2018 Ducati Panigale V4S Peningkatan Yang Mengagumkan
Pada penghujung 1970, Ducati pernah berdepan dengan masalah kewangan yang cukup serius sehingga mempertimbangkan untuk menamatkan produksi jentera dua roda semata-mata untuk menyelamatkan pam enjin diesel. Apa pun kebijaksaan para jurutera Ducati membuktikan mereka terus kukuh dan selepas empat dekad, syarikat yang berpengkalan di Bologna ini telah mengeluarkan sebuah jentera berkuasa tinggi yang memiliki teknologi moden dan prestasi keseluruhan yang sangat hebat.
Litar Valencia Ricardo merupakan litar yang cukup teknikal. Kebanyakan mesin berkuasa tinggi akan menggunakan gear kedua di sini, beberapa kali menyentuh gear ketiga dan menggunakan gear keempat untuk memasuki selekoh sebelah kiri yang membawa kita ke laluan lurus. Ketika menuruni laluan lurus utama, kita dapat menggunakan gear kelima untuk mencapai kelajuan 290km/j.
Pakej Ducati baru ini memang cukup hebat. Enjin V4 yang berkuasa 214hp dengan berat jentera 195kg memang cukup mantap. Litar Valencia yang teknikal ini sememangnya sesuai untuk sebuah jentera yang padat dengan sistem elektronik dan casis yang mudah dikendalikan – Panigale ini memiliki kesemua yang diingini dan yang diperlukan untuk menikmati setiap selekoh di litar tersebut.
Berkenaan dengan pelancaran ini, saya tertanya-tanya adakah model Ducati era baru boleh memberikan perasan yang sama seperti mana jentera V-kembar lalu walaupun dengan penambah dua lagi silinder. Saya suka Panigale V-kembar cuma saya dapati jentera ini agak sukar untuk tunggangan harian kerana sifatnya yang agak agresif dan lebih sesuai untuk kegunaan litar mahu pun di jalanan berselekoh.
Frasa terbaru yang digunakan untuk menggambarkan Desmosedici 1103cc ini ialah A New Opera tetapi apabila saya menghidupkan enjin model S Ohlins-Shod, bunyi yang terhasil daripada sistem ekzos 4-2-1-2 mirip dengan mesin V-kembar. Walaupun dengan enjin yang lebih besar, jentera ini masih dirasakan agak kecil dengan casis kerangka hadapan barunya. Rekaan fairing baru dua lapisan melebar di bahagian 'hidung' dan di sini terletaknya dua corong kemasukan udara yang besar. Ruang ini juga terletaknya lampu LED yang ramping serta lampu DRL (Daytime Running Light) – menjadikannya model Panigale paling agresif pernah dihasilkan.
Fairingnya direka bersepadu dan bagaikan memeluk tangki, ruang besar dan memanjang yang terletak berdekatan dengan penunggang (di bawah pelana) sebenarnya ia menyimpan segala kecanggihan sistem elektronik. Penyerap hentak yang terletak di sisi model sebelum ini tidak lagi digunakan sebaliknya telah diganti dengan unit yang lebih konvensional manakala bahagian belakang Panigale ini memang sangat anggun.
Panel meter TFT baru yang bersaiz lima inci cukup cerah dan menawarkan informasi yang secukupnya. Kadar putaran rpm merupakan penunjuk paling besar. Apabila putaran enjin semakin meningkat, warna paparan rpm ini juga akan bertukar warna dari putih ke jingga dan kemudiannya merah ketika ia mencecah 14,500rpm.
Pengagihan berat yang sempurna adalah satu cabaran buat para jurutera Ducati selepas membuat keputusan untuk beralih dari dua silinder kepada empat. Oleh itu mereka menukarkan kerangka hadapan serba baru jenis aloi bertempa yang hanya seberat empat kilogram bagi menggantikan kerangka perimeter yang dipasang pada 1200 Panigale. Ia menggunakan enjin Desmosedici Stradale sebagai kekuatan elemen pembinaan casis yang juga kini lebih tajam untuk lebih mantap melarikan jentera yang berkuasa 157.5kW berbanding 150.8kW yang dimiliki oleh model 1299.
Model ini juga dilengkapi dengan mod tunggangan seperti Street, Sport dan Race. Untuk prestasi lebih mantap, parameter seperti Traction Control (DTC EVO), Wheelie Control (DWC EVO), Slide Control (DSC), Power Launch (DPL EVO), Engine Braking (EBC EVO) dan ABS Cornering EVO. Jantung sistem elektronik Ducati ini ialah IMU enam-paksi, dan Ducati Quick Shifter (DQS EVO). Terma EVO ini merujuk kepada generasi elektronik terkini yang dibangunkan khusus untuk model V4 2018 ini.
Tidak kira anda menggunakan mod tunggangan apa.... Street, Sport, Race atau Track sekali pun, kuasa yang dibekalkan pada jentera ini tetap sama iaitu 211hp cuma kekuatan kuasa hantaran yang berbeza-beza serta penurunan tahap sensitiviti di setiap mod tunggangan dapat dirasakan dengan begitu jelas.
Pakej elektronik ini amat mudah untuk diakses, satu suis sahaja dan ianya dapat digunakan walaupun ketika jentera ini masih bergerak. Menala sistem elektronik dengan 1299 Panigale amat merumitkan tetapi Ducati telah berjaya mendapatkan Bullseye dengan sistem baru yang lebih intuitif. Ia pantas dan senang untuk difahami.
Akhirnya masa telah tiba...it’s show time! Visor ditolak ke bawah, tingkatkan rpm dan lepaskan klac... saya keluar pitlane dan mengerahkan jentera merah Ducati agak kuat dalam selekoh dua dan terus terkejut. Saya kini dapat rasakan bagaimana perasaan ketika lonjakan sebuah kapal terbang di aircraft-carrier slingshot – kuasa hantaran Ducati ini sangat kuat sehinggakan tidak terasa perlu menukar gear walaupun sudah sampai di penanda untuk membrek. Dengan adanya sistem Quick-shifter, saya dapat memecut dengan lebih pantas. Saya sudah hampir habis meratah selekoh kedua tetapi 'otak' saya bagaikan masih tertinggal 200 meter di belakang.
Saya terus memecut di laluan lurus dan buat pertama kalinya berjaya 'melepaskan' suara garau dan garang ekzos ini yang mirip dengan jentera MotoGP Desmosedici. Saya mengemaskan posisi di fairing dan mendapati penunjuk bacaan rpm masih terlalu kecil bagi saya yang bercermin mata jenis panjang ini. Nak tengok lama pun tak boleh... hanya sekali jeling sahaja.
Kuasa hantaran V4 ini kuat dan linear, menjadikan jentera ini 'hidup' dan sangat menakjubkan. Sebaik sahaja ingin sampai di penghujung laluan lurus, saya tahu ia adalah masa terbaik untuk menguji angkup monoblok terbaru Stylema dari Brembo – evolusi terkini kit M50 yang terkenal selama ini. Memang suatu yang mengujakan apabila dapat memperlahankan kelajuan dengan pantas pada kelajuan 280km/j dengan menekan keras brek cakera 330mm (depan) yang cukup berprestasi tinggi. Proses membrek tidak pernah menjadi satu isu buat jentera Panigale dan ia sememangnya kekal hebat begitu.
Sesi pertama sangat mengujakan kerana jentera ini memberikan tindakbalas yang sangat mengejutkan. Apa yang mengecewakan saya ialah tempat pemijaknya yang ditinggikan sedikit (10mm). Memangnya satu sentimeter itu angka yang cukup kecil memandangkan pelananya kekal sama di ketinggian 830mm tetapi kaki saya yang panjang ini tetap perlu bersusah payah untuk mencari ruang terbaik dan paling selesa. Ergonomik keseluruhan jentera ini memang superb – jentera ini sangat selesa.
Mod Ducati yang saya tunggangi ini telah ditukar kepada Race dan serta merta karaktornya berubah dan tindakbalas pendikit jauh lebih pantas. Buktinya... tayar hadapan sudah terangkat. Terima kasih buat IMU enam-paksi (Six-Axis IMU) yang bukan sahaja menjadikan tunggangan ini menarik tetapi juga 'membenarkan' kita untuk mencuba beberapa aksi yang mungkin dahulunya kita tidak begitu berani untuk melakukannya. Contohnya 'Powersliding'.
Ini adakah kali pertama jentera produksi dilengkapkan dengan tayar super melekat dari Pirelli, Diablo Supercorsa SP dengan profil serba baru bersaiz 120/70ZR 17 (depan) dan 200/60ZR 17 di belakang. Pirelli menggelarkan tayar ini sebagai replika dengan apa yang digunakan dalam Panigale V4 Speciale perlumbaan sebenar. Ia memiliki sebatian getah slick pada bahagian bahu tayar ini.
Dengan menala sistem ABS kepada tahap 1 atau 2, sistem ABS di belakang tidak lagi berfungsi. Ini membenarkan kita melakukkan sideway drift sambil membrek – semuanya boleh dikawal melalui algoritma tercanggih yang terletak di sebelah kiri tangan. Ideanya ialah untu menggalakkan kita menjadi lebih berani. Unit IMU akan menjaga dan meneliti tahap tekanan brek, sudut miringan, kadar geseran dan termasuklah sudut tayar belakang. Apabila menggunakan ABS tahap 2, kita boleh menekan brek belakang dengan sekeras-kerasnya dan biarkan bahagian belakang slide. Jangan risau, komputer akan menjaganya.
V4 ini cukup tangkas di dalam miringan atau ketika membrek dengan keras. Ia disumbangkan oleh sistem saspensi semi-aktif Ohlins dengan fork hadapan jenis NIX 30, penyerap hentak TTX 36 dan peredam stereng Ohlins yang kesemuanya dikawal oleh sistem Smart EC 20. Turut dipadatkan pada jentera ini ialah Objective-Based Tuning (OBTi). Selama ini kita membuat talaan mampatan dan redaman yang bertujuan untuk menambah ketegaran ketika membrek dengan keras. Kini... sistem tersebut akan membuat talaan terbaik agar riaksi penyerapan saspensi ini bertambah cemerlang.
Ketika membrek di dalam selekoh laju dan sederhana, saya dapati perbezaan yang amat ketara di antara model V4 dan Panigale 1299 yang saya tunggangi beberapa minggu sebelum ini. Model baru V4 ini lebih baik terutamanya di bahagian hadapan dan kelebihan ini membolehkan kita dapat menukar arah dengan lebih pantas dan lebih tepat.
Walaupun model ini lebih berat, pakej keseluruhannya yang sempurna menawarkan kelincahan dan maklum balas dari tayar hadapan dan belakang yang tiada keraguannya. Apa yang penting untuk diperkatakan bagi mencerminkan kehebatan V4 ini ialah: kerangka hadapan baru, lengan ayun lebih panjang, tayar berprofail baru dan aci engkol counter-rotating kesemuanya ‘bekerja’ dengan cemerlang sekali menjadikan pengendalian V4 ini cukup mantap.
Panigale V4 ini tidak memenuhi homologasi untuk berada di dalam World Superbike Championship yang mewajibkan enjin 1000cc untuk jentera empat silinder. Para peminat perlu menunggu sehingga Ducati mengeluarkan jentera berisipadu lebih rendah versi R untuk perlumbaan. Walaupun begitu, jentera Ducati WSBK berspesifikasi V4 telah pun dilihat sedang diuji oleh Ducati test rider dari pasukan Aruba.it Racing iaitu Lorenzo Zenetti.
Untuk sesi terakhir, saya menala DWC Evo, DSC, DTC Evo dan ABS pada tahap 1. Ia sangat seronok dan membuktikan pada semua betapa mudahnya mengawal hantaran kuasanya. Ianya hanya terletak di hujung jari anda. Saya melintasi garisan penamat dengan perasaan yang sangat kagum pada sebuah ciptaan seperti ini. Panigale V4 baru ini akan berada di pasaran Australia tidak lama lagi pada harga yang kompetitif.. Info: Menurut Ducati Malaysia, model ini juga akan dilancarkan ke pasaran Malaysia pada April 2018 nanti.
Ayuh kita lihat perbezaan di antara beberapa model terbaru Panigale V4. Untuk model V4, ia didatangkan dengan kerangka berwarna kelabu dengan rim berwarna hitam. Menggunakan fork hadapan Showa Big Piston Forks (BPF) bersaiz 43mm, penyerap hentak mono Sachs, lengan ayun mono Sachs dan peredam stereng Sachs. Sistem elektronik yang lengkap dengan meter TFT lima inci.
Panigale V4 S pula memiliki kesemua ciri-ciri asas dengan beberapa bahagian ditambah baik antaranya sistem saspensi semi-elektronik dengan peredam stereng Ohlins Smart EC 2.0 fork hadapan Ohlins NIX 30, penyerap hentak Ohlins TTX 36, rim aluminium bertempa, bateri lithium -ion dan kerangka hadapan magnesium aloi.
Panigale V4 Speciale pula disempurnakan dengan kesemua ciri-ciri asas model ini, warna istimewa dengan kerangka kelabu dan rim berwarna hitam. Madgad hadapan dan belakang gentian karbon, pelana Alcantara, pelindung tumit gentian karbon, pelindung lengan ayun gentian karbon, tuas perlumbaan, pelindung tuas brek, sistem ekzos perlumbaan Akrapovic, skrin perlumbaan, kit nombor pendaftaran boleh ubah, Ducati Data Analyser + GPS, pelindung motosikal.
Enjin model ini sangat berkuasa tetapi dengan adanya sistem elektronik baru yang bijak menjadikan sangat mudah dikawal. Jujur saya katakan ia mampu membawa kita (penunggang) mengendalikannya seperti Sang Juara dengan kelincahan cukup hebat. Masih terdapat beberapa persoalan yang belum terjawab oleh Panigale ini; termasuklah kesesuaiannya untuk digunakan sebagai kenderaan harian. RR
Laporan: Chris Dobie
Kredit Foto: Milargo
Spesifikasi
Enjin: | empat silinder V4, Desmosedici Stradale, sistem penyejuk cecair DOHC |
Gerek x Lejang: | 81 x 53.5 mm |
Transmisi: | 6 kelajuan |
Kuasa maksimum: | 214 ps pada 13,000 rpm |
Tork maksimum: | 124 Nm pada 10,000 rpm |
Brek hadapan / Brek belakang: | cakera hidraulik 300mm / cakera hidraulik |
Tinggi pelana: | 830 mm |
Saspensi hadapan: | fork hadapan Ohlins jenis terbalik |
Saspensi belakang: | lengan ayun tunggal dengan pennyerap hentak Ohlins |
Isi tangki: | 16 liter |
Popular