Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 19 November 2020

Honda CRF 250L & 250 Rally: Menguji Jiwa Kelakian

Bila diimbas dari jauh, ia seperti sebuah jentera berkapasiti tinggi. Tetapi apabila melihat dengan lebih dekat itulah dia Honda CRF yang ditenagakan enjin 250cc dengan susuk badan yang tegap, besar dan tinggi.

Ketika dipertontonkan pada pertengahan tahun 2017 di Litar Antarabangsa Sepang, RR berpeluang menguji kedua-dua jentera model CRF di litar bertaraf antarabangsa dan mendapati model Honda ini memang cukup mantap. Setelah beberapa bulan sejak tarikh ia dilancarkan, kami dapat menguji lagi jentera tersebut untuk menceritakan dengan lebih terperinci kelebihan dan kemantapan model Honda ini.

Bagi peminat yang gemar dengan 'dirt bike' dan 'adventure', inilah model yang sesuai untuk anda iaitu Honda CRF250L dan CRF250 Rally. Menerusi ruangan Pandu Uji kali ini, kami telah menguji kelebihan model L dan Rally di atas permukaan tar dan tanah. Memang cukup berbeza bila ditunggang di dua tempat yang berlainan. Memang puas dan cukup seronok bila kendalikan jentera ini lagi-lagi di kawasan tanah dan berpasir.

REKABENTUK

Melihat rekabentuknya, Model L ini sama seperti motosikal jenis motocross manakala model Rally kelihatan seperti Adventure bike. Panel meter model CRF agak ringkas, tetapi Honda melengkapkannya dengan pelbagai maklumat seperti tahap bahan api, masa, trip perjalanan dan putaran kelajuan.

Pada bahagian sisi kedua-dua model CRF terdapat sedikit perbezaan. Model Rally disediakan dengan pelindung di kiri dan kanan untuk melindungi kaki penunggang daripada terkena haba panas ekzos berbanding dengan model L yang tiada pelindung. Untuk melindungi enjin daripada terkena benda keras, L telah dikemaskan dengan pelindung enjin yang dicipta menggunakan logam. Rally hanya disaluti dengan pelindung plastik lazimnya yang digelar sebagai 'sampan' oleh penunggang motosikal.

Sebaik kita mula duduk di atas kedua-dua model Honda ini dengan pantas kita dapat merasakan perbezaan pada ketinggiannya. Pelana Rally lebih tinggi jika dibandingkan dengan L, macam naik kuda, terasa gayat pula. Perbezaannya adalah 20mm (L:875mm, Rally:895mm), kepada penunggang yang berkaki pendek mungkin agak sukar untukmereka mengendalikan jentera tersebut.

Kami lebih suka corak warna yang dihias pada model Rally. Walaupun kedua-dua model ini didatangkan dengan warna merah, Rally nampak lebih menarik dengan gabungan warna merah yang dipasangkan sedikit corak berwarna biru, putih dan hitam.

Ruang yang luas antara penunggang dan bar handel memudahkan lagi kawalan untuk ditunggang. Kebolehan Honda CRF ini bukan hanya untuk penunggang biasa, bagi yang berkaki panjang tidak menjadi masalah untuk menunggangnya.

Honda CRF Rally dihadirkan dengan lampu utama berjenis LED. Memang terang dan jelas pandangan menunggang di waktu malam. Bila dilihat, lampu hadapan model ini seakan-akan seperti memakai goggle, nampak kelainan di situ. Di hadapan pemegang brek dan klac disediakan pelindung untuk model Rally. Ini mungkin untuk melindungi tangan kita daripada terkena batu yang melantuk ke atas. Selain itu ia juga berguna untuk mengelak tiupan angin sejuk terutama di tempat yang bersuhu rendah.

PRESTASI

Kami mula menghidupkan kuasa pada jentera CRF tanpa sebarang masalah untuk merasa sendiri kehebatannya. Putarkan sahaja kunci, hidupkan suis on/off di panel bar hendal sebelah kanan dan tekan suis penghidup elektrik... Brrummm... kedengaran bunyi yang keluar dari ekzos yang cukup sedap didengar.

Honda CRF250L dan CRF250 Rally dilengkapi dengan enjin sejukan cecair silinder tunggal empat lejang serta transmisi 6 kelajuan yang menawarkan kuasa tertinggi 18.2kW pada 8500rpm dan tork 22.6Nm pada 6750rpm. Enjin ini juga turut dilengkapi dengan sistem pancitan bahan api PGM-FL.

Gerek yang bersaiz 76.0mm dan lejang 55.0mm menyediakan kuasa tork yang cukup berkuasa. Pulas sahaja, ia terus pergi dengan pantas. Proses menukar gear dapat dilakukan dengan mudah dan cukup lancar dengan adanya sistem klac “wet multi-plate hydraulic” yang cukup lembut sekali. Kadang-kadang jika menurunkan kedudukan gear 2 kepada 1 akan memberikan bunyi 'tek' yang cukup kuat sekali. Tetapi bukan selalu.

Dengan berat badan 157kg bagi model Rally, kami dapat memecut jentera ini hampir mencecah 140km/j manakala model L sekitar 145 km/j dengan berat 146kg. Ternyata berat badan motosikal juga boleh mempengaruhi tahap kelajuan setiap motosikal. Purata kelajuan yang kami sarankan untuk kedua-dua model CRF ketika berada di atas lebuhraya adalah 130 km/j, jika lebih akan terasa bergoyang sedikit.

Dengan adanya fairing hadapan pada model Rally, ia dapat melindungi kami daripada terkena tolakan angin yang kuat. Ketika memecut laju menunggang model L kita perlu menundukkan kepala sedikit supaya tidak terasa seperti ditolak ke belakang.

Roda hadapan dimuatkan dengan tayar knobby bersaiz 3.00-21 51P dan tayar belakang berukuran 120/80-18M/C 62P. Tidak perlu risau tayar ini juga boleh digunakan di atas permukaan tar, walaupun tayar seperti ini tidak sesuai untuk dipecut. Untuk pengetahuan pembaca, kita juga boleh menukar tayar knobby kepada tayar biasa yang boleh didapati di mana-mana kedai motosikal berdekatan dengan anda.

Kami turut berkesempatan mengendalikan model L dan Rally di permukaan tanah mahupun pasir. Memang tidak terkata amat seronok menunggang di atasnya. Ia amat mudah ditunggang dan dijinakkan pada kelajuan tinggi. Menunggang model L di jalan tanah berbukit tidak menjadi masalah untuk model ini dengan gaya berdiri memang sesuai dengan offroad. Jika dapat bermain di jalan berbukit tinggi pasti lebih menyeronokkan. Kami cuba melalui di kawasan pasir yang lembut menggunakan Rally. Lalu sahaja sudah terasa tenggelam di bahagian belakang. Dengan tayar jenis knobby tidak menjadi masalah dan cukup senang melepasi kawasan pasir tersebut.

Kami dapat rasakan sistem suspensi hadapan berjenis teleskopik terbalik bekerja dengan cukup sempurna sekali. Tetapi mengecewakan sedikit untuk model L yang terlalu lembut hentakannya lagi-lagi bila berada di atas jalan yang tidak rata berbanding dengan model Rally yang terasa sedap dan selesa untuk ditunggang. Bagi kami ia lebih sesuai dengan peratusan 40% di atas tar dan 60% offroad. Kepada yang lebih suka menunggang di atas jalan, boleh membuat penukaran tayar seperti yang kami sarankan di atas.

Terdapat dua sistem ABS (anti lock braking system) yang disalurkan pada Honda CRF. Menunggang pada waktu hujan tidak perlu untuk kita risau ketika brek mengejut. Sistem ABS berfungsi dengan cukup baik sekali supaya tayar tidak akan terkunci semasa membrek. Pada kedua-dua jentera ini, terdapat butang berdekatan meter sebelah kanan untuk mematikan kaliper belakang sahaja (ABS) bagi kawalan bebas jika kita tidak memerlukannya.

Dengan isian penuh bahan api, model Rally dapat bertahan lebih daripada 200 kilometer manakala L dapat berjalan lebih daripada 180 kilometer. Kedua-dua Honda CRF ini dihadirkan dengan warna Extreme Red pada harga RM24,378.94 bagi model L dan RM28,618.94 untuk model Rally. Harga untuk kedua-dua motor adalah termasuk GST. RR

Isu Pada

April 2018

Spesifikasi

Enjin:4 lejang, silinder tunggal, sistem sejukan cecair, DOHC
Gerek x Lejang:76.0 x 55.0 mm
Kuasa maksimum:18.2kW pada 8,500rpm
Tork maksimum:22.6Nm pada 6,750rpm
Saspensi hadapan: fork teleskopik 43mm jenis terbalik
Saspensi belakang:Prolink
Tayar hadapan:3.00-21 51P
Tayar belakang:120/80-18M/C 62P
P x L x T:2,195 x 815 x 1,195 mm
Isi tangki:model L: 7.8 liter / model Rally: 10.1 liter

Popular

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

  • Warta Roda

    Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Penunggang Motosikal Antara Yang Maut Dalam Nahas Tiga Kenderaan

Penunggang motosikal maut dalam nahas melibatkan tiga buah kenderaan.

Warta Roda

Warga Emas Meninggal Dunia Motosikal Dilanggar Dari Belakang

Seorang peniaga maut selepas motosikal ditunggang terlibat kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Tengku Mizan, di sini pada Selasa.

EICMA 2024: Skuter Adventure Maksi Pertama Dari KYMCO!

Kymco memperkenalkan skuter pengembaraan maxi pertamanya di EICMA.

Warta Roda

Kemeriahan Konvoi PETRONAS Sprinta ke MotoGP Sepang 2024

PETRONAS Lubricant Marketing Malaysia Sdn Bhd (PLMM)bekerjasama dengan Dania Garage dala menganjurkan konvoi 'PETRONAS Sprinta ke MotoGP Sepang 2024'.