BMW R 1250 GS Kebijaksaan Jutera BMW Terbukti Kini
Dalam pembikinan model R 1250 GS 2019, BMW terpaksa berdepan dengan satu tugasan yang mencabar iaitu mempertingkatkan tahap kualiti dalam semua segi untuk sebuah jentera yang dianggap antara yang terbaik dalam kelasnya. Ini lebih rumit apabila mereka (BMW) terpaksa menetapkan penanda aras baru yang mereka juga ciptakan selama ini. Jadi... memang mencabarlah untuk menaiktaraf sebuah jentera yang telah pun mendominasi dunia pengembaraan motosikal untuk sekian lama.
Panggillah apa yang anda mahu... Adventure Tourer, Maxi-Enduro, Tarmac Trailie... Keluarga GS adalah antara jentera paling penting dalam keseluruhan syarikat pengeluar kenderaan dari Jerman. Fakta ini adalah hasil perkiraan status yang diperoleh selama empat dekad atau lebih tepat, sejak pengenalan model silinder kembar pertamanya pada tahun 1980. Model dual-purpose BMW R 80 GS yang digelarkan “Go-Anywhere Motorcycle” ini turut dibuktikan ketahanannya selepas muncul juara perlumbaan lasak Paris Dakar sebanyak empat kali. Memang satu pencapaian yang sangat mengagumkan. Menurut Presiden terbaru BMW Motorrad, Dr Markus Schramm, sejak daripada pengenalan kepada model pertama itu, lebih daripada 700,000 buah GS pelbagai siri telah dibina hingga ke hari ini. Untuk tahun lepas sahaja, sebanyak 50,281 unit R 1200 GS dan GS Adventure telah berjaya menemui pemiliknya. Ini merupakan kejayaan pertama buat BMW meraih penjualan lebih 50,000 unit untuk tempoh 12 bulan atau pada kadar 30% rekod produksi pengeluaran BMW sebanyak 164,153 unit pada tahun 2017.
Model R 1200 GS merupakan antara model paling laris di Jerman, UK, Itali, Perancis, Afrika Selatan, Sepanyol, USA dan sudah tentu di Malaysia. Ia adalah sebuah jentera dua roda yang sangat praktikal untuk semua jenis tunggangan tidak kira di sebelah dunia mana anda berada. “GS bukan sahaja sebuah kejayaan penghasilan motosikal tetapi ia adalah kisah indah serta kejayaan yang diperoleh oleh syarikat kami (BMW) sejak pada tahun 1980an lagi. Sejak melancarkan model R 80 GS, nama GS sentiasa berada di tangga tertinggi bertahun lamanya dan saya yakin, kedudukan ini akan berjaya diteruskan,” kata Dr Schramm.
Sasaran dan tumpuan BMW dalam penghasilan GS terbaru ialah pada bahagian rekabentuk dan prestasi keseluruhan jentera ini. Ia amat penting kerana persaingan kuat semakin terasa daripada pengeluar lain seperti Ducati dan KTM yang sentiasa hadir dengan produk-produk hebat setiap kali tibanya tahun baru. Itulah cabaran yang dipikul oleh Ketua Projek BMW R&D, Jochen Beck.
Untuk mengekalkan kesinambungannya, R 1250 GS mempunyai rekabentuk yang tidaklah begitu jauh bezanya berbanding R 1200 GS yang telah pun berada di pasaran sejak 2004 lagi. Sejak dari itu, sekurang-kurangnya model GS ini telah pun dikemas kini sebanyak tiga kali agar dapat 'berlari' sama laju dengan arus perubahan dan kemodenan. Inilah yang para pengguna motosikal mahukan... sebuah jentera yang sesuai untuk urusan seharian, sesuai juga untuk ke destinasi menarik di hujung minggu dan sudah pasti untuk menikmati pengembaraan ribuan kilometer ke seluruh dunia.
“Memandangkan pelanggan dan peminat BMW terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat yang datang dari serata dunia, model baru ini haruslah memiliki satu ciri paling utama ialah 'Mudah Ditunggang'. Ini amat penting agar GS tidak hanya sesuai untuk mereka yang sudah berpengalaman tetapi juga boleh menjadi pilihan buat para penunggang baru. GS baru perlu lebih Dr. Markus Schramm bermanafaat untuk semua,” kata Ketua Pembangunan, Norbert Klauer.
“Oleh itu, kami memutuskan untuk memperkemas sistem kawalan injap yang turut akan menaikkan sedikit kapasiti kuasa dan kekuatan torknya. Pada masa yang sama, GS baru ini menjanjikan pengurangan kadar emisi dan jimat petrol. Enjin baru R 1250 GS ini turut dipasang pada model R 1250 RT dan kedua-duanya bukan hanya menepati piawaian Euro 4 malah turut memenuhi syarat Euro 5 yang akan berkuatkuasa pada tahun 2020 nanti,” tambah Norbert lagi. Sistem Shiftcam baru diperkenal dengan menggabungkan Variable Valve Timing dan Valve Lift di dalam satu pakej. Ini merupakan 'resepi' yang sangat penting dalam usaha mempertingkatkan prestasi enjin berkembar jenis Boxer yang dilengkapkan pada model ini. Kini... keupayaan Boxer telah meningkat daripada 1,170cc kepada 1,254cc menerusi dimensi 102.5 x 76mm berbanding 101 x 73mm untuk model R 1200 GS.
Kemantapan jentera pengembaraan ini juga hadir daripada kekuatan enjin baru yang berkuasa 136hp pada 7,750rpm dan tork 143Nm pada 6,250rpm (berbanding 125hp pada 7,750rpm dan tork 125Nm pada 6,500rpm). Jadi, dengan peningkatan kapasiti sebanyak 7%.... kuasa hp juga kini 9% lebih tinggi manakala tork juga dapat ditingkatkan sebanyak 14% berbanding sebelumnya. Ini juga menjadikan GS 2019 siri jentera berenjin Boxer yang paling berkuasa pernah dihasilkan (setakat ini).
Peluang untuk saya menikmati betapa hebatnya jentera pengembaraan datangnya pada hari pertama di pelancaran global BMW R 1250 GS. Menerusi jemputan tersebut, saya berpeluang untuk merasai prestasinya di Portugal pada jarak sejauh 230 kilometer (jalan biasa dan offroad) pada suhu sekitar 34 darjah Celsius. Perjalanan dimulakan menuju ke kawasan yang sedikit sesak di jalan pantai Algarve dan kemudiannya mendaki ke kawasan pergunungan.
Pada dasarnya, perasaan awal ketika memacu GS baru ini tidak jauh bezanya daripada model lama cuma dibezakan oleh panel meter TFT penuh warna bersaiz 6.5 inci lengkap dengan sistem Connectivity. Segala info yang terpapar pada skrin TFT ini memang banyak membantu kerana ia bukan hanya lengkap tetapi cukup m u d a h untuk dilihat. Untuk lebih praktikal terutamanya bagi mendapatkan navigasi, BMW Motorrad Connected ini boleh dimuat turun secara percuma dari aplikasi Google atau Apple. Melihat kepada keberkesanan sistem navigasinya, secara teori kita tidaklah perlu sentiasa membawa Garmin atau Tom Tom bersama.
Mengaktifkan sistem Bluetooth dengan sebarang jenis telefon pintar, penunggang dapat menikmati perjalanan sambil mendengar alunan muzik, membuat dan menjawab panggilan sewaktu menunggang. Pelananya didatangkan dalam dua pilihan iaitu 850mm atau 870mm (terdapat juga pilihan tambahan 800mm dan 900mm). Sistem saspensi juga nampak sama seperti yang digunakan pada model R 1200 GS.
Sebaik sahaja enjin dihidupkan, kita dapati 'suara' kini lebih dalam dan itulah keistimewaan jentera baru yang menggunakan sistem ekzos baru 2-1 jenis titanium. Enjin baru ini juga lebih senyap berbanding R 1200 tetapi dengan adanya sistem Shiftcam, hantarannya cukup berkuasa tetapi lancar – adalah suatu yang sangat mengujakan ketika memacunya di dalam kesesakan lalu lintas. Tanpa sebarang sentapan pada mana-mana kelajuan, responnya yang cukup tepat membolehkan kita meluncur dengan pantas hanya pada putaran 2,000rpm.
Proses penukaran gear cukup lembut dan ini kerana GS baru dilengkapkan dengan slipper clutch jenis hidraulik manakala tuas klacnya yang lembut membuatkan motor tinggi lampai ini cukup sesuai untuk tunggangan urban – tidak menyebabkan tangan dan jari lenguh!
Memang setiap gear dapat dimasukkan dengan tepat dan lancar sekali. Tahap putaran enjin paling selesa ialah di antara 2,500rpm manakala tork tertinggi dicapai pada putaran 6,250rpm. Ini membolehkan kita mengekalkan gear keempat untuk jangka masa yang lama.
Selalunya kita akan menurunkan satu atau dua gear apabila berada di selekoh-selekoh tajam….kan? Dengan enjin baru kinilebih fleksibel, penunggang BMW ini tidak perlu lagi bermain banyak gear seperti mana model terdahulu. Ini juga sebabnya mengapa R 1250 GS baru lebih jimat bahan api. Bila kita terasa ingin melihat sifat garangnya, GS ini bersedia untuk 'rock & roll'. Dengan pembukaan diameter badan pendikit 52mm, BMW memecut ke hadapan cukup tangkas ditambah pula bunyinya yang benar-benar mantap. Apapun, bunyi ini masih menepati piawaian Euro 4.
Tanpa disangka, kelajuan cepat meningkat sehingga 160km/j pada putaran enjin sekitar 6,000rpm. Dalam kelajuan ini, GS terus dirasakan jentera pilihan yang boleh membawa kita dengan pantas dan selesa ke sebarang destinasi pilihan. Terima kasih buat counterbalancernya yang berjaya menghilangkan semua getaran yang biasa ditemui dengan model R 1150 GS yang pernah ditunggang lima belas tahun yang lalu. Apabila berada di laluan pergunungan dan desa, turunkan kelajuan kepada 130kmj atau pada putaran 4,300rpm. Benar, dalam kelajuan ini... pergerakan bukan sahaja lebih santai malah lebih selamat juga. Model ini didatangkan dengan dua mod tunggangan iaitu Rain dan Road ditambah dengan Hill Start Control. Sistem ini mengenalpasti bilakah kita berada di kawasan cerunan berdasarkan perkiraan Inertial Measurement Unit (IMU) yang kemudiannya akan mengawal cengkaman pada brek belakang.
Kemantapan prestasi Beemer ini juga disebabkan kecekapan sistem saspensi jenis Sachs manakala brek-brek yang dilengkapkan pada jentera ini juga semuanya bertindak dengan cemerlang. Ketangkasan BMW ini juga kerana ia dilengkapkandengan sepasang brek hadapan 305mm dan brek belakang 276mm yang kedua-duanya berserta ABS.
GS baru ini seberat 249kg (termasuk isian minyak 20 liter), mungkin ia sedikit lebih berat kerana enjin yang lebih besar termasuklah meter TFT baru, lampu utama LED dan LED running lights.
Memacunya di dalam laluan offroad masih tidak seseronok KTM 1090R Adventure tetapi kuasa hantaran GS garang, membolehkan setiap laluan sukar berjaya diatasi dengan mudah. Posisi berdiri ketika mengendalikannya juga rasa mudah, natural dan apabila menggunakan sistem elektronik 'Enduro Pro', kita rasa lebih yakin untuk mengatasi segala rintangan. GS versi HP dilengkapkan dengan tayar Metzeler Karoo jenis knobby yang sesuai untuk semua jenis cuaca, permukaan jalan dan mukabumi. Untuk kekal stabil, saya turut gembira dengan adanya sistem traction control, ABS dan sistem saspensi boleh laras.
GS versi biasa (jalanan) pula menggunakan rim jenis aluminium tetapi sayangnya tidak menggunakan tayar Metzeler – di luar jangkaan saya kerana kemantapan tayar Metzeler telah terbukti. Saspensi hadapan jenis telelever sesuai dengan cara dan gaya tunggangan saya. BMW baru ini ditawarkan dalam dua warna iaitu Blackstorm Metallic, Cosmic Blue Metallic dan ditawarkan pada harga €16,150 (Jerman) termasuk cukai 19%.
Walaupun masih belum dapat dipastikan bilakah model baru ini akan memasuki pasaran Malaysia, sudah pasti kehadirannya sangat ditunggu-tunggu terutamanya oleh para pencinta dunia pengembaraan motosikal. RR
Spesifikasi
Enjin | : sistem penyejuk cecair/udara, dua silinder boxer, sistem BMW Shiftcam |
Isipadu | : 1,254cc |
Gerek x Lejang | : 102.5 x 76mm |
Kuasa maksimum | : 136hp pada 7,750rpm |
Tork maksimum | : 143Nm pada 6,250rpm |
P x L | : 2,207 x952.5mm (termasuk cermin sisi) |
Tinggi pelana | : 850/870mm |
Berat | : 249kg |
Isi tangki | : 20 liter |
Laju maksimum | : lebih 200km/j |
Popular