Kawasaki Z125 Pro Kecil-kecil Cili Padi!
Dari jauh, nampak seperti ‘abang-abangnya’ yang lebih besar. Namun, apabila kita menghampirinya barulah jelas ia sebuah motosikal jenis midi ataupun ‘funbike’ yang saiznya sedikit pendek daripada motosikal jenis moped.
Jentera jenis ini mula diperkenalkan oleh Kawasaki ke pasaran Malaysia sekitar tahun 2006 dengan memperkenal KSR110 yang berkonsep enduro ataupun jenis ‘mini motard’. Model tersebut mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat motosikal tanahair dengan diadakan pelbagai aktiviti yang menarik. Antaranya adalah perlumbaan khas, berkonvoi dan sebagainya yang disertai oleh pelbagai lapisan umur dan tidak mengira lelaki ataupun wanita.
Pada awal tahun 2016, pihak Kawasaki sekali lagi memberikan kejutan kepada para peminatnya dengan melancarkan sebuah model ‘funbike’ yang amat berbeza sekali dengan KSR110. Ia diberi nama Z125 Pro yang lebih terarah kepada rekaan ‘street bike’ yang canggih. Ia dilengkapi dengan sistem saspensi seperti fork jenis terbalik, lengan ayun tunggal, penyerap hentak belakang diletakkan di sisi kanan, sistem klac manual, paparan meter rpm analog/digital dan pelbagai lagi ciri-ciri yang terdapat pada model-model Z keluaran Kawasaki.
Rupabentuk Kawasaki Z125 Pro ini mampu menambat hati sesiapa sahaja yang melihatnya dengan rekaan aerodinamik yang canggih dan sporty ala superbike beserta lampu utamanya yang besar. Lampu brek belakang juga diwarisi daripada Z800 dan terang untuk dilihat dari jarak yang jauh. Rekaan motosikal ini kelihatan sesuai untuk penunggang lelaki mahupun wanita. Ia tidak terlalu kecil untuk penunggang yang berketinggian sehingga 165cm. Pelana boleh dikatakan ideal dan selesa malah, boleh juga membawa pembonceng!
Pemijak kaki hadapan dirasakan sedikit tinggi tetapi tidaklah mengganggu posisi tunggangan yang agak selesa. Pelana juga direka dengan teliti dan empuk untuk memberikan keselesaan. Bar hendal cukup tinggi untuk memberikan penunggangnya ‘bersatu’ dengan motosikal kecil ini bergerak tangkas dalam kesesakan lalu lintas di dalam bandar dan mengubah haluan dengan tepat.
Pandu Uji:
Menghidupkan enjin Z125 Pro ini pada waktu pagi yang dingin memang mudah. Tidak perlu bersusah untuk mencari tuas choke yang sememangnya tiada, putarkan kunci utama yang terletak di atas tangki petrolnya dan tekan punat penghidup elektrik dengan hanya sekali tekan. Enjin menderum dengan lembut dan bersemangat melalui ekzos yang direka dengan kemas. Seiras rekaan ekzos ER-6N/F.
Seperti ‘abang-abangnya,’ sistem transmisi model ini menggunakan klac jenis basah dan plat berganda. Jadi setiap kali menukar gear, perlulah menarik tuas klac agar proses menukar gear menjadi lebih lancar. Gear satu kita perlulah menekan gear ke bawah dan perlu menolak tuas gear ke atas sehinggalah ke gear tertinggi iaitu empat. Cukuplah untuk ‘adik kecil’ ini beraksi!
Enjin dua injap, silinder tunggal SOHC, empat lejang, sejukkan udara dan berisipadu 125cc ini menawarkan tunggangan menyeronokkan dengan kuasa maksimum 7.2kW pada 8000rpm manakala kuasa tork setinggi 9.6 Nm pada putaran enjin 6000rpm. Ia menghasilkan kuasa kuda setinggi 9.8hp. Jangan terperanjat pula apabila kita antara yang berupaya memecut tangkas meninggalkan kenderaan lain apabila pendikit dipulas dari keadaan melahu. Memang benar, ia menerkam ke hadapan dengan tangkas sekali… tak padan dengan kecil!
Ketangkasan Z125 Pro ini boleh menewaskan moped empat lejang yang lain dalam sekelasnya di lampu isyarat amat mengagumkan. Syoknya!
Meter analog rpmnya besar dengan paparan kelajuan digital yang mudah dibaca memberikan kelebihan kepada kita untuk terus fokus ketika menunggang. Hanya sekali jeling sahaja pun kita sudah mengetahui kelajuan, jarak perjalanan, tahap bahan api dan isyarat belok. Lampu latar belakang meter ini berwarna jingga dan jelas ketika menunggang di waktu malam begitu juga dengan suluhan lampu utamanya.
Mentol jenis halogen memberikan suluhan yang luas dan terang. Sistem ekzos dilengkapi dengan pelindung panas dan kelengkapan ini cukup penting terutamanya bagi mengelakkan kanak-kanak daripada tercedera. Ia juga dilengkapi dengan bellypan untuk melindungi enjin dan menambahkan rupa keseluruhan motosikal yang padat dan sporty.
Dengan berat keseluruhan 101 kilogram, Z125 Pro ini menawarkan pengendalian yang cukup mudah dan inilah yang kita inginkan terutamanya ketika memacunya di dalam bandar yang seringkali memerlukan kita mencelah di antara kenderaan lain. Pakai topi keledar penuh muka, jaket, kasut menunggang dan sarung tangan – memang umph!
Oleh kerana Z125 Pro ini agak ringan, meluncur dalam kelajuan maksimum iaitu sekitar 100-105km/j memerlukan genggaman yang kuat kerana ia sedikit bergegar ketika memecut di atas lebuh raya, lebih-lebih lagi apabila dipintas oleh kenderaan yang lebih besar jika dalam kelajuan tinggi. Namun jika menunggang sekitar 80-90km/j ia lincah dan stabil.
Untuk memberhentikan dan memperlahankan jentera ini, sistem brek cakera depan yang bersaiz 200mm dan di belakang (184mm) bertindak cukup efisien dan jika mahukan cengkaman yang menakjubkan, tarik sahaja kedua-dua tuas breknya. Di jalan-jalan berliku, Z125 Pro ini juga menunjukkan prestasi yang cemerlang.
Saspensi hadapan jenis fork terbalik yang bertindak dengan kemas walaupun ketika kita membrek dengan keras dan ‘melibas’ jentera ini meratah selekoh. Kita tidak akan terasa mengelungsur ke hadapan walaupun di atas pelana yang rata. Penyerap hentak belakangnya memberikan keselesaan kepada penunggang dan juga pembonceng.
Saiz tayar yang agak lebar menambahkan cengkaman di jalan raya. Ia dilengkapi tayar jenis tubeless bersaiz 100/90-12 MC 49J di hadapan dan 120/70-12 MC 51L (belakang). Sportrim lima jejari tampak ideal untuk model ini dan ia menambahkan keanggunan penampilan keseluruhannya.
Kami dapat memacu Kawasaki Z125 Pro ini sekitar 180-200 kilometer dengan sekali isian penuh tangki bersaiz 7.4 liter dalam pelbagai jenis gaya tunggangan dan permukaan jalan. Sememangnya ia adalah mesin yang menjimatkan. Model ini adalah jentera pilihan yang sesuai digunakan di mana sahaja kerana ia menawarkan gaya, tunggangan yang lincah dan penggunaan bahan api yang menjimatkan.
Terdapat dua warna pilihan yang menarik ketika ia diperkenalkan iaitu hijau dan Oren. Sikecil ‘cili padi’ ini ditawarkan pada harga asas RM10,440.00 (termasuk GST 6%) tanpa insuran dan cukai jalan. RR
Spesifikasi
Enjin | dua injap, silinder tunggal, SOHC |
Isipadu | 125cc |
Kuasa maksimum | 7.2kW pada 8,000rpm |
Tork maksimum | 9.6Nm pada 6,000rpm |
Transmisi | 4 kelajuan, klac manual |
P x L x T | 1,700 x 750 x 1005mm |
Tinggi pelana | 780mm |
Berat keseluruhan | 10kg |
Isi tangki | 7.4 liter |
Popular