MV Agusta Brutale Dragster 800 RR & F3 800 Nadinya Sama, Karaktor Berbeza!
MV Agusta antara pengeluar motosikal yang terkenal dengan keberanian untuk menempuhi segala cabaran dalam penghasilan jentera-jentera baru yang cantik, terkini dan lain daripada yang lain. Jika dahulunya kita bagaikan terpukau apabila melihat model F4 1000 yang dilengkapi dengan sistem ekzos empat corong yang terletak di bawah pelana pastinya kehadiran Rivale dan kemudiannya Brutale Dragster baru-baru ini meletakkan nama MV Agusta di kelasnya yang tersendiri. Apabila kita berkata mengenai prestasi enjin pula, pastinya keupayaan MV Agusta F3 675 menarik minat ramai. Lihat sahaja keupayaannya dalam World Supersport sejak melakukan 'come back' pada musim 2014 lalu, hebat!!!
Menjadi kebanggaan MV Agusta bahawa mereka adalah satu-satunya jenama yang menawarkan jentera berkuasa 800cc hampir untuk semua segmen. F3 800 (sport), Brutale 800 dan Brutale Dragster 800 (jalanan) dan Grand Turismo (Dual Purpose). Hebat bukan! Terima kasih buat Chear Motor Sdn Bhd selaku pengedar rasmi MV Agusta di Malaysia atas kesudian menawarkan dua buah jentera 800cc iaitu F3 dan Dragster RR kepada kami untuk diuji.
Sebaik sahaja tiba di perkarangan ibu pejabat Chear Motor di Klang, dua buah jentera hebat telah tersedia untuk dibawa 'lari'. Benar... kedua-dua jentera buatan Itali ini sangat cantik dan kemas tetapi mata kami semua lebih tertumpu pada Brutale Dragster 800RR yang unik, anggun dan garang. Dari segi rekabentuk, kemenangan berpihak kepada Dragster RR ini.
Tarikan utama Dragster 800RR ini datangnya hampir dari semua arah. Gabungan warna merah, putih, kelabu dan hitam menyerlahkan lagi rupanya. Lampu utama model ini ringkas tetapi suluhannya yang jelas menarik perhatian sesiapa sahaja yang berada di hadapan. Cermin sisinya boleh ditarik untuk lebih panjang – sangat berguna ketika berada di lebuhraya tetapi apabila menunggang di dalam kesesakan, ia agak mengganggu. Rim hadapan dan belakang yang berwarna putih dengan pemegang jejari berwarna merah juga menambah keanggunan jentera ini.
Melihat akan rekabentuknya, kita akan mengagumi kesanggupan syarikat ini membuat pelaburan tinggi untuk mendapatkan kepakaran dan pasukan yang terbaik khususnya dalam bahagian rekacipta dan kejuruteraan.
Kerja keras dan dedikasi mereka akhirnya memberikan hasil yang sangat hebat... dan kami dikira amat bertuah kerana dapat berada dan memegang jentera seunik ini.
Tiga corong ekzos yang berada di sisi kanan pula memberi gambaran awal betapa garang Dragster RR ini. Keunikan bahagian belakang tidak perlu dipertikaikan lagi. Lampu-lampunya sahaja sudah cukup menggiurkan! Pandangan mata turut tertarik pada posisi dan saiz tayar belakang yang mantap dan unik. Sesuai dengan namanya... sekali pandang memang nampak seperti sebuah jentera drag yang diubahsuai menjadi sangat cantik.
Model F3 800 pula tidak jauh bezanya jika kita bandingkan dengan F3 675. Ia ramping dan cukup sporty! Lampu hadapan berbentuk berlian yang terkenal itu merupakan identiti jentera sport MV Agusta yang dikekalkan dari dahulu hinggalah pada model 800cc ini. Lampu belakang kecil molek tetapi terang dan seperti model Dragster, sistem ekzos tiga corongnya dan lengan ayun tunggal aluminium adalah penyumbang penting agar bahagian sisi tampak garang.
Posisi menunggang sememangnya lebih kurang sama dengan jentera-jentera sport lain – radikal, sesuai untuk memecut.
Walaupun nampak tinggi, pelana F3 800 (805mm) 6mm lebih rendah berbanding Dragster RR. Bagi mereka yang suka jalanan selekoh pastinya akan tersenyum apabila mendapati jentera ini lengkap dengan fork hadapan jenis Marzocchi 43mm dan penyerap hentak Sachs di bahagian belakang. Kerangkanya jenis trellis yang dihasil dengan menggunakan keluli tiub ALS (al-covered stainless steel tube) berwarna merah turut memantapkan rupabentuk jentera ini.
Bentuk panel meter F3 dan Dragster RR seiras tetapi dibezakan dari segi susun atur informasi dan lampu latar belakang di paparan digital. Kedua-dua panel meter ini memaparkan tahap kelajuan, putaran rpm, jarak perjalanan, mod tunggangan, sistem traction control (TC), lap time, masa, posisi gear, sistem quick shifter dan Rear-Wheel Lift Mitigation (RLM). Apa yang mengagumkan ialah paparan digital ini cukup mudah untuk kita lihat tidak kira siang atau pun malam.
PRESTASI
Untuk menghidupkan enjin F3 800 dan Dragster RR ini, kita perlu menarik klac terlebih dahulu. Sebaik sahaja enjin dihidupkan, kedua-dua enjin tiga silinder ini mengeluarkan bunyi yang cukup garang dan menggiurkan walaupun masih dalam keadaan melahu. Kelancaran enjin kedua-dua model ini membuatkan kita tidak sabar lagi memilih destinasi mana harus ditujui. Ah... bunyi memasuki gear pertama yang senyap dan lembut memang mengujakan. Walaupun bersesaran 798cc, ternyata talaan kuasa untuk F3 800 dan Dragster RR dibuat agak berbeza walaupun ia tidaklah begitu ketara.
Sebagai jentera sport, F3 800 menawarkan kuasa setinggi 108.8kW (148hp) pada 13,000rpm dan tork 88Nm pada 10,600rpm. Untuk disesuaikan dengan tahap dan pengalaman menunggang, model ini dilengkapi sistem ride by wire dengan empat jenis mod tunggangan iaitu Normal (N), Sport (S), Rain (R) dan Custom (C). Cara untuk membuat dan mengubah talaan mod ini juga mudah, kita hanya perlu menekan suis khas yang terletak di bar hendal sebelah kanan.
Tekan beberapa saat untuk melihat info/mod yang dipaparkan. Buat pilihan dengan menekan suis atas/bawah di bar hendal sebelah kiri pula. Selepas berjaya membuat pilihan yang dikehendaki, biarkan sahaja dan ia akan disetkan secara automatik. Kami memulakan dengan menggunakan mod 'S' yang membebaskan kuasa enjin sepenuhnya.
Bagi mereka yang sudah biasa mengendalikan jentera-jentera ini atau mereka yang gemar ke litar, mod C mungkin menjadi pilihan agar mampu mengubah parameter tunggangan seperti respon enjin, tahap putaran maksima rpm, kuasa tolakan, tahap kawalan pendikit, brek enjin yang sesuai dengan gaya dan corak tunggangan. Model-model ini (F3 dan Dragster RR) turut bergaya dengan adanya sistem TC lapan tahap.
Dengan kuasa tork cukup tinggi dan hantaran kuasa yang luas, kita dapat berada di dalam suatu gear lebih lama berbanding model F3 675. Jika F3 675 mempunyai sifat kuasa yang hadir bagaikan seekor pemangsa yang sedang menerkam, F3 800 ini lebih lancar dan mudah dikawal. Dalam kedudukan gear kedua dan ketiga, kita sudah mampu menarik jentera seberat 173 kg ini hampir mencapai 200km/j – dengan mudah sekali! Posisi menunggangnya yang sempurna buat mesin sport membolehkan kita meningkatkan kuasanya tanpa sebarang gangguan.
MV ini cukup pantas ke hadapan apabila kita merentap kuasanya pada 7,000rpm dan ke atas. Untuk menawarkan kuasa-kuasa tanpa batas ini, F3 800 mempunyai kepala silinder yang sama seperti model 675 dengan injap jenis titanium yang sentiasa bergerak dengan tepat dan sangat lancar. Dengan adanya bantuan sistem quickshifter, penunggang tidak perlu lagi menggunakan klac sebaliknya menggengam erat bar hendal agar 'kuda' ini tidak terlepas. Cuma penukaran gear-gear ini tidak begitu lembut dan lancar – sedikit mengecewakan terutamanya apabila cuba mendapatkan putaran rpm tertinggi di setiap gear. Dalam gear tertinggi, F3 800 ini mampu dilarikan hampir 290km/j dan percayalah, pendikit belum lagi dipulas sehabisnya! Apa yang sangat mengagumkan ialah ketegapan casis ini 'mendukung' enjin dan penunggangnya dengan cemerlang sekali. Kami tetap selesa menyorok di belakang cermin pengadang udara di hadapan.
Melihat kepantasan pencabarnya berlari Dragster RR pula dipulas hebat! Jentera naked ini mempunyai enjin berkuasa 103kW (140hp) pada 13,100rpm dan tork 86Nm pada 10,100rpm yang terbukti cukup berkuasa. Seperti F3 800, jentera ini juga dilengkapi dengan mod tunggangan S, N, R dan C. Jika memecut dari keadaan melahu, Dragster lebih pantas berbanding F3 800! Antara faktor utamanya ialah ia lebih ringan (168kg) dan sistem quickshifternya berfungsi dengan sempurna. Setiap gear dapat kita naikkan begitu mudah sekali – perfect! Cuma... ketiadaan fairing hadapan menyukarkan kita mengekalkan tempo pecutan apabila kelajuan mula melepasi 180km/j.
Tamparan angin begitu kuat dan ketika inilah F3 800 dengan selamber sahaja membuat pintasan. Walaupun cuba bersaing, amat sukar untuk penunggang Dragster ini memecut lebih daripada 230km/j dan seperti mana-mana model naked atau jalanan lain, Dragster ini bukanlah dihasilkan untuk mencari kelajuan tertinggi dan inilah yang sewajarnya. Kelajuan paling ideal dan selesa menyusuri lebuhraya ialah sekitar 130-140km/j.
Walaupun nampak radikal, sudut menunggang Dragster ini cukup selesa sekali biarpun buat penunggang yang tinggi lampai. Bahagian bahu, pinggang, lengan dan tapak tangan langsung tiada tekanan yang kurang selesa – terima kasih MV Agusta. Selepas beberapa minit menunggang di dalam bandar, kami menukar mod tunggangan kepada 'N' kerana ia lebih lembut dan lancar. Walaupun kedua-dua MV ini langsing... tidak gemuk... Dragster lebih selesa ditunggang dengan perlahan berbanding F3 dan untuk lebih mudah menyelit di dalam bandar, tarik semula cermin sisi kepada kedudukan asal.
Apa yang mengagumkan ialah sistem penyejuk jentera ini berfungsi dengan baik sekali walaupun ada ketikanya kami terpaksa menunggang sekitar 5-10km/j sahaja. Sistem ekzos tiga corong juga tidak mengeluarkan haba panas yang mengganggu tunggangan. Seringkali penunggang dan pembonceng jentera berkuasa tinggi tidak begitu selesa malah ada yang menolak terus pelawaan untuk menunggang di tengah-tengah bandar atas beberapa masalah seperti haba panas dan kesukaran bergerak. Ini tidak berlaku pada kami yang menunggang F3 dan Dragster... Sebaik sahaja ruang terbuka, pendikit diperah untuk terus ke hadapan.
Perbezaan karaktor dan prestasi amat jelas ketika kedua-dua jentera ini ditunggang di lebuhraya tetapi apabila berada di jalanan berselekoh, kita dapat rasakan persamaan yang cukup membanggakan. Ayuh kita lihat bagaimana F3 dan Dragster ini bertindak balas dengan jalan-jalan berselekoh.
Posisi menunggang sudah pasti berbeza tetapi itu tidak menjadi masalah jika kita tahu cara mengendalikannya. Kedua-dua MV Agusta ini dilengkapkan dengan fork hadapan hidraulik Marzocchi jenis terbalik berdiameter 43mm yang menyerap segala tekanan dan hentakan dengan cemerlang sekali. Kami cuba menggunakan sepasang brek hadapan 320mm dengan keras untuk mencabar keberkesanan sistem penyerap hentak F3 dan Dragster ini dan keputusannya ternyata memberikan senyuman yang hampir berkekalan. Tiada langsung terasa bahagian hadapan seperti ingin membuang atau bergoyang, ia terus kekal di atas jalan dengan sempurna sekali.
Bagi mereka yang berbadan besar, jangan khuatiri prestasi MV-MV ini kerana penyerap hentak tunggal Sachs yang dilengkapi pada F3 dan Dragster ini membuatkan kita dan jentera ini kekal berada di laluan yang dipilih dengan selamat. Apabila melihat akan sistem elektronik, saspensi dan kejituan casis trellisnya, agak menyedihkan apabila melihat kemalangan atas kecuaian penunggang masih banyak berlaku. Beginilah...tidak kiralah jentera apa yang kita tunggangi, jangan terlalu letakkan 100% tunggangan kita pada teknologi sebaliknya kena selalu meningkatkan tahap kemahiran dengan bertanya pada orang-orang 'lama', kenali jalan itu sebelum 'meleper', pilih rakan-rakan menunggang yang baik dan jangan terlalu teruja.
Keterujaan menikmati F3 di jalanan berselekoh datangnya daripada sifat lincah yang diwarisi daripada jentera WSBK Supersport F3 675 yang beberapa kali menaiki podium musim lalu. Hasil daripada rekabentuk yang kompak ini memberi keyakinan buat kita untuk merebahkan sahaja tubuh badannya sedalam mana sekali pun – macam auto pilot, nampak sahaja selekoh, ia menjunam dengan yakinnya. Tayar-tayar Pirelli Diablo Rosso bersaiz 120/70-ZR 17MC (depan) dan 180/55-ZR 17MC (belakang) menggigit permukaan jalan dengan cemerlang sekali.
Kekuatan tork yang dimilikinya membenarkan kita berada di posisi gear ketiga walaupun di selekoh tajam tanpa sentapan pada sistem gear berbanding model 675cc yang memerlukan kita menurunkan satu lagi kedudukan gear untuk situasi yang sama.Pulaslah pendikit ini segarang-garangnya sambil menikmati bunyi garau enjin silinder yang amat memuaskan.
Dragster RR apa kurangnya. Dengan adanya aksesori steering damper CRC, bahagian hadapan terus tegap sewaktu kita menarik ke dalam selekoh yang membolehkan pergerakan lancar dan selamat. Untuk keselesaan dan keyakinan kita ketika menurunkan gear, MV telah melengkapkan jentera ini dengan sistem slipper clutch yang membantu agar roda belakang tidak terkunci sewaktu menurunkan gear dengan pantas.
Seperti F3 800, prestasi unggul model naked ini turut disumbangkan oleh kecekapan tayar Pirelli Diablo Rosso yang bersaiz 120/70-ZR 17 MC (depan dan bersaiz 200/50-ZR 17MC di bahagian belakang. Walaupun baru sahaja bersama jentera ini, pengendaliannya tidak pernah memberikan rasa kurang senang membuatkan Dragster ini sentiasa ingin terus ditunggangi. Anggun + mudah tunggangan + enjin berprestasi tinggi = nikmat tak terhingga. Dari segi pengendaliannya, kami rasa Dragster ini memberikan tindak balas yang lebih konsisten berbanding F3 yang mempunyai sedikit kelemahan di sistem transmisi.
Saiz tangki untuk kedua-dua model ini hanya dibezakan dengan 0.1 liter sahaja, F3 800 (16.5 liter) manakala Dragster RR (16.6 liter). Namun begitu, penggunaan bahan api jentera sport dirasakan tinggi sedikit berbanding model naked. Untuk satu tangki penuh model F3 800, kita dapat bergerak kira-kira 170 kilometer begitu juga Dragster yang dicatatkan pada jarak yang lebih kurang sama. (Nota: penggunaan bahan api ini juga bergantung kepada beberapa perkara seperti saiz penunggang, gaya tunggangan, mod pilihan dan jenis lokasi yang dilawati.)
Sememangnya MV Agusta telah berjaya memberikan jentera 800cc yang berprestasi seperti motosikal sport 1000cc! Sifat dan karaktor enjin tiga silinder ini terbukti amat berbeza jika kita bandingkan dengan jentera-jentera empat silinder. Hantaran kuasa dan bunyinya lebih garang, manakala penggunaan gear juga sedikit berbeza. Ternyata pasaran jentera sebegini semakin hari semakin positif dan tahniah diucapkan buat Chear Motor kerana sentiasa mengadakan pelbagai aktiviti untuk memperkenalkan jentera hebat ini kepada para pengguna motosikal di Malaysia.
F3 800 pastinya menjadi pilihan mereka yang cintakan kelajuan tinggi, rekabentuk sporty dan teknologi moden untuk sebuah jentera dua roda. Model ini didatangkan dengan tiga pilihan warna iaitu Pearl Ice White/Matt Avio Grey, Red/Ago Silver dan Matt Metallic Senna Black yang ditawarkan pada harga atas jalan (termasuk GST) RM102,044 dan RM106,397 (ABS). Bagi anda yang ingin kelihatan anggun bergaya disamping menawarkan prestasi yang mengagumkan, Dragster RR adalah pilihannya! Model ini ditawarkan pada harga atas jalan (termasuk GST) RM120,550 dengan dua pilihan warna iaitu Pearl Shock Red/Pearl Ice White dan Pearl Red/Carbon Metallic Black. RR
Spesifikasi
Enjin | : tiga silinder, empat lejang, 12 injap DOHC, sistem penyejuk cecair & minyak |
Isipadu | : 798cc |
Gerek x Lejang | : 79mm x 54.3mm |
Kuasa maksimum | : 148hp pada 13,000rpm (F3 800) & 140hp pada 13,100rpm (Brutale Dragster RR) |
Tork maksimum | : 88Nm pada 10,600rpm (F3 800) & 86Nm pada 10,100rpm (Brutale Dragster RR) |
Transmisi | : 6 kelajuan |
P x L | : 2,060mm x 725mm (F3 800) & 2,060mm x 825mm (Brutale Dragster 800 RR) |
Tinggi pelana | : 805mm (F3 800) & 811mm (Brutale Dragster RR) |
Isi tangki | : 16.5 liter (F3 800) & 16.6 liter (Brutale Dragster RR) |
Berat kering | : 173kg (F3 800) & 168kg (Brutale Dragster RR) |
Popular