CMC Italjet Valentine 125 Tawar Tunggangan Bergaya
Selain model-model moped, skuter turut menjadi pilihan utama para pencinta dua roda. Hari demi hari model skuter semakin mendapat sambutan di Malaysia. Motosikal skuter sentiasa memberikan tunggang santai, mempunyai ruang simpanan bawah pelana yang luas, menjimatkan petrol dan yang paling penting mudah untuk dikendalikan. Ingin bergaya ke mana sahaja kita pergi? CMC Italjet Valentine 125 lah pilihannya.
Skuter ini telah direka berasaskan ciri-ciri klasik moden. Sememangnya model seperti ini lebih digemari golongan veteran. Walau bagaimanapun buat golongan muda, sedikit demi sedikit semakin menggemari jentera klasik.
Valentine telah diperkenalkan pada pertengahan bulan Mac 2019 yang dijual pada harga RM8,817. Model ini telah dihadirkan dalam dua pilihan warna iaitu Matt Black dan Matt Grey. Duduk di atasnya, naikkan tongkat dan tekan suis penghidup. Bunyi enjin bersesaran 125cc ini berputar lancar sekali apabila dihidupkan dengan mudah menggunakan penghidup elektrik. Bunyi yang terhasil dari enjin cukup menyenangkan hati kami sebaik didengar. Senyap dan segar! Italjet ini juga boleh dihidup menggunakan penendang kaki.
Dengan bentuk yang kecil dan ringan, mesin ini dapat dipacu begitu mudah sekali. Lebih memudahkan lagi kerana ia menggunakan sistem transmisi automatik. Kita hanya perlu pulas sahaja pendikit tanpa memerlukan tukaran gear secara manual. Italjet ini dapat bergerak dengan lancar dan segera mencapai kelajuan yang menyegarkan. Enjinnya memberi tindak balas yang meyakinkan setiap kali kita memulas pendikit.
Bahagian depan diperkemaskan dengan lampu utama berbentuk bulat, Italjet ini mampu memberi suluhan yang cerah. Cukuplah kita dapat melihat keadaan trafik di hadapan ketika menunggang pada waktu malam. Jika LED pasti lebih ummph! Lampu belakangnya pula adalah jenis LED. Cermin sisinya dengan kemasan warna krom dan berbentuk bulat menghadirkan ciri-ciri retro pada Italjet ini. Kita dapat melihat kenderaan dari belakang dengan mudah untuk menukar lorong atau keluar masuk simpang.
Italjet disempurnakan dengan enjin empat lejang SOHC, silinder tunggal menawarkan kuasa maksimum 6.6kW pada 8,000rpm dan tork 8.6Nm pada 6,000rpm cukup sesuai untuk sebuah jentera automatik seperti ini. Valentine bukan direka untuk kelajuan semata-mata. Ia adalah sebuah motosikal yang sangat sesuai ditunggang secara santai dan bergaya. Pakai baju kemeja, kasut dan cermin mata hitam, fuhh... sangat ‘smart.’
Kami telah menyusuri lebuhraya Plus untuk menguji ketangkasannya. Walaupun ia hanya sebuah mesin automatik, Italjet mampu memecut dengan mudah mencapai kelajuan maksimum pada 120 km/j. Ketika berada dalam kelajuan tersebut, terdapat kenderaan berat yang memintas kami. Secara tidak langsung kami terus ke tepi sedikit kerana ditolak angin yang kuat. Disebabkan jentera ini ringan sedikit, kami mengambil keputusan untuk kurangkan kelajuan kemudian memerah semula pendikit.
Italjet memiliki tayar hadapan bersaiz 120/70 – 12 dan belakang 130/70 – 12. Prestasi jentera ini di jalan-jalan berselekoh tidak mengecewakan. Dengan permukaan jalan yang panas dan kering, Valentine ini sangat stabil dan cukup sedap apabila dimiringkan sedikit. Tidak kira apabila kita menunggang berseorangan atau berdua, setiap selekoh dapat kita masuki dengan selamat.
Demi melindungi barangan atau dokumen penting pemiliknya, ruang simpan barang di bawah pelana direka cukup luas yang mampu memuatkan topi keledar, baju hujan, beg kecil dan kamera. Walaupun tidak seluas dengan sesetengah motosikal skuter di luar sana, cukuplah ia dapat menyimpan barang kita dengan selamat.
Setiap orang pasti inginkan sebuah motosikal yang mudah untuk ditunggang tidak kira apa jua keadaan. Dengan berat 102 kilogram, Italjet Valentine dapat dilayangkan ke kiri atau kanan dengan mudah. Ia membolehkan kita mengawal pergerakan jentera dengan tepat apabila melalui di laluan sempit atau ketika berada dalam keadaan trafik yang sedang sesak. Hanya perlu pulas dan brek sahaja. Ruang antara bar hendal dan pelana mempunyai ruang yang sangat luas. Ia memudahkan penunggang tinggi untuk menukar posisi. Jika penunggang biasa lagi mudah.
Posisi menunggang memang sesuai untuk semua jenis pengguna motosikal. Pelana yang lembut memberi keselesaan buat setiap penunggang ketika berada di atasnya. Walaupun menunggang jauh dengan Italjet ini, bahagian punggung tidak terasa kebas walau sedikit pun.
Terdapat juga pencangkuk untuk menggantung barang yang diletakkan di depan (berdekatan dengan suis kunci utama). Tidak perlu membuka pelana untuk menyimpan barang yang kita beli di kedai ataupun pasar. Perlu diingatkan, hanya barang-barang yang ringan sahaja kami sarankan untuk digantung.
Sesetengah permukaan jalan di negara kita tidak semuanya berada dalam keadaan yang cukup baik. Jentera ini didatangkan dengan sistem saspensi jenis fork teleskopik (hadapan) dan penyerap hentak mono (belakang). Proses hentakan saspensi hadapan tidak dapat memuaskan hati kami ketika menunggangnya. Apabila kami melalui jalan yang berturap dan tidak rata, terasa gegaran yang sangat kuat di bahagian tangan sehingga ke bahu. Jika kerap berlaku tangan kita akan terasa lenguh. Mujurlah saspensi belakangnya menyerap segala hentakan dengan baik. Harap pihak Chear Global dapat menaik taraf sistem saspensi pada jentera CMC Italjet Valentine ini pada masa akan datang.
Sistem keselamatan Valentine diperkemaskan dengan penggunaan brek jenis cakera di hadapan dan belakang. Ia bertindak dengan cukup efisien sekali. Tarik sahaja kedua-dua tuas brek jika kita ingin cengkaman yang menakjubkan. Ternyata jentera ini dapat diberhentikan dengan mudah dan selamat.
Ketika menunggang pada waktu hujan, kita boleh mengepitkan sedikit kaki kerana tidak mempunyai penghalang di tengah. Kita dapat melindungi sebahagian seluar kita daripada basah. Tetapi jika nak selamat, pakailah baju hujan. Kami sarankan gunalah baju hujan jenama GIVI kerana ia mempunyai kualiti dan ketahanan yang tinggi.
Panel meter Italjet ringkas tetapi memaparkan informasi yang diperlukan setiap penunggang. Panel ini terdiri daripada kadar kelajuan (analog dan digital), tahap bahan api dan jarak perjalanan. Manakala untuk dua lampu bulat berfungsi sebagai lampu isyarat/lampu tinggi. Cahaya latar belakang pada meter ini terang dan jelas, memudahkan penunggang melihatnya pada waktu malam.
Kita dapat menyusuri perjalanan sejauh 157 kilometer dengan sekali isian penuh 6.8 liter. Semestinya kadar penggunaan bahan api mesti berbeza. Ia perlu bergantung pada jenis tunggangan, gaya dan saiz penunggang. Walaupun saiz Valentine kecil, ia menawarkan tunggangan yang cukup selesa. Memang seronok menunggangnya.
Sememangnya menunggang skuter sangat mengembirakan. Ia sebuah jentera yang cukup sesuai untuk apa jua tujuan. Yang penting mudah dan paling sesuai untuk bergerak di dalam bandar. Valentine juga tidak mengecewakan ketika perjalanan jauh. RR
Spesifikasi
Enjin | empat lejang, SOHC, silinder tunggal |
Gerek x Lejang | 52.4 x 57.8mm |
Isi padu | 124cc |
Nisbah mampatan | 10.5:1 |
Kuasa maksimum | 6.6kW pada 8,000rpm |
Tork maksimum | 8.6Nm pada 6,000rpm |
Transmisi | Automatik |
P x L x T | 1930 x 700 x 1170mm |
Isi tangki | 6.8 liter |
Pengeluar | Chear Global Sdn Bhd, Tingkat 2, No. 33, Jalan 15/23, Kawasan Perindustrian Tiong Nam Seksyen 16, 40200 Shah Alam, Selangor. Tel: 011-1123 2192 |
Popular