Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 13 Oktober 2020

Roland Sand Design Yamaha TMAX Hyper Modified Benar-benar Hebat!

Skuter - mesin praktikal dan lebih mudah. Motosikal pula lebih menyeronokkan dan mengujakan. Apa jadi jika kita gabungkan kedua-duanya? Itulah yang ditawarkan kira-kira 14 tahun yang lalu menerusi model skuter maksinya iaitu TMax dengan enjin kembar parallel berkuasa 500cc. Model ini merupakan ciptaan yang bijak dengan menawarkan dua motosikal dalam satu tubuh badan. Terdapat lebih daripada setengah juta pemilik jentera ini (lebih 140,000 di Itali sahaja) dengan tiga versi berbeza. Sejak diperkenalkan pada tahun 2000, Tmax akan dikemas kini empat tahun sekali dan yang terakhir ialah pada tahun 2012 yang lalu dengan isipadu enjin baru 530cc.

Yamaha ternyata berjaya mendapatkan markah penuh dalam pembikinan jentera ini sambil mengenepikan para pencabar lain terutamanya model lebih besar dan lebih berat seperti Burgman dan Silver Wing. Yamaha masih merupakan pemegang saham tertinggi pasaran skuter dunia berkuasa 300cc ke atas dengan jumlah setinggi 60% - masih terus unggul walaupun saingan kini lebih hebat dengan adanya BMW C650 Sport dan C650 GT yang telah menyusuri jalan-jalan di seluruh dunia bermula tahun 2012.

Tapi – bagaimana anda ingin menjadikan sebuah skuter itu seksi dan bijak? Menyeronokkan dan pada masa yang sama ia berfungsi dengan jayanya. Jawapannya mudah sekali... hantar sahaja pada Roland Sands. Roland Sands Design (RSD) yang berpengkalan di Los Angeles ini ternyata mempunyai insan-insan hebat dan kreatif yang mampu melahirkan sebuah mesin yang luarbiasa. Itulah yang dilakukan oleh Pengurus Produk Yamaha Eropah, Shun Miyazawa pada skuter 530cc kepunyaan syarikatnya yang kini diberi nama RSD TMax Hyper Modified. Ternyata untuk mengubah rupanya memang bukan mudah.

“Pengubahsuaian jentera skuter ini ternyata antara projek paling sukar pernah saya lakukan,” kata Roland ketika menceritakan imaginasinya di bengkel beliau. Saya ingin menukar jentera ini menjadi dan berfungsi seperti sebuah motosikal dengan tangki yang direka baru. Pertamanya saya perlu memahami ia adalah sebuah jentera automatik yang meletakkan enjin di bahagian bawah dan kami sepasukan bersetuju untuk menghasilkan sebuah produk seumpama papan peluncur berdiri. Ia sesuai untuk bersiar-siar di tepian pantai dan pada masa yang sama mampu 'berlumba' di kawasan pergunungan. Ia bergelar... Supermoto Scooter!

Selepas bersetuju untuk mencipta sebuah motosikal yang lain daripada yang lain, Roland menghadapi masalah untuk melakarkan apakah benda itu. “Segalanya bagaikan terlalu sukar... macam mula nak membina kehidupan di Marikh. Saya tiada sebarang rujukan atau garis panduan sama ada melalui majalah atau internet dalam proses pengubahsuaian ini. Nak telefon siapa pun tak tahu kerana projek seumpama ini belum pernah dibuat,” kata Roland.

TMax akan diubahsuai kembali menjadi sebuah jentera asas dengan 'membuang' fairing di sisi dan menjadikannya 'bogel' dengan memaparkan bahagian pergerakan gear yang selalunya tersorok untuk sebuah skuter. “Saya ternampak satu gambar, sebuah TMax yang telah di‘bogel’kan dan amat terpesona dengan komponen selama ini terselindung di belakang fairing plastik. TMax dalam gambar itu memang cool – jauh berbeza berbanding jentera lain dan agak pelik sikit bentuknya... itulah kesukaan saya,” tambah Roland.

“Dengan kewangan yang diberikan oleh Yamaha agak ketat, kami mengekalkan beberapa bahagian seperti tayar, brek, sistem saspensi dan lain-lain lagi. TMax ini adalah salah satu daripada beberapa model jentera yang diubahsuai tanpa menukar beberapa bahagian itu. Selepas membuang beberapa bahagian motosikal yang tidak diperlukan, sekurang-kurangnya sekitar 50kg ia lebih ringan. Ini membolehkan TMax mampu bergerak dengan pantas dan lincah,” katanya lagi.

Betul apa yang dikhabarkan. Saya alaminya sendiri ketika menunggang TMax Hyper Modified di Gunung San Gabriel yang terletak di utara Los Angeles. Jentera berenjin kembar parallel yang mengeluarkan bunyi ekzos RSD yang bergema dan cukup mantap apabila menunggang di tepian kawasan pergunungan ini. Ekzos yang berbentuk cukup gagah ini memang salah satu daripada tarikan utamanya dan walaupun asalnya kuasa maksimum Yamaha ini ialah 46bhp pada 6,750rpm, dengan berat yang berkurangan, saya dapat rasa pergerakannya jauh lebih pantas.

Ia bagaikan sebuah skuter maksi jenis dragster yang memberikan kita senyuman cukup lebar apabila ingin memecut di persimpangan lampu isyarat. Pulas sahaja pendikit, bagaikan kilat ia meninggalkan semua kenderaan di belakangnya. Kuasa di peringkat pertengahan juga tidak mengecewakan, memudahkan kita keluar selekoh. Kesemua nikmat ini dapat kita alami tanpa perlu bersusah payah menggunakan sistem gear atau klac. Saya juga tidak dapat memberitahu di sini serendah mana kelajuan atau putaran rpm disebabkan Roland tidak lagi menggunakan meter besar yang asal dan tidak pula diganti dengan meter lebih kecil. Ia juga merupakan jentera bertransmisi CVT dengan penggunaan tali sawat Kevlar yang mengeluarkan suatu bunyi unik ketika menutup pendikit – ini juga personaliti terbaru yang ditawarkan oleh Roland pada pemilik TMax ini.

Melihat kepada gaya dan cara pengendaliannya, TMax ini mempunyai karaktor yang mirip kepada sebuah motosikal dan bukannya skuter. Kualiti tunggangan yang tinggi dan penyerapan sistem saspensi KYB ternyata cukup cemerlang. Bahagian aluminium yang terletak di bawah pelana ini merupakan tempat letaknya minyak enjin, air dan juga tangki bahan api bersaiz 11.35 liter. Pelana RSD ini dibalut dan dijahit oleh Bitchin Seat Co. dari California dengan kulit berwarna chessnut. Kekemasan dan kualiti tinggi warna jentera ini adalah hasil tangan syarikat Olympic Powdercoating yang beroperasi di Santa Ana.

Radiator asal telah diubah kedudukan, kali ini terdapatnya ruang saluran baru untuk menyalurkan cecair dengan lebih efisien. Anda mungkin akan meneka bahawa lengan ayun yang dilengkapkan pada jentera ini adalah unit lebih panjang tetapi sebenarnya tidak, ia adalah yang asli. Apa yang mengganggu saya ialah suis penghidup yang telah dipindahkan ke bahagian sisi bawah kaki sebelah kiri. Suis ini amat mudah tersentuh dan dimatikan secara tidak sengaja ketika penunggang mengubah posisi waktu menunggang ke kiri dan ke kanan. Empat kali enjin termati. Untuk menghidupkannya semula, kita perlu memutar suis ke penunjuk 'on', tarik tuas klac dan baru menekan suis penghidup... mudah saja.

Tidak dapat dinafikan, TMax ini cukup puas 'melayan' apabila berada di jalan-jalan berselekoh. Kuasanya yang luas digabung pula dengan tindak balas yang tepat ternyata memberi ketagihan buat sesiapa sahaja yang memacunya. Kuasa di peringkat pertengahan cukup mengagumkan – terasa seperti memulas sebuah jentera berkuasa turbo dan prestasi ini ternyata datangnya dari sistem CVT yang memberikan kecemerlangan tanpa ragu-ragu. Jika terasa hamburan kuasanya terlalu kuat, cuba tarik tuas brek belakang ketika memulas pendikit maka kuasanya akan berjaya direndahkan sedikit. Teknik ini amat berguna ketika membuat pendakian yang memerlukan kawalan terbaik di selekoh-selekoh tajam.

Semua TMax agak rendah. Sifat ini memudah kita untuk membaringkannya ke kiri dan ke kanan termasuklah model RSD Hyper Mode ini. Memang layan habis! TMax ternyata merupakan model skuter maksi paling ringan dan paling mudah untuk dikendalikan. Mengapa? Ia kerana kerangka die-cast aluminiumnya ternyata cukup tegar dan ringan. Dengan pengendalian cukup selesa, Yamaha yang berjaya dilahirkan semula ini ternyata lebih mirip kepada motosikal berbanding sebuah skuter.

Tayar belakang yang dipadankan pada bentuk baru TMax ini memang cantik dan 'melekat'. Dengan saiz 160/60R15 (belakang), kita dapat meratah setiap selekoh di depan mata dengan kemas walaupun skuter ini mempunyai kuasa tork setinggi 52.3Nm pada 5,250rpm – dapat dirasakan dengan sangat jelas sewaktu kita 'mengoyak' pendikit keluar daripada sesebuah selekoh. Kekuatan kuasa ini memang sentiasa dicemburui oleh para pesaingnya walaupun mempunyai enjin yang lebih besar. Tayar hadapan (120/70R15) pula membantu penunggang mengekalkan kedudukannya di laluan pilihan dengan kemas sekali.

Untuk diseimbangkan dengan kemampuannya berlari, jentera ini dilengkapkan dengan lengan ayun aluminium progressive-link jenis Kayaba (unit untuk motosikal) manakala penyerap hentak di depan turut menggunakan fork yang dipakai pada motosikal biasa. Jujurnya... dengan menggabungkan segalanya, anda hanya perlu pulas pendikit dan Goooooo!!!

Bar hendalnya yang lebar menawarkan sudut kawalan dan kualiti pengendalian yang tinggi untuk berada di laluan-laluan yang sukar. Dengan ketiadaan proses penukaran gear, brek enjin yang dimiliki oleh klac emparan memang cukup berkesan sekali. Jangan terkejut jika terdengar tayar belakang berbunyi apabila kita membrek dengan keras untuk mendapatkan kelajuan yang tepat sebelum memasuki selekoh.

Jika brek enjin boleh dipuji... apatah lagi sistem breknya. Model ciptaan Roland ini dilengkapkan dengan sepasang brek cakera 267mm di hadapan dan cakera tunggal 282mm (belakang) membolehkan kita menunggang dengan selamat dan meyakinkan. Kalau diikuti menerusi prestasi brek semua model-model Yamaha pun... kita sudah ternyata cukup yakin termasuklah skuter ini.

Agak pelik menunggang sebuah jentera ala cafe racer yang tidak mempunyai sesuatu bahagian untuk kita mengepit. Kaki terasa kosong, brek belakang juga dikawal dengan tangan. Nasib baiklah TMax Hyper Modified ini mempunyai ruang meletakkan kaki yang luas – mudah untuk saya meletakkan but walaupun bersaiz 11 inci.

“Setiap kali diberi peluang untuk menunggang Hyper ini, belum ada seorang pun yang datang menemui saya tanpa senyuman di bibirnya. TMax ini cute, praktikal, laju dan amat mudah ditunggang termasuklah buat penunggang cilik. Jujurnya, saya tidak menyangka sama sekali ia sebegini seronok. Motosikal ini nampak berbeza dan pelik tetapi memberikan kepuasan seperti mana mereka yang menunggang TMax biasa di luar sana. Kelebihannya... ia lebih ringan, tangkas dan berbunyi mantap!” Kata Roland.

Betul tu.... saya setuju kerana saya juga inginkan sebuah skuter seperti ini. TMax buatan Roland Sands yang kurus ini antara motosikal paling seronok pernah saya tunggang dan juga paling yang praktikal. Buat Yamaha... Roland Sands seumpama bahagian R&D anda dan telah berjaya melakukan sesuatu yang mantap. Cuba hasilkan sesuatu seperti ini…. baru hebat! RR

Laporan: Alan Cathcart
Kredit Foto: Kevin Wing

Isu Pada

April 2016

Spesifikasi

Enjin: kembar parallel, sistem penyejuk cecair, SOHC
Isipadu: 530cc
Gerek x Lejang: 68 x 73mm
Kuasa maksimum: 46bhp pada 6,750rpm
Tork maksimum: 52.3Nm pada 5,250rpm
Transmisi: sistem tali sawat CVT
Casis: kerangka aluminium diecast CF
Tapak roda: 1,580mm
Tayar: 120/70R15 (depan) & 160/60R15 (belakang)

Popular

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

  • Warta Roda

    Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Dari Litar

Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

Kejuaraan MotoGP 2024 telah berakhir selepas 20 pusingan dan 40 perlumbaan di beberapa buah negara seluruh dunia. Pada masa yang sama, hubungan perniagaan di antara dua syarikat ikonik dalam dunia MotoGP juga sudah sampai di penghujungnya.

Dari Litar

Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

Tahun 2024 juga menyaksikan rekod baru jumlah kehadiran penonton sepanjang musim ini mencecah 3,033,255 orang. Ia adalah pencapaian terbaik setakat ini sejak 75 tahun penganjuran MotoGP.

Dari Litar

Pelumba Negara Tampilkan Aksi Memberangsangkan

Tahniah buat para pelumba muda negara telah mempamerkan aksi yang cukup hebat dalam saingan FIM MiniGP World Finals.

Model Baru

MODENAS Eliminator dilancarkan di MotoGP Sepang 2024. Harga asas dari RM30,100

Motosikal dan Enjin Nasional (MODENAS) memilih hari cukup sempurna bersempena 'pesta' MotoGP di Litar Antarabangsa Sepang untuk melancarkan model terbaru, MODENAS Eliminator.