Black Douglas Sterling Autocycle Jentera 'Lama' Yang Sangat Praktikal
Untuk menghasilkan sebuah jentera 'tua' yang boleh berfungsi dengan baik memang agak sukar ditambah pula dengan mengekalkan rupabentuk retronya. Bagi pencipta motosikal custom Benny Thomas, dia telah mencipta satu kejayaan cukup hebat dengan melahirkan sebuah jentera bergelar Sterling Autocycle yang dibuat khas untuk seorang ahli perniagaan Itali bernama Fabio Cardoni.
Black Douglas Motorcycle Co., dimiliki oleh Fabio, adalah sebuah syarikat pencipa jentera retro yang beroperasi kira-kira setengah jam perjalanan dari Milan, Itali. Di sana, pasukan Fabio sentiasa gigih untuk membuat replika jentera lama yang cantik dan unik bergelar 'quaint'. Walaupun quaint ini berbentuk lama, ia tetap cukup praktikal selepas Benny Thomas mampu menghasilkan sebuah jentera unik buatan tangan yang dilakukan dengan penuh karisma dan ilmu ketukangan era bygone (lama) - digabungkan bersama gaya tradisi jentera 1920an yang terkenal dengan tangki ratanya.
Namun begitu, jentera ini digerakkan oleh sebuah enjin Zongshen 230cc, empat silinder, lima gear dari China. Enjin ini bukan sahaja menjimatkan tetapi juga tahan lasak dan sangat sesuai untuk tunggangan di bandar. Untuk membuktikan keupayaan enjin ini, Fabio telah menunggang uji sebuah Sterling Autocycle sejauh 1,750 kilometer dari Milan ke Birmingham dalam masa dua setengah hari. Anda boleh layari https://www.youtube.com/watch?v=2igLNM2jkZg untuk melihat pengembaraan ini.
Fabio Cardoni, berumur 44 tahun merupakan seorang usahawan industri hortikultural yang cukup berjaya. Dia mempunyai 35 buah motosikal yang terdiri daripada model boneshaker ciptaan Benny Thomas menggunakan enjin Harley Davidson hinggalah jentera KTM 1290 Superduke dan MV Agusta 1078 Brutale. Dia juga memiliki beberapa jentera klasik dari Britain seperti Triumph 650 Bonneville, Triumph 750 Trident dan Norton Commando.
“Dengan pengalaman menunggang lebih daripada 30 tahun, saya perlu suatu impak baru supaya minat saya terhadap motosikal tidak padam. Saya menghubungi rakan saya, Benny Thomas untuk mencipta tiga buah motosikal dengan dua ciri-ciri penting iaitu berbentuk unik dan boleh membuat saya tersenyum bila ditunggang perlahan. Itu sahaja permintaan saya,” kata Fabio.
Apabila siap, memang cukup mengujakan kerana kedua-duanya amat berbeza. “Model pertama berbentuk sebuah Mark 1 Sterling yang asli. Tangkinya jenis rata dengan enjin tiruan Honda CG125 buatan Taiwan. Sayang sekali terdapat sedikit masalah pada beberapa bahagian walaupun ia seronok ditunggang,” tambah Fabio.
“Masih berbaki lagi dua buah motosikal! Satu daripadanya dibuat seperti sebuah jentera trailbike tahun '65 manakala yang satu lagi seperti sebuah jentera British 1930an. Kedua-duanya dilengkapkan dengan enjin buatan China. Apa yang menjadi masalah ialah saya tidak dapat menunggangnya di Itali dengan tenang kerana terlalu ramai yang bertanya di mana saya peroleh jentera-jentera ini. Jadi, sebagai seorang ahli perniagaan, saya ambil peluang untuk mengeluarkan motosikal yang unik ini kerana nampaknya ramai yang sudah jatuh hati.”
Syarikat ini dinamakan sempena seorang wira dari Scotland, Sir James Douglas yang juga dikenali dengan gelaran Black Douglas. Beliau adalah seorang pahlawan yang banyak berjasa untuk mendapatkan kemerdekaan Scotland. “Sebagai seorang pelajar sejarah, saya dapati nama Sir James Douglas ini hampir tidak pernah disebut oleh sesiapa pun. Bagi saya dia adalah seorang wira hebat dan seorang lelaki budiman,” kata Fabio. “Terima kasih kepada pelakon Mel Gibson dengan filemnya 'Braveheart' yang memaparkan kehebatan William Wallace tetapi bagi saya Black Douglas jauh lebih gagah dan perkasa. Saya guna namanya agar kedudukan kami lebih mudah dilihat apabila berada bersama nama hebat seperti Piaggio dan Honda.”
Fabio ketika itu perlu memilih model manakah yang boleh mula dihasilkan untuk penjualan, selepas mendapat respon dan pandangan daripada penunggang-penunggang motosikal, dia akhirnya membuat keputusan untuk mengeluarkan model yang dilengkapi dengan kerangka tegar dan tangki rata yang dinamakan Sterling Autocycle. Selepas itu, terdapat empat lagi varian protaip diperkenalkan dengan kerangka, enjin dan rekaan fork yang berbeza. Akhirnya dia memilih Mark 4.5 yang mempunyai kerangka yang sama dengan varian Mark tetapi mempunyai fork yang lebih tebal.
“Besi lebih cantik daripada plastik dan ia juga lebih menyerlah. Saya ingin menghasilkan sebuah motosikal buatan tangan di Itali yang menggunakan besi tulen tanpa plastik dan paling utama, ia sah dari segi undang-undang. Kami telah melakukan ujian hentaman walaupun dari segi homologasi, ia tidak perlu. Okay... ketika berlaku perlanggaran pada kelajuan sekitar 30km/j, fork hadapan bengkok lalu patah. Kami membuat keputusan untuk menggantikannya dengan sesuatu yang lebih keras dan tebal.”
Pada bulan Mac 2015, Sterling Autocycle dengan enjin sejukan udara yang sudah lengkap dengan sistem ekzos catalyst sudah menepati piawaian Euro 3 yang diiktiraf oleh TuV di Jerman. Ini bermakna, ia telah lulus untuk dibawa ke jalan biasa. Kesanggupan syarikat ini menempuhi risiko tinggi dengan ujian piawaian telah memberikan hasil yang sangat hebat. Jenteranya kini boleh dimiliki oleh sesiapa sahaja.
Model 125cc ditawarkan pada harga Euro 8,550 dan Euro 9,200 untuk model 230cc. Kedua-dua model ini didatangkan dengan waranti selama dua tahun dan sehingga kini, sebanyak 15 unit telah berjaya dibuat dan dijual. Fabio menyasarkan jumlah penjualan sebanyak 100 unit pada tahun pertama pengenalannya. “Sasaran itu agak mudah untuk dicapai,” katanya.
“Tidak akan ada dua jentera yang sama kerana proses custom atau pengubahsuaiannya sangat luas. Salah satunya ialah untuk memilih warna yang terdiri daripada 51,000 jenis warna berbeza, tiga jenis pilihan lampu utama berbeza, lapan jenis penutup petrol, lapan jenis warna kemasan kulit dan saiz tayar-tayar yang berbeza. Kami membuat setiap unit dengan tangan dan ditawarkan pada harga yang cukup menarik,” kata Fabio.
Rancangan seterusnya ialah memperkenalkan model Sterling Imperial yang bersesaran 400cc. Model ini bakal dilengkapkan dengan saspensi, brek dan tayar yang telah dipertingkatkan. Ia bakal dijual pada dua harga berbeza iaitu Euro 12,000 untuk model solo dan Euro 15,000 untuk model lengkap dengan sidecar yang boleh membawa penumpang.
Pada mulanya Fabio beranggapan para pelanggan mereka terdiri daripada yang sudah berumur tetapi maklum balas yang diterima agak mengujakan apabila salah satu pesanan itu datangnya daripada seorang penunggang yang baru berumur 17 tahun. Sterling Autocycle juga menjadi pilihan mereka yang suka mengumpul jentera-jentera lama seperti salah seorang pelanggan dari Rusia yang mempunyai simpanan motosikal yang cukup banyak.
Selepas memiliki jentera ini, pelanggan dari Rusia itu terus menghiasi mesinnya itu dengan kesemua aksesori yang terdapat di dalam katalog. Ini termasuklah enjin baru 230cc, lampu Bosch lama, rak barangan dan hon klaxon. Saya mendapat peluang untuk menguji jentera ini di jalanan Worcestershire, mengelilingi ibu pejabat Boneshaker. Walaupun begitu, sesi tunggang uji ini terpaksa ditunda selama lima bulan selepas pihak berkuasa British membuat keputusan untuk mengadakan pemeriksaan dengan lebih teliti.
Sterling ini dikuasakan oleh enjin replika Honda CG satu silinder, empat lejang yang berisipadu 229cc yang telah mendapat lesen kebenaran daripada Honda. “Walaupun pada mulanya saya bersikap ragu-ragu dengan enjin ini tetapi selepas mengujinya, saya agak terkejut dengan kualiti dan ketangkasannya. Ia dibuat menyamai tahap kualiti produk keluaran Jepun, kos penyelenggaraan rendah dan cukup berkuasa. Kelajuan maksima yang berjaya dicatatkan ialah sekitar 117km/j ketika menunggang di Perancis dan kelajuan ini dipastikan oleh van bantuan yang berada di belakang,” komen Fabio.
Saiz gerek dan lejang jentera ini ialah 67 x 65mm untuk sebuah enjin berkapasiti 229cc yang menawarkan kuasa maksimum 14.1bhp pada 6,000rpm dan tork maksimum 18.3Nm pada 4,500rpm. Ia hanya seberat 98 kg, dilengkapi dengan penghidup jenis tendang dan elektrik. Antara sebab utama menjadikan ia ringan ialah enjinnya jenis penyejuk udara, tidak memerlukan radiator yang berat. CDI ciptaan Zongshen menawarkan pembakaran yang tepat dan kotak gear lima kelajuan juga sangat lancar. Kita dapat menambah dan menurunkan gear dengan pantas dan cepat!
Seperti model-model retro lain, Sterling Autocycle tampak mantap dengan kerangka jenis keluli yang tegar dan padu. Paling menyeronokkan ialah jentera ini bukan sahaja nampak klasik tetapi ia cukup mudah dikendalikan. Untuk menghidupkannya, capai kunci utama yang terletak di belakang kaki kiri anda kemudian tolak ke atas suis on/off yang terletak di bar hendal sebelah kanan dan barulah kita menekan suis penghidupnya. Dalam kelajuan normal, bar hendal langsung tidak bergegar dengan teruk tetapi penunggang perlu pandai bermain pendikit untuk mengelak gangguan dari segi hantaran kuasanya.
Pelana setinggi 860mm yang agak tinggi buat penunggang biasa tetapi jangan risau, pelananya benar-benar selesa. Penyerap hentak model ini telah dibuat sebaik-baiknya untuk memberi keselesaan dan didatangkan dalam dua jenis yang berbeza iaitu untuk penunggang bawah 75kg dan untuk yang lebih berat. Saya tidak menyangka ia cukup selesa sehinggalah memacunya untuk beberapa lama. Fork jenis galang ini dihasil dengan menggunakan aluminium 7075 yang dapat kita lihat dengan jelas pergerakannya ke atas dan ke bawah.
Kedudukan penunggang agak tegak dengan posisi lengan yang lurus, gaya gentleman kata Fabio. Betul... posisi ini membantu kita untuk melihat keadaan trafik di hadapan dengan jelas sekali. Untuk memberikan yang terbaik buat pemiliknya, Sterling ini dilengkapi dengan lampu isyarat dan panel meter yang berbentuk retro.
Bagaimana pula untuk menarik minat para eksekutif yang sudah biasa dengan briefcase mereka? Boleh ke jentera ini 'menewaskan' Ducati Monster? Jawapannya... boleh, tidak ada masalah. “Kami telah menukar kotak barang asal dengan saiz lebih besar yang mampu menyimpan komputer riba. Bar hendal agak tinggi manakala tayar-tayarnya yang kurus ini menjadikan pengendalian motosikal ini lebih mirip dengan gaya menunggang basikal – cukup mudah walaupun ketika berada di selekoh-selekoh tajam atau di ruang yang agak sempit. Memang seronok, macam zaman dulu-dulu.
Walaupun kecil, brek-brek jenis gelendong yang dipasang pada Sterling Autocycle ini cukup efektif lebih-lebih lagi brek belakang. Pujian ini bukan cakap kosong semata-mata tetapi ia adalah hasil pengalaman bersama sebuah kereta Jaguar. Pemandu itu mungkin sudah terlambat ke temujanji lalu melintas di hadapan saya dengan tiba-tiba. Nasib baik!
Tangkinya yang rata ini memang tidak boleh dikepit langsung – agak menakutkan pada minit-minit terawal menunggangnya. Lama-kelamaan barulah kita dapat menyesuaikan diri. Memang tak boleh tergesa-gesa apabila bersama Sterling Autocycle, barulah kita dapat mendengar bunyi 'nyanyian' dari sistem ekzos kedengaran dengan tenang. Sememangnya setiap destinasi yang dilawati mengingatkan kita pada waktu-waktu dahulu yang terutamanya dapat dijiwai di laluan luar bandar yang dipenuhi dengan kawasan bunga.
Kini jentera ini sudah dapat dilihat di ruang pameran Black Douglas yang berada di UK dan Itali manakala cawangan-cawangan di Jerman, Switzerland dan Austria akan dibuka tidak lama lagi. Menurut Fabio, pihaknya kini sedang berunding dengan beberapa negara lain seperti Australia, Jepun, USA dan Amerika Utara.
“Kami masih tidak dapat membuat sebuah motosikal yang dapat memenuhi regulasi pihak berkuasa Amerika sebaliknya kami hanya dapat menjual aksesori Sterling sahaja di sana. Pihak kami sedang berusaha untuk menghasilkan sebuah model terbaru berasaskan enjin v-kembar milik Harley-Davidson. Model prototaip rekaan Benny Thomas sudah siap dan ia adalah sebuah street-scrambler yang diberi nama Sunday Morning manakala sebuah lagi unit prototaip berbentuk mesin bobber 1940an. Kita tunggu adakah kedua-duanya akan dilancarkan kelak. RR
Laporan: Alan Cathcart
Kredit Foto: Kyoichi Nakamura
Spesifikasi
Enjin | : empat lejang, silinder tunggal, sistem penyejuk udara |
Isipadu | : 229cc |
Gerek x Lejang | : 67 x 65mm |
Kuasa maksimum | : 14.1hp pada 6,000rpm |
Tork maksimum | : 18.3Nm pada 4,500rpm |
Nisbah mampatan | : 8.7:1 |
Kotak gear | : 5 kelajuan |
Isi tangki | : 9 liter |
Berat | : 98kg |
Laju maksimum | : 117km/j |
Popular