Isu Terkini

Oktober 2024

Pandu Uji / 23 April 2025

Ride Santai Bersama Yamaha PG-1: Aku dan Kebebasan

Aku sememangnya suka dengan suasana hutan dan lebih-lebih lagi kalau ada sungai! Dari zaman belajar lagi, tiap-tiap hujung minggu atau ada cuti lama sikit, aku dengan kawan-kawan akan masuk ke hutan... panjat bukit gunung...cari sungai untuk rehatkan minda. Kenangan awal dulu mulanya naik RXZ, lepas tu naik kereta...ada juga naik bas...macam-macam dah lalui. Yang penting dapat pasang khemah, berborak depan 'campfire' sambil tengok keindahan alam.

Bila dah sibuk dengan kerja...urusan keluarga... peluang untuk nikmati 'ride & camp' pun dah tidak sekerap dulu. Tapi...bila dapat peluang untuk menunggang uji jentera Yamaha PG-1, memang tak ada tempat lain yang boleh aku bayangkan selain bermalam dengan alam.

Perjalanan aku kali ini ada kawan. Redzuan yang juga menunggang Yamaha PG-1 (versi standard) manakala aku naik PG-1 yang ada aksesori. Jangan marah Redz. Info: Yamaha PG-1 hadir ke pasaran negara dengan dua pilihan warna iaitu Casual Beige dan Forest Green dengan nilai jualan bermula dari RM6,998.

Teruja punya pasal, sehari sebelum kami start perjalanan, aku dah siapkan semua peralatan perkhemahan. Mujurlah dua hari satu malam sahaja, tak adalah banyak sangat barangnya. Apa yang aku bawa?

  1. Khemah
  2. Peralatan memasak (dapur kecik, periuk, sudip, penyepit, pisau, landas dan fire starter)
  3. Makanan – daging burger, mentega, timun, tomato, sos cili, kicap, lada putih dan bawang. (Ala kadar je)
  4. Kerusi healing
  5. Tali dan semestinya hooks bungee cords

Kami berkumpul di Sungai Buloh...rupanya ada berempat cuma dua lagi memilih untuk tidak bermalam di tapak perkhemahan.

Oleh kerana pelana penunggang dan pembonceng untuk model PG-1 ini berasingan, amat mudah untuk kita letakkan segala barang di atas pelana pembonceng. Ia langsung tidak menggangu pelana depan yang perlu dibuka untuk mengisi bahan api.

Atas highway memang pecut habis. Laju maksimum ialah 100km/j cuma bunyi sistem ekzos PG-1 aku jauh lebih padu! Jalan lama dari Bukit Beruntung – Tasik Widuri – Rasa – Bandar Baru Batang Kali – Hulu Rening memang best. Sesuai untuk menguji kemampuan PG-1.

Ketika menyusuri laluan mendaki, tenaga jentera yang hadir dengan enjin empat lejang berkuasa 9PS dan tork 9.5Nm ini memang tidak mengecewakan. Walaupun aku ini 'rider berat', PG-1 terus mantap memecut ke hadapan.

Apa yang menjadi masalah kecil ialah penunjuk kedudukan gearnya yang sukar dilihat bila matahari betul-betul dah mula terang (tengahari). Jenuh juga kalau terlupa kedudukan gear lebih-lebih lagi di lampu isyarat, nak tengok tak nampak pula. Mesti gelabah bila nak start bergerak tapi dalam gear ketiga!

Anggaran tempoh perjalanan menuju ke Hulu Rening dengan menunggang motosikal adalah sekitar 45 minit. Tetapi jika berkereta, ia benar-benar bergantung kepada trafik semasa. Kalau nak datang pada hujung minggu, kami nasihatkan keluar awal pagi.

Perjalanan laluan kampung memang best. Di kiri dan kanannya terdapat pelbagai jenis jualan makanan mahupun buah-buahan. Memang tiap-tiap kali nampak gerai tepi jalan dalam kawasan kampung, kami akan singgah 'jap' basahkan tekak...lepak sikit. Bila letak PG-1 di sebelah motosikal cub, rupa-rupanya saiznya tidak lah kecil. Sama besar je dengan Ysuku...Y16... cuma 'design' jentera sebegini nampak lebih kecil.

Masuk dalam bandar untuk tambah sedikit bekalan, terutamanya ais batu. Nanti boleh pekena 'Teh O Ais' dalam hutan. Masa ni terasa jugalah haba panas dari sistem ekzos tinggi yang dipasang pada motor saya tu.

Jalan ke Tapak Perkhemahan Dusun Pak Abu ada laluan lasak tapi ringan-ringan sahaja. Unit tunggangan yang aku bawa dapat redah dengan tenang disebabkan aksesori yang dah siap pasang tu ala jentera motocross termasuk madgad, pelindung enjin dan macam-macam lagi. Siap ada Jerry-Can, cuma aku tak isi petrol sebab dekat.

Tayar hadapan dan belakang jenis 'jagung' dengan saiz yang sama iaitu 90/100-16 M/C 51P dikawal oleh sistem brek jenis cakera (depan). Namun begitu, tayar belakang masih gunakan brek jenis gelendong.

Fork hadapan jenis teleskopik dan penyerap hentak berspring di belakang bekerja keras menyerap segala hentakan ketika kami masuk ke kawasan yang berbatu. Memang syok sebab PG-1 ini hanya 107kg, mudah untuk dikawal.

Langit tak cerah...tak gelap...tapi peluang untuk hujan tu agak tinggi. Kami cepat-cepat pacak khemah dan bersedia untuk makan tengahari – nasi putih + ayam goreng + sambal belacan sahaja. Bila dah penat...badan pula sejuk lepas berendam air sungai, nasi simple pun dah sedap sangat.

Itulah nikmat yang jarang-jarang kita dapat rasa. Bila kita dikelilingi hutan menghijau, alunan lembut air sungai dan kicauan burung-burung hutan boleh membantu kita melupakan segala masalah dan tekanan yang dihadapi.

Secara peribadi, saya suka ke sini (Campsite Dusun Pak Abu) atas beberapa sebab utama. Paling penting kebersihan khususnya tandas. Selain tapak khemah, ada juga gazebo dan pondok surau yang siap kipas dan berlampu. Sungainya juga sesuai untuk kanak-kanak dan dewasa. Ada tempat cetek..ada tempat agak dalam.

Lepas makan malam, kami buat keputusan untuk keluar dari tapak khemah. Tujuannya untuk menguji tahap kecerahan lampu PG-1 ini. Sistem saspensi depan dan belakang untuk model ini tidak mengecewakan. Lembut menyerap segala hentakan lebih-lebih lagi apabila kita terlanggar akar pokok yang tinggi, batu kelikir besar dan di kawasan berlopak.

Yamaha melengkapkan model asas untuk PG-1 ini dengan lampu jenis halogen. Agak terang...tetapi gagal menandingi suluhan lampu LED dari unit 'beraksesori' yang sangat terang. Anda boleh melihat perbandingan yang kami lalukan di antara kedua-dua lampu utama PG-1 ini di saluran Youtube RodaRoda dalam ruangan Ride Santai Bersama Yamaha.

Menunggang dalam hutan pada jam 11.00 malam bukanlah satu tindakan yang bijak. Kalaulah tayar pecah...'pishang' nak tolak patah balik dalam keadaan gelap gelita. Bayangkan tengah-tengah tolak motor tu ada pula suara halus yang menegur, “Tolak motor ye bang!”

Kawasan tapak perkhemahan yang luas itu kosong, hanya dua khemah saja malam itu. Suasana cukup sunyi...sambil menghirup kopi panas dan keropok udang, aku bersandar melihat jutaan bintang yang menghiasi langit. Kami berborak hal-hal yang tidak berkaitan dengan tugasan seharian.

Hari berikutnya kami sempat berbual-bual dengan pemilik campsite, Pak Abu sendiri. Macam-macam kisah beliau kongsikan. Selepas bersalam, kami tinggalkan Ulu Rening untuk mendaki ke Genting Highlands.

Kerangka PG-1 (backbone) yang bertegaran tinggi itu membolehkan kami menikmati jalan berliku dengan cukup yakin. Walaupun enjin dan tubuh badannya kecil, PG-1 memang ada power dan menghiburkan hati. Disebabkan masih awal pagi, jalan lengang, masih tak banyak kereta. Best!

Makin tinggi...makin sejuk...bestnya! Apa yang penting, kedinginan udara nyaman yang 'menghentam' badan itu menambah keseronokan. Tak kisahlah naik superbike ke...naik skuter ke...atau naik PG-1, bagi pencinta motosikal, inilah erti kebebasan. RR

Spesifikasi

Enjinsilinder tunggal, DOHC, sejukkan udara
Isipadu115cc
Kuasa maksimum9.0PS pada 7,000rpm
Tork maksimum9.5Nm pada 5,500rpm
Tayar90/100-16 M/C 51P (depan & belakang)
Saspensifork teleskopik (depan), penyerap hentak berspring (belakang)
Tinggi pelana795mm
P x L x T1980mm x 805mm x 1050mm
Isi tangki5.1 liter
PengeluarHong Leong Yamaha Motor

Popular

  • Model Baru

    Mforce Bike Holdings akan lancarkan skuter unik, SYM CLBCU. Harga rasmi belum dinyatakan....

  • Warta Roda

    Kemalangan Empat Buah Kenderaan, Pelajar Maut

  • Model Baru

    SYM Naga 150 Bakal Diperkenalkan di Malaysia

  • Model Baru

    BMW Motorrad Malaysia Memperkenalkan BMW S 1000 RR dan F 900 GS Adventure Baru. Harga bermula dari RM95,500

  • Pandu Uji

    Ducati 125 Regolarita: Rangka Di Dalam Almari

Artikel berkaitan

Ducati 125 Regolarita: Rangka Di Dalam Almari

MODA Sporter-S 250: Sesuai Untuk Kegunaan Bandar

Suzuki V-Strom 800DE: Sesuai Untuk Perjalanan Jauh & Dekat

Santai Bersama Yamaha: MT-09 Syok Ke Mana Sahaja!

Honda XL750 Transalp: Antara Jentera Kembara 'Middle Weight' Yang Terbaik?

Bajaj Freedom 125 CNG: Bukti Bahan Api 'Gas' Lebih Praktikal

MODENAS Z250 ABS – Senang, Selesa, Sempoi!

Honda NX500: Lebih Padu... Lebih Syok...

Disyorkan untuk anda
Model Baru

SYM ADXTG 400 Masuk Malaysia Mei Ini - Harga Bawah RM30K

SYM ADXTG 400 dijangka dilancarkan di Malaysia pada bulan Mei 2025 harganya pula dijangka bawah RM30k.

Warta Roda

Motosikal dihanyut banjir. Mujur mangsa selamat.

Seorang peneroka melalui pengalaman cemas apabila motosikal ditunggangnya terbalik dibawa arus ketika cuba meredah laluan dinaiki banjir di Felda Air Tawar 3 di sini.

Dari Litar

Marquez Jatuh...Pecco Raih Juara

Hasrat pelumba pasukan Ducati Lenovo, Marc Marquez untuk mencipta kemenangan sermpurna di Litar Americas tidak kesampaian apabila terbabas pada lap ke-9 walaupun ketika itu sedang mendahului perlumbaan dengan agak selesa. Terdahulu, Marc telah membuktikan dominasinya apabila meraih kemenangan dalam saingan Sprint tanpa sebarang masalah.

Warta Roda

Lelaki tumbuk pemandu wanita selepas anak dilanggar.

Seorang lelaki yang dipercayai berang selepas anaknya dilanggar menumbuk pemandu kereta jenis Perodua Axia dalam kejadian di Bazar Aidilfitri Dataran Senawang.