Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 30 Mac 2018

1950 Zenith Big Twin: Nama Besar Motosikal British Suatu Ketika Dulu

Zenith merupakan nama syarikat yang dicipta oleh seorang jurutera British bernama Frederick W. Barnes pada tahun 1905 ketika memasarkan model berbingkai rendah dan pengemudi hub-tengah yang diberi nama Bi-Car. Dikuasakan oleh enjin Fafnir dari German yang berkuasa 3hp dan dikatakan sebagai 'A Revolution In Motorcycle'. Bi-Car tidak dapat bertahan lama, perekanya terpaksa menghasilkan satu lagi karya yang tertumpu kepada dunia dua roda sepenuhnya.

Walaupun syarikat ini kecil, Zenith Motorcycles tetap berjaya meraih kemenangan penting dan bersejarah dengan kemenangan dalam Perlumbaan Brooklands serta dua kali memecahkan rekod World Land Speed. Syarikat ini kemudiannya berjaya mengharungi zaman gelap Perang Dunia I dan Perang Dunia II serta Zaman Kemurungan tetapi akhirnya produksi jentera ini terpaksa dihentikan sepenuhnya pada tahun 1950. Faktor utama penutupan syarikat ini ialah kerana ketiadaan sumber enjin yang boleh dipasangkan pada motosikal ini.

Zenith diasaskan di London dan orang yang bertanggungjawab menaikkan nama ini ialah Freddie Barnes, berasal dari Manchester. Selepas Bi-car, dia mula mengeluarkan lebih banyak motosikal konvensional Zenith pada tahun 1907 yang dihasilkan di bengkelnya sendiri di Finsbury Park. Jentera yang diciptanya ialah Zenette yang menggunakan fork Druid Girder dan kerangka tiga segi dengan sistem saspensi belakang Scissor-Action.

Zenith Gradua Sidecar 770cc.
Zenith Gradua Sidecar 770cc.

Pada tahun 1908, masalah utama yang dihadapi oleh jentera dua roda ialah ketika membuat pendakian – ketika itu tiada lagi motosikal yang menggunakan kotak trasmisi cuma penggunaan pacuan terus ke roda belakang dengan menggunakan kabel. Ketika inilah Barnes mencipta dan mempatenkan sistem Gradua Gear yang asalnya diberi nama 'Barnes Pully. Barnes kemudiannya berjaya menaiktarafkan sistem ini kepada jenis Hand-Crank yang lebih pantas dan lancar untuk pendakian. Ketika ini, perlumbaan mendaki bukit semakin popular di kalangan penunggang motosikal dan melalui sistem baru ini, penunggang dapat melakukan penukaran gear tanpa perlu turun dan memberhentikan motosikal.

Sistem ini menawarkan variasi penggunaan gear yang cukup hebat dari 9:1 sehingga 3.5:1 dan ia jauh meninggalkan keupayaan para pelumba lawannya sehinggakan mereka menganggap ciptaan ini tidak adil. Banyak kelab telah menyingkirkan Zenith daripada acara perlumbaan anjuran mereka. Barnes tidak putus asa sebaliknya mengambil peluang ini dengan mendaftar tanda dagangan terbaru pada tahun 1911 dengan tulisan 'Barred' di atas lambang Zenith.

Bert Le Vack orang pertama berjaya memecah rekod dengan kelajuan 161km/j pada tahun 1922.
Bert Le Vack orang pertama berjaya memecah rekod dengan kelajuan 161km/j pada tahun 1922.

Pembukaan Litar Brooklands di Weybridge pada tahun 1907 bagaikan magnet buat firma-firma kecil seperti Zenith untuk mempromosi dan membuat demonstrasi produk masing-masing. Zenith ternyata berjaya menerima banyak tempahan sehingga terpaksa membuka kilang baru yang lebih besar di Weybridge pada tahun 1908 – setengah batu dari litar.

Pada bulan Mac 1909, Freddie Barnes memperkenalkan Zenette-JAP yang dilengkapi dengan sistem Gradua dan berjaya mencatatkan rekod pendakian pertama iaitu 18.63 saat dengan purata kelajuan sepantas 20.7km/j di permukaan Brooklands Test Hill yang sangat curam. Kemantapan jentera Zenith Gradua telah terbukti dan diperakui. Ia mampu berhenti dan bergerak semula pada satu kecerunan yang tidak mampu ditandingi oleh jentera lain.

Zenith telah pun menggunakan beberapa model enjin seperti Precision, Fafnir, Bradshow dan Villers tetapi enjin JAP yang dicipta di Tottenham merupakan yang paling hebat. Pada tahun 1913, Zenith memperkenalkan tiga model perlumbaan yang dilengkapi dengan enjin-enjin JAP ohv dan transmisi pacuan-rantai – dua enjin silinder tunggal dan satu V-kembar.

Freddie Barnes (kiri) menunggang jentera Zenith-JAP Gradua 986cc selepas memenangi sidecar Handicap pada tahun 1913.

Zenith-JAP yang ditunggang Joe Wright (atas motor) berjaya mencipta rekod terbaik di Brooklands.

Tahun-tahun selepas itu, beberapa perubahan telah dilakukan untuk model jalanan yang lengkap dengan sistem klac dan penghidup tendang. Enjin masih dari JAP tetapi kesemuanya jenis V-kembar dengan format di antara 3.5hp, 6hp atau 8hp. Pada tahun tersebut, firma ini berpindah ke tempat baru yang terletak di tepian Sungai Mole.

Dengan tercetusnya peperangan, Zenith mula memberi tumpuan dalam pembinaan jentera yang lengkap dengan kereta sisi (sidecar) bertujuan untuk menggantikan penggunaan kuda di Western Front. Dari 1914 hingga 1918, Zenith telah beroperasi di Ibu Pejabat Peperangan yang ditinggalkan dan syarikat ini diperlukan untuk berbakti kepada pihak tentera. Mereka mengeluarkan satu moto iaitu “When there's fighting to be done, Zenith always win!”

Pada tahun 1919, Zenith kembali menumpukan perhatian untuk menghasilkan jentera orang awam biasa dengan menawarkan enjin 494cc dan sistem penyejuk minyak. Mereka berjaya mengeluarkan produk tersebut dua tahun kemudian. Tidak lama selepas itu, litar dibuka semula dan Barnes kembali ke dunia ini dengan memberi tajaan kepada salah seorang pelanggannya, I.P. Riddoch yang banyak mencapai kemenangan. Pada Oktober 1922, Bert Le Vack yang menunggang jentera Zenith yang dilengkapi dengan enjin V-kembar JAP FTOR telah berjaya melakarkan sejarah sebagai orang pertama yang berjaya memecah rekod 100bsj dengan kelajuan 100.29 bsj atau 161km/j. Selepas itu banyak lagi rekod dapat dilakar dengan menggunakan enjin ini. Hebat!

Owen Baldwin memecahkan rekod dua roda World Land Speed (1928).

Pada tahun 1926 rekod kelajuan semakin tinggi kepada 113.45bsj atau 182.5km/j yang dilakukan oleh bekas juruterbang Flying Ace dalam Perang Dunia I iaitu Kapten Owen Baldwin mengatasi rekod Joe Wright yang juga menunggang Zenith-JAP. Dua tahun kemudian Wright menewaskan Owen dengan kelajuan 118.86bsj atau 191km/j.

Baldwin pula sedang cuba mencapai impiannya memecahkan rekod dua roda World Land Speed. Dia berjaya mencipta rekod sepantas 124.27bsj (200km/j) pada Ogos 1928 tetapi pada hari yang sama rekodnya telah berjaya dipadam oleh penunggang Brough Superior, Bert Le Vack dengan kelajuan 129.00bsj (207km/j). Antara mereka yang terus memberi cabaran dan mencipta rekod di laluan lurus Arpajon, Paris ini ialah Ernst Henne dengan BMW pada kelajuan 134.67bsj (216km/j), Joe Wright: 137.23 (220km/j) dengan OEC Temple-JAP. Wright kemudiannya mencipta rekod baru di Carrigrohane, Ireland dengan kelajuan 157.24bsj (242km/j).

Masalah kewangan Zenith tidaklah begitu besar. Selepas berjaya mengatasinya, syarikat ini kembali ke landasannya pada tahun 1931. Syarikat ini telah dibeli oleh seorang ahli perniagaan yang berjaya iaitu Writers Ltd. of Kennington Cross dan cukup bersemangat untuk menyambung legasi kehebatan jentera ini. Syarikat ini juga merupakan ajen utama Ariel di Selatan London ketika itu. Produksi dimulakan semula dengan mengeluarkan model-model enjin kembar berkuasa tinggi (Big Twin) 747cc V-kembar JAP dengan saiz 70 x 97mm.

Zenith Bi-car (1970).

Zenith berjaya mengeluarkan 20 model berbeza pada tahun 1930an tetapi Perang Dunia II merencatkan kembali produksi syarikat ini. Paling menyedihkan apabila Freddie Barnes telah meninggal dunia pada tahun 1942 ketika berlakunya serangan udara Luftwaffe di London. Syarikat ini terus selamat dengan mengambil peluang di Sungai Mole untuk membekalkan generator buat bekalan elektrik ketika segalanya terputus akibat peperangan. Akhirnya Zenith menamatkan segala operasi pada tahun 1950.

Ia hilang... tetapi tidak pernah dilupakan. Itulah yang dilakukan oleh seorang pencinta jentera ini, Sammy Miller yang memiliki sebuah muzium (www.sammymiller.co.uk) terletak di Pantai Selatan Britain. Di muziumnya itu terdapat dua buah Zenith yang cukup berlainan antara satu sama lain. Satu ialah model 1921 yang lengkap dengan sistem Gradua manakala satu lagi ialah model Big Twin dengan nombor casis: 14015 yang merupakan model terakhir yang diterbangkan ke Australia. Model ini bersepadan dengan nombor galas enjin iaitu MTW 73710 yang memberi panduan bahawa ia dikeluarkan di Tottenham pada tahun 1930an.

Sammy Miller (kiri) bergambar bersama Bob Stanley.

Pada mulanya didaftarkan pada 22hb Jun 1950 dan akhirnya ditempatkan di rumah En. Peter Bennett pada 14 Ogos 1954. Beliaulah satu-satu pemilik yang tercatat dalam buku log HVB 574. Sammy membeli jentera ini dengan kondisi yang lengkap tetapi agak lusuh kira-kira 25 tahun lalu. Meter jarak perjalanan tertera ia telah bergerak sejauh 23,733 batu – memang sesuatu yang cukup mengujakan. Semua jentera yang dipamerkan di sini berjalan dengan lancar dan saya amat bertuah kerana dapat menunggangnya di jalan New Forest pada hari yang cukup indah.

Selepas produksi terhenti beberapa tahun kerana masalah dan konflik dunia, apa yang penting buat para pembeli jentera ini bukanlah prestasinya tetapi tahap ketahanan enjin dan ekonomi. Ini kerana penggunaan bahan api dahulu dan kini juga amat berbeza. Jentera neo-vintage ini diperkemaskan dengan pelana Lycett dan paling disukai ialah enjin ini hidup dengan cukup lancar hanya dengan sekali tendang. Terima kasih kepada nisbah mampatannya yang rendah. Model ini dilengkapi dengan sistem transmisi Burgman empat kelajuan yang cukup lancar sekali.

Gear pertama dan kedua sangat rendah dan saya cuba membayangkan prestasi kereta sisi ini yang dahulunya boleh mengisi si ibu, anak-anak termasuk pakaian. Walaupun panel meter, ia menunjukkan kelajuan maksimum 125bsj (201km/j) model ini cukup selesa pada kelajuan sekitar 60-70kmj. Itulah rentak paling sesuai buat Zenith. Sama seperti menunggang model Big Twin…. kelajuan bukan perkara pokok tetapi kualiti sesuatu perjalanan itu paling penting. Ia mampu memecut pada kelajuan 105 km/j dan mungkin ianya hanya menjadi bahan gelak di zaman ini tetapi dahulunya, ia cukup hebat dan mantap.

Karaktor jentera vintage jelas dapat dilihat menerusi beberapa bahagian jentera Zenith. Dimulakan dengan kerangka yang keras dan tegar manakala fork hadapan jenis druid girder tidak memberi penyerapan yang sempurna sewaktu kita berada di laluan berselekoh. Bagi model Big Twin yang dijangka seberat 175kg, sistem penyerap hentaknya lebih baik dan saya dapat merasakannya ketika berada di kawasan berbonggol. Sepasang brek gelendong bersaiz 178mm yang dilengkapkan di hadapan dan belakang tidak menghampakan dan momentum jentera ini juga dapat dikawal sempurna dengan adanya brek enjin yang cukup hebat.

Zenith ini membuatkan saya kagum kerana pengendaliannya yang tegap dan mantap. Tidak hairanlah mengapa Freddie Barnes dan ciptaannya mampu mencipta rekod demi rekod tidak kira di cabaran mendaki mahu pun ketika memecut di laluan lurus cuma ketika itu kemampuannya di selekoh-selekoh tajam tidak dapat dipastikan dengan terperinci. Apapun, Big Twin tetap 'berselera' untuk meratah laluan berliku dengan cukup stabil.

Benar, jenama ini pernah memiliki reputasi yang sangat hebat di zamannya dengan kemunculan idea dan teknologi tinggi seperti sistem Gear Gradua dan Bi-car yang dihasilkan di kilang Hampton Court. Oleh itu, jika Zenith hanya diingati sebagai jenama British yang kurang menyerlah dan gagal bertahan hingga ke hari ini, ia agak menyedihkan.

 Sammy Miller bergambar di hadapan muziumnya.
Sammy Miller bergambar di hadapan muziumnya.

Ayuh kita bangkitkan semula hari-hari kegemilangan jentera ini seperti nama Joe Wright memecahkan rekod dunia di Selatan Ireland dengan kelajuan Zenith v-kembar yang cukup mengagumkan. Dia merupakan pelumba pertama yang melepasi kelajuan 150bsj atau 241km/j dengan motosikal pada ketika itu. Tidak ramai yang tahu akan kehebatan sejarah jenama Zenith ini sedangkan ia cukup besar suatu ketika dulu khususnya dalam dunia motosikal British! RR

Laporan: Alan Cathcart
Kredit Foto: Kel Edge

Isu Pada

Mac 2018

Popular

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

  • Warta Roda

    Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Model Baru

Moto Morini Calibro 700 Masuki Pasaran Negara. Harga bermula RM35,888

Mforce Bike Holding selaku pengedar rasmi jenama Moto Morini di Malaysia dengan bangganya melancarkan model ketiga hari ini iaitu Calibro 700.

Warta Roda

Warga Emas Meninggal Dunia Motosikal Dilanggar Dari Belakang

Seorang peniaga maut selepas motosikal ditunggang terlibat kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Tengku Mizan, di sini pada Selasa.

Dari Litar

CP125: Syamil Akan Raikan Gelaran Juara Lebih Awal Jika Menang Hujung Minggu ini?

Gelaran juara keseluruhan CP125 buat pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha - 31 Racing, Md Syamil Amsyar semakin cerah.

Model Baru

Triumph Trident 660 Baru Diperkenalkan. Harga asas RM46,900

Didi Group selaku pengimport dan pengedar rasmi Triumph Motorcycles di Malaysia telah melancarkan model terbaru Trident 660 yang akan tersedia dalam pasaran negara tidak lama lagi.