Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 2 Februari 2016

Honda Wave Alpha 110 Lancar & Selesa

Kecekapan kuasa hantaran, kelancaran sistem transmisi dan jimat petrol adalah kekuatan utama jentera-jentera Honda terus ‘terbang ‘tinggi di seluruh dunia. Dengan berdekad-dekad lamanya berada di pasaran Malaysia, Boon Siew Honda sentiasa berusaha untuk memberikan produk-produk terbaik yang mampu dimiliki dan dinikmati oleh para pengguna. Dengan tujuan itu, maka lahirkan jentera serba baru ini yang diberi nama Wave Alpha.

Wave Alpha diperkenalkan dengan memberi tumpuan agar jentera ini mampu 'berkhidmat' dengan cemerlang kepada masyarakat negara yang kini amat memerlukan sebuah mesin yang tahan lasak, jimat dan mampu milik. Secara keseluruhannya rupabentuk Alpha ini ringkas dan menarik. Walaupun rekaan lampu isyaratnya mendapat kritikan daripada sesetengah pihak tetapi hakikatnya ia dihasilkan mengikut piawaian keselamatan UNECE (The United Nation Economic Commission for Europe) yang ditetapkan oleh mereka yang pakar dalam pembikinan kenderaan. Terbukti, ketika ianya berfungsi, Alpha ini lebih mudah dilihat dari hadapan walaupun ketika cuaca panas di tengahari.

Ruang yang cukup luas di antara lutut dan bar hendal memudahkan penunggang untuk memacunya dengan selesa termasuklah bagi mereka yang berkaki panjang. Para penunggang akan dapat membuat belokan atau membuat pusingan 'U' dengan pantas sekali. Dengan berat yang kurang daripada 100kg, Wave Alpha amat mudah untuk digerakkan tidak kira lelaki atau pemilik wanita. Sebaik sahaja melabuhkan punggung, kami sedikit kecewa kerana pelana Alpha ini agak keras berbanding model-model lain keluaran Honda seperti Future dan Dash. Genggam bar hendal, adjust kedudukan dan hidupkan enjin dengan menggunakan sistem penghidup jenis elektrik. Untuk rakan-rakan yang ingin meningkatkan jangka hayat bateri, guna penghidup tendang!

“Bunyi enjin sebegini memang sedap betul didengar!” Ya... kami saling bersetuju dengan kelancaran betapa senyapnya enjin 109.1cc ini berputar. Seperti yang dikatakan oleh CEO Boon Siew Honda, En. Koji Onishi ketika melancarkan jentera ini, Wave Alpha menjanjikan kepantasan dan kelancaran kuasa pecutan. Terima kasih kerana mengotakan janji itu dengan menawarkan kuasa maksimum 6.20kW pada 7,500rpm dan tork 8.59Nm pada 5,500rpm. Walaupun berada dalam gear kedua, kita dapat memecut hampir 30km/j dan kekuatan tork ini terus cemerlang walaupun ketika menunggang berdua!

Panel meter model ini memang best... ringkas sahaja. Info-info penting seperti tahap kelajuan, posisi gear, tahap bahan api dan lampu-lampu penunjuk disusun dengan kemas dan paling penting... ia amat mudah untuk dilihat. Begitulah cara terbaik untuk menghasilkan meter... tidak kiralah digital atau secanggih mana sekalipun, biar mudah dibaca!

Satu persatu gear ditambah sehingga mencapai kelajuan tertinggi iaitu sekitar 120km/j. Namun begitu kelajuan paling ideal untuk model moped yang berkuasa 115cc dan ke bawah termasuklah Wave Alpha ialah sekitar 80-90km/j. Terlalu ramai para penunggang yang merentap enjin motosikal masing-masing melebihi hadnya. Kadar maksima putaran enjin amat mudah untuk kita sedari iaitu dengan kenyaringan sistem ekzos serta bunyi enjin yang bagaikan sedang mengerang. Jika keadaan ini berlaku setiap hari maka bersedialah mengeluarkan helaian-helaian wang di dalam poket. Menungganglah dengan bijak!

Jentera moped sebegini ternyata amat praktikal terutamanya bagi mereka yang bertugas dan belajar di dalam bandar-bandar besar. Setuju? Sudah tentu... majoriti daripada pemilik motosikal bukan sahaja di Malaysia tetapi di negara-negara jiran adalah di kalangan pengguna moped. Selain amat mudah dikendalikan, kos penyelenggaraan yang rendah adalah faktor utama mengapa permintaan terhadap model ini terus meningkat.

Wave Alpha ternyata mempunyai tubuh badan ramping yang memudahkan kita untuk bergerak lancar di dalam kesesakan ibukota. Kuasa tolakan jentera ini memang menyerlah dan prestasi seperti ini amat diperlukan terutamanya ketika memintas kenderaan lain atau pun apabila cuba 'lari' daripada lori dan bas yang kini semakin berani memecut laju. Oh ya... untuk memudahkan pemiliknya menyim-pan barangan peribadi, Wave Alpha ini dilengkapi dengan ruang simpanan barangan bersaiz sederhana tetapi alang-kah baiknya jika ruang ini dapat dibesarkan lagi.

Dari lebuhraya, kami masuk ke bandar pesat dan selepas itu terus memulas pendikit ke kawasan luar bandar yang kadangkala terdapat selekoh-selekoh menarik. Walaupun ia bukan model CBR1000RR atau Africa Twin, ia masih boleh memberi kepuasan disebabkan Alpha ini dilengkapkan dengan sistem saspensi hadapan jenis teleskopik dan penyerap hentak berspring di belakang yang berfungsi dengan cukup baik. Lebih mengagumkan ialah kecemerlangannya ini turut dapat dirasakan ketika menunggang berdua.

Jentera Honda memang mudah dilihat walau sejauh mana kita berada di kawasan luar bandar. Ini kerana kepercayaan masyarakat pada jenama ini sudah cukup tebal sejak turun temurun. Mesin-mesin moped Honda ternyata sangat berguna dan layak juga diangkat menjadi mesin dual purpose kerana bukan sahaja digunakan sebagai alat pengangkutan peribadi tetapi juga untuk urusan perniagaan dan penghantaran maklumat. Wave Alpha ini terus mantap ketika melalui perbagai jenis perjalanan dan muka bumi. Dengan ketinggian bar hendal yang sesuai, kita dapat menunggang dengan selesa, bahagian bahu dan lengan tidak cepat lenguh walaupun selepas 150 kilometer perjalanan.

Apabila menunggang untuk jarak perjalanan yang agak jauh, kita lebih terdedah kepada perubahan cuaca yang kadangkala menguji kemampuan penunggang dan mesinnya. Wave Alpha didatangkan dengan sistem brek hadapan jenis cakera dan gelendong yang baik dan ini terbukti apabila kami dapat memperlahankan kelajuan dengan cepat dan selamat walaupun dalam keadaan jalan basah dan licin. Dengan langit yang semakin gelap, suluhan lampu-lampu yang dilengkapkan pada Wave Alpha ini memberikan keyakinan untuk para pemiliknya meneruskan perjalanan. Kelipan lampu-lampu isyarat depan dan belakang yang terang dan jelas dilihat oleh pemandu di laluan bertentangan membolehkan kita memasuki suatu simpang itu dengan selamat.

Untuk sentiasa berada di jalanan dengan yakin, Wave Alpha telah dilengkapkan dengan tayar-tayar bersaiz 70/90-17MC (hadapan) dan 80/90-17MC (belakang) yang menggigit permukaan jalan dengan cemerlang sekali. Walaupun bukanlah mesin ini untuk kita 'leper'kan seperti jentera sport tetapi sifat nakal itu kadang kalanya muncul juga. Wave Alpha berupaya kekal di laluannya dengan baik ketika kami berada di jalan-jalan berselekoh. Boleh tahan...

Sedar-sedar perjalanan sudah sejauh 120 kilometer dengan isian penuh tangki 3.7 liter. Bagus! Dengan bermodalkan sekitar RM15 sahaja, kita mampu mengembara dari Kuala Lumpur ke Kuala Kangsar. Cukup jimat dan ekonomikal. Sebagai seorang penunggang motosikal, inilah yang kita harapkan daripada sebuah pengeluar motosikal yang sangat berpengalaman dalam bidangnya. Honda ternyata berjaya menghasilkan sebuah model yang mampu milik disamping mempunyai spesifikasi yang mengagumkan dengan harga di antara RM4,132 (brek gelendong dan rim berjejari) dan RM4,556 (brek cakera dan sportrim. RR

Isu Pada

Februari 2016

Spesifikasi

Enjin: empat lejang, SOHC, sistem penyejuk udara
Isipadu: 109.1cc
Gerek x Lejang: 50.5 x 55.6mm
Nisbah mampatan: 9.0:1
Penghidup: elektrik dan tendang
Kuasa maksimu: 6.20kW pada 7,500rpm
Tork maksimum: 8.59Nm pada 5,500rpm
Saspensi: fork teleskopik (depan) & lengan ayun berspring (belakang)
Tayar: 70/90-17 M/C (depan) & 80/90-17 M/C (belakang)
P x L x T: 1,937 x 708 x 1,086mm

Popular

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

  • Warta Roda

    Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Penunggang Motosikal Antara Yang Maut Dalam Nahas Tiga Kenderaan

Penunggang motosikal maut dalam nahas melibatkan tiga buah kenderaan.

Model Baru

Moto Morini Calibro 700 Masuki Pasaran Negara. Harga bermula RM35,888

Mforce Bike Holding selaku pengedar rasmi jenama Moto Morini di Malaysia dengan bangganya melancarkan model ketiga hari ini iaitu Calibro 700.

Warta Roda

RXZ Twin Boss V2 Oleh FNG Works Akan Dipamerkan di Yokohama Hot Rod Custom Show 2024 di Jepun!

RXZ Twin Boss V2 yang menang di AOS2024 dalam pertandingan Art Of Speed Invitational Bike Build Off akan dipamerkan di Yokohama Hot Rod Custom Show 2024.

Yamaha R9 - Generasi Terbaru Supersport

Untuk tahun 2025, Yamaha memperkenalkan model Supersport terbaru, R9 yang menawarkan prestasi cukup mantap dan teknologi canggih Siri R. Model ini direka berasaskan jentera perlumbaan sebenar.