Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 2 Februari 2016

Ducati XDiavel Supercruiser Santai

Bagaimana hendak berjaya dalan pasaran Amerika? Itulah satu teka teki yang membelenggu pihak pengurusan Ducati sejak empat dekad yang lalu. Lebih tepat lagi, sejak pengeluar jentera sport Itali ini mengalami kegagalan pada tahun 1963 menerusi model 1260cc V4 Apollo Prototaip yang dihasilkan berbentuk cruiser ala Harley Davidson. Model ini memiliki kuasa enjin yang lebih tinggi daripada kemampuan tayar-tayarnya.

Jadi bagaimana caranya untuk sebuah syarikat gergasi yang mempunyai rekod cemerlang dalam perlumbaan World Superbike dan MotoGP ingin meletakkan jenama mereka di dalam pasaran terbesar di Barat yang dikuasai oleh satu segmen sahaja? Menurut kajian yang lakukan untuk pasaran 2014 (ketika artikel ini ditulis, nilai pasaran 2015 belum lagi diedarkan), daripada 485,526 buah motosikal yang dijual di USA, 48% daripadanya adalah model-model cruiser dan angka penjualan ini sangat besar walaupun kepada pengeluar jentera sport.

Itulah sebabnya Ducati memberanikan diri pada tahun 2012 dengan memperkenalkan sebuah mesin ‘devil’ yang diberi nama Diavel. Dalam bahasa Itali, ia digelar Diavolo yang bererti syaitan. Model ini memberikan satu pengalaman baru menunggang – menggabungkan sebuah jentera custom dengan prestasi enjin sebuah jentera sport. Diavel memang sebuah rekaan yang cukup ganas!

Model ini ternyata mencapai kejayaan apabila sebanyak 30,000 unit berjaya dijual sejak ia diperkenalkan beberapa tahun lalu. Tetapi jika dibandingkan dengan model-model Ducati yang lain, nilai penjualan model dark side ini tidaklah sehebat yang disangkakan. Ia mendapat perhatian hebat di peringkat awal tetapi pasarannya merundum setahun kemudian apabila ramai yang kembali menukar mesin mengikut minat masing-masing.

Diavel kelihatan seperti sebuah powercruiser yang mempunyai ciri-ciri lelaki macho. Ini disebabkan oleh tayar belakangnya yang besar serta tubuh badan berotot dan gagah. Walaupun begitu, kedudukan bar hendal dan tempat pemijaknya yang tepat menjadikan posisi menunggang cukup selesa. Prestasi enjin pula bagaikan sebuah superbike yang dapat dibuktikan dengan kepantasannya memecut dan pengendalian yang sangat mantap. Ia tidak berhenti di situ, bunyi yang dihasilkan oleh enjin v-kembarnya pula bagaikan petir menjadikan model ini lain daripada yang lain.

Untuk terus cemerlang dalam pasaran jentera cruiser model XDiavel telah diperkenalkan di pameran motosikal EICMA tahun lalu. Daripada sebuah jentera yang gagah serta berotot, model baru ini nampaknya lebih santai dan menepati gaya cruiser Amerika. Sesuai dengan terma yang diletakkan oleh Ducati iaitu Low Speed Excitement disamping mengekalkan tahap prestasi dan teknologi canggih seperti mana yang dilengkapkan pada model-model Ducati lain. Benar-benar unik, ia adalah satu pakej motosikal yang menggabungkan kepantasan dari Itali dan gaya custom dari Amerika.

Untuk mencapai tahap ini, pasukan jurutera yang diketuai oleh Eugenio Gherardi yang juga merupakan pencipta kerangka magnesium edisi terhad 1199 Superleggera. Beliau dan pasukannya telah mereka semula platform Diavel ini agar mempunyai karaktor yang berbeza.

Demi memperbaiki prestasi enjin dalam kelajuan rendah dan di peringkat pertengahan, isipadu Diavel ini telah ditambah daripada 1198cc kepada 1262cc menerusi dimensi terbaru iaitu 106 x 71.5mm berbanding 106 x 67.9 untuk model lama. XDiavel ini mempunyai kuasa maksimum 156bhp pada 9,500rpm dan tork 128.9Nm pada 5,000rpm – jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan jentera-jentera Ducati lain yang mempunyai pakej enjin yang sama. Enjin baru ini memang sesuai untuk sebuah model cruiser – Diavel sebelum ini mempunyai tork sekuat 130.5Nm pada 8,000rpm.

Walaupun begitu, ketika putaran enjin masih 2,100rpm, XDiavel ini telah menghamburkan tork melebihi 98Nm. Lengkungan graf kuasa ini kemudiannya mendatar sehinggalah putaran enjin mencecah 10,000rpm. Jurutera Ducati turut bekerja dengan teliti agar rekabentuknya terus kemas dan anggun. Sebagai contoh, lokasi pam air kini telah diubah ke tengah-tengah silinder vee untuk menutup…. hos penyejuk yang berada di tepi kiri – menjadikannya lebih kemas.

XDiavel ini juga merupakan model pertama Ducati yang didatangkan dengan pacuan akhir jenis tali sawat untuk transmisi 6 kelajuan. Penggunaan tali sawat ini ternyata lebih senyap, lebih bersih, mengurangkan penyelenggaraan dan tindak balas pendikit yang lancar.

Saya akhirnya mendapat peluang untuk menguji dan merasai bagaimana Ducati berjaya menepati jangkaan para pelanggannya dengan model XDiavel ini. Saya dan jentera hebat ini menyurusi jalan-jalan di Diego Back Country dan di tepi sempadan Mexico yang sejauh 260 kilometer. Perjalanan ini juga akan menemukan saya dengan Pegawai Sempadan US yang mengadakan sekatan yang memerlukan saya meyakinkan mereka bahawa jentera Itali ini bukan pendatang asing cuma ia menjelma dengan tiba-tiba.

Keanggunan gaya model baru ini dihasilkan oleh pereka asal Diavel iaitu Bartholomeus Janssen Groesbek yang lebih mesra dengan panggilan Bart. Pereka kanan Ducati ini menyertai syarikat Itali ini pada tahun 2002 dan dia juga antara mereka yang bertanggung jawab dengan kejayaan Yamaha Vmax dan juga Harley Davidson V-Rod. Keluasan dan keselesaan tempat pemijak XDiavel ini ternyata lebih dekat dengan rekaan sebuah HOG daripada Monster dengan kedudukan bar hendal kini yang lebih tinggi dan lebih dekat berbanding Monster mau pun Diavel.

Kaki penunggang kini melunjur ke depan? Dengan Ducati? Ya…betul, kenapa tidak? Inilah gaya jentera Amerika dan sememangnya sangat selesa. Selesa dan pantas! Apa yang perlu anda bersedia ialah jentera ini mampu dileperkan lebih dalam, tidak seperti model cruiser yang lain yang kebanyakannya mempunyai sudut miringan 45 darjah untuk kelajuan 110km/j dengan tayar Pirelli yang selebar 17 inci (saiz biasa jentera cruiser ialah 16 hingga 18 darjah). Melihat akan pembaharuan yang dilakukan ini, kita akui bahawa Ducati ternyata berjaya menghasilkan sebuah supercruiser baru yang kini lebih relaks dan mantap berbanding model sebelum ini.

Untuk tahun ini (2016), Ducati menyasarkan pengeluaran sebanyak 7,000 unit dengan nisbah 80/20% untuk model S yang dijual pada harga yang lebih tinggi. Di Eropah, model S ditawarkan pada harga Euro23,990 manakala XDiavel biasa berharga Euro19,990. Pada masa yang sama, Ducati turut ingin menjual 3,000 buah Diavel biasa yang kini telah menepati piawaian Euro-4.

XDiavel ini bukan sahaja menawarkan kadar pecutan yang mengagumkan tetapi juga kini ia lebih mesra penunggang. Kita dapat mengawal segala pergerakan dengan mudah dalam kelajuan rendah. Demi kepuasan pemiliknya, jentera ini didatangkan dengan tempat pemijak yang mempunyai empat posisi pilihan, lima jenis pelana dengan kadar tinggi berbeza dan tiga pilihan bar hendal berbeza.

Betul… posisi menunggangnya memang sesuai untuk semua jenis penunggang walaupun buat saya yang setinggi 5’10”. Ducati jelas menumpukan perhatian mereka dalam merekabentuk pelana agar lebih selesa dan walaupun agak klise tetapi memang benar… ia cukup selesa. Inilah yang perlu dimiliki oleh sesebuah jentera cruiser, pelana yang keras di bahagian paling bawah dan lembut di atas.

Apabila memilih mod Urban kuasanya dikurangkan daripada 152bhp kepada 100bhp sahaja dan mod ini juga sesuai untuk tunggangan di hari hujan. Saya rasa lebih sesuai mod ini dinamakan Rain. Kuasa kembali di tahap tertinggi apabila kita bertukar kepada mod Touring yang dirasakan cukup praktikal walaupun ketika memacunya di dalam bandar. Mod paling tinggi ialah mod Sport dan walaupun ia amat berkuasa, sistem traction controlnya yang bijak membantu kita menikmati setiap jenis perjalanan tidak kira lurus atau berselekoh dengan yakin sekali.

Benar, XDiavel ini bukan sebuah jentera yang hanya hebat di laluan lurus sahaja tetapi juga mempunyai kemampuan hebat untuk masuk dan keluar dari selekoh. Kebanyakan jentera cruiser dilengkapkan dengan tayar belakang yang sangat lebar tetapi tayar ini mendatar menyebabkan kita bagaikan hendak ‘terjatuh’ apabila membuat miringan yang agak dalam.

Bentuk tayar Pirelli yang dipasang pada XDiavel ini berjaya mengatasi masalah ini. Lagipun ia adalah Ducati… pastinya setiap jentera yang ingin keluar daripada kilang mereka di Bologna semestinya mempunyai kemampuan yang tinggi untuk meratah setiap selekoh dan pengendalian yang sangat mudah.

Melihat pada tapak rodanya yang panjang serta fork hadapan Marzocchi 50mm, kita pastinya akan menganggap jentera ini perlu banyak tenaga sewaktu berada di selekoh-selekoh tajam atau ketika merangkak di dalam bandar… anda silap! XDiavel amat mudah untuk dikuasai! Menerjah masuk ke selekoh memang sangat menyeronokkan. Dengan pantas XDiavel ini berjaya kita kawal dalam semua kelajuan manakala sistem saspensinya berjaya menyerap hentakan demi hentakan dengan baik sekali.

Tidak seperti menunggang Multistrada di mana kuasanya ketika menggunakan mod Sport terlalu tinggi, XDiavel menawarkan enjin yang telah dibuat dengan teliti agar penunggangnya dapat menikmati sebuah motosikal yang mudah dikawal walaupun kehebatan kuasa hantarannya tidak perlu disangkal lagi. Sistem transmisi XDiavel boleh dikatakan sangat lancar ketika kita memerah tenaga enjin v-kembar. Secara puratanya, putaran paling ideal ialah dalam lingkungan 3,500-8,000rpm. Dalam gear ketiga dan keempat, kita dapat menarik dan menolak mesin ini ke kiri dan ke kanan tanpa sebarang gangguan. Pulas sahaja pendikit, ia kembali pantas ke hadapan.

Jentera yang anggun ini juga tidak lagi terlalu bising, terima kasih kepada peraturan Euro 4. Boleh juga dikatakan model ini antara mesin Ducati yang paling sedap bunyinya terutama sekali ketika kita bermain dengan kuasa dalam kedudukan gear-gear pertengahan. Pasukan Gherardi juga telah berjaya menghasilkan brek enjin yang tepat pada XDiavel ini. Walaupun dilengkapi dengan sistem slipper clutch, brek-brek Brembo yang terdapat pada jentera ini membolehkan kita memperlahankan kelajuan dengan pantas sekali.

Dalam mod touring, enjin perlu berputar agak tinggi… paling rendah pun dalam lingkungan 4,000rpm. Jika rendah daripada itu, akan berlakulah sedikit sentapan pada bahagian transmisi dan ini disebabkan sistem pacuan akhirnya. Itu saja! Sistem gear yang dilengkapkan pada model ini masih tidak berubah, ia memerlukan kita menunggang dengan lebih agresif untuk terus lancar.

Jika mengekalkan putaran enjin sekitar 4,200rpm dalam gear tertinggi, ini bermakna kelajuan yang sedang dicapai pula sudah mencecah 110km/j. Tidak munasabah untuk kita bersantai dalam kelajuan setinggi itu melainkan kedudukan gear diturunkan. Apabila pendikit dipulas pada kedudukan 6,200rpm, kelajuan XDiavel sudah mencecah 160km/j. Itulah sasarannya, menawarkan pecutan yang bagaikan sebuah jentera sportbike.

Bercerita mengenai pecutan, Ducati mengenal pasti bahawa para pelanggan mereka yang menyertai perlumbaan drag telah menggunakan electronic launch control yang turut dimiliki oleh XDiavel. Ia dikenali dengan nama Ducati Power Launch (DPL) yang membantu setiap pergerakan dapat dimulakan dengan lancar dan tepat sekali. Pemilihan mod, anti-wheelie dan talaan sistem traction control (TC) dapat dilakukan dengan menekan suis yang terdapat pada bar hendal sebelah kanan.

Sebaik sahaja sistem ini dihidupkan, penunggang dapat membuat talaan intervention menerusi ikon menu yang terpapar di panel meter. Tarik tuas klac, masuk gear pertama dan pulas pendikit sepenuhnya dan lepaskan klac. Rasakan kemantapan jentera ini memecut yang sememangnya patut digelar The Most Awesome Start dan sistem ini dimatikan secara automatik apabila kelajuan mencecah 120km/j.

Untuk melindungi klacnya, telah direka algorita khas yang akan memberitahu kita seberapa banyak baki ‘launch’ yang boleh dibuat lagi. Sistem power shifter juga ditawarkan sebagai aksesori pilihan dan sememangnya bagi mereka yang ingin pantas ‘terbang’ke hadapan, ia adalah sesuatu yang amat penting.

Memang sukar untuk mengkritik XDiavel ini kerana ia adalah supercruiser yang cukup sempurna dan mengagumkan. Adalah sesuatu yang menarik untuk kita melihat pengeluar-pengeluar lain menyahut cabaran untuk menghasilkan sebuah jentera yang mampu memberikan prestasi sehebat ini. Bagi saya, Victory kini mempunyai jentera berkuasa 1200cc, lapan injap yang mampu memberi saingan.

Ducati kini sedang bekerjasama dengan Roland Sand dalam pasaran barangan aftermarket dan hanya masa yang akan menentukan bilakah kedua-dua syarikat ini akan bergabung untuk menukar XDiavel ini menjadi sebuah motosikal yang unik lagi menarik. Dunia motosikal memang penuh dengan kejutan…siapa sangka Ducati mampu melahirkan sebuah jentera cruiser 156bhp dan ya… siapa sangka Royal Enfield nanti akan mula melahirkan sebuah superbike. RR

Laporan: Alan Cathcart
Kredit Foto: Milagro

Isu Pada

Mac 2016

Spesifikasi

Enjin: Ducati Testastretta DVT (Desmodromic ViariableTiming), L-kembar, sistem penyejuk cecair
Isipadu: 1,262cc
Kuasa maksimum: 156hp pada 9,500rpm
Tork maksimum: 128.9Nm pada 5,000rpm
Kotak gear: 6 kelajuan
Pacuan akhir: tali sawat
Tayar: 120/70 ZR17 (depan) & 240/45 ZR17 (belakang)
Berat kering: 220kg
Tinggi pelana: 755mm

Popular

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

  • Warta Roda

    Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Model Baru

EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

Moto Morini telah melancarkan Alltrhike 450 baru di pameran motosikal antarabangsa EICMA 2024

Model Baru

EICMA 2024: Nikmati Dunia Pengembaraan Dengan Voge Valico 800DS Rally

Voge menggunakan pentas global iaitu EICMA untuk melancarkan model kembara terbarunya iaitu Valico 800DS. Ia adalah sebuah jentera yang memberi cabaran dalam segmen Kembara/Adventure

Warta Roda

Ops Khas Motosikal Hari-4, Lebih 11,000 Saman Sudah Dikeluarkan

Baru empat hari Ops Khas Motosikal diadakan di seluruh negara, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan 11,435 saman atas pelbagai kesalahan kepada pengguna motosikal.

Dari Litar

GP Valencia 2024 Dibatalkan...Litar Untuk Pusingan Akhir Belum Dipastikan Lagi

Berikutan bencana banjir yang melanda beberapa buah bandar di Utara Sepanyol yang turut melibatkan komuniti di Valancia, pihak Dorna telah mengumumkan bahawa GP Valencia yang dijadualkan berlangsung pada 15-17 November nanti telah dibatalkan.