Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 3 November 2020

Kawasaki Z900RS Cafe Gabungan Nostalgia dan Era Moden

Kawasaki Z900RS Cafe adalah gabungan di antara nostalgia dan era moden menerusi rekabentuknya, ia telah membuktikan kecintaan dan kebijaksanaan jurutera Kawasaki dalam usaha memenuhi kehendak para pencinta motosikal di seluruh dunia. Malaysia juga memiliki komuniti peminat jentera retro yang cukup aktif dengan pelbagai acara setiap tahun. Lihat sahaja konvoi atau perhimpunan seperti RetroMania, Distingushed Gentleman's Ride, Art of Speed, Year End Auto Meet Old Skool dan banyak lagi.

Kemunculan Z900RS Cafe cukup sesuai pada masanya. Bagi peminat jentera retro tua dan muda, model ini bagaikan sudah sempurna – tidak perlu lagi diubahsuai. Sebenarnya ia adalah jentera kesinambungan daripada model Z900RS yang berkongsikan ciri-ciri dan spesifikasi hampir sama. Warna hijau dengan rekacorak klasik berwarna hitam dan putih memang cantik sekali. Bahagian hadapan paling memuaskan hati! Lampu utama berbentuk bulat yang dikemaskan dengan fairing kecil (cermin pengadang angin) mengembalikan keanggunan jentera-jentera 1970an yang lalu.

Walaupun ia berasaskan model RS, perbezaan antara kedua-dua model ini tetap ada, antaranya ialah pada bahagian kerangka model Cafe ini agar dapat disesuaikan dengan tangki serba baru. Posisi bar hendal juga berbeza menerusi penggunaan drop handlebar. Selain menyumbang kepada gaya sebenar Cafe, posisi menunggangnya tidak lagi terlalu tegak seperti RS.... ia kini lebih sporty. Sudut pelana yang juga berbeza menyebabkan kami lebih selesa untuk mengendalikan Cafe ini. Selain daripada itu, kesemua yang lain seiras dengan model RS biasa.

Pelana Cafe ini lebar dan agak tinggi berbanding Z900RS (Cafe: 820mm, RS: 800mm) dan memang agak sukar untuk mereka yang berketinggian di bawah 5'2” (157.5cm). Dengan adanya sistem auto-choke, kita dapat menghidupkan enjinnya tanpa sebarang masalah walaupun ketika di dalam suhu sejuk. Sebaik sahaja suis penghidup ditekan, kita akan dapati enjinnya berputar dengan cukup galak tetapi jangan risau, putaran ini akan turun sedikit demi sedikit (bila enjin sudah mula panas). Ekzos Cafe ini bukan sahaja menawarkan bunyi yang garang tetapi juga bentuknya memang sesuai benar dengan Kawasaki retro ini. Nikmat bunyi dari enjin dan sistem ekzosnya sukar digambar dengan kata-kata.

Sedikit info mengenai sistem ekzos yang dipasangkan pada model Z900RS dan Z900RS Cafe. Sistem ekzos model model ini mempunyai dua lapisan yang mempunyai diameter berbeza. Bahagian dalam 28.6mm manakala bahagian luar pula berdiameter 38.1mm – kedua-duanya dengan kemasan krom. Dengan adanya dua lapisan ini, Corong ekzos tidak akan pudar dek suhu panas yang terhasil dan menyebabkannya terus kekal berkilat.

Seperti model RS, panel meternya jenis analog dan digital (di tengah-tengah) yang direka berbentuk bulat memang cukup mudah untuk dilihat. Apa yang mengagumkan, nombor yang tertera pada meter analog ini dibuat seperti mana model Z1 yang diperkenalkan kepada dunia pada tahun 1972 dulu. Oleh kerana model ini memiliki spesifikasi yang sama dengan Z900RS maka kedua duanya turut berkongsikan sistem elektronik dan sistem pertahanan yang juga sama. Cafe disempurnakan dengan sistem Traction Control (TRC), Assist & Slipper Clutch, Economical Riding Indicator dan Dual Throttle Valves.

Seperti mana nikmatnya menunggang Z900 RS, begitulah juga dirasakan sebaik sahaja menggerakkan jentera ini. Banjaran kuasa yang luas membolehkan penunggang berada di dalam gear pertengahan (4 dan 5) dalam kelajuan rendah. Kita tidak akan terasa tersentak-sentak sebaliknya Cafe Racer ini bergerak dengan lancar dan bila ingin memecut, pulas sahaja pendikitnya. Nah... kelajuan dengan pantas ditingkat dan sekali lagi, kelancaran hantaran kuasanya benar-benar mengasyikkan.

Jujurnya, kami lebih suka posisi menunggangnya berbanding RS.Walaupun di dalam kesesakan lalulintas, Cafe ini lincah mengalahkan jentera moped tambahan pula dengan kekuatan enjin 948cc yang meluncur deras bila tiba di ruang terbuka.

Kita juga dapat melihat keadaan lalulintas di depan dengan jelas. Terima kasih buat pelananya yang tinggi – pandangan mudah melepasi bumbung kereta. Apa yang sangat diperlukan ketika menunggang di dalam bandar khususnya ialah kebekesanan sistem brek dan cermin sisi. Oleh itu, kami berikan A+ untuk brek hadapan dan belakang Kawasaki ini yang masing-masing bersaiz 300mm dan 250mm (jenis berpetak).

Bagi cermin sisi pula, B+ untuknya! Dengan gabungan warna hijau (Lime Green) dan corak garisan putih yang menawan, Cafe ini cepat benar menarik perhatian. Asalkan berhenti, pasti ada mana yang tertumpu padanya dan ada juga yang sudi berbual. “Lawa betul Kawasaki ni! Berapa harganya?” Ramai yang katakan harganya agak tinggi tetapi apabila diterangkan ia adalah model CBU, baru ramai yang faham. Kawasaki Z900RS Cafe ditawarkan pada harga asas RM72,372.

Sebaik sahaja masuk ke lebuhraya, barulah perbezaan paling besar di antara RS dan RS Cafe dapat dirasakan. Enjin DOHC, 16 injap dengan sistem penyejuk cecair yang dimiliki oleh family RS ini menawarkan kuasa tertinggi 82.0kW pada 8,500rpm dan tork 98.5Nm pada 6,500rpm.

Cermin pengadang angin ternyata penyumbang utama kepada keselesaan mutlak memacu jentera ini dalam kelajuan tinggi berbanding model RS. Jika dulu kita terpaksa melawan tamparan udara yang kuat bila kelajuan melebihi 120km/j tetapi Cafe dapat dipecut mencecah 230km/j dengan cukup stabil dan tidak membebankan penunggang. Perjalanan sudah 200 kilometer dan minyak juga semakin kering. Kami berhenti rehat seketika di stesen minyak PETRONAS yang menyediakan ruang rehat yang selesa lengkap dengan makanan dan minuman untuk mengembalikan tenaga dan kesegaran. Perlu diingat, elakkan menunggang di tengahari dan jangan makan hingga terlalu kenyang – takut mengantuk!

Masuk ke dalam kawasan kampung dan desa memberikan perasaan bagaikan pulang ke kampung.Jentera hijau ini terus kemas dilaluannya walaupun laluan di luar kota banyak yang berselekoh tajam. Fork hadapan jenis terbalik 41mm dan penyerap hentak belakang jenis horizontal membuatkan kita menangani laluan berliku ini penuh keasyikan. Dengan sistem transmisi dan klac yang lembut, setiap proses kemasukan gear berjaya dilakukan tepat pada masanya – sebelum memasuki selekoh dan ketika memecut keluar.

Cafe ini seberat 216kg (RS: 214kg) yang memerlukan tayar-tayar yang mantap untuk kestabilan yang tinggi. Untuk dapat kecemerlangan itu, Ia dilengkapkan dengan tayar hadapan 120/70ZR17 M/C (58W) dan belakang 180/55ZR17 M/C (73W) yang mencengkam permukaan jalan dengan baik. Keistimewaan Z900RS Cafe ini datangkan dari pakej yang menarik. Sememangnya bila digabungkan di antara kesempurnaan hantaran kuasa + kemantapan casis + kecemerlangan sistem saspensi + kemodenan sistem elektronik maka jawapannya sudah pasti amat menyenangkan hati.

Jika Z1 pernah dikatakan antara model paling cantik pernah dihasilkan, model Cafe ini juga memiliki aura tersendiri yang tidak boleh dinafikan. Ia adalah sebuah mesin berkarator dan kaya dengan sejarah penciptaannya yang kini berusia lebih daripada 40 tahun. RR

Isu Pada

Januari 2019

Spesifikasi

Enjinsistem penyejuk cecair, 4 lejang, DOHC
Isipadu948cc
Gerek x Lejang73.4 x 56mm
Kuasa maksimum82kW pada 8,500rpm
Tork maksimum98.5Nm pada 6,500rpm
Transmisi6 kelajuan
Brekcakera 300mm (depan) & cakera 250mm (belakang)
Tayar120/70ZR17 M/C - 58W (depan) & 180/55ZR17 M/C - 73W (belakang)
Isi tangki17 liter
PengeluarKawasaki Motors (Malaysia) Sdn Bhd

Popular

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

  • Warta Roda

    Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Dari Litar

Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

Tahun 2024 juga menyaksikan rekod baru jumlah kehadiran penonton sepanjang musim ini mencecah 3,033,255 orang. Ia adalah pencapaian terbaik setakat ini sejak 75 tahun penganjuran MotoGP.

Model Baru

HLYM Perkenalkan Yamaha Y16ZR 6MRO Edisi Terhad – RM13,668

Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) turut meraikan pencapaian bersejarah itu dengan menampilkan model edisi terhad iaitu Yamaha Y16ZR 6MRO.

Model Baru

Yamaha Europe Perkenalkan Tracer 9, Tracer 9 GT & Tracer 9 GT+ 2025

Yamaha Motor Europe telah memperkenalkan rangkaian Sport Touring mereka bagi tahun 2025 iaitu Yamaha Tracer 9, Tracer 9 GT dan Tracer 9 GT+ Y-AMT.

Berita Kelab

KEDAH OFF ROAD TRAIL & CAMPING 2024

Penganjuran KEDAH OFF ROAD TRAIL & CAMPING 2024 yang dianjurkan semperna Hari Malaysia pada (15/9 - 16/9) lalu telah terlaksana dengan jayanya.