Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 30 April 2018

Yamaha MT-09 Lebih Hebat & Berkuasa

Tiada apa yang lebih menyeronokkan apabila kita berada di atas sebuah mesin yang mampu memecut ke hadapan bagaikan sebuah roket sambil segalanya berada di kawalan. Enjinnya yang bersesaran 847cc dilengkapkan oleh pakar yang bijaksana dengan pelbagai pembaharuan cukup mantap dengan mengikuti piawaian EU4 bagi memenuhi kehendak pencinta motosikal jalanan. Model yang kami maksudkan ialah Yamaha MT-09 yang diberi gelaran Eye Of Darkness. Terima kasih Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd atas kepercayaan kepada RR menguji kehebatan jentera jalanan ini.

Sesiapa pun pasti tertarik dengan rekabentuknya. Paling utama tentulah menerusi lampu hadapan berkembar jenis LED yang tersusun rapi dan cukup agresif. Suluhan berwarna putih bersih yang terpancar bukan sahaja tampak moden tetapi juga membolehkan kita dapat dilihat oleh kenderaan dari depan dengan mudah. Selain itu, lampu jenis LED ini menjimatkan penggunaan kuasa elektrik dan tahan lama.

Menerusi bentuk tangkinya, kita sudah dapat merasa akan ketangkasan yang ditawarkan oleh mesin ini walaupun belum melompat ke atasnya. Sisi kiri dikemaskan dengan fairing kecil yang juga berfungsi sebagai pelindung radiator – bijak! Sistem ekzos jentera tiga silinder bukan sahaja sedap didengar tetapi juga nampak garang dan menyerlah. Berbanding model sebelum ini, lampu belakangnya juga direka semula agar lebih segar dan lebih menarik. Sistem ekzos model ini pendek, kemas dan suaranya… “Wow!” Memang sedap sekali.

Tinggi pelana Yamaha MT-09 ini ialah 820mm, boleh dikatakan tidaklah begitu tinggi dan sesuai untuk semua jenis penunggang. Posisi bar hendal yang direka tepat memberikan beberapa kelebihan buat penunggangnya seperti kawalan yang stabil dalam semua kelajuan (rendah atau laju), bahagian lengan tidak mudah lenguh untuk perjalanan jauh dan pastinya ia mempengaruhi gaya tunggangan agar lebih selesa dan tangkas.

Sebaik sahaja melabuhkan punggung di atas pelananya, mata terus tertumpu pada panel meter digital yang dilengkapkan pada model ini. Ia memaparkan hampir segala-gala info yang dikehendaki. Tahap kelajuan, putaran rpm, posisi gear, jarak perjalanan, masa, tahap bahan api, mod tunggangan, trip dan sistem traction control. Apa yang sukacita dikongsi ialah… semua penunjuk ini mudah untuk dilihat!

Antara pembaharuan paling utama yang telah dilakukan pada model ini ialah kemantapan sistem elektroniknya. Ia bukan sahaja direka untuk menambah keseronokan tetapi juga yang lebih penting, ia boleh menyelamatkan nyawa. Kami akui… ini benar memandangkan masih banyak kemalangan yang melibatkan jentera berkuasa tinggi berlaku saban hari WALAUPUN mesin-mesin baru ini cukup canggih dengan pelbagai sistem pertahanan untuk keselamatan.

Kami bermula dengan memilih untuk merasakan mod ‘Standard’ dengan sistem TC1. Melalui sistem ride by wire yang diperkemaskan, MT-09 2018 disempurnakan dengan tiga mod tunggangan iaitu ‘Standard’ yang sesuai untuk tunggangan biasa, mod ‘A’ diutamakan buat para penunggang yang sukakan sifat-sifat agresif manakala kuasa enjin dalam mod ‘B’ pula lebih jinak, lembut dan kurang agresif.

Sistem TC pula dibahagikan kepada dua tahap iaitu TC1 sesuai untuk tunggangan pantas serta tangkas, manakala TC2 bolehlah dipilih untuk kegunaan jalanan biasa atau tunggangan normal. Walaupun dalam keadaan melahu, deruman enjin tiga silinder milik Yamaha ini memang cukup mengujakan. Pendikit MT-09 ini lembut – membolehkan kita memulas pendikit dengan mudah.

Sistem Quick Shift (QS) yang kini dipadankan pada Yamaha ini memang ‘lazat’. Benar… MT-09 terbaru ini disediakan dengan sistem QS yang membolehkan kita menambah gear tanpa perlu menggunakan tuas klac. Lampu penunjuk sistem ini berwarna hijau dengan bertanda QS dan apabila menyala, ia telah aktif. Walaupun begitu, QS model ini hanya boleh digunakan ketika kita menambah gear-gear sahaja manakala jika menurunkan gear, penggunaan klac masih diperlukan dan ingin benar kami katakan, sistem Assist & Slipper Clutch yang dimilikinya sangat membantu menjadikan tuas klac lembut dan menurut pihak HLYM ia 20% lebih lembut daripada biasa.

Dalam mod ‘Standard’ dan TC1, kami dapati kuasa pecutan jentera jalanan Yamaha ini sudah cukup mantap. Dengan adanya sistem QS, kami dapat memecut dari kelajuan 20km/j hingga 180km/j dengan cepat sekali. Pendikit tidak perlu pun ditutup ketika kita sedang menambah gear. Kekuatan tork 87.5Nm pada 8,500rpm sangat mengujakan! Gear 2…3…4…5 dan 6 diperah dengan lancar. Ini benar-benar nikmat! Ketegapan kerangka MT-09 jenis berlian sememangnya membantu jentera ini terus stabil ketika memecut.

Sedikit gangguan pada suis lampu isyarat dan hon. Kami beberapa kali tertekan hon ketika cuba untuk memberi isyarat. Selepas difikirkan semula, ada beberapa kemungkinan hal ini berlaku, iaitu jari terlampau besar, posisi suis hon terlalu dekat dengan suis pemberi isyarat atau kami sendiri yang masih belum biasa.

Kami memilih untuk mengunjungi negeri Melaka memandangkan agak lama tidak ke sana. Kesempatan berada di tengah lebuhraya, kami menutup pendikit dengan tujuan untuk menukar mod dari ‘Standard’ kepada ‘A’.

Ok... sebaik sahaja mod diubah, serta merta jentera ini bertukar menjadi lebih responsif dan agak ganas. Enjin 847cc ini menawarkan hamburan kuasa setinggi 115PS pada 10,000rpm memang amat mengagumkan. Kelajuan maksima yang berjaya dicapai ialah sekitar 230km/j tetapi ketiadaan cermin pengadang udara memang agak menyusahkan. Kami tunduk, rapatkan sikit badan ke hadapan barulah agak selesa.

Walaupun begitu, kelajuan paling ideal yang kami berpendapat ialah sekitar 120km - 130km/j. Dalam kelajuan ini (di lebuhraya), para penunggang masih dapat mengagak dan membuat keputusan dengan cepat jika terdapat halangan atau masalah di tengah-tengah laluan. Jika menunggang di dalam bandar, lebih baik kelajuan diturunkan agar lebih selamat.

Sememangnya menunggang di dalam bandaraya Melaka pada hari Ahad memerlukan kesabaran dan pengendalian yang baik. Ini kerana keadaan trafik yang padat dengan kenderaan lain kadang kalanya memerlukan kita mencelah. Mujurlah MT-09 ini ramping dan mudah dikawal, ia meluncur dengan cepat – sama hebat seperti jentera moped.

Kami juga amat 'berterima kasih' dengan sistem penyejuk Yamaha ini cukup berprestasi tinggi. Walaupun terpaksa menunggang dalam cuaca panas dan ditambah dengan haba dari enjin kenderaan lain, kami langsung tidak merasa haba panas lampau pada bahagian kaki dan peha. Selepas bergambar di kawasan sekitar bangunan Stadthuys, kami ke Jonker Street untuk 'pekena' cendol durian di Durian Cottage. Memang sangat lazat dan menyegarkan. Harganya cuma RM6.00 semangkuk dan selain itu, terdapat pelbagai lagi jenis manisan sejuk di sini.

MT-09 kemudiannya dibawa ke Taman Morten. Ia merupakan sebuah kampung berusia sekitar 100 tahun yang terletak di tengah-tengah bandar Melaka dan di tepian Sungai Melaka. Seolah-olah berada di dalam muzium memandangkan gaya kehidupan penduduk di sini tidak banyak bezanya di zaman dahulu. Tarikan utama Kampung Morten tentunya menerusi rekabentuk rumah-rumah tradisional Melaka yang cukup unik dan cantik termasuk susun atur hiasan dalaman yang benar-benar menggamitkan nostalgia.

Tuan Haji Ibrahim (tengah), pemilik Villa Sentosa.

Sempat kami berbual dengan Tuan Hj Ibrahim bin Haji Hashim yang merupakan pemilik generasi ketiga di kampung tersebut dan dilahirkan serta dibesarkan di sana. Rumah beliau memang cukup istimewa dan diberi gelaran Villa Sentosa. Datuknya, Hj Othman bin Mohamad Noor juga merupakan salah satu pengasas kampung ini pada tahun 1920 selepas sebahagian daripada penduduk Kampung Jawa ketika itu diarahkan berpindah oleh pihak British berikutan pasar baru yang akan dibina.

Selepas puas berborak dengan beliau dan seorang lagi pemilik rumah unik di sana iaitu Kak Salmah, kami meneruskan perjalanan ke beberapa lokasi menarik di sekitar Melaka.

Bagi mereka yang baru ingin mencuba Yamaha ini, Mod B dan TC2 adalah pilihan yang terbaik. Dalam mod ini, hantaran kuasa lebih tenang, tidak rakus dan cengkaman di bahagian belakang juga lebih kuat. Ini boleh memberi rasa lebih selamat dan lebih terkawal buat penunggang baru. Dalam Mod B pun MT-09 mampu beraksi dengan cemerlang sekali. Ia memecut dengan pantas... mudah mencecah 140km/j cuma corak hantaran kuasa enjin ini lebih lembut.

Apabila berdepan dengan kawasan berselekoh, MT-09 ini bagaikan 'tertarik' untuk ke sana. Oleh kerana belum hafal dengan sudut selekoh di kawasan tersebut, kami mulakan dengan Mod 'Standard' + TC2. Memang satu pilihan yang tepat. Enjin berputar dengan kemas sewaktu kita menurunkan kelajuan untuk masuk ke selekoh. Fork teleskopik menyerap bebanan ketika membrek keras dengan cemerlang – tiada langsung terasa bergoyang atau gegaran pada bar hendal. Mengubah posisi di dalam selekoh juga dapat dilakukan tanpa risau. Lengan ayun (jenis link) turut menampung berat penunggang dan jentera 193kg ini dengan baik sekali. Apa yang penting hanyalah kawalan kelajuan dan arah selekoh yang sedang diratah itu.

Untuk disesuaikan dengan kemampuan Yamaha ini memecut, 'baring' di selekoh dan keupayaannya memperlahankan kelajuan dengan pantas, tayar-tayar bersaiz 120/70ZR17 M/C (depan) dan 180/55ZR17 M/C di belakang telah dilengkapkan pada model ini. Tiada saat keraguan apabila kita melayarkan jentera ini di dalam sebarang jenis bentuk selekoh kerana MT ini dilengkapkan dengan sistem brek-brek dan ABS yang berkualiti tinggi.

Dalam mod Standard dan mod B, kadar penggunaan bahan api lebih jimat dengan jarak lebih daripada 220 kilometer tetapi apabila memilih untuk menggunakan mod A, minyak dirasa lebih cepat kering. Ini kerana dalam mod ini, pendikit sentiasa 'dikoyak' kerana teruja dengan kemantapan hamburan kuasanya.

Terima kasih Yamaha MT-09 kerana memberi kami senyuman kepuasan setiap kali naik dan turun daripada pelananya. Dengan tawaran pelbagai jenis mod mengikut kehendak dan keupayaan seseorang penunggang itu. Ada Standard, A dan B... pilih dengan bijak agar seronok dan selamat. Walaupun dipadatkan dengan teknologi moden, rupabentuk hebat, MT-09 ditawarkan pada harga yang cukup menjimatkan iaitu RM47,388 (termasuk GST). Berbaloikan? Benar... sesiapa pun akan berpuas hati. Kami memang ya! RR

Isu Pada

April 2018

Spesifikasi

Enjin: 3 silinder, 4 lejang, DOHC, sistem penyejuk cecair
Gerek x Lejang:78.0 x 59.1mm
Kuasa maksimum: 115Ps pada 10,000rpm
Tork maksimum: 87.5Nm pada 8,500rpm
Transmisi:6 kelajuan
Saspensi hadapan:fork teleskopik
Saspensi belakang:lengan ayun
Brek hadapan / Brek belakang:cakera 298mm / cakera 245mm
Tayar hadapan: 120/70ZR17 M/C
Tayar belakang: 180/55ZR17 M/C

Popular

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

  • Warta Roda

    Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Dari Litar

GP Valencia 2024 Dibatalkan...Litar Untuk Pusingan Akhir Belum Dipastikan Lagi

Berikutan bencana banjir yang melanda beberapa buah bandar di Utara Sepanyol yang turut melibatkan komuniti di Valancia, pihak Dorna telah mengumumkan bahawa GP Valencia yang dijadualkan berlangsung pada 15-17 November nanti telah dibatalkan.

Model Baru

Scrambler Ducati Edisi 10° Anniversario Rizoma

Bersempena dengan ulang tahun ke-10 jentera Scrambler, Ducati telah berkolaborasi dengan pengeluar aksesori motosikal Rizoma untuk memperkenalkan Scrambler Ducati 10° Anniversario Rizoma Edition.

Warta Roda

Kemalangan Maut Motosikal Akibat Langgar Kerbau

Perjalanan seorang pengawal keselamatan ke tempat kerja bertukar tragedi apabila motosikal ditungganginya terlanggar seekor kerbau.

Dari Litar

Pasukan Repsol Honda Tiba Di Buriram. Joan Mir Perlu Buat 'Come Back'!

Selepas gagal menamatkan perlumbaan (DNF) sudah ketiga berturut-turut, Joan Mir perlu kembalikan prestasinya ke tahap terbaik sempena perlumbaan yang akan berlangsung di Litar Buriram, Thailand minggu ini.