CMC FIRO SK200 Ada Gaya... Ada Rupa
Saban hari kita akan dapat melihat jenama CMC semakin digunakan oleh para penunggang motosikal di negara ini. Tahniah buat Chear Global Sdn Bhd! Selepas model retro 400cc dan model supermotard, Tekken 250... CMC kini hadir ke pasaran negara dengan memperkenalkan model terbaru Firo SK200. Ya... dari segi rupabentuk luarannya, Firo jelas membuktikan kesungguhan perekanya untuk menarik perhatian para pencinta motosikal seawal pandangan pertama.
Bentuk tangki Firo bukan sahaja cantik tetapi ia kelihatan lebih menarik dengan adanya kemasan lampu LED yang akan menyala sebaik sahaja suis utama dipulaskan ke 'on.' Lampu belakang model ini juga jenis LED yang memberi suluhan cukup terang dalam semua keadaan. Untuk tampak mantap, mesin 200cc ini didatangkan dengan sistem ekzos yang cukup bergaya, sesuai dengan jiwa lasak penunggangnya kelak. Pelananya yang tidak terlalu tinggi memudahkan kita memanjatnya dan boleh dikatakan posisi menunggang Firo ini menepati dengan citarasa kami. Tidak terlalu tinggi dan tidak pula terlalu membongkok.
CMC telah melengkapkan jentera ini dengan meter digital LCD yang menepati trend masa kini. Meter bulat penunjuk kelajuan cukup mudah dibaca dengan lampu latar belakang berwarna putih, sekali jeling pun 'dah cukup! Meter digital Firo juga tidak menghampakan dengan memaparkan dengan jelas info-info penting seperti tahap rpm, paras bahan api, masa, kedudukan gear dan jarak kelajuan. Sedikit teruja dengan rekabentuk cermin sisinya yang lain daripada yang lain. Namun begitu ia berfungsi dengan baik sekali.
Enjin ini mudah 'mati' jika dihidupkan di waktu pagi. Kami perlu menekan suis penghidup sambil memulas sedikit pendikit agar putaran enjin berada dalam lingkungan 1,000 – 2,000rpm. Selepas putaran enjin sudah stabil, biar ia melahu seketika sebelum kita memulakan perjalanan. Masalah ini mungkin disebabkan sistem karburetor yang tidak ditala dengan tepat. Bila enjin dah panas.... segalanya berjalan dengan lancar!
Dalam kelajuan rendah, kita dapat mendengar bunyi enjin silinder tunggal yang berisipadu 196.4cc ini agak senyap, memang jentera pilihan buat mereka yang sukakan kedamaian! Bagi mereka yang menunggang berdua, CMC ini dilengkapkan dengan bar pemegang buat pembonceng agar perjalanan lebih terjamin. Vrooomm... gear pertama ditarik hampir mencecah garisan merah dan ketika ini enjinnya mengerang sambil meminta kita mempertingkatkan gearnya. Apa yang agak mengecewakan ialah kuasa hantaran pada ketika ini (gear 1 dan 2) agak lembab. Kita perlu menarik sekurang-kurangnya pada tahap 7,000rpm dan 8,000rpm untuk menggerakkan jentera 128kg ini dengan lincah. Keadaan ini lebih teruk apabila menunggang berdua!
Sebaik sahaja masuk gear 3, 4 dan kelima, masalah ini tidak lagi timbul. Barulah kita dapat nikmati enjin yang mempunyai kuasa maksimum 10.5kW pada 8,500rpm dan tork 13.0Nm pada 7,000rpm ini membekalkan tenaga yang memberangsangkan. Kelajuan paling ideal untuk Firo ini ialah sekitar 110km/j hingga 120km/j tetapi ia juga mampu memecut sepantas 130km/j dalam kedudukan gear tertinggi.
Posisi menunggang yang natural memberi keselesaan buat penunggang tinggi mahu pun yang rendah cuma fork hadapan yang terlalu tinggi dan lembut mengganggu pergerakan jentera ini jika berada di selekoh-selekoh tajam. Walaupun begitu, casisnya yang tegar menjadikan Firo ini tidak mudah bergoyang walaupun ketika kita memecut laju mahupun sewaktu dipintas kenderaan yang lebih besar. Dengan rekabentuk tangki yang menarik, kita mudah menunduk untuk meningkatkan kelajuan, cuma sayangnya cermin pengadang udara terlalu kecil.
SK200 ini ramping, mudah untuk kita memacunya di dalam bandar cuma masalah kurang pecutan di gear-gear terawal sahajalah yang perlu diatasi dengan cepat. Ketika menyusuri kesesakan kotaraya, suluhan lampu utama yang kuat dan brek yang men-cengkam adalah aset penting untuk menuju ke destinasi pilihan dengan selamat. Jika pemandu tidak sedar akan kehadiran kita, mereka akan terus menukar ke lorong kita jika terlihat ruang terbuka. Ini amat berbahaya dan seringkali menjadi punca utama berlakunya kemalangan!
CMC Firo SK200 ternyata memberikan keyakinan kepada penunggang. Ia dilengkapi dengan brek hadapan bersaiz 240mm dan belakang juga jenis cakera bersaiz 220mm yang mampu memperlahankan kelajuan dengan cemerlang sekali. Keberkesanan brek-brek ini juga amat berguna apabila menunggang di jalanan berselekoh. Brek hadapan ditarik dengan keras untuk mendapat kelajuan yang ideal sebelum memasuki selekoh. Jika miringan masih kurang sempurna, guna sedikit brek belakangnya dan rasakan Firo ini kembali ke laluannya dengan pantas dan kemas sekali. Nikmat!
Keseronokan memacu Firo ini di jalan-jalan berselekoh turut disumbangkan oleh kecekapan tayar-tayar yang dilengkapkan padanya. Mesin ini menggunakan tayar hadapan bersaiz 100/80-17 (hadapan) dan 130/70-17 (belakang) berjaya menggigit permukaan jalan dengan baik sekali. Bagi jentera yang dilengkapi dengan penunjuk gear, jarang sekali kita berada di dalam selekoh dengan menggunakan gear yang salah. Penunjuk ini juga berguna apabila berada di dalam bandar yang ada ketikanya kita terpaksa berhenti secara tiba-tiba! Jika tersalah gear, ditambah pula menunggang jentera klac manual... enjin akan tersentap-sentap kemudian mati di tengah jalan. Kalau ada penunjuk gear macam Firo ini kan senang...
Menunggang Firo di waktu malam juga amat menyenangkan. Pastinya rekaan lampu meter kelajuannya yang paling kami suka. Lampu latar belakang meter ini berwarna putih yang cukup jelas dan diindahkan lagi dengan lingkaran lampu berwarna biru. Apabila kelajuan mula meningkat, lampu di hujung jarum meter ini akan bertukar menjadi merah mengikut pergerakan jarum ini. Ketika kelajuan mencecah 90km/j dan ke atas, lampu lingkaran itu akan berkelip-kelip kebiruan dan kemerahan.
Seperkara lagi, lampu LED yang dilengkapkan pada sisi fairing Firo ini cukup terang. Ia mengingatkan kami dengan penggunaan running light jentera superbike suatu ketika dulu. Dengan adanya lampu yang terang ini, kehadiran Firo amat mudah dilihat terutamanya dalam kepekatan malam. Dengan kadar kemalangan jalan raya yang sedang meningkat, ini adalah satu langkah bijak CMC dalam usaha untuk meningkatkan keselamatan kepada pemiliknya. CMC Firo SK200 ini menawarkan penjimatan bahan api yang sangat mengagumkan dengan jarak 280 kilometer untuk isian penuh tangki 14 liter. Jimat habis beb!
Tetapi kami dapati penunjuk bahan apinya kurang tepat. Walaupun kelihatan meter bahanapi dalam lingkungan 2 bar, tetapi tangkinya hampir kering. Kemungkinan sensor pada motosikal yang dipandu uji ini kurang berfungsi dan tidak semestinya berlaku pada unit-unit yang lain.
CMC Firo SK200 ditawarkan pada harga asas RM8,688 dengan dua pilihan warna iaitu Merah/Putih dan Biru/Putih. RR
Spesifikasi
Enjin | : silinder tunggal, empat lejang, sistem penyejuk udara |
Isipadu | : 196.4cc |
Gerek x Lejang | : 62 x 53.8mm |
Kuasa maksimum | : 10.5kW pada 8,500rpm |
Tork maksimum | : 13.0Nm pada 7,000rpm |
Transmisi | : 5 kelajuan |
P x L x T | : 2,050 x 800 x 1,100mm |
Isi tangki | : 14 liter |
Berat bersih | : 128kg |
Popular