Triumph Street Twin Memberi Nafas Baru
Ia adalah pengeluar motosikal terbaik Britain dengan rekod pengedaran 2014/15 sebanyak 54,000 unit motosikal ke seluruh dunia, peningkatan sebanyak 12%. Walaupun begitu, kebelakangan ini Triumph agak menyepi daripada memperkenalkan model-model baru.
Tapi 'sepi' ini akhirnya memberikan hasil yang mengagumkan dengan rombakan model Speed Triple yang akan diperkenalkan kelak. Apa pun, jentera ini telah pun kelihatan di beberapa pusat pameran di seluruh dunia. Boleh dikatakan ia adalah model baru paling penting buat syarikat milik John Bloor sejak dia berjaya 'bernafas' semula kira-kira 25 tahun lalu daripada pupusnya industri motosikal British dengan kelahiran kembali jenama Triumph.
Ketika di pameran motosikal antarabangsa EICMA, Triumph memperkenalkan tidak lebih daripada lima buah jentera baru parallel-twin yang dikuasakan oleh enjin sejukan cecair. Satu daripadanya adalah model 900cc manakala empat lagi berkapasiti 1200cc. Secara kolektif mewakili generasi akan datang untuk model ikonik keluarga jentera retro Bonneville. Sejak model kelahiran semula, Bonneville 2000 dilancarkan, sebanyak 140,000 mesin ini telah berjaya dibuat dalam jangka masa 15 tahun dan ia adalah antara produk utama syarikat ini yang bertanggung jawab memberikan pulangan jualan tahunan sekitar suku dan satu pertiga daripada jumlah keseluruhan.
Walaupun direka dan dibangunkan di ibu pejabat Triumph di Hinckley, UK, model-model baru ini akan dihasilkan di Selatan Bangkok, Thailand. Di kilang ini juga mereka telah memulakan produksi untuk model Street Twin yang berisipadu 900cc dan dijangka berada di ruang pameran wakil-wakil pengedar Triumph bermula bulan Januari. Ia juga adalah model entry level yang pada dasarnya akan menggantikan model T100 Bonneville yang dibuat sepenuhnya di Thailand.
Nama Bonneville kini adalah nama asas baru beberapa model yang berlainan varian seperti T120, Thruxton dan Street Twin. Model T100 dengan sistem penyejuk udara kini tidak lagi dikeluarkan melainkan model Scrambler yang diteruskan pengeluarannya sekurang-kurang untuk setahun lagi kerana masih mendapat sambutan.
Model penggantinya dijangka berkuasa 900cc dengan sistem sejukan cecair. Itu hal akan datang, jom kita lihat model yang telah pun ada di hadapan mata iaitu 900 Street Twin. Saya berkesempatan untuk menunggang uji jentera baru ini di Valencia, Sepanyol di persisiran Laut Mediterranean, mendaki kawasan berbukit dan di kawasan ladang limau yang agak jauh ke pendalaman.
Sebaik sahaja melangkah di atas pelana yang setinggi 750mm, kita akan dapati bahawa jentera ini lebih mudah ditunggangi berbanding Bonneville sebelum ini. Walaupun 10mm lebih tinggi berbanding T100 tetapi kita dapat merasakan pelana ini agak rendah kerana saiznya yang sedikit kecil yang dibuat bersesuaian dengan tangki model ini yang juga lebih kecil sedikit.
Bagi penunggang kecil molek, kebanyakannya adalah wanita akan sukakan jentera ini kerana kedua-dua kaki dapat diletakkan di tanah dengan selesa. Bagi penunggang yang setinggi 5'10” pula, saya tidak merasa sempit kerana banyak lagi ruangan yang cukup luas untuk sebarang pergerakan. Pelana ini telah direka semula dengan menggabungkan span besar yang cukup empuk. Ia kini pastinya lebih sesuai untuk penunggang yang sukakan perjalanan jauh manakala kedudukan tempat pemijaknya kini juga agak rendah, tetapi tidak sehingga mengurangkan kadar keseronokan ketika berada di selekoh dengan tayar istimewa yang dihasilkan iaitu Pirelli Phantom Sportcomp.
Gaya tunggangan Street Twin dirasakan lebih natural dan menarik. Terima kasih buat bar hendal kelulinya pendek yang dilengkapi dengan tuas brek dan klac yang juga lebih pendek berbanding model lama. Dengan tempat pemijak yang sedikit ke belakang, penunggang digalakkan untuk meletakkan hujung kaki di pasaknya agar lutut kita dapat mengepit bahagian sisi tangkinya dengan kemas. Kita akan merasakan sebahagian daripada Street Twin ini, tidak memenatkan!
Enjin parallel-twin ini tidak bergegar dengan kuat walaupun ia ditarik mencecah garisan merah. Rekabentuk tangkinya memang baik, cermin sisi berbentuk bulat dan tidak bergegar. Motosikal ini jelas telah dibangunkan dan diperhalusi oleh mereka yang benar-benar 'kaki motor'. Untuk mengesahkannya, kita menekan suis barunya yang menggabungkan suis pemati/penghidup untuk menghidupkan enjin sejukan cecair ini dan mendengar bunyi yang cukup mantap daripada sistem ekzosnya.
Pasukan Bloor ternyata berjaya melepasi piawaian Euro 4 dengan bunyi sesedap ini – mereka memang hebat dan ia satu pencapaian yang membanggakan. Penggunaan tuas juga cukup ringan dan amat mudah, datangnya daripada oil-bath slip/assist clutch yang dikendalikan oleh sistem kabel. Ini menjadikan tunggangan di dalam bandar dan kotaraya langsung tidak memenatkan. Tidak seperti kebanyakan jentera silinder-kembar lain yang mempunyai sistem klac yang cukup keras, tidak dengan Triumph ini.
Penukaran gear cukup sempurna, menyamai kualiti jentera-jentera Jepun tetapi saya rasa lebih baik kita menggunakan klac untuk menukar gear memandangkan agak sukar menambah dan menurunkan gear dengan lancar tanpa penggunaan klac. Ianya cukup lembut, kita tidak akan menghadapi banyak masalah untuk memecut ke hadapan dengan tepat dan sempurna. Dengan kuasa maksimum 54bhp pada 5,900rpm, model 900cc Street Twin ini hanya memiliki tiga per empat daripada model 865 Bonnie. Jika anda ingin lebih kuasa, Triumph akan merujuk kepada pelbagai model 1200cc yang akan datang tidak lama lagi.
Ini memberitahu kita mengapa Triumph tidak mahu mendedahkan enjin 900HT barunya di pameran EICMA tempohari, dikhuatiri dunia luar akan beranggapan satu-satunya cara untuk mereka memenuhi piawaian Euro 4 hanya dengan menala semua jentera ini. Ini tidak mungkin berlaku, pengalaman menunggang saya membuktikan segalanya. Street Twin menawarkan kuasa tork 18% melebihi model lama iaitu dengan kekuatan 80Nm pada 3,230rpm. Model ini juga tidak dilengkapi dengan penunjuk rpm pada meternya melainkan satu meter analog (penunjuk kelajuan) dengan beberapa info lain yang berada di dalam paparan digital.
Pasukan R&D Triumph yang diketuai oleh Stuart Wood tidak begitu berminat untuk memberitahu kita kadar putaran rpm agar kita tidak mencari garisan merah setiap kali ingin menambah gear sebaliknya mengikut aliran tork atau menggunakan kotak gear lima kelajuan yang mempunyai nisbah yang agak luas. Ketika berada di laluan lurus jalan-jalan luar bandar Sepanyol, saya mempertingkatkan kelajuan sehingga mencecah 170km/j dalam gear tertinggi dan paling mengujakan, tiada sebarang gegaran pada enjin. Walaupun begitu, Street Twin ini bukan sebuah jentera untuk dipecut selaju itu, ia lebih sesuai pada kelajuan sekitar 110-130km/j. Kotak gear lima kelajuan memang sudah mencukupi untuk sebuah enjin pantas memecut sepertinya.
Apa yang mengecewakan ialah hantaran kuasanya yang mendadak ketika kita memulas pendikit untuk keluar dari selekoh dengan menggunakan gear kedua. Masalah ini tidak berlaku pada nisbah-nisbah gear yang lain tetapi ia agak ketara dalam kedudukan ini. Saya menjangka ia sememangnya dikehendaki oleh Wood & Co. yang mahukan hantaran kuasa dan pecutan tinggi dalam gear rendah dengan menggunakan pemetaan enjin yang agresif.
Badan pendikit tunggal berinjap rerama menawarkan hantaran kuasa yang lancar dan ringan. Kalau ada kritikan pun... saya katakan pada masalah hantaran kuasa dalam gear kedua sahaja.
Masalah ini hanya kerana hantaran bahan api yang tidak sekata dan perlu diambil perhatian. Ducati Scrambler juga mempunyai masalah yang sama. Lebih-lebih lagi jika Triumph ingin mengeluarkan jentera-jentera mereka yang berkuasa 48bhp, sesuai untuk penunggang entry level. Jika masalah ini tidak diatasi, berkemungkinan besar boleh memberikan masalah kepada penunggang baru dan memberikan kekecewaan kepada penunggang berpengalaman yang sentiasa inginkan kelancaran enjin pada jentera baru mereka.
Pengendalian jentera ini cukup meyakinkan dan ini adalah kerana tapak rodanya yang kini 54mm lebih pendek. Pelananya yang rendah membantu pengendalian menjadi lebih mudah apabila memiringkan jentera ini ke kanan dan ke kiri di jalanan berselekoh seperti di Dos Aguas ke Millares yang agak jauh dari Valencia. Walaupun didatangkan dengan brek hadapan cakera 310 dan belakang 255mm, ia mampu memperlahankan jentera seberat 198kg ini dalam kelajuan tinggi begitu cemerlang sekali. Saya dapat mengesahkan bahawa sistem brek Street Twin ini mampu membantu para penunggang di kala kecemasan. Saya terpaksa menggunakan brek dengan keras apabila salah seorang penunggang uji Triumph di depan saya hanya tersedar lampu trafik sedang merah di saat-saat akhir. Nasib baik saya tidak sepertinya selepas beberapa kali merasakan sistem ABS bertindak dengan baik sekali.
Peningkatan terbesar dari segi pengendalian yang dicapai oleh model Street Twin ini datangnya dari keberkesanan sistem saspensi yang dibangunkan oleh pakar casis, David Lopez. Beliau berjaya bekerjasama dengan juruteknik Kayaba untuk menghasilkan penyerap hentak berkembar di hadapan dan belakang yang berupaya bertindak seperti mana penyerap hentak tunggal yang lebih mahal dan terkini. Ketika di Valencia, saya sempat mencari penutup manhole untuk merasakan redaman dan benar-benar kagum dengan Triumph ini 'menelan' kesemua bonggol-bonggol sehingga saya rasakan seperti menunggang jentera yang dilengkapi dengan penyerap hentak kembar neo-retro.
Memang hebat... Triumph ini guna monoshock ke? Apabila saya mendekati jentera David, saya tengok semula saspensinya – Ya... ia penyerap hentak kembar. Tunggu giliran anda semua untuk menunggangnya dan jangan katakan anda tidak terkejut dengan kemampuannya! Ia mungkin satu-satunya jentera yang dilengkapi dengan sistem saspensi tidak boleh laras yang para penunggang menyukai dan menghargainya.
Kepada sesebuah negara yang dahulunya dikuasai oleh jentera-jentera berkuasa tinggi, segala telah berubah. Pasaran sportbike mengalami kemerosotan dan diganti pula dengan pencinta motosikal Naked-as-Nature. Mesin yang mempunyai kuasa pecutan (tork) seperti ahli keluarga terbaru Triumph Bonneville ini ternyata semakin mendapat perhatian. Tidak kira lelaki mahu pun wanita, mereka mahu memiliki jentera yang mempunyai keistimewaan tersendiri melalui 150 buah pengedar aksesori Triumph. Street Twin mempunyai keistimewaan itu. Gaya stripped-back, bunyi yang mantap serta pengalaman menunggang dinamik yang diperkuatkan oleh sistem elektronik dan sistem ABS.
Kira-kira 60 tahun yang lalu, Johnny Allen telah berjaya mencipta rekod World Land Speed jentera dua roda dengan kelajuan 345km/j. Kejayaan ini diraih bersama pereka motosikal tersebut, Jack Wilson yang telah menggunakan enjin Triumph bersilinder kembar 650cc yang telah membuktikan bahawa Triumph memberikan sebuah jentera hebat untuk memperingati kejayaan itu serta memberikan harapan serba baru.
Model hebat ini dijangkakan berada di pasaran negara bermula April 2016 ini. Sama-sama kita nantikan kemunculannya. RR
Laporan: Alan Cathcart
Kredit Foto: Alessio Barbanti & Matteo Cavadini
Spesifikasi
Enjin | : kembar-parallel, sistem penyejuk cecair, 8 injap, SOHC |
Isipadu | : 900cc |
Gerek x Lejang | : 84.6 x 80mm |
Kuasa maksimum | : 54bhp pada 5,900rpm |
Tork maksimum | : 80Nm pada 3,230rpm |
Kotak gear | : 5 kelajuan |
P x L x T | : 2,090 x 785 x 1,114mm (ketinggian tanpa cermin sisi) |
Tinggi pelana | : 750mm |
Isi tangki | : 12 liter |
Berat kering | : 198kg |
Popular