Santai Bersama Yamaha: MT-09 Syok Ke Mana Sahaja!

Bercerita tentang Yamaha MT-09. Tak sangka, kami selalu kembara dengan model ini. V1 ke Taiping...V2...Ke Melaka...dan V3...kami pusing-pusing seluruh Selangor dengan niat mencari pantai. Untuk model terbaru, (V4), kami bersempatan pusing-pusing Litar Antarabangsa Sepang (SIC), guna jalan lama ke Beranang – Pajam - Mantin - Pantai sampai ke Temiang.

'Riding position' yang relaks adalah salah satu sebab mengapa model ini begitu disukai. Sejarah MT-09 ini bagi kami pun agak unik. Masa mula-mula model V1 dilancarkan, ramai juga yang memberi komen agak negatif khususnya tentang corak hantaran kuasa. Kata mereka 'agak ganas'... ye ke?
Bagi kami, V1 memang antara yang paling 'garang', mod tunggangan pun mudah nak pilih. Memang padu model tu. Bila V2 masuk 'market', kita dah nampak banyak peningkatan yang dilakukan khususnya sistem elektronik dan secara peribadi, 'design' V2 paling saya suka!
V3 lain macam sikit. Perubahan total! Kami di pejabat memang selalu berseloroh gelarkan model tersebut family 'Transformer'. Namun begitu, model ini makin padat dengan teknologi moden yang membantu perjalanan kita lebih selesa...makin selamat.
Okay...sekarang masa untuk menikmati MT-09 V4 pula, Saya dan Redz bertukar-tukar motor, nanti boleh borak tentang perbezaan dan persamaan antara kami berdua. Tinggi Redz sekitar 168cm dan saya pula 179cm, mesti lah ada beza kan?

Perjalanan ke Temiang pada pagi itu memang seronok. Cuaca tak panas...angin pula bertiup agak kuat, “aweome weather for riding.” Kami singgah di sebuah restoran untuk makan pagi. Lapaq baq hang! Apa yang seronoknya, gerai-gerai di laluan luar bandar selalunya sedap dan murah. 'Acik-acik' kat sana pun semuanya peramah.
Sambil telan nasi lemak, kami dengar cerita. Lama pula cerita seorang pakcik tu nak habis. Terpaksa tambah sebungkus lagi (alasan). Kisahnya ada banyak..antaranya banjir, kerajaan, budak-budak zaman sekarang...sebut Gen Z, pakcik tu tak faham. Apa pun, dia berharap makin ramai remaja sekarang yang lebih bijak menjaga adab dan nama baik keluarga. Ya...satu perkongsian yang baik.
Bayar....sambung perjalanan! Pendikit dipulas dengan galak untuk meneruskan perjalanan. Memecut dengan model ini memang puas. Yamaha MT-09 baru ini disempurnakan dengan enjin 890cc Crossplane CP3 tiga silinder beserta sistem penyejuk cecair. Enjin baru ini juga mampu menghasilkan kuasa maksimum 87.5kW (119hp) pada 10,000rpm dan tork 93.0Nm pada 7,000rpm. Cukup padu untuk tunggangan santai maahu pun memecut lebih daripada 180km/j.
Semasa mengujinya buat pertama kali di SIC, empat lap bagi saya terlalu singkat. Selalunya saya akan gunakan lap pertama itu untuk mencari keserasian terutama sekali sistem brek. Ramai yang boleh pecut laju...tetapi ramai juga yang tidak arif membrek.
Walaupun singkat, saya sangat teruja dengan beberapa perkara iaitu Mod Tunggangan, sistem Quick Shifter dan sistem breknya yang terdiri daripada 2 x brek cakera berkembar 298mm (depan) dan 1 x 245mm (belakang). Selain daripad itu, saya hanya sempat menggunakan mod 'Sport' sahaja.
'Ekceli' MT-09 ini hadir dengan tiga Mod Tunggangan iaitu Sport, Street dan Rain. Maka dalam perjalanan kami kali ini, dapatlah rasa ketiga-tiga mod itu.
Di bawah teduhan pokok-pokok yang menghijau sepanjang jalan, MT-09 membelah kesunyian dengan sistem ekzosnya yang 'pendek' tetapi bunyi padu. Untuk menambah keterujaan penunggang, MT-09 menampilkan rekabentuk 'speaker' iaitu Acoustic Amplifier Grilles yang terletak di atas tangki bahan api untuk menyerlahkan bunyi enjin CP3 terus kepada penunggang. Tapi dalam full face, saya tak berapa dapat dengar juga.
Redzuan sudah agak lama tidak menunggang jentera berkuasa tinggi..selalunya di bawah 650cc dan kali ini dia benar-benar teruja. Paling best apabila dengan pantas dia beritahu betapa mudahnya MT-09 ini ditunggang. “Rasa macam naik MT-25 lah. Senang dan tak ada langsung rasa stress dengan kuasa enjin mahupun pengendalian.”
Ya..itulah yang kita mahukan daripada sesebuah motosikal, lebih-lebih lagi yang berkuasa tinggi. Agak menyedihkan apabila kita berbelanja besar tetapi sayangnya 'harga kesayangan' itu tidak seperti yang kita harapnya.
Menyusuri Senawang – Pedas – Masjid Tanah – Tangjung Bidara pada hari biasa memang lagi selesa. Jalan lengang...damai.. tak ada kesesakan lalu lintas dan harga makanan di sesetengah tempat juga berbeza. Yes..memang betul, percutian pada hari biasa lebih mudah berbanding pada cuti umum atau di hujung minggu. Tambahan pula dengan jumlah kenderaan yang kian banyak setiap hari, ke mana sahaja pun selalu sangkut jem.
Dengan adanya sistem quick-shifter, setiap laluan berselekoh diratah dengan cukup tenang dan sistem ini juga sangat membantu ketika kami berada di ata lebuhraya. Nak memotong...nak lari dari kenderaan mega besar pun cepat!
Perut pun dah start nyanyi..Kami order Nasi Ayam dan Bakso. Tak lama mana, pinggan pun licin... Kami naik semula di atas motor masing-masing untuk ke Pengkalan Balak dan kemudian meneruskan perjalanan terus ke pusat bandar. Di sini agak sesak memandang hari sudah petang – waktu puncak warga bandar Melaka balik kerja.
Tak ada pula rasa bahang panas dari enjin ketika kasih menunggang perlahan-lahan dalam kawasan Jonker Walk. Kami kembali ke Kampung Morten tetapi tidak berhenti lama, hanya sekadar mengenang memori dulu.
Diam tak diam...hari dah malam. Kejap je kami dah seharian dengan MT-09 ini. Niat nak 'stay' sana tetapi sayangnya banyak hotel dah penuh sempena sambutan Tahun Baru Cina. Apa boleh buat, isi minyak dan menuju laluan untuk kembali ke lebuhraya.
Kami singgah di deretan restoran Asam Pedas yang terletak di hadapan Menara Taming Sari. Memang 'port' pencinta masakan Melaka...banyak pilihan dan harganya juga tidak menakurkan. Suluhan lampu 'projector LED' MT-09 ini memang terang dan tajam. Yamaha turut melengkapkan mesin jalanannya ini dengan sistem Autocruise - kami gunakan sebaik sahaja 'ride' dalam 'highway'.
Menerusi panel meter TFTnya yang bersaiz 5 inci itu memaparkan pelbagai info dan talaan dengan jelas. Sistem ini juga memberi 'nikmat' sambungan Bluetooth dan aplikasi Y-Connect untuk fungsi notifikasi, muzik, panggilan dan navigasi. Selepas lebih 300 kilometer dengannya, kami cukup berpuas hati. Posisi menunggang selesa...pecutan mengagumkan...selamat...dan rekabentuk juga padu! RR
Popular