Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 15 Januari 2016

Modenas CT115S Garang & Lincah!

Tahniah buat Motosikal Dan Enjin Nasional Sdn Bhd, MODENAS dengan kejayaan memperkenalkan model CT115S yang sememangnya dinanti-nantikan oleh penunggang motosikal di seluruh negara. Seperti yang dikhabarkan dalam majalah RR Oktober 2015, model ini dibangunkan 100% oleh unit Penyelidikan dan Pembangunan MODENAS di Kedah dan ia adalah satu kebanggaan buat seluruh warga negara.

CT115S ini merupakan sebuah jentera moped dihasilkan mengikut kaji selidik yang rata-ratanya didapati penunggang motosikal di Malaysia sukakan bentuk yang tajam, aerodinamik, sporty dan terkini. Ya… itulah tawaran Modenas! Bahagian hadapan model ini diserikan dengan lampu-lampu yang disusun dengan kemas manakala bentuk fairing sisinya yang sporty menyerlah lagi daya kreativiti perekanya. Lampu belakang ringkas namun saiznya yang agak besar menawarkan suluhan yang cukup terang. Pelana CT115S sedikit mengecewakan terutamanya untuk penunggang tinggi. Selain kecil dan tirus, pelana ini bersudut, mengganggu posisi menunggang dan dapat dirasakan ketika membuat perjalanan jarak jauh.

CT115S boleh dihidupkan dalam dua cara, elektrik dan tendang tetapi sebaik sahaja enjinnya berputar, bunyi yang terhasil daripada sistem ekzos Modenas ini memang cukup mantap – seperti enjin lebih daripada 200cc. Meter CT115S ringkas dengan memberikan segala informasi yang diperlukan termasuk posisi gear. Demi menjamin keselamatan jentera ini lubang kunci utama dapat ditutup menggunakan satu tuas kecil yang telah disediakan. Di ruang kunci utama ini juga kita dapat membuka pelana untuk mengisi petrol.

Sebaik sahaja bergerak, kita dapat merasakan enjin 114.8cc ini berputar dengan lancar sekali. Dengan kuasa maksimum 6.6kW (8.9hp) pada 9,500rpm dan tork 8.1Nm pada 5,000rpm, respon antara pendikit dan kuasa enjin yang tepat membuatkan kita sentiasa ingin memulas pendikitnya. Kekuatan kuasa di peringkat pertengahan memang mengujakan. Walaupun berada dalam posisi gear ketiga, kelajuan masih mampu diturunkan mencecah 30km/j tanpa kehilangan kuasa, perah sahaja pendikit... CT115S ini terus memecut ke hadapan.

Sistem transmisi model ini juga lancar, kita dapat menukar gear dengan mudah, tanpa sangkut-sangkut tetapi posisi tuas gear didapati terlalu dekat dengan enjin. Ini sedikit menyukarkan proses menambah dan menurunkan gear lebih-lebih lagi bagi penunggang yang berkaki besar. Dalam kedudukan gear keempat, ia mampu bergerak selaju 120km/j tanpa sebarang gegaran yang mengganggu konsentrasi. Bagi wargakota yang sering berulang alik untuk jarak yang agak jauh, Modenas turut melengkapkan jentera ini dengan soket kuasa khas untuk telefon pintar, terletak di bawah pelana.

Dengan tubuh badan yang ramping, CT115S cukup lincah ketika memacunya di dalam bandar tambahan pula cermin sisi yang agak besar memudahkan kita melihat keadaan di belakang dengan cepat. Sistem gear jenis rotari memudahkan kita menukar posisi gear terutamanya ketika berada di lampu isyarat. Dalam kedudukan gear tertinggi, kita hanya perlu menekan tuas gear ke hadapan sahaja untuk berada di posisi 'N' atau Neutral.

Bentuk fairingnya yang kini lebih sporty dan madgad belakang pula direka seperti yang selalu dipasang pada jentera berkuasa lebih tinggi. Ya... memang CT115S sentiasa menerima jelingan hampir ke mana sahaja ia dibawa. Ini membuktikan ia berjaya memikat hati khususnya penunggang muda yang inginkan gaya dan trend terkini. Tidak hairanlah model ini telah menerima penganugerahan daripada Majlis Rekabentuk Malaysia sebagai 'Malaysia Good Design Mark'.

Dari bandar, Modenas ini diuji di atas jalan yang lebih luas dan ternyata dengan berat kering 99kg, CT ini selesa dipecut tanpa rasa melayang. Sememangnya kita sentiasa berkongsi jalan bersama kenderaan yang lebih besar yang kadang kalanya memintas sesuka hati. Jika jentera yang kita naiki itu tidak cukup tegap, mudah benar ia terhoyong hayang.... sangat bahaya. Penghadang kakinya yang tidak terlalu lebar menjadikannya lebih aerodinamik ketika membelah angin. Apabila menunggang bersebelahan dengan jenama saingan, teringin pula rasanya CT115S ini dilengkapkan dengan sistem pancitan bahan api atau mungkin ada CT125S nanti. Modenas, boleh ke?

Apabila berada di selekoh-selekoh, CT ini tidak mengecewakan kerana tayar FKR RS900 bersaiz 70/90-17 38P (depan) dan 80/90-17 44P (belakang) yang dilengkapkan pada model ini menggigit dengan baik tetapi apabila suhu jalan menurun atau basah, tungganglah dengan berhati-hati. Tidak kiralah anda menunggang seorang atau berdua, sistem saspensinya terutama di belakang yang dapat dilaras kepada lima tahap berjaya menyerap setiap hentakan dan bentuk muka bumi dengan baik sekali.

Satu perkara penting hendak dikongsikan di sini terutamanya buat rakan-rakan yang menunggang di tengah-tengah bandar. Kita sedar apabila jalan sesak, penunggang motosikal hanya boleh menunggang di ruang tengah antara kenderaan-kenderaan ini namun begitu untuk kita menukar laluan, perhatikan dahulu motosikal yang datang dari belakang. Jangan main 'hentam' sahaja! Inilah yang terjadi pada kami apabila sebuah motosikal tiba-tiba muncul dari celahan kereta! Mujurlah CT ini dilengkapi dengan sistem brek hadapan dan belakang yang cemerlang. Selamat! Penunggang itu hanya senyum sambil angkat tangan. Aduhai!

Modenas perlu meningkatkan tahap ketepatan suluhan lampu utamanya yang sedikit hambar ketika menunggang di waktu malam lebih-lebih di kawasan luar bandar. Tahap kecerahan sudah sempurna cuma sudutnya agak terlalu tinggi.

Kecil-kecil cili padi rupanya! Walaupun ditunggang pelbagai gaya dan jenis jalan, CT115S ini masih mampu membawa kami bersiar-siar sejauh 120 kilometer dengan satu isian penuh tangki 4.8 liter. Memang jimat. Prestasi enjinnya cukup memuaskan tetapi masih ada beberapa bahagian yang perlu diperkemaskan lagi. Kami cukup yakin pada para pereka dan jurutera Modenas yang sentiasa bekerja keras memberikan yang terbaik.

Sudah menjadi tujuan utama Modenas melahirkan jentera-jentera dua roda bukan sahaja berprestasi tinggi tetapi juga semestinya menjimatkan dan cukup berbaloi untuk dimiliki oleh setiap golongan masyarakat. Modenas CT115S ini didatangkan dalam dua pilihan warna iaitu Merah Cherry dan Biru Livia yang boleh dimiliki pada harga RM5,287 (termasuk GST). RR

Isu Pada

Januari 2016

Spesifikasi

Enjin: empat lejang, SOHC, silinder tunggal, sistem sejukkan udara
Isipadu: 114.98cc
Gerek x Lejang: 53.75 x 50.6mm
Kuasa maksimum: 6.6kW pada 9,500rpm
Trok maksimum:8.1Nm pada 5,000rpm
Transmisi: 4 kelajuan
P x L x T : 1,970 x 725 x 1,084mm
Tinggi pelana: 750mm
Isi tangki: 4.8 liter
Berat kering: 99kg

Popular

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

  • Warta Roda

    Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Model Baru

EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

Moto Morini telah melancarkan Alltrhike 450 baru di pameran motosikal antarabangsa EICMA 2024

Warta Roda

Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

Bermodalkan RM700, seorang pesara guru mengubah suai motosikalnya sebagai pe­ngangkut sampah dan me­lakukan kerja-kerja mengutip sampah secara sukarela di Kampung Lanai, di sini.

Model Baru

Ducati Panigale V4 2025 Kini Di Malaysia - Harga Asas RM182,900

Ducati Malaysia telah melancarkan Panigale V4 generasi terbaru sempena dengan perasmian pembukaan Ducati Sungai Buloh.

Warta Roda

Penunggang motosikal berkuasa tinggi terlibat dalam kemalangan maut...

Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi dan pemandu warga emas maut selepas kedua-dua kenderaan tersebut bertembung dalam kejadian di Kilometer 11 Jalan Pan Borneo, di sini pada hari Ahad yang lalu.