera retro ini dilengkapkan dengan sistem saspensi belakang Kawasaki’s Horizontal BackLink yang menyerap segala hentakan dengan baik cuma dirasakan agak lembut untuk menunggang berdua. Tiada masalah ketika menunggang di jalan lurus atau di selekoh cuma terasa benar ia lembut apabila melalui jalan berbonggol. Untuk kawalan yang tepat, fork hadapan jenis terbalik 43mm telah dipadankan pada RS ini.

Untuk disepadankan dengan kekuatan tork dan pecutan maksimumnya, RS didatangkan dengan sistem brek yang cukup cemerlang dengan brek cakera 300mm di depan dan 250mm di belakang. Adakah model retro ini dilengkapkan dengan sistem ABS? Jawapannya...sudah pasti ya! Jangan risau... para jurutera Kawasaki sentiasa mengambil berat tentang tahap keselamatan para pelanggan mereka. Sekali lagi ingin dikongsi. Ke mana sahaja RS ini dibawa, ia pasti menarik minat orang ramai terutamanya bagi mereka yang berumur 35 tahun dan ke atas. Rekabentuk... posisi... warna dan semestinya bunyi garang RS ini sentiasa menarik perhatian.

Pastinya kita dapat menjelajah lebih daripada 200 kilometer dengan satu isian penuh tangki 17 liter miliknya. Untuk perjalanan jauh, kita perlukan beg sisi... beg tangki dan cermin pengadang udara. Model RS ini memang bukan murah... hampir RM70 ribu tetapi ia benar-benar tawarkan satu kelainan yang berkait rapat dengan gaya, jiwa dan cinta pada motosikal. RR

Isu Pada

Mei 2018

Spesifikasi

Enjin:4 lejang, sistem penyejuk cecair, 4 silinder sebaris, DOHC
Gerek x lejang: 73.4 x 56.0 mm
Kuasa maksimum:82.0kW pada 8,500rpm
Tork maksimum:98.5Nm pada 6,500rpm
Saspensi hadapan: fork jenis terbalik USD 41mm
Saspensi belakang:penyerap hentak Horizontal Back-Link
Tayar hadapan:120/70 ZR17 M/C
Tayar belakang: 180/55 ZR17 M/C
Brek hadapan & belakang:cakera 300 mm & cakera 250mm
Isi tangki:17 liter

Popular

  • Dari Litar

    Voge Formica Rossa 150 Bakal Muncul di Perlumbaan CubPrix & ARRC Musim Depan

  • Warta Roda

    Honda RS150R Tiba Dengan Warna Baru

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Model Baru

EICMA 2024: Yamaha R3 'Kemas Kini' Lebih Mantap!

Berikutan pelancaran R9 baru tempohari, Yamaha memilihi 'pentas' EICMA untuk memperkenalkan model yang dikemas iaitu R3 untuk pengeluaran tahun 2025.

Dari Litar

MotoGP Malaysia: Walaupun Raih Juara, Misi Pecco Belum Selesai....

Pecco akhirnya menerima bendera penamat sebagai juara diikuti Martin di tempat kedua dan kini mendahului carta dengan 24 mata manakala Enea Bastianini di tempat ketiga.

Model Baru

CFMOTO 675SR-R Dilancarkan Pada Harga Asas RM37,888

Bersempena dengan majlis perasmian CFMOTO Flagship Store Sendayan Motor, Mforce Bike Holdings Sdn Bhd telah melancarkan model sport terbaru iaitu CFMOTO 675SR-R.

Warta Roda

LCR Honda Fan Enduro Day!

Berbeza dengan sebelum ini, pihak GIVI telah mengadakan LCR Honda Fan Enduro Day bertempat di KEV Enduro Park, Gamuda Gardens, Rawang.